Wednesday, October 9, 2013

IMBASAN 2002: MENYINGKAP LEMBARAN IKHWAN AL MUSLIMIN


Sesungguhnya masa ini merupakan saat getir bagi  ummah dan gerakan Islam. Pada gerakan Islam, Ikhwan al Muslimin dianggap pergerakan pelopor dan perintis jalan yang sentiasa dilihat berada di pusat gempa kesedaran dan kebangkitan Islam. Ikhwan diperhatikan sebagai konsisten, istiqamah, teguh menggalas amanah menyampaikan risalah Islam kepada dunia moden, pembawa risalah menyeru dan menawarkan rahmat kepada manusia - rahmatan lil 'alamin. Sebagai mana pejuang islah sebelum mereka, Ikhwan membentangkan dan menerangkan Islam sebagai jalan benar dan lurus untuk mencapai kejayaan dan kesejahteraan ummah dan sekalian manusia, senantiasa mengemudi di atas jalan wasatiyyah, jalan kesederhanaan, tanpa berkompromi dengan prinsip-prinsip Islam dan setia mengislahkan masyarakat.

Ikhwan sentiasa menganjurkan kefahaman sebenar Islam, memantapkan iman, menambahkan ketaqwaan, menegakkan kebenaran dan keadilan, menggalakkan amal kebajikan dan sadaqah, mengajak kepada mentazkiyah jiwa dan hati, melaksana da'wah, mendidik dan melatih dengan tarbiyyah, merencana misi Islam dan gerak kerja - amal jama'iyy, menjaga kesihatan dan kesejahteraan dan lebih lagi membina ikatan dan rangkaian persahabatan dan persaudaraan - ukhuwwah sesama Muslim dan menjaga hubungan sesama insan. Inilah menurut ajaran al Qur’an dan Sunnah  Rasulullah s.a.w.

Keperihan dan musibah berat telah menimpa Ikhwan, anggota lelaki dan wanita gerakan. Pada tahun 50' an dan 60'an, regim Mesir di bawah pemerintahan Gamal Nasser mengkhianati dan menfitnah gerakan Islam, menindas secara kejam Ikhwan, membunuh, memenjara dan menyiksa dengan brutal pimpinan dan ahli-ahlinya, lelaki dan wanita. Lelaki dan wanita Mesir, anak lelaki dan anak perempuan, anak bangsanya sendiri, mereka yang memiliki akhlak mulia dan idealisme tinggi - mereka yang jika berada di situasi dan ketika yang lain akan dianggap sebagai negarawan dan intelektual - model contoh mithali masyarakat.

Tetapi penzalim yang berhasad dengan sifat kefir'aunan tetap menindas dan membantai dengan brutal Ikhwan dan keganasan ini memuncak dengan hukuman bunuh tragis dan malang syuhada’ Abd Qadir Awdah and Sayyid Qutb dan lain-lain pejuang, semoga Allah s.w.t. merahmati mereka. Tuduhan-tuduhan ke atas mereka telah terbukti kemudiannya sebagai palsu tetapi Allah s.w.t. telah menentukan bahawa mereka dikembalikan kepadaNya menurut hikmah yang Maha Bijaksana.

Dengan memenjarakan belia yang berpotensi, menahan golongan intelektual dan profesional, dan menakut-nakutkan warganya yang bermaruah, Mesir, setahun kemudian, telah pergi berperangan dengan musuh sebenar yang nyata kejahatannya, Israel, yang berkesudahan dengan kekalahan teruk dan penghinaan bagi Mesir.

Penindasan Ikhwan memenuhi hasrat agenda Zionis, Komunis serta sekularis ekstrim pada waktu itu dan kuasa-kuasa Barat - bekas-bekas penjajah yang khuatir dengan gerakan revolusioner yang bakal mengancam status quo - kedudukan empuk mereka dan usaha membawa Mesir bebas daripada lingkaran pengaruh mereka.

