Sunday, September 2, 2012

UCAPAN DASAR WADAH PULAU PINANG: Dr Wan Salim Mohd Noor





UCAPAN DASAR PENGERUSI WADAH PENCERDASAN UMAT (WADAH) PULAU PINANG pada MUKTAMAR WADAH NEGERI PADA 2 SEPTEMBER 2012 Ustaz Dr Wan Salim Mohd Noor


Muktamirin dan muktamirat sekelian!


1. Muhasabah

Dalam kesempatan ini kita elok rasanya kita memperingatkan kembali diri masing-masing tentang hakikat gerakan dakwah, islah dan tajdid yang sama-sama kita perjuangkan sejak 4 dasawarsa yang lalu atas nama PKPIM, ABIM dan WADAH. Kita perlu memperingatkan kembali bahawa sesungguhnya gerakan ini bukanlah satu usaha kecil yang boleh dilaksanakan secara sambil lewa sahaja. Gerakan ini  sebenarnya merupakan suatu usaha kerja yang menyeluruh. Matlamat yang ingin dicapai juga jauh berbeza daripada perjuangan-perjuangan yang biasa diusahakan oleh pelbagai pihak yang lain. Ia tidak berakhir dengan penguasaan tampuk pemerintahan, peningkatan taraf ekonomi rakyat, keamanan negara, kestabilan situasi sosial dan sebagainya. Perjuangan ini berhasrat untuk mengadakan perubahan total terhadap semua aspek kehidupan manusia yang tersasar daripada landasan kebenaran atau al-sirat al-mustaqim dan mengembalikannya semula ke jalan tersebut menerusi pelaksanaan misi suci iaitu ‘ubudiiyyah (pengabdian kepada Allah SWT), melakukan kebajikan kepada sesama makhluk dan berjihad fi sabilillah.

Firman Allah SWT:
 “Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah dan beribadatlah kepada Tuhan kamu , kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat). Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya…”  (Al-Hajj: 77 – 78)

Sesungguhnya perjuangan ini terlalu besar untuk dilakukan oleh usaha individu. Bebanannya amat berat untuk dipikulkan ke atas orang tertentu atau beberapa orang tertentu sahaja. Justru kita memerlukan usaha sama dalam ertikata yang sebenarnya. Kita memerlukan keikhlasan dan komitmen yang utuh, persaudaraan yang ikhlas, perpaduan yang kental dan semangat kesetiakawanan yang tinggi.

Sebagai anggota senior gerakan Islam kita wajar mengambil ihtisab pesanan mantan Ketua HELWA Ustazah Dr. Siti Zulaikhah Mohd Noor tentang wakaf ujrah yang dimaksudkan sebagai mewakafkan profesionalisme kita untuk jamaah dan usaha kerja harakah. Kita juga perlu merenung peringatan yang pernah disuarakan oleh al-Marhum Ustaz Ni’mat Yusoff, salah seorang tokoh awal ABIM dan pengasas Ma’had Tarbiyyah Dehrang supaya tidak hanya menyumbang sisa sahaja untuk gerakan Islam dan untuk umat kita.

Oleh itu, dalam usaha untuk meningkatkan lagi prestasi perjuangan kita ini dan untuk merancakkan lagi aktiviti-aktivitinya, maka WADAH akan berusaha mendaftar kepakaran, kebolehan dan minat para ahli. Kita harap semua ahli akan memberi kerjasama dan akan menyumbang dengan segera dan dengan penuh kerelaan dan tanggungjawab apabila diminta nanti.

Begitu juga diharap para anggota akan menyumbang kewangan dan material dengan rela dan segera kepada tabung WADAH dan tabung-tabung yang lain untuk membantu  madrasah, institusi dan program yang telah dan akan diatur.  

Dengarlah sabda Rasulullah s.‘a.w. sebagaimana yang dilaporkan oleh Abu Hurairah r.‘a:
 “Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan diri seseorang dengan kemaafan-Nya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya.” (Riwayat Muslim, al-Darimi dan Ahmad).


