Tuesday, September 17, 2013

ANWAR IBRAHIM: KEBANGKITAN ISLAM, CABARAN, PROSPEK DAN MASA DEPAN


Saya telah berpeluang bertemu dan berbincang dengan Sheikh Rashid al Ghanoushi di Istanbul baru-baru ini. Dukacita dia tidak dapat bersama kita bagi menyampaikan ucaptama persidangan ini. Mereka memilih untuk menamakan pergerakan atau parti mereka di Tunisia sebagai al Nahdah yang merupakan nama yang tepat bagi menerangkan dan membayangkan kebangkitan yang berakarkan kepada etika Islam dan islah.

Pada masakini wacana tentang kebangkitan Islam mirip menyamakannya dan disinonim  dengan politikal Islam, atau gerakan militan. Kita, walaubagaimanapun, menamakannya Nahdah Islamiyyah atau disebut Islamic Renaissance .

Tatkala saya menulis buku The Asian Renaissance - Kebangkitan Asia dan saya merujuk kepada istilah Islamic Renaissance, para pengkritik menunjuk kepada pengalaman Florentine Italian experience. (Florence dianggap tempat lahir Renaissance) – yang membawa maksud pengguguran nilai-nilai moral dan penerapan sekularisasi. Tetapi saya menjelaskan perbedaannya bahawa yang kita maksudkan adalah pemugaran semula iman, prinsip-prinsip etika dan nilai-nilai moral - yang merupakan intipati da'wah kita. Seperti terkandung dalam ayat (al Qur’an 41:33) : Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru (manusia) kepada (agama) Allah, dan mengerjakan amal yang soleh dan berkata sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.

Nahdah Islamiyyah memerlukan tajdid (pembaharuan) and islah (reform). Sebelum kita berbicara tentang perubahan, inilah hakikatnya dan intisarinya, kesedaran dimeratakan, usaha menyampaikan kefahaman. Jika tidak mempunyai intisari ini, kita tidak akan mampu membawa perubahan - dan kita tidak akan berjaya merubah atau mengnyahkan diktator-diktator. Perlu ada seruan dan anjuran kepada kebaiikan dan pencegahan kemungkaran.

Berpegang teguh dan mematuhi arkan al Islam (rukun Islam) and arkan al iman (rukun iman) semestinya dengan istiqamah dan tidak goyah. Inilah tradisi intelektual.

Sultan Salahuddin al Ayyubi yang hebat itu adalah suatu contoh teladan terbaik kepimpinan umat. Fokus tertumpu kebiasaannya kepada ketangkasan dan sifat negarawan Salahuddin. Namun, Dr AbdulHamid AbuSulayman menarik perhatian bahawa perubahan tidak akan berlaku jika tiada usaha-usaha persediaan dilakukan melalui pemerataan pendidikan, kesedaran awam dan disiplin tinggi. Pengalaman Salahuddin melakarkan riwayat bersejarah - kecenderungan dan trend unutk perubahan - untuk islah dan tajdid.

Inilah prasyaratnya sebelum pengislahan total. Islah atau  Reformasi tidak akan bermakna jika tidak ada da’wah yang berkesan, pemugaran keimanan, pemupukan nilai dan kesedaran umat menuntut kepada perubahan yang bermakna.

Pada sudut kontemporari, kita melihatnya pada sosok al Afghani, Abduh and Ridha, juga pada personaliti yang kurang terkenal seperti  Abd Rahman al Kawakibi. Dia seorang reformis Syria pada abad ke 20 dan IIIT sedang menerbit karya tentangnya.

Kita perlu pergi kepada asas-asas kefahaman da’wah dan menimba ilmu, bagaimana berubah, dalam pembina peribadi atau  syakhsiah. Kita perlu menganjurkan peri pentingnya urustadbir baik - good governance, bagi membawa negara-negara supaya menjauhi korupsi dan despotisme - kediktatoran. Perubahan bukan semata-mata semudah menurunkan pemimpin, ketua negara, PM atau diktator tetapi perubahan adalah dengan reform total – keadilan dan aturan menurut maqasid  syariah – keutamaan sistem keadilan.

Kita agak bernasib baik di rantau ini. Indonesia adalah negara yang unik dan luar biasa menurut Arnold. Pengislaman Gugusan Melayu  berlaku secara aman  ( seperti pengkisahan 9 orang wali Jawa). Didapati juga ada pengaruh Sufi. Telah diketahui juga berlaku siri-siri dialog dan rundingan di antara orang Muslim dengan penganut-penganut agama lain pada era itu. Pak Natsir dan pergerakan Masyumi mengikuti dan berpegang kepada tradisi inklusif ini. (Pak Natsir selepas menjadi perdana menteri Indonesia telah kemudiannya dipenjarakan oleh Soekarno, suatu tabiat yang aneh di rantau ini)

Nahdah Islamiyyah mengandungi intelektualisme yang gigih dan rancak, merangsang komitmen untuk kembali merujuk prinsip-prinsip asas  Qur’an and Sunnah. Kita mengalaminya dan merujuk kepada ini dalam usrah-usrah dan tamrin-tamrin - bukan dogmatik dan bukan macam Taliban.