Namun, walaupun Ikhwan diserang dengan kejam secara fizikal dan imejnya diputar belitkan serta sengaja dipamerkan secara jahat, Ikhwan tidak mengambil pendekatan radikal atau bertindak militan ataupun membalas secara keganasan. Imej negatif Ikhwan telah sentiasa dipupuk dan disebarkan secara sistematik oleh media dan ahli-ahli propaganda kepada seluruh dunia dan kepada rakyat jelata Mesir, kepada orang tua dan kanak-kanak. Ikhwan digembar gemburkan sebagai  irhab - teroris, sebagai orang ketinggalan zaman, sebagai momok, bahaya kepada masyarakat dan musuh negara. Namun, Ikhwan sentiasa mengekalkan jalan moderat dan berpegang teguh kepada mengutamakan awlawiyyat memelihara keamanan dan perpaduan ummah mengatasi segala pertimbangan yang lain.

Ikhwan sentiasa memilih kaedah of da’wah wa tarbiyyah – da'wah dan pendidikan. Inilah yang telah digariskan dan diajar oleh al syahid al Imam Hasan al Banna, pengasasnya yang sangat dihormati. Kaedah ini diteruskan dengan istiqamah dan kesabaran mereka yang datang selepasnya. Memang ada segelintir yang kurang sabar walaupun mungkin jujur, mereka telah berbeda pendapat dan membantah pendirian Ikhwan, mereka bertindak di luar batasan wasatiyyah - mereka telah membawa natijah yang lebih padah dan musibah besar kepada gerakan islam dan ummah secara keseluruhan. Inilah yang dialami kini oleh umat Islam  - fenomena Islamophobia - momokan agama Islam dan penganutnya - sebagai reaksi dan tindakbalas kepada peristiwa-peristiwa teroris dan kemarahan dunia. Tetapi Ikhwan kekal berwibawa sebagai aliran arus perdana gerakan Islam dan mengekalkan popularitinya serta masih dihormati rakan-rakan. Ikhwan juga sentiasa dicurigai dan ditakuti oleh musuh-musuhnya.

Bagi perihal prinsip, usul-usul asasi Islam dan menegakkan keadilan untuk ummah serta pembebasan bumi Palestin daripada penaklukan haram Israel, Ikhwan tetap tidak berkompromi.

Sebahagian pimpinan Ikhwan berhijrah mendapat suaka ke negara lain bagi meneruskan konsolidasi, perancangan dan organisasi pergerakan di peringkat antarabangsa. Pimpinan yang tinggal di Mesir bergerak secara rahsia dan berkembang terutama apabila generasi penjara mula dibebaskan serta pimpinan muda lebih berperanan. Pergerakan yang dilandasi prinsip-prinsip lain akan mudah berkecai dan lumpuh di bawah tekanan dahsyat dan kawalan rapi regim. Pergerakan yang mempunyai idealisme tinggi dan kepimpinan yang komited saja yang ampuh dan mampu bertahan. Ikhwan berpartisipasi dengan seadanya dan berjaya hadir secara berkesan dalam bidang politik, di masjid-masjid, di universiti dan pusat pengajian tinggi, di dalam badan-badan profesional - menguasai pertubuhan perubatan, kejuruteraan dan undang-undang; mendapat dokongan intelektual dan orang awam, berada di lapangan dan menjalankan kerja kebajikan.  

Wakil-wakil Ikhwan bertanding secara demokratik di pilihanraya, memenangi kerusi-kerusi legislatif secara konsisten. Mereka berjaya walaupun terpaksa merekayasa pelbagai wadah parti-parti politik sedia ada kerana berhadapan sistem politik yang sarat diskriminasi dan sistem pilihanraya Mesir yang berat sebelah - sistem yang pasti memihak kepada regim pemerintah.  

