Thursday, November 28, 2013

ADAB PERBEDAAN DAN HARAPAN UMAT


Dunia Islam masakini dilanda krisis yang menimpa di serba segi dan pelbagai arah. Menurut Sheikh Taha Jabir Alwani, penyakit yang paling parah bagi umat ini adalah perbedaan dan  perpecahan. Banyak sungguh pihak yang bercanggah dan saling berantakan sehinggakan memberi gambaran seolah-olah ajaran Islam, perintah dan larangannya untuk umat hanyalah bagi menggalakkan perpecahan dan supaya hanyut di bawa arus persengketaan sepanjang masa.

Sheikh Alwani menyeru supaya kita mengembalikan semula dimensi iman ke dalam dada umat Islam. Iman yang mengawal perhubungan sesama Muslim yang semakin terhakis. Pemugaran semula iman dan kefahaman mantap serta penguasaan mendalam ilmu pengetahuan Islam sahaja yang menjamin pemupukan semula silaturrahim, meleraikan perbedaan dan menjauhkan rasa benci di hati-hati kita.

Dengan bekalan ini kita akan berada di kedudukan lebih  utama iaitu posisi berjihad di jalan suci bukan berbalah sesama sendiri.  Untuk itu, norma tatatertib, tingkahlaku Islam,  tasamuh, adab dan adab al ikhtilaf menjadi konsep dan pegangan penyelesaian. Namun, jiwa kerdil dan kedangkalan tidak akan menghargai atau menghayati pedoman ini, membawa ke lembah kewujudan yang sempit lagi berprasangka serta hidup yang penuh kegagalan.

Inilah amaran Allah swt: Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati) sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. (8: 46).

Sering dikatakan bahawa perbedaan pandangan adalah kerangka sihat yang boleh memperkayakan minda Muslim dan merangsang perkembangan intelektual. Kepelbagaian perspektif dapat dilihat, isu dan permasalahan diperbahaskan dengan lebih mendalam, lebih tepat dan menyeluruh. Namun sedih sekali dengan tersurutnya ummah, ini tidak lagi berlaku.

Kita perlu sanggah cemuhan bahawa kita menghadapi sindrom - The inability to engage in intellectual discourse and resolving differences of opinion through vibrant dialogue and healthy debate  without resorting to criminalising one another and excommunicating others.


Adalah sangat perlu disambut seruan supaya ditekuni adab perbedaan pendapat terutama bagi mereka yang memperjuangkan politikal Islam di dalam ruang lingkup demokrasi serta berdepan dengan masyarakat yang terbuka perlu menangani kritik berikut – kritik bahawa Islamis mempunyai ketidakupayaan untuk melibatserta berhujah dalam wacana intelektual dan tidak berkebolehan merumuskan perbedaan pendapat melalui dialog yang segar serta perdebatan yang sihat tanpa menganggap saingannya sebagai penjenayah atau mengeluarkannya daripada agama. Justeru, pengguna bahasa kesat, cercaan, lagak perusuh dan tindakan melampau menjadi amalan. Alangkah ini jauh daripada peradaban Islam dan risalah rahmah yang ingin dibawa.

Ledakan maklumat pula dalam bentuk yang serba berpautan, pantas dan percantuman media melahirkan ahli-ahli agamawan papan kunci yang berselerakan.

Padahal, persepsi dan pandangan harus holistik dan berimbang, menembusi setiap dimensi bukan aspek-aspek remeh untuk dijadikan bahan menghukum, mengutuk dan menolak pihak lain. Ikhtilaf dan hawaa - ego cenderung untuk menguasai jiwa, pemikiran, sikap dan perasaan sehinggakan melupakan prinsip-prinsip asas Islam dan tasawur. Apabila hilang keseimbangan, pertimbangan mahupun keutamaan, hukuman dilontarkan dengan mudah ke arah amalan takfiriyun - kefanatikan untuk mengeluarkan orang daripada agama.

Allah swt memperingatkan: Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah - menurut undang-undang peraturanNya - mendapat cahaya (hidayah pertunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar). (24: 40).

Oleh itu, kita perlu menjauhi amalan mudah memberi penglabelan semata-mata kerana perbedaan pendapat atau aliran. Terutama sekali pertubuhan Islam dan pergerakan da'wah perlu ada tasamuh, tawadu' dan rasa hormat kepada ulama, tokoh-tokoh kepimpinan gerakan dan mereka yang terbukti telah memperjuangkan diri mereka kepada jalan islah dan kebangkitan ummah.

Pertubuhan Islam tidak harus terikat atau terjerat dengan ragam agenda politik partisan yang singkat, mengambil jalan pintas untuk meraih sokongan, menginginkan dokongan atau mengidamkan dana tajaan. Contohnya, tuduhan dan kecaman seperti liberal, plural, menyeleweng adalah merbahaya kerana perbuatan ini ada tendensi menghampiri kegemaran takfiriyun. Apabila seorang tokoh kepimpinan pergerakan Islam menyatakan pegangan rujukannya Al Qur'an dan Al Sunnah, memelihara arkan al Islam dan arkan al Iman serta menegaskan perjuangannya adalah mengislah sedaya upayanya, cukuplah itu dan jauhilah perbuatan melabelkannya selainnya.

Sheikh Taha Jabir mengingatkan  supaya kita hindari pihak yang memiliki kejahilan yang agresif, kefanatikan golongan yang degil, komplot-komplot musuh yang berkonspirasi serta orang suruhan pihak berkepentingan. Memang sukar dan hampir mustahil untuk melawan dan menyanggah kesemuanya tetapi yang penting adalah memastikan umat Islam terutama pemuda-pemudinya diberikan harapan, dibekalkan keampuhan ilmu, kefahaman dan persepsi jelas akhlak, etika dan adab menangani perbedaan dan melestarikan jihad serta idealisme perjuangan.

Rasulullah s.a.w. pernah memberitakan khabar gembira kepada para sahabat bahawa ada seorang di kalangan mereka yang dipilih terbaik dan dijanjikan syurga. Rasulullah s.a.w. menceritakan bahawa kejayaan sahabat itu adalah kerana pada setiap malam sahabat berkenaan tidak akan tidur sehingga tiada lagi perasaan dendam atau marah terhadap seorang Muslim yang lain.


Punca musibah perpecahan umat yang melanda kita hari ini datang daripada diri kita sendiri dan berada di dalam hati-hati ini. 


No comments:

Post a Comment