2. Kepedulian Umat

Di peringkat global, kita perhatikan umat Islam hari ini berada di dalam keadaan dilema di antara komitmen Islamnya dengan cara hidup dan gaya hidup semasa yang banyak dipengaruhi faham materialism dan budaya nafsu yang tidak selari dengan tuntutan-tuntutan iman dan misi Islam yang suci.
Kebanyakan negara umat Islam kini masih diperintah oleh penguasa-penguasa sekular yang tidak selesa dengan ajaran-ajaran Islam dan cara / gaya hidupnya. Mereka ini memimpin rakyat jelata dengan corak dan sistem pemerintahan yang banyak bercanggah dengan prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang diajar di dalam Islam.

Perkembangan mutakhir di dunia Islam memanifestasikan rasa mual, resah dan bosan umat Islam terhadap pemerintahan sekular yang sudah terbukti gagal membawa kehidupan yang aman dan sejahtera kepada rakyat jelata. Mereka akhirnya bertekad untuk kembali mencari penyelesaian secara Islam. Amanah berat ini terpikul di atas bahu para pemimpin beberapa pertubuhan Islam yang diberi kepercayaan oleh rakyat di negara-negara tertentu untuk mengendali urusan-urusan mereka dan sekaligus harapan untuk menyelesaikan masalah-masalah hidup yang dialami mereka sejak puluhan tahun yang lalu. Semoga para pemimpin Islamis mampu melaksanakan tanggungjawab yang berat ini dengan izin dan ma‘unah Allah SWT.

Di peringkat nasional, janji-janji terus ditabur, bantuan dan “hadiah-hadiah” pun dihambur dengan lumayan kepada rakyat jelata apabila pilihan raya umum semakin hampir menjelang . Namun lazimnya, seperti masa-masa lalu,“janji ditepati” hanya tinggal sebagai slogan kosong semata-mata. Apa yang berlaku kekayaan negara yang melimpah ruah hanya dinikmati oleh kalangan tertentu sahaja; sedangkan masih ramai rakyat yang hidup di bawah paras kemiskinan, sementara sebahagian lagi bertungkus lumus bekerja untuk memenuhi keperluan keluarga disebabkan kos sara  hidup yang semakin meningkat dengan harga komoditi yang kian melambung tinggi!

Di peringkat negeri,  majoriti umat Islam masih berpendapatan rendah dan mereka dibelenggu pelbagai masalah termasuk kos sara hidup yang meningkat, penempatan dan perumahan yang sukar dan masa depan ekonomi yang tidak memberangsangkan. Situasi sosial umat Islam  di negeri ini menghadapi masalah krisis dalaman, keruntuhan akhlak dan ikatan persaudaraan yang semakin terlerai.

Ironisnya Pulau Pinang sejak dahulu lagi adalah sebuah negeri yang berkembang pesat serta maju, tetapi majoriti umat Islam ketinggalan daripada arus kemajuan dan tidak menikmati kemewahan. Rata-rata umat Islam di negeri ini secara relatifnya memiliki aset yang sedikit, pendapatan yang lebih kecil dan tahap pendidikan yang lebih rendah.

Di samping itu Pulau Pinang yang sedang dibangunkan dengan kadar yang cukup pantas kini menjejaskan warisan penduduk, keseimbangan persekitaran dan kehijauan. Pembangunan juga menimbulkan pertindihan perancangan, kesesakan, banjir kilat dan lain-lain lagi daripada gejala-gejala kotaraya.

Di tengah-tengah cabaran inilah WADAH yang mempunyai misi pencerahan dan pencerdasan umat perlu beroperasi dengan upaya seadanya. WADAH Pulau Pinang perlu merancang, merumus dan memberi fokus yang realistik dan berkesan dalam usaha menegakkan cita-cita Islamiyyah yang digalas sejak zaman belia lagi iaitu ketika giat bekecimpung di dalam aktiviti-aktiviti yang dirancang dan dikendalikan oleh ABIM.

