Saturday, September 14, 2013

ANWAR IBRAHIM: DI SEBALIK IKHWAN MUSLIMIN: WACANA BUKU



Saya ada melihat sepintas lalu terjemahan bahasa Melayu buku ini tetapi untuk wacana ini saya akan mengulas buku asal yang berbahasa Inggeris INSIDE THE MUSLIM BROTHERHOOD.

Kita berada di sini untuk membicara dan berwacana tentang buku mengenai Youssef Nada dan Ikhwan al Muslimin. Kita meluahkan rasa sukacita dan kita juga berbesar hati dengan kehadiran penulis bersama buku iaitu Douglas Thompson. Juga,  adalah sangat menggembirakan apabila menyaksi minat yang tinggi dengan kehadiran yang ramai di sini yang jarang sekali kita lihat pada majlis-majlis peluncuran buku.

Lebih lagi dengan nasib Ikhwan al Muslimin disebabkan pergolakan di Mesir. Buku ini memberikan perspektif mendalam dan pencerahan tentang Ikhwan dan personaliti Youssef Nada. Dengan artikata lain, ia membentang dan menerangkan apa hakikat dan perjuangan Ikhwan, walaupun Ikhwan sering serta gemar  disalah tanggapi, prasangka terhadap mereka yang mendalam, phobia – ketakutan terhadap Islam, penolakan bulat-bulat Islamis, kebimbangan terhadap politikal Islam serta peranannya di dalam demokrasi.

Dengan cara tersurat, buku ini menceritakan Ikhwan bukan semata-mata perjuangan politik peringkat negara tetapi peranan serantau dan negarawan yang mereka mainkan melalui peribadi Youssef Nada.

Nada bukanlah murshid al am  Ikhwan dan dia bukan pula tergolong di dalam barisan kepimpinan pergerakan itu. Tetapi dia dekat dengan mereka dan dia dirunding serta dia mempunyai pengaruhnya tersendiri ke atas gerakan Islam.

Saya mengenali Nada selama empat dekad. Saya diperkenalkan kepadanya oleh Dr Ahmad Totonji sejak Dr Totonji mengajak saya berkecimpung dengan WAMY  - suatu penglibatan antarabangsa yang sungguh bermakna, sebaik saja saya dibebaskan daripada tahanan penjara pada 1976. Mungkin ramai di kalangan yang belum menyedari bahawa saya pernah dipenjarakan sebelum Sungai Buluh lagi.

Nada membawa naskah asal “Ma’alim fi Tariq”. Nada menasihatkan supaya berwaspada apabila membaca buku itu kerana buku berkenaan ditulis daripada kamar penjara dan memendam kemarahan. Nada menyarankan ia dibaca dengan memahami sejarahnya dan biahnya, sesuai dengan inspirasinya.

Dari segi hubungan peribadi, Nada telah mengambil inisiatif-inisiatif sendiri untuk cuba membebaskan saya daripada merengkok di penjara Sungai Buluh prison. Nada datang secara peribadi dari Switzerland untuk menemui Dr Mahathir tetapi usahanya tidak berjaya.

Tentang ketegangan awal di antara ahli Sunni dan kemunculan Republik Islam  Iran pada akhir  70 ‘an, Youssef Nada merintis jalan bagi pihak Ikhwan untuk berdialog dengan Imam Khomeini. Nada menjemput 5 atau 6 pemimpin islam termasuk  Mustafa Masyhur, Mian Tufail Muhammad dan lain-lain, dan Anwar Ibrahim “ditarik” bersama. Inilah delegasi luar yang pertama mengunjungi Tehran selepas Revolusi pada masa itu. Kami bertemu dan tinggal bersama Ibrahim Yazdi, menteri luar Iran pada waktu itu. Kami juga berjumpa Mehdi Barzargan yang bakal menerima nasibnya, ketika itu perdana menteri. Kami mengambil masa lama berjam-jam bermuzakarah dengan Ayatollah Khomeini. Kami cuba meyakinkan pemimpin tertinggi Iran ini supaya terus berdialog dan berhubung dengan saudara-saudara Sunni. Kami berusaha untuk mengekalkan libatserta yang konstruktif di antara Sunni dan Syiah. Namun malangnya, ia tidak berjaya. Inisiatif ini datang daripada Nada walaupun ada juga pihak-pihak lain yang mengusahakan  persefahaman itu.
 