Taliban dulu adalah pelajar-pelajar yang terdidik di madrasah-madrasah – pengalaman madrasah yang khusus dan tersendiri itu bererti pematuhan ketat dan berpandangan tegar. Mereka berada di dalam keadaan terlalu ekslusif dan selalu terbiasa melihat kepada musuh - dan kurang memperkemaskan urustadbir dan keadilan.

Itulah sebabnya tradisi akliah juga mustahak (seperti disarankan Naqib al Attas dan lain-lain) – kerana tanpanya, tidak akan menjadi unsur cerapan Nahdah Islamiyyah.

Walaubagaimana, nampaknya di sini wacana agak unik dan aneh - contohnya baru-baru ini polemik tentang anjing. Ini menggambarkan ketidakupayaan kita untuk memperhalusi wacana atau memang ia satu percubaan untuk  membataskan umat Islam di sini kepada memikirkan isu-isu tak relevan (mengalami mentaliti terkepung). Pada 1936, 2000 orang telah hadir suatu persidangan, perbahasan tentang anjing-anjing dianjur oleh Sultan waktu itu. Terdapat se keping foto yang menunjukkan Mufti dan Sultan bersama se ekor anjing milik Sultan berada di antara mereka berdua. Gambar itu menunjukkan bahawa pada waktu itu pun isu anjing ini bukanlah kompleks atau berkontroversi.

100,000 orang terbunuh di Syria tetapi tidak dilaporkan. Sebaliknya, isu anjing diputar oleh TV3 selama satu minggu! Jelas percubaan-percubaan begitu adalah untuk merendahkan keupayaan umat Islam untuk berbicara dan berbahas dalam wacana  intelektual yang  gigih dan bertenaga. Sepatutnya 5000 orang hadir ke wacana-wacana tentang moral, korupsi dan kekusutan sistem pendidikan.

Islah memerlukan ilmu tradisional Islam dikaji semula. Dr Taha Jabir pernah menulis kepada al marhum Sheikh Muhammad al Ghazali tentang keperluan bagi memperbaharui ilm al turath (legasi atau tradisi) – teks fiqh dan sufi. Untuk mengkaji dan menyelidik teks tentang urustadbir - governan. Untuk mempopularkan semula karya al Shatibi tentang maqasid syariah. Saranan dibaca karya-karya Ibn Ashur, Rasyuni, Jasser Auda.

Nahdah Islamiyyah memerlukan dipupuk dan dibina pendidikan Islam yang kuat. Sepertimana  kita sebut tentang Salahuddin dalam pertarungannya dengan Eropah di bawah naungan tentera Richard the Lionheart. Kekuatan Salahuddin al Ayyubi datang daripada tradisi ilmu yang subur berkembang di rantau itu. Salahudin tidak akan muncul sekiranya tidak ada tradisi keilmuwan,  da’wah and tarbiyyah di seluruh negeri  Iraq pada era itu. Kesedaran dan kebangkitan itu datang daripada pendidikan yang mantap.

Institut Antarabangsa Pemikiran Islam menyelidik bagaimana untuk menelaah dan mengkajisemula ilm al turath. Di dalam tradisi Barat, wujud konsep karya-karya agong yang menjadi syarat bagi para cendekia membacanya, di mana karya Shakespeare adalah wajib. Dengan pengalaman kontemporari kita, ada semacam kotak pengasingan samada menjadi sufi sahaja, fiqh sahaja atau harakiy sahaja. Korupsi atau fasad tidak dibincang, sebaliknya isu anjing diperdebatkan.

Tentang mempolitikkan kemarahan kita - bagaimana mungkin kita tidak terkesan atau tidak berperasaan apabila melihat wanita dan kanak-kanak dibantai dan dibunuh di masjid? Perdana Menteri Turki Erdogan menggelar al Asisi firaun dan memanggil  Assad sebagai diktator terlaknat. Apabila ditanya kenapa dia begitu keras, dia menjawab, “Anwar, saya telah menjadi perdana menteri selama 10 tahun dan saya memimpin sebuah negara yang gemilang, kaya dengan pertumbuhan ekonomi yang membanggakan. Tetapi apabila saya menyaksikan ibu-ibu dan anak-anak perempuan dibunuh, adakah saya boleh membisu? Saya ada integriti dan saya ada hati nurani."  Kita lihat prioriti Erdogan sekarang di Turki adalah pendidikan dan da'wah.  

Sementara kita tidak harus mengalih perhatian daripada terjahan utama program-program gerakan Islam seperti ABIM dan PKPIM, kita perlu memupuk kesedaran ini, mengangkat tahap kefahaman, membina keupayaan untuk mengartikulasikan isu-isu dengan lebih mendalam, sentiasa bersifat inklusif dan bersedia untuk berdialog dan berinteraksi dengan penganut-penganut agama lain atau kumpulan-kumpulan lain, Hindu, Buddhist, liberalis, sekularis. Kita harus teruskan tradisi libatserta - engagement dan bersifat inklusif ini.

