Friday, April 22, 2011

Tribulasi Perjuangan


Pada awal 70'an, dikisahkan bahawa Ustaz Dr. Wan Salim menterjemahkan buku karya al marhum Fathi Yakan, pemimpin gerakan Islam Lebanon, bertajuk Tribulasi Perjuangan: Di antara Mehnah dan Fitnah. Sungguh banyak buku-buku karya tokoh-tokoh Ikhwan al Muslimin and gerakan Islam diterjemahkan oleh ABIM untuk IIFSO dan WAMY. Buku-buku sebegini menjadi bacaan wajib, cukup popular dan inspirasi kepada anak-anak muda waktu itu yang mencari-cari segenap bahan bagi menelaah ilmu agama, memperbaiki diri, melakukan islah dan menjadi pemanis halua bagi yang mengidamkan pedoman da'wah. Era itu memperlihatkan satu kesedaran, satu kebangkitan Islam yang dipelopori pemuda-pemudi dengan idealisme perjuangan yang membara. Maka sebarang rencana, tulisan, syarahan dan bicara tokoh diikuti, dihadam, ditekuni dan diamati.


Setiap eksperimen Islamisasi didampingi dan ditekuni. Matlamatnya bagi mengisi dada dengan pengetahuan dan ketajaman fikiran agar berada di landasan mulia dan menuruti jalan-jalan da'wah. Pembacaan menjadikan pelengkap tarbiyyah, pembinaan watak dan peribadi. Usrah-usrah pula tempat penyemakan, pencernaan dan perbahasan idea-idea dan apa yang terbit daripada pengajarannya. Kefahaman dan dinamika kumpulan usrah menterjemahkan idea di lapangan dan mencetuskan pelbagai projek. Suasana pembelajaran dan pembinaan sungguh segar dan memberikan pencerahan, ketenangan, perasaan kekayaan, rasa penuh dan perasaan cukup yakin dengan hasil kebersamaan perkongsian dengan rakan-rakan sahabat seperjuangan. Keyakinan bahawa masa depan Islam cerah dan kitalah pembawa pengibar panji-panjinya menjanjikan satu sahwah, satu futuhah satu kebangkitan, satu kemenangan. Dengan pantas fenomena dakwah melebar hingga membawa gelombang perubahan terpenting masyarakat Islam abad ke 20.


Melalui tulisan Fathi Yakan, kita merasai dan memahami apa makna kita mengakui diri Muslim, menggabungkan diri kepada gerakan Islam, mempunyai perasaan intim kepada perjuangannya. Kita inginkan menegakkan cita-cita Islamiyyah. Kita diingatkan tentang bahaya sepanjang jalan, bagaimana boleh gugur dan tercicir di perjalanan da'wah ini. Kita tahu bakal adanya mehnah dan fitnah yang melanda sejak zaman perjuangan Ar Rasul s.a.w., para sahabat dan para mujahidin hingga masa kini. Kesan pembacaan, perbincangan dan latihan kita meyakinkan kita tentang cerahnya masa depan Islam, kemenangan yang dijanjikan serta keinginan kita untuk memeratakan Islamisasi, menjadi pembawa obor pembaharuan Islam bagi menyinari seluruh pelusuk dan negeri. Sungguh luas dan betapa mendalam pengisian yang diperolehi. Tetapi kita belum menempuhi medan perjuangan sebenar dan apa yang ada hanya pengetahuan dan garapan pemikiran tanpa pengalaman, belum ada ujian getir atau cubaan yang rumit. Kita belum berhadapan dengan pertarungan hak dan batil, belum berdepan dengan kezaliman, penindasan, kekejaman, penyiksaan dan tipudaya. Kita belum menempuhi tribulasi.


Maka apabila berlalunya pelbagai peristiwa, demonstrasi yang disambut polis rusuhan, rempuhan pasukan simpanan khas, dibalun dengan belantan, disembur bahan pemedih, dikejar hingga berlari-lari bertaburan hingga tiada lagi tempat berlindung. Kita hanya sekadar pemerhati. Kita tidak berada di medan, tiada pula berada di jalan-jalan itu sewaktu loceng amaran kenderaan FRU merah dibunyikan. Kita tidak temasuk mereka yang berlari bertempiaran apabila digempur perisai dan cotar setelah dihujani asap gas yang memedihkan hingga keluar tangisan yang amat pedih dan menyakitkan. Kita tidak pun diberkas, ditangkap atau dipenjarakan. Kita tidak pun digari dan dihimpit ke dalam trak-trak berjaring besi atau Black Maria. Ada pemimpin diheret ke Kamunting dan di ISAkan 3 1/2 tahun lamanya. Itulah baru merupakan permulaan kecil tribulasi perjuangan.


Alkisah pula, maka setelah masa berlalu fitnah dan mehnah muncul semula, pemimpin gerakan Islam dihina, dipukul, sekali lagi disumbatkan bertahun-tahun dalam penjara. Tidak cukup dengan itu, fitnah direkayasa semula dan pemimpin diaib secara luarbiasa di luar batas keperimanusiaan. Fitnah jahat yang belum pernah dialami sekian tokoh Melayu sepanjang zaman. Satu dugaan berat bukan calang-calang manusia boleh dihadapkan.Kezaliman bermaharajalela tanpa batas tanpa had. Fasad bergelora berbentuk konspirasi, komplot jahat dengan umpanan rasuah dan penyelewengan. Fitnah besar melanda sehingga orang yang dulunya sahabat, tokoh dan pujangga rebah menjadi pengkhianat yang hina dan nista.


Anak bertanya, "Ayah ABIMkan, takkan ayah biar saja Anwar dituduh begitu rupa. Ayah kena lawan, kena pergi demo". Maka kita jawab kita hanya bersedia untuk menyampaikan kuliah dan mengadakan kebajikan. Apabila disuruh melangkah ke gelanggang untuk benar-benar merasai mehnah dan fitnah perjuangan, mula datang kegerunan. Rupa-rupanya kita belum layak mengibar panji-panji kebenaran dan keadilan kerana masih belum sanggup mengharungi tribulasi perjuangan.


Tetapi jangan sampai apabila melihat kemungkaran, kita memilih untuk berdiam diri.


No comments:

Post a Comment