Sungguh sedih dan tragis bahawa Ikhwan Al Muslimin tidak pernah diiktiraf atau didaftar atau diizinkan bergerak secara terbuka di Mesir atau di mana-mana bumi Arab walaupun kehadiran mereka diketahui. Tetapi Ikhwan tetap wujud dan beriltizam, kehadirannya dirasai dan merekalah yang dirujuk serta merekalah yang datang membantu apabila diperlukan. Ini terbukti apabila berlaku bencana di Mesir - Ikhwan yang pertama tiba membantu mangsa-mangsa akibat gempa bumi dan operasi Ikhwan dilihat paling cekap, amanah dan dipercayai. Ikhwan yang diharapkan untuk mendamaikan konflik dan rusuhan di jalan raya. Sejarah juga telah menunjukkan bahawa Ikhwan berada di barisan depan berperang membela Palestin pada 1948 sebelum mereka dikhianati oleh  askar Arab Legion era itu (dan telah dirakamkan oleh Yasser Arafat sendiri yang menyaksikannya kerana dia berada di situ pada waktu itu dan mengetahui komitmen Ikhwan serta pengkhianatan Arab Legion)

Pihak berkuasa regim menjadikan resam untuk menangkap dan menahan calon-calon dan pimpinan Ikhwan apabila saja hampir pilihanraya supaya cuba memporak-perandakan jentera pilihanraya Ikhwan serta memastikan mereka tewas. Perbuatan sumbang pihak berkuasa memuncak dengan penggunaan taktik melampau, provokatif dan ganas bagi memastikan kekalahan calon pertama wanita Ikhwan di kerusi parlimen Iskandariah. Calon wanita berkenaan sangat popular, dijangka mengatasi lawannya, dan kemenangannya akan menempelak segala pandangan serong dan prasangka golongan sekularis liberal ekstrimis terhadap Ikhwan serta penyerlahan sebenar sikap Ikhwan terhadap wanita dan kepimpinan. Ikhwan telah meletakkan calon wanita padahal parti-parti sekular yang hiruk pikuk itu semuanya enggan berbuat demikian. Banyak pihak termasuk parti-parti Islam lain di dunia mendapat pengajaran daripada pengalaman ini.

Adalah sungguh mendukacitakan kerana kebanyakan umat tidak tahu bahawa walaupun ramai pimpinan Ikhwan telah pergi, lantas umat masih tidak menyedari, tidak menghargai, tidak mengiktiraf sumbangan besar Ikhwan terhadap kebangkitan umat dan misi membangunkan agama serta kefahaman Islam di dunia kontemporari. Sejarah moden dunia Islam dan kajian sosial abad yang lalu perlu dikajisemula dan diteliti kembali supaya berlaku adil kepada insan lelaki dan wanita yang benar-benar telah menyumbang kepada kemajuan sosial, moral, etika dan pembangunan insan. Dengan kejatuhan khilafah 1927, gerakan Islam inilah yang dipelopori Ikhwan al Muslimin serta di bawah kepimpinan pengasas-pengasasnya yang memugarkan semula, memperbaharui, mengislah, menghidupkan dan melestarikan gagasan komuniti besar Islam -  Ummah, ukhuwwah Islamiyah – persaudaraan, kesatuan di kalangan negara Islam dan tasawwur Islam – pandangan sawar Islam, semuanya dengan rahmat limpah kurnia Allah swt. Sungguh dikesali bahawa pembebasan dunia Arab dan Muslim serta kebangunan semula semangat, pemikiran dan keyakinan negarabangsa tidak langsung mencatat atau menghargai sumbangan pergerakan Islam yang diwakili oleh Ikhwan al Muslimin. Banyak daripada malapetaka dan kegagalan negara-negara Arab dan negara Islam seumpamanya yang tidak berdaya maju adalah berpunca daripada dasar zalim dan penindasan teruk ke atas Islamis dan pembenterasan Islamisasi sepertimana pengalaman regim-regim yang cuba membasmikan pergerakan Ikhwan.




(terjemahan artikel yang ditulis pada  2002)

No comments:

Post a Comment