Apabila saya berjawatan profesor di Georgetown University, saya telah singgah di Switzerland untuk menziarahi  Nada. Waktu itu adalah pasca 9/11 dan Nada telah dicop George Bush sebagai penaja Al Qaeda. Saya telah ditahan dan disoal siasat berjam-jam lamanya di Dallas Airport oleh pegawai-pegawai  US. Saya menerangkan bahawa saya seorang profesor universiti dan saya perlu bebas untuk mengikuti perkembangan ehwal semasa dan bertemu dengan sesiapa. 

Kerana Islamophobia, pimpinan IIIT (Institut Pemikiran Islam Antarabangsa) dan lain-lain pertubuhan menjadi sasaran serangan propaganda dan gangguan.

Sebelum berlaku campurtangan dan serangan  US yang dinamakan Operation Desert Storm, peranan Nada bagi pihak  Ikhwan adalah untuk membujuk rayu Saddam Hussein supaya menarik balik tindakannya menakluk Kuwait dan berundur. Seperti yang diketahui umum, Saddam, sebagaimana Assad, samalah seperti Al Sisi adalah jahat dan amat kejam serta brutal terhadap Ikhwan al Muslimin. Tetapi  Nada dan Ikhwan berpandangan lebih jauh dan mereka tidak rida campurtangan US di  Iraq.

Menyedari dan mengamati perangai dan reputasi Saddam yang gemar “menghilangkan” sesiapa yang bertentang hujah dengannya, Nada masih meneruskan perjumpaan dengan Saddam. Nada mengambil masa berjam-jam merayu dan berusaha meyakinkan Saddam supaya mengkaji semula posisinya, melakukan pembetulan dan tidak meletakkan dirinya menjadi helah bagi pentadbiran US campurtangan dan menyerang. Tetapi Saddam berdegil.

Sebagai penghargaan kepada Ikhwan, ini adalah contoh-contoh peranan mereka sebagai juru pendamai di rantau itu, dan bukan radikal yang stereotype.

Sebagai sisipan, tentang Syria, perdana menteri Turki Tayyeb Erdogan menceritakan kepada saya bahawa dia mengambil masa lama bertemu dan merayu kepada Bashar Assad supaya menghentikan pembunuhan, bahawa dunia sedang berubah, supaya memberi ruang kepada demokrasi, bahawa pemimpin negara tidak wajar ganas terhadap rakyatnya sendiri dan Assad akan dilayani secara terhormat jika menerima transisi. Bashar Assad bersetuju dan memahami semuan ini dan latarbelakang sebagai seorang terpelajar nampak seolah-olah munasabah. Erdogan mengutuskan menteri luarnya Ahmet Davutoğlu yang juga mengambil berjam-jam bersama  Assad mempersetujui dengan teliti dan terperinci perjanjian sehingga kepada penetapan di mana tunjuk perasaan boleh diadakan dan syarat-syaratnya. Namun, dua minggu kemudian penembak-penembak curi mula membunuh semula.

Inilah masalah bagi dunia Islam – apabila para pemimpinnya tidak mempunyai legitimasi, berkelakuan kejam, tidak menghormati nyawa manusia. Dilema ini seolah-olah situasi catch 22 – telan tak lalu luah tak boleh. Orang membantah keras inisiatif dan niat US untuk menyerang Syria tetapi bagaimana orang boleh membiarkan saja pembunuhan  100,000 nyawa di Syria. Kenapa mereka berdiam diri?

Kita menentang campurtangan US tetapi kita juga benci kepada keangkuhan Bashar Assad memusnahkan dan meroboh bandar-bandar dengan wewenang.

Balik kepada membicara Youseff Nada dan Ikhwan, mereka mewakili wajah kewarasan pada suatu era yang getir. Pelbagai  ittijahad – mencari penyelesaian kontemporari berlaku di kalangan Ikhwan menangani dan berhadapan dengan arus tantangan fanatik dan ekstremisme.

Arus perdana dan yang mendominasi pergerakan masih membayangkan wawasan dan pandangan Hasan al Banna. Karya Hasan al Hudaybi du'a, la quda’  menegaskan tugas risalah da’wah penyebaran kebenaran dan bimbingan, dan menolak keganasan serta ekstremisme.  Hudaybi mengambil alih kepimpinan Ikhwan membelai dan memulihkan perasaan yang menyemarak akibat pembunuhan  Sayyid Qutb dan sahabat-sahabat Ikhwan yang lain, penyiksaan dan kekejaman yang diharungi oleh ahli-ahli Ikhwan members. Seruan Hudaybi menenangkan ledakan kemarahan Ikhwan.

