Thursday, August 15, 2013

ANWAR IBRAHIM: Rampasan kuasa dan Pengajaran dari Turki


Oleh : Anwar Ibrahim,  15 Ogos 2015

Sesetengah pihak menggelarnya pengakhiran kepada politik Islam, sebahagian lain lebih cenderung kepada 'detik-detik sukar' namun ada juga berdalih dari kenyataan 'penglibatan tentera'. Jadi, mengapa pengibar bendera demokrasi seperti AS dan Kesatuan Eropah (EU) tidak mampu atau tidak bersedia mengakui rampasan kuasa itu rampasan kuasa? Jerman bertindak sedikit baik dengan mengatakan situasi yang berlaku di Mesir sebagai "satu tamparan besar terhadap demokrasi di Mesir", walaupun negara-negara Barat selebihnya cuba menyembunyikan kejahatan mereka dengan semata-mata panggilan akan sekatan dan mengelakkan keganasan. Tetapi kegagalan merujuknya sebuah rampasan kuasa, apalagi mengutuknya, memperlihatkan sikap pilih kasih terhadap demokrasi.

Tunisia mengutuk penggulingan Mursi sebagai "rampasan kuasa terang-terangan", yang menjejaskan demokrasi dan akan menyuburkan radikalism. Dalam sebuah ucapan di Istanbul pada 5 Julai, Perdana Menteri Turki, Erdogan turut mengutuknya: "Tidak kira di mana atau siapa yang disanggah, rampasan kuasa kesannya merosakkan, tidak berperikemanusiaan dan menentang hak rakyat, hak nasional dan demokrasi".

Dalam kritikannya yang penuh semangat, Erdogan tidak hanya memberi respon seperti yang dijangka tetapi dia juga mengaitkan dengan belajar dari sejarah Turki. Mesir masih berkemampuan menemui harapan baru seperti Turki, negara yang telah menyusuri perkembangan demokrasi dengan sejarah rampasan kuasa yang pahit dan menyakitkan.

Lantas, perlembagaan demokrasi Mesir yang baru ditempa, masih rapuh dan belum kukuh sekaligus ditumbangkan. Tiada topeng- seperti melantik ketua hakim Mahkamah Tertinggi untuk mengetuai 'kerajaan sementara'- dapat mengubah fakta bahawa kuku besi tentera telah memutarkan kembali jam negara Arab paling berpopulasi di dunia.

Sebahagian mewajarkan rampasan kuasa 30 Jun atas asas bahawa Revolusi 25 Januari pada 2011 yang menggulingkan Mubarak juga dibantu oleh tentera Mesir. Tapi analogi tersebut tidak benar. Ketika Revolusi menyaksikan diktator yang telah memerintah secara kejam selama 30 tahun ditumbangkan, ini adalah penggulingan seorang presiden yang telah dilantik secara demokratik melalui pihanraya yang adil dan bersih. Perbezaan kedua-duanya terlalu ketara: seorang mendapat kuasa kerana tentera, manakala seorang lagi mendapat kuasa atas mandat rakyat tetapi diketepikan oleh tentera.

Kebisuan Barat

Dengan kekal membisu ketika tentera menerbitkan ultimatum kepada Presiden Mursi, Barat menjadi subahat. Kegagalan mengecam rampasan kuasa setelah fakta membuktikan kebersalahannya mencetuskan debat akan ketidakseragaman dalam polisi luar Barat apabila kudeta melibatkan negara-negara yang diperintah oleh parti-parti yang dipilih secara demokratik cenderung kepada politik Islam.

Sesetengah pengulas telah berkata mengenai pertembungan antara Islamis dan Liberalis menjadi sebab utama akan kejatuhan Mursi. Mesir, seperti yang ditegaskan, tidak mahu kerajaan ala-Taliban. Selain dari fakta bahawa ia hanya disokong dengan hujah yang lemah, ia juga diletakkan dalam konteks yang salah. Mursi tidaklah jatuh- dia digulingkan oleh tentera dalam rampasan kuasa yang terang dan nyata. Tambahan pula, walaupun ada sifat autokratik berlebihan dalam meluluskan dekri Presiden yang ditentang ramai, namun menyamakan Ikhwan Muslimin dan Taliban adalah satu kejahilan yang tidak dapat diterima dan lebih parah daripada Islamophobia.

Lebih dekat dengan kebenaran ialah mungkin saki-baki rejim Mubarak telah merampas hari tersebut untuk kembali berkuasa yang telah diambil, tidak serta merta selepas revolusi, tetapi selepas Ikhwanul Muslimin mendapat kuasa. Bahkan, mungkin tidak keterlaluan untuk menyatakan revolusi-balas telah dirancang oleh mereka yang ingin menuntut kembali kegemilangan yang telah hilang.

Semua pelantikan jawatan utama setelah rampasan kuasa dilakukan oleh tentera. Nama-nama ini bergema harmoni dengan mereka yang tidak menolak akan kembalinya praetoria Mesir tetapi menggerunkan mereka yang percaya orang-orang bawahan Mubarak telah dikuburkan selayaknya. Pelajaran-pelajaran sejarah telah dipandu jelas di sini.