Salah satu cabaran besar yang dihadapi oleh kepimpinan umat dan gerakan Islam ialah bagaimana untuk merobah umat al-yad al-sufla (penadah) kepada umat al-yad al-‘ulya (penyumbang).

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hizam, Rasulullah s.‘a.w. bersabda yang maksudnya:
 “Tangan yang di atas (yang memberi)lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima atau meminta). Maka kerana itu mulakanlah memberi kepada mereka yang di bawah tanggunganmu (keluarga). Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Sesiapa yang memohon dipelihara (agar tidak sampai meminta-minta) Allah akan memeliharanya dan sesiapa yang memohon dicukupkan (agar ia tidak bergantung kepada selain daripada Allah) maka Allah akan mencukupkannya.” (Al-Bukhari).


3. Kesenjangan

Sepertimana kesenjangan yang berlaku kepada tahap kesejahteraan rakyat berbanding kemajuan negeri, begitu jugalah keadaannya yang wujud di dalam politik. Kesenjangan sering dapat disaksikan di antara idealisme untuk mengadakan perubahan, janji pemimpin dan apa yang sebenarnya berlaku di lapangan.

Untuk mengatasi kesenjangan ini maka diharap institusi-institusi dan agensi-agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam, Jabatan Agama Negeri, Pusat Urus Zakat, Baitul Mal dan badan-badan lain yang diamanahkan untuk kebajikan umat Islam akan mempamirkan prestasi tinggi dan dapat menyelesaikan segala aspirasi dan rintihan umat agar tercapai tujuan merealisasikan tahap kehidupan yang menyelesakan (hayatan tayyibah). Begitu juga contohnya, jabatan-jabatan yang bertanggungjawab untuk perbandaran, utilitii dan kesejahteraan bandar dan penduduk, diharapkan mampu meningkatkan kualiti kehidupan dari aspek-aspek ketelusan, kebersihan, kecekapan, kepantasan, kemesraan, profesionalisme, memudahkan segala urusan…, bukan sepertimana prestasi hambar yang wujud pada kepimpinan sebelum ini. Prestasi yang tidak mencerminkan idealisme perubahan itulah yang dimaksudkan dengan kesenjangan.

Bagi gerakan dan aktivitis Islam, perubahan bermakna mengisi ruang-ruang yang ada untuk menyumbang kepada pencapaian hayatan tayyibah. Usaha sedemikian perlu dilakukan supaya gerakan Islam tidak hanya menjadi agitator, tetapi menjadi tenaga penggerak islah. Di sini aktivis Islam wajar menghayati pesanan al-Marhum Shaikh Mustafa Masyhur supaya memainkan peranan serampang dua mata islah nafsak wad’u ghairak – Perbaikilah diri anda sendiri dan serulah orang lain.

Kesenjangan yang berlaku jika tidak ditangani dengan bijaksana akan menyebabkan rakyat dan umat kecewa dengan janji-janji sebelum perubahan, seterusnya menyebabkan mereka hilang kepercayaan kepada kepimpinan baru dan kembali semula merelakan diri dan kehidupan untuk diterajui oleh regim sebelumnya serta mengekalkan budaya yang lalu.

4. Pengisian

Sebagai sebuah gerakan Islam semasa yang berhasrat untuk menjana kecerdasan dan kecemerlangan umat, maka WADAH mesti sentiasa diperkasakan dengan elemen-elemen yang dapat membantunya merealisasikan hasrat tersebut. Berikut disarankan beberapa langkah pengisian yang difikirkan perlu bagi tujuan yang dimaksudkan:

·                     Pemantapan ilmu, pengisian dimensi rohani dan amalan berterusan hendaklah diterapkan dengan bersungguh-sungguh oleh jamaah.

·      Gerakkerja berjemaah dan pengurusan paling efishen dengan  memanfaatkan kepakaran, pengalaman dan alatan adalah menjadi kewajipan perjuangan masakini.