Buku ini tidak seperti buku yang dikarang oleh Mitchell yang bersifat sejarah dan akademik pada perspektifnya dengan rujukan dan nota-nota kaki. Sebaliknya,  Thompson menyingkap kisah-kisah peribadi dan pandangan Youseff Nada tentang Islam, politik dan penyesuaiannya.  

Secara konsisten, buku itu terkandung mesej yang jelas dan nyata tentang anjuran toleransi, kesefahaman dan inklusif – sesuatu yang jarang dilihat pada sesetengah bentuk politikal Islam.


Soal Jawab:


Tentang isu tentera Mesir yang menentang perubahan:

Turki juga pernah mempunyai pengalaman yang serupa, tentera yang telah bernaung dan menghinggapi keseluruhan insitusi-institusinya. Turki juga dilanda ku deta – rampasan kuasa oleh tentera tetapi dengan peredaran masa mengizinkan perubahan dan demokrasi untuk bertapak dan berlaku. Tentera Indonesia ABRI telah terkenal dengan dwi fungsi – mempunyai peranan berfungsi mempertahankan negara dan juga mengurustadbir negara. Tetapi ABRI akhirnya merelakan transformasi Indonesia kepada demokrasi yang sihat.

Kenapa ini semua tidak terjadi pada dunia Arab? US dan Europe mengamalkan polisi bercanggah - double standards dan melanggari prinsip. Amerika Syarikat adalah pelindung sebenar  tentera dan rampasan kuasa.  Selepas Israel, penerima bantuan kewangan ketenteraan terbesar adalah Mesir. Mereka enggan mengakui bahawa apa yang telah berlaku itu adalah ku deta atau rampasan kuasa. Adalah amat memualkan gelagat Tony Blair, contohnya, apabila dia cuba memutar belit dan bertemberang semata-mata untuk mengelak mengakui ku deta itu dan meremehkannya. Jelas penolakan, keengganan,  Islamophobia and perasaan anti Ikhwan yang kuat.

Selama 60 tahun, tentera Mesir tidak pernah berkongsi kuasa dengan sesiapa pun samada Islamis atau bukan Islamis. Pengalaman rampasan kuasa biasanya adalah fatal, menyebabkan kehilangan nyawa, merosakkan ekonomi dan membantutkan kemajuan negara.


Kewujudan Ikhwan di Malaysia:

Pada pengalaman kita bersama gerakan belia Islam, kita berkawan dan mempelajari banyak daripada Ikhwan dan  Jamaat Islami, tetapi kita tidak pernah berada di bawah naungan mereka. Kita menyedari dan mengenali persekitaran tempatan dan rantau ini yang bersifat inklusif dan unik.


Apa sepatutnya dilakukan oleh pemimpin dunia di Syria:

Paling tidaknya kita harus lakukan  adalah menyuarakan rasa hati kita, supaya dapat dilihat, supaya bersama-sama dengan perjuangan kemanusiaan, supaya kita mendoakan mereka. Kita sampaikan kepada dunia samada Muslim atau non Muslim bahawa kita tidak rida dan tidak rela dengan pembunuhan dan kekejaman.

Oleh kerana para pemimpin Islam membisu, maka nampaknya nasib Syria ditentukan oleh Kongres Amerika Syarikat. Erdogan berkata bahwa dia tidak lagi akan merayu kepada pemimpin Islam tetapi dia akan merayu terus kepada massa, kepada orang ramai yang mempunyai perasaan dan kepedulian. Kita perlu memberi dan menyampaikan apa bentuk bantuan yang termampu tetapi kiat tidak harus menafikan atau kekal tidak peduli ke atas apa yang berlaku.

Kita memang membantah campurtangan US tetapi bagaimana pula dengan 100,000 orang yang telah terbunuh.

Saya masih ingat ucapan sulung penuh bersejarah  President Obama menyeru kepada umat islam seluruh dunia di Kahirah dulu.  Pidatonya hebat dan olahannya bijak sekali. Tetapi saya memberi komentar bahawa pada masa yang sama dia membawa mesej kedamaian, dia menambahkan bala tenteranya dan terus menyerang dan mengebom Afghanistan.

Di Turki, saya diberitahu bahawa setiap bandar besar menunjuk perasaan menyuarakan bantahan terhadap apa yang berlaku di Syria dan Mesir, serta menyokong rakyat negara-negara berkenaan. Kita wajar mencontohi.



(Terjemahan catatan kasar wacana buku Inside the Muslim Brotherhood oleh pengulas, Douglas Thompson dan Anwar Ibrahim di Quality Hotel Shah Alam)

No comments:

Post a Comment