Sejarah moden Turki mengingatkan kita akan tindakan tanpa henti tentera melaksanakan siri kudeta dalam usaha mendapatkan kuasa dan keistimewaan. Rakyat Turki tidak diberikan demokrasi secara mudah. Sebagaimana yang sedang kita saksikan di Mesir, rakyat Turki terpaksa berjuang gigih untuknya dan lebih payah untuk mengekalkannya. Harganya darah, peluh dan airmata bagi mereka yang bersatu oleh kecintaan akan kebebasan dan demokrasi dan mensabitkan peranan tentera ialah melindungi negara, bukannya menentukan kerajaan yang memerintah. Pemilihan kerajaan hanya boleh dilaksanakan melalui kotak undi.

Demokrasi perlu dibayar dengan harga yang mahal tetapi kesukaran dan kesengsaraan dibawah pemerintahan tentera lebih payah. Seperti yang Perdana Menteri Erdogan nyatakan, "setiap rampasan kuasa melumpuhkan ekonomi Turki, membazirkan aset-aset Turki dan mengakibatkan negara, bangsa dan pemuda khususnya, terpaksa membayar dengan harga yang tinggi." Rakyat Mesir juga membayar harga yang mahal untuk revolusi dan kini menanggung beban sekali lagi kerana mempertahankannya. Ini ditujukan kepada rakyat Mesir, kemuncaknya ketika pembunuhan beramai-ramai lebih 1000 orang penyokong Mursi dan ahli-ahli Ikhwan sekitar Masjid Rabiatul Adawiyah di Kaherah.

General Tentera Abdul Fattah as-Sisi dan pimpinan kerajaan sementara yang tidak sah mesti bertanggungjawab atas darah yang telah ditumpahkan tangan-tangan mereka. Penyembelihan rakyat yang tidak bersalah mesti dikecam. Cubaan untuk menjustifikasikan rampasan kuasa atas 'sebab-sebab aneh' seperti kelemahan pentadbiran Mursi, sifatnya yang eksklusif, dan protes oleh jutaan rakyat Mesir, adalah cetek dan sangat subjektif.

Apatah lagi, bukti-bukti yang dipercayai menunjukkan bahawa banyak demonstrasi jalanan yang menuntut penggulingan Mursi ditaja oleh bantuan asing dan badan-badan kerajaan serantau. Dalam mana-mana keadaan, sejak bila protes secara besar-besaran membenarkan akan pengambil alihan kuasa oleh tentera? Dalam demokrasi, tekanan boleh diberikan melalui demonstrasi di jalan-jalan agar kerajaan yang berkuasa sentiasa 'keep-in-check' tetapi pemerintahan yang dilantik secara demokratik tidak wajar ditumbangkan melalui protes jalanan ataupun desakan tentera.

Apa seterusnya untuk Mesir?

Dialog perdamaian adalah sia-sia seperti mana ianya retorik kosong. Panggilan untuk kesatuan dan perdamaian adalah suatu perkara tetapi apabila ia berpunca dari satu pihak yang menjadi perampas, ruangan sempit menjadi semakin kecil. Apalagi penyelesaian dengan pistol diacu kearah kepala satu pihak. Bersama dengan mereka yang berpemikiran keadilan dan menyokong demokrasi, saya menambah suara saya menyeru Barat, khususnya Amerika untuk melakukan perkara yang sepatutnya. Bantuan berbilion dollar dalam ketenteraan dan ekonomi kepada Mesir seharusnya bantuan atas nama demokrasi dan hak asasi manusia, bukannya sokongan ke atas rampasan kuasa. Presiden Mursi mestilah dikembalikan ke pejabatnya yang hak dan sebagai balasannya pula, memulakan dialog nasional yang meliputi semua pihak.

Ini bukanlah kegagalan revolusi. Ini adalah rampasan kuasa yang dipinjamkan atas pemberontakan rakyat, menukarkan Arab spring kepada musim sejuk yang tidak menenangkan. Perjalanan demokrasi sebenar tidak mungkin pernah berjalan mudah. Apatah lagi demokrasi yang baru berputik seperti di Mesir. Mereka yang dipilih secara demokratik mesti dibenarkan untuk menyelesaikan tugasan yang telah diamanahkan kepada mereka, atau sekurang-kurangnya dalam situasi yang mendesak dimana rakyat inginkan mandat baru, membenarkan pilihan raya semula diadakan. Selagi mana pemerintah patuh kepada proses perlembagaan dan mendukung undang-undang, tiada justifikasi moral atau perundangan untuk mengalihkan mereka.

Rakyat Mesir berdiri teguh, bersatu dan berjuang habis-habisan dalam menamatkan 6 dekad dibawah kediktatoran tentera demi menikmati kebebasan dan demokrasi sebenar. Marilah kita bersama-sama tidak bersubahat dengan rampasan kuasa yang melanggar konstitusi dan tidak bermoral. Mari bersama kita memainkan peranan kita untuk melihat rakyat Mesir meraikan kemenangan Revolusi 25 Januari.


Anwar Ibrahim

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia

No comments:

Post a Comment