Monday, May 7, 2012

Anwar Ibrahim – Kebebasan : Kesenjangan dan Penjajaran




Political Disconnect

Kritikan terhadap mana-mana parti politik adalah tentang kesejengangan – disconnect  kerana apa yang diandaikan oleh ahli politik tidak semestinya menjadi hakikat di bawah, bukan menjadi realiti di lapangan. Ia tidak mencerminkan hasrat dan aspirasi rakyat. Ini memerlukan satu perubahan, satu kebangkitan.

Oleh itu, kita harus mempertahankan tradisi keilmuan dan tarbiyyah.  Aspek ini tidak begitu ketara dihebahkan sekarang. Samada teks klasikal atau harakiy, kita berkeupayaan menerobos dan selesa dengan semua teks yang kontemporari dan semasa. Kekuatan kita adalah kemampuan untuk berada bersama dengan kalangan minda semasa – mengamati trend-trend berbeda seperti Hossein Nasr, al Attas, Faruqi atau Pak Natsir.

Keistimewaan ABIM adalah keselesaannya dengan semua trend – Ikhwan, Jamaat dan Masyumi. Kita mengambil sikap terbuka dan inklusif. Kita belajar daripada sarjana dan filasuf pemikir-pemikir Islam yang di luar dan yang tidak terkait dengan gerakan Islam – nama-nama yang masih belum dipopularkan di waktu itu seperti Abul Hasan Ali Nadwi dan Muhammad Iqbal.  ABIM mempopularkan semua trend.

Ini merupakan asas perkembangan intelektualisme pertama dalam tanah air. Teman-teman rumuskan dan kita syarahkan. Kita bincang idea-idea Malek ben Nabi dan Ali Shariati. Tokoh-tokoh ini mungkin tidak cocok antara satu sama lain seperti perbedaan di antara Nasr dan Shariati tetapi itulah perbahasan intelektual. Kita juga membaca dan menelaah buku-buku di luar lingkungan Islam seperti Illich, Fanon dan Freri yang kemudiannya menjadi trend seperti buku Pedagogy of the Oppressed.

Generasi 70an dan 80an sungguh luar biasa. Budaya ilmu digarap dan dihidupkan melalui usrah-usrah. Teks dan reference yang digunakan lebih daripada biasa dikendalikan oleh organisasi lain. Keilmuan inilah yang memperkuatkan gerakan.


Pengisian Kebangkitan dan Kebebasan

Tentang fenomena the Arab Spring - al rabi’ al arabi, Profesor Yusuf al Qaradawi menegaskan penggunaan istilah yang lebih tepat iaitu thaurah sya’b – revolusi rakyat. Prof Qaradawi menfatwakan supaya umat bangkit menentang kezaliman dan membela kebebasan.  Qaradawi menggariskan empat perkara yang dijamin dalam syariat iaitu huriyyah, izzah, karamah dan 'adalah – kebebasan, pemerkasaan, kemuliaan manusia dan keadilan pada khutbah Jumaatnya  di  Medan Tahrir, Kahirah di hadapan berjuta umat sempena thaurah sya’b.

Ada dua perkembangan dunia masakini yang perlu difahami:-
i. Thaurah Sya’b
ii. Occupy Wall Street

Thaurah Sya’b berteraskan Islam dan kebebasan. Pandangan rencana pengarang AWSJ tentang peranan media baru atau rangkaian sosial perlu diteliti dengan kritis. The role of social network is overrated...it is actually the masjids and the musallas. Ini bermakna yang menjadi asas kekuatan adalah usrah dan komitmen. Mesej Facebook sahaja tidak cukup tanpa disertai mesej gerakan dan iltizamnya. Peranan masjid dan usrah sangat sentral. FB hanya pemerataan dan penyebaran luas maklumat. Ikhwan pula memberikan mesej ideologi dan pengisian yang jelas. Media baru tidak akan relevan tanpa penglibatan harakah.

Occupy Wall Street is the disillusionment with capitalism, with the complicity of the rich with elite politicians. Hilang percaya dengan kapitalisme dan persekongkolan golongan kaya raya dengan ahli politik elit. Ia merupakan kekecewaan dengan penyelewengan ekonomi berasaskan pasaran. Ekonomi pasaran berjaya mencatat pertumbuhan tetapi tiada keadilan. Apabila berlaku krisis, yang kaya masih terselamat dan yang miskin terus merempat.

Peringatan kepada peristiwa malapetaka kapal Titanic  - obsesi dan keangkuhan dengan pemacuan berkuasa besar,  negara dibawa tanpa tanggungjawab; pemimpin – samada kapten, presiden atau perdana menteri menolak pandangan orang-orang pintar tanpa mempedulikan bahaya dan bencana. Apabila Titanic tenggelam –atau ekonomi merudum, orang-orang kaya dek atas yang diselamatkan manakala yang papa di dek bawah dibiarkan saja.

Tentang kesenjangan seperti ini, Shaikh Rashid al Ghanousi telah menjemput (Anwar Ibrahim) bertemu dengan ahli-ahli parlimen Tunisia untuk memberikan pandangan bagaimana untuk mempertahankan prinsip dalam keadaan perbedaan – a serious discourse in a coalition of contentious forces. Perbincangan berlegar bagaimana kebebasan dan keadilan itu diterjemahkan ke dalam kepedulian market economy dan menginsafi derita rakyat. Prinsip kebebasan, pemerkasaan, kemuliaan insan dan keadilan mesti dipertahankan.

Memang kita berwaspada persekongkolan elit ekonomi – politik.  Selepas perubahan, it cannot be business as usual – bukan urusan cara lazim lagi. There has to be a juxtaposition of values and ideas – penjajaran idea dan nilai. Pakatan Rakyat akan hanya relevan jika ada pembaharuan nilai dan polisi kepada sistem – supaya tiada lagi pembaziran dan ketirisan.  Kita memberi peringatan bahawa perjuangan tidak selesai hanya dengan PR menang.

Kita ambil iktibar pengalaman Indonesia menghadapi ketiadaan ketokohan kepimpinan yang dapat menyatukan, kesenjangan ketara di antara kaya dan miskin, gejala rasuah yang masih parah walaupun nampak ditangani berhadapan kelemahan kepimpinan. Keadaan ini semacam sama dengan negara-negara Eropah Timor sehinggakan rakyat di sana mengeluh penderitaan mereka dengan ungkapan, “biar regim korup asalkan ada makanan” – seolah mereka rela kembalinya regim komunis autokrat.

Pada Thaurah Sya’b, rakyat tuntut kebebasan dan pada Occupy Wall Street, rakyat lihat kebebasan belum boleh jamin keadilan. Kita perlu meletakkan kedua-dua ini supaya tiada disconnect, kedua-dua perlu disejajarkan nilai dan polisinya.

Pesanan kepada Anak-Anak Muda

Kita harus berpesan kepada anak-anak muda supaya merenungi dan meneliti firman Allah swt dalam surah al-Kahfi, ayat 13-14. Mereka anak  muda punya tenaga, punya semangat membara. Mereka tidak rela melihat kerosakan dan kebobrokan yang tidak bertanggungjawab oleh para penguasa.

Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenar-benarnya. sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Rabb mereka, dan kami tambahkan lagi hidayah (petunjuk) kepada mereka. Dan kami teguhkan hati mereka tatkala mereka berdiri (menghadap raja yang zalim), ‘Rabb kami ialah Rabb pentadbir langit dan bumi, dan kami tidak memohon kepada selain Dia. Sesungguhnya, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh daripada kebenaran’

(TQ3G  Mei 2012)

No comments:

Post a Comment