Sunday, September 8, 2013

DR SIDDIQ FADIL: ANDAINYA KITA PENAT DI ATAS JALAN DA’WAH


Kita telah sampai ke penghujung sidang muktamar kali ini. Terima kasih kepada para petugas yang menjayakan persidangan ini. Terima kasih kepada yang sudi membahas ucapan dasar yang telah dibentangkan. Memang diberikan terlalu sedikit masa untuk menghadam dan membahaskannya. Kerana kalau dibaca kesemuanya, mungkin lelah semua orang.

Syukur ada yang menangkap dan menggarap mesej ucapan dasar. Mudah-mudahan ada kesudian untuk membuat apa yang mungkin bagi menganalisa, mengupas termasuk mengkritik kesemua ucapan-ucapan dasar ketiga-tiga presiden WADAH, ABIM dan PKPIM.

Kita sambut baik saranan-saranan saudara sekalian termasuk permintaan supaya kepimpinan lebih turun ke padang menziarahi ke negeri-negeri. Kita bersetuju kerana kita bukan armchair dai’ – dai’ yang menduduki kerusi empuk. Cuma kita mohon pengertian kerana beban harapan – expectation terlalu tinggi. Harus ada pengertian kerana usia telah senja dan beban-beban tugas menulis, bercakap dan menyediakan kertas. Kita sendiri menulis kata demi kata. Kita bukan  seperti pembesar-pembesar yang gerak cergas tetapi menggunakan speechwriter – penulis ucapan.

Ada dorongan dan galakkan supaya saya tampil ke arena antarabangsa. Biarlah hal seperti itu terjadi dengan sendiri, natural dan tidak dipaksa-paksa. Kalau ada sesuatu yang bererti seperti projek untuk menterjemahkan bahan-bahan penulisan kepada Bahasa Inggeris untuk tatapan antarabangsa, kita fikirkan. Itulah yang berlaku kepada tokoh-tokoh dunia Islam apabila karya-karya mereka diterjemahkan kepada pelbagai bahasa. Al Ghanoushi umpamanya tidak perlu tampil di seminar atau persidangan-persidangan tetapi terkenal apabila diterjemahkan karya-karyanya.

Tarbiyyah

Kita mesti memberikan tumpuan serious kepada tarbiyyah harakiyyah. Komponen kerohanian – dimensi ini perlu diberi penekanan tetapi tidaklah sampai menjadi tarikat sufiyyah. Kita saksikan ada rakan-rakan belum bebas terlepas daripada sifat ananiyah egoistic. Mereka tidak mahu tunduk kepada kehendak syura. Kita lihat ada pekerja aktivis Muslim kurang berdisiplin. Kita perhatikan ada kader-kader gerakan Islam tidak berdisiplin dalam pilihanraya.

Politik Perubahan

Tentang politik Islam – politik adalah sebahagian daripada dimensi Islam – kesyumulan Islam. Politik Islam bukan bererti skopnya sempit – bukan hanya kepada skop yang ditentukan oleh nas. Tetapi ia adalah sesuatu yang tidak dilarang oleh nas. Di situlah bidang ijtihad harus berlaku dengan luas kerana politik Islam bukan sesuatu yang ditentukan oleh nas ( tidak ditentang, tidak di larang) . Bidang ini memerlukan ijtihad perkembangan-perkembangan baru yang tiada hentinya.

Ijtihad jama’iy – collective harus dilakukan dengan menghormati peraturan-peraturan tatatertib ijtihad. Barulah apabila betul mendapat 2x pahala dan tersalah 1x pahala. Tetapi bukan sebarangan ijtihad berseorangan yang lebih cenderung salahnya.

Politik bukan semata-mata sokong atau bangkang sahaja. Masih ada kemungkinan-kemungkinan lain seperti politik konsensus, musalaha, muafakat. Politics is the art of the possible. Idea national reconciliation harus diterokai – jangan terus ditentang atau terus disokong. Kita lihat dulu. Kita patut lihat sejauh mana ia mengandungi maslahah. Siyasah syar’iyyah melihat kepada maslahah vs mafsadah. Andainya ia membawa maslahah untuk Malaysia, untuk umat Muslimin, ia harus difikirkan.