·       WADAH dan para ahlinya harus berusaha menguasai pengetahuan, ketangkasan pengolahan dan artikulasi perihal asasi umat, isu semasa dan berketerampilan melahirkan pandangan dan panduan bernas untuk menawarkan penyelesaian.

·       Cabaran semasa memerlukan keupayaan artikulatif dalam memahami dan mengolah syari‘ah, maqasid al-syari‘ah, siyasah al-syar‘iyyah, fiqh Kenegaraan, fiqh keutamaan, fiqh keseimbangan, fiqh perubahan, fiqh semasa, fiqh pluraliti, ekonomi berkeadilan, sekular dan sekularisasi dan konsep kewarganegaraan.

·       Perbahasan mengenai isu-isu ekonomi, politik, isu-isu semasa umat, memerlukan jawapan, pandangan dan panduan yang jujur, jitu, tepat dan cepat sebelum ianya diwacanakan dan diwarnai pihak-pihak lain yang tidak bertanggungjawab dan sebelum ianya dipengaruhi pelbagai aliran dan trend yang mengelirukan.

·       Adalah disarankan supaya dihidupkan semula usrah umum (halaqah ‘ammah), dengan pendekatan kuliah Tafsir Maudu‘iyy atau topik terpilih daripada isu-isu kontemporari secara mingguan bagi memenuhi keperluan ilmu ketiga-tiga generasi jamaah. Ini amat penting dalam usaha pengisian ilmu yang dikendalikan secara tersusun untuk semua ahli termasuk pelapis.


·       Helwa WADAH perlu disusun semula serta diaktifkan bagi menjayakan cita-cita WADAH secara seiringan.

·       Segala program dan aktiviti pengisian hendaklah dipastikan terlaksana dengan baik dan teratur supaya semangat para ahli dapat dikentalkan kembali dan penyertaan dalam program-program WADAH dapat dirancakkan semula.

Para ahli WADAH khasnya dan para anggota harakah Islamiyyah amnya patut mengamati maksud firman Allah yang berbunyi:
 “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Nisa’: 100).





5. Tumpuan WADAH

Untuk merealisasikan pencapaian hasrat WADAH, maka prasyaratnya amat menuntut pengorbanan masa dan tumpuan penuh para ahli di samping amat memerlukan tekad dan komitmen yang bulat daripada pihak kepimpinan.

Secara am tumpuan WADAH adalah seperti berikut:

·    Keahlian:   Mengumpul dan menggembleng ahli, aktiviti usrah, kuliah / usrah umum, gabungan, pertemuan, pembinaan rangkaian dan jaringan.

·    Pemikiran:    Menggerakkan institut kajian dasar, menyampaikan pandangan secara tersusun kepada pihak berwajib, pembuat dasar dan masyarakat amnya, tentang isu asasi umat, ekonomi, sosial dan semasa.

·       Institusi:  Membangunkan dan mempertingkatkan prestasi madrasah-madrasah SEMI, SERI, Al-‘Uthmaniah, Outreach, Rohingya Educational Centre REC, TASKI, Tabung Ekonomi.

·  Aktivisme: Melaksanakan kerja di lapangan, memberi sumbangan, merencana program dan ceramah kemasyarakatan, bekerjasama dengan gerakan dakwah, ABIM dan Pembimbing, membantu golongan du‘afa jauh dan dekat.

·     Jaringan:  Melebarkan serta mengeratkan perhubungan serta wilayah pengaruh supaya lebih ramai mengetahui kehadiran dan tujuan WADAH, mendukungnya serta menerima apa yang ditawarkannya untuk semua.


Sekian, Wa akhiru da‘wana anil hamdu lil’Lahi Rabbil ‘Alamin.


Wassalamu ‘alaikum wrh., wbr.


Ustaz Dr Wan Salim Mohd Noor
Gelugor, Pulau Pinang
15 Syawwal 1433 / 02 September 2012.


No comments:

Post a Comment