Kita perlu fokus kepada usaha memupuk kefahaman, kesedaran awam melalui pendidikan, pengupayaan ekonomi dan keadilan sosial. Adakalanya, kita semacam terkeliru di antara agenda rasis Melayu dengan program keadilan Islam. Pada tahun-tahun 70'an PKPIM dan ABIM diserang oleh BTN khususnya kerana didakwa mesej universal Islam kita bukan secocok mesej  ‘Melayu’. Sebenarnya, mereka gagal memahami watak Melayu itu sendiri adalah watak Islam. Memadam Islam daripada watak Melayu akan merendahkan martabatnya kepada watak yang kontang budaya, bahasa dan keimanan. Mereka juga gagal memahami apa itu keadilan sosial.

Mungkin juga kegagalan kita untuk menawarkan wacana intelektual yang mendalam, untuk bersikap lebih toleransi dan lebih berpandangan terbuka. Dulu kita membaca karya al Banna, Qutb, Masyhur, Jamaat dan Masyumi. Tetapi kita juga menelaah Nasr dan Faruqi. Ini menunjukkan inklusifnya dan kekuatan intelektual. Kita mempromosikan kecendekiawanan Muslim.  Pembacaan kita melibatkan spektrum yang lebar termasuk Izutzu dan lain-lain para intelektual yang sememangnya mempengaruhi ramai di kalangan generasi waktu itu. Kita tidak boleh mengekang pengajian kita sebab kita hidup di dalam dunia yang majmuk budaya.

Para pengkritik saya menuduh saya terlalu liberal dan plural. Tetapi intipati, hakikat dan rujukan masih Qur’an dan Sunnah. Jika sesuatu itu jelas bercanggah dengan rujukan pedoman asasi ini, kita akur dan menerimanya.

Tentang Orientalisme, Edward Said adalah orang pertama yang merujuknya sebagai Islamophobia dan mengaitkannya dengan anti Semitism. Permusuhan terhadap Islam dalam sejarah menunjukkan ia seiring dengan anti Semitismpermusuhan yang disuburkan di dalam sungai yang sama, katanya pada 1985. Islamophobia adalah bahaya yang tersembunyi. Ia adalah  rasisme yang amat mudarat -   racism with steroids - rasisme diransang hormon. Islamophobia adalah percubaan untuk mengasingkan dan mengnyahkan  orang Islam daripada ruang awam, kehidupan khalayak, , daripada ekonomi, daripada politik.  Tasawur Islam, penyertaan dan konsep ditolak secara bulat-bulat.

Inilah musibah yang menimpa dan malapetaka semasa di dunia Islam. Afghanistan hampir hancur musnah sejak lama dulu - oleh Rusia, oleh Amerika dan oleh orang Islam berperang sesama mereka.  Sekarang kita lihat Iraq, Libya, Egypt, Syria dan secara  pautannya Lebanon sedang diambang kehancuran. Ada dikatakan Tunisia menunggu giliran. Turki pun terancam kerana Erdogan dilihat sebagai sorang yang berkebolehan, kompeten dan petah.

Kita harus mengingatkan diri kita supaya kembali kepada kepada asas - asas paksi perjuangan - latihan intensif, pendidikan dan pengisian serba mencakupi dan galakkan untuk berwacana dan berbahas - membicarakan isu-isu kontemporari. Berilah ruang seluas dan secukupnya untuk percambahan fikiran, pemekaran dan penghasilan idea, pemikiran dan maklumat. Sepertimana  puisi TS Elliot, Dimanakah kehidupan yang hilang di dalam hayat kita? Di manakah hikmah kita yang hilang di dalam ilmu? Di manakah ilmu kita yang hilang di dalam maklumat?

Kita tekankan sekali lagi, Nahdah Islamiyyah tidak bererti tanpa intisari pendidikan, tanpa tarbiyyah.

Banyak perkara yang menimbulkan kemarahan kita - penipuan pilihanraya, korupsi yang berleluasa, kenaikan harga barang. Seringgit dua kupang, badan sakit, ingat hutang.  Tetapi ini tidak harus mengalihkan kita daripada kerja da’wah dan membicarakan isu ummah.

Aktivisme politik penting.  Tajdid dan Islah bermula dengan usaha serious menyebarkan kefahaman, keadilan, kebebasan, kesaksamaan gender, prinsip-prinsip maqasid syariah, keadilan ekonomi dan ekuiti. Keadilan datang dengan islah dan demokrasi.




(terjemahan catatan kasar ucaptama Anwar Ibrahim, ISLAMIC RESURGENCE, CHALLENGES, PROSPECTS AND THE WAY FORWARD di World Conference on Islamic Resurgence bertempat di  Shah Alam)


No comments:

Post a Comment