Orang Melayu harus diajak berfikir bukan berkelahi. Kerana sudah lama berkelahi berketurunan. Pertembungan sekularis/ nasionalis vs Islamis tidaklah setajam negara-negara luar. Islamis dan nasionalis masih boleh berbesan lagi – tiada masalah. Pertentangan Islamis vs nasionalis/ sekularis belum setajam di negara-negara Arab hatta di Indonesia. Tidak ekstrim.  Masih ada titik persamaan, ada titik pertemuan.

Politics of reconciliation harus diterokai kemungkinannya. Bukan sahaja perpaduan Melayu tetapi perpaduan Bangsa Malaysia seluruhnya. Politik pemerintahan Malaysia mesti inklusif dan mewakili kesemua kaum kerana kalau tidak akan terjejas legitimasinya. Jamaah ini harus berperanan dengan bijaksana memberikan idea-idea yang dapat menyuluh jalan ke arah politik muafakat – jika andainya ada maslahah.

Sunni - Syiah

Tentang isu Sunni – Syiah ; Rantau Melayu adalah rantau Sunni sejak berabad-abad lamanya. Rantau ini paling homogeneous dalam ertikata rantau Sunni – satu keseragaman sunniyun. Tidak seperti dunia Arab/ India/ Pakistan. Sehingga ada yang mengisytiharkan sebagai the Malay world is the last bastion of the Sunni world. Ini harus dipertahankan.

Dalam menyingkap persoalan Sunni – Syiah, pertama, kita tidak akan ganggu fahaman Syiah di rantau-rantau lain – kita tidak akan eksport fahaman Sunni ke negeri-negeri Syiah.

Kedua, kita ada minoriti kecil Syiah yang memang pada asalnya Syiah. Kita tidak pernah mengganggu mereka kerana mereka tidak pernah mengusahakan untuk mensyiahkan kita dan kita tidak pernah mensunnikan dia.

Kita harus pertahankan kedamaian ini dan atas dasar inilah kita boleh saling wujud bersama – coexist. Kita pohon kepada Syiah yang sedia ada supaya jangan cuba mensyiahkan orang Sunni dan kita pun tidak akan sunnikan dia. Kita ingin damai dan ini syarat perdamaian kita – jangan cuba langgar syarat ini.

Seruan kepada Kepimpinan

Kita gembira melihat penampilan barisan kepimpinan dengan penuh semangat untuk menggalas amanah wadah warisan perjuangan ini – dengan penuh optimis dan yakin. Inshaallah, kita tidak akan kekeringan barisan dan lapisan kepimpinan.

Seruan kepada pemimpin lama dan baru adalah supaya mengambil iktibar daripada semangat kerja kuat dan komitmen para sahabat r.a.a seperti Umar al Khattab r.a.  Apabila memegang suatu jawatan dia rasa begitu komited dan bersungguh-sungguh. Dia keluar turun melawat dan melihat keadaan umat pada waktu malam disamping tekun beribadah kepada Allah swt.

Katanya, “Bila aku boleh tidor? Andainya aku tidor siang aku akan abai hak-hak manusia. Andainya aku tidor malam aku akan abai hak Allah. “ Tidor malam hak Allah swt, tidor siang hak rakyat jelata. Itulah tradisi dan semangat kerja Islam para sahabat r.a.a.

Kerana  bila-bila saja pun boleh tidor. Apabila di program Nahdah Islamiyyah – Islamic Resurgence, kita harus bangkit tetapi apa pula di persidangan – conference kita tidor?

Kita diperingati oleh mafhum hadith Rasulullah s.a.w.:-
Tidak ada seorang Muslim yang memegang urusan orang-orang Islam lalu kemudiannya tidak bersungguh, tidak serious, tidak penat – malahan dia tidak akan ada bersama di syurga.

Penat bukan jawapan dalam pergerakan Islam. Terimalah pakej serious dan berani penat!



(Catatan kasar
 Ucapan Penangguhan Ijtima’ Harakiy Ketiga di Shah Alam)

No comments:

Post a Comment