Saturday, November 9, 2013

Tafsir Maudu’iy siri 65: Dr Siddiq Fadil




JANJI ALLAH KEPADA KAUM MUKMININ: KEMENANGAN BERSYARAT
(Memahami pesan Ilahi dalam ayat 38-41 surah al-Hajj)



38. Sesungguhnya Allah Membela orang yang beriman. Sungguh, Allah tidak Menyukai setiap orang yang berkhianat dan kufur nikmat.
39. Diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka dizalimi. Dan sungguh, Allah Maha Kuasa menolong mereka itu,
40. (iaitu) orang-orang yang diusir dari kampung halamannya tanpa alasan yang benar, hanya kerana mereka berkata, “Tuhan kami ialah Allah.” Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentu telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadah orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Allah pasti akan menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sungguh, Allah Maha Kuat, Maha Perkasa.
41. (iaitu) orang-orang yang jika Kami Beri kedudukan di bumi, mereka melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.


Latar Penurunan Ayat

Ketika masih di Makkah (sebelum Hijrah), umat Islam menjadi golongan minoriti yang lemah, ditindas dan dianiaya oleh kaum Quraisy. Kebuasan kaum musyrikin itu semakin hari semakin menjadi-jadi, mereka menghalang siapa sahaja daripada menganut Islam, mengganggu umat Islam beribadah, malah telah begitu berleluasa melukai dan mencederakan mereka sehingga ada yang mati terdera. Rasulullah s.`a.w. sendiri tidak terkecualiti dari disakiti dengan pelbagai bentuk penganiayaan. Kenangan pahit zaman Makkah itu diabadikan dalam surah al-Anfal:26, “Dan ingatlah ketika kamu masih (berjumlah) sedikit, lagi tertindas di bumi (Makkah), dan kamu takut orang-orang (Makkah) akan menculik kamu…”. Betapapun keinginan mereka untuk bertindak balas, namun belum ada keizinan Tuhan. Mereka tetap disuruh bersabar, menahan diri daripada melawan kerana belum tiba masanya. Demikianlah pesanTuhan ketika itu, tunggu! Jangan lawan dahulu, “….Tahanlah tanganmu (dari berperang), laksanakanlah solat dan tunaikanlah zakat!...” (Al-Nisa’:77). Bertindak sebelum masanya hanya akan lebih menyusahkan diri.


Janji Pembelaan Ilahi

Untuk sementara begitulah kehendak Tuhan. Tetapi akan tiba saatnya mereka diizinkan melawan, dan Tuhan berjanji akan membela kaum mukminin. Memang tidak mungkin Tuhan membiarkan keimanan dan kebenaran bertarung melawan kekufuran dan kebatilan, tanpa pembelaan-Nya. Tuhan Maha Mengetahui kekuatan dan kelemahan jiwa manusia. Seteguh manapun iman mereka, sekuat manapun keyakinan mereka, masih ada kemungkinan mereka gentar berhadapan dengan kebatilan yang tampak gagah, dan masih ada kemungkinan mereka lemah berhadapan dengan kepalsuan yang tampak mempesona. Kerana itu sebelum mereka diizinkan mengangkat senjata, Tuhan mengumumkan komitmen pembelaan-Nya. Memang Tuhan tidak menghendaki kaum mukminin tertindas dan terdera, kecuali selama tempoh sementara bersiap untuk melawan, sementara bersedia untuk berjuang dan berjihad. Pengumuman pembelaan Ilahi itulah yang termuat dalam ayat 38, “Sesungguhnya Allah Membela orang-orang yang beriman…”, janji pembelaan yang disertai pernyataan kebencian Tuhan terhadap mereka yang bersifat khianat dan kufur. Pernyataan Tuhan tentang kebencian-Nya terhadap mereka yang bersifat demikian membawa implikasi kesudahan yang pasti, iaitu kehancuran.


Izin Berperang

Ayat 39 mendeklarasikan izin melawan, “Di izinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka dizalimi...”. Umat mukminin berhak mengistiharkan perang atas asas “kerana mereka telah dizalimi”. Demikianlah justifikasi moral yang mengesahkan tindakan berperang. Kaum mukminin bukan pihak yang menceroboh, tetapi sebaliknya, merekalah pihak yang diceroboh dan dizalimi. Memang itulah hakikatnya, kaum Musyrikin Makkah telah mendera orang-orang beriman, termasuk Nabi s.`a.w. sendiri sehingga memaksa Junjungan s.`a.w. berhijrah meninggalkan kampung halaman yang sangat dicintai. Diriwayatkan bahawa ketika Rasulullah s.`a.w. melangkah meninggalkan Makkah, Junjungan s.`a.w. menoleh sambil berkata, “Demi Allah, sesungguhnya engkaulah bumi Allah yang paling aku cintai, dan sesungguhnya engkaulah bumi Allah yang paling Allah cintai. Kalaulah tidak kerana pendudukmu mengusirku, aku tidak keluar meninggalkanmu!”. Sementara itu sahabat pendampingnya, Abu Bakr al-Siddiq r.`a. pula diriwayatkan berkata, “Mereka telah mengusir nabi mereka, inna li ‘Llahi wa inna ilayhi raji`un, pasti mereka akan binasa!”. Memang kebinasaan tidak mungkin dapat dihindari apabila umat mukminin diizinkan melawan, di samping mereka juga diberikan jaminan perlindungan dan pertolongan Allah, “Dan sungguh, Allah Maha Kuasa untuk menolong mereka itu.”. Kekuatan mana yang mampu berhadapan dengan umat yang mendapat jaminan pertolongan Allah Yang Maha Perkasa?

Demikianlah perang yang justified dan cukup beralasan. Umat mukminin berperang demi misi agung kemanusiaan, demi umat beragama seluruhnya, demi kebebasan ber`aqidah dan kebebasan beribadah. Selain itu mereka juga bangkit demi hak kaum teraniaya untuk bertindak balas membela diri. Justeru, mereka telah dizalimi dengan pengusiran dari kampung halaman sendiri, tanpa alasan selain kerana mereka berkata, “Tuhan kami ialah Allah!” (ayat 40), kata paling benar, paling mulia, paling suci dan paling wajar diucapkan. Mengusir orang semata-mata kerana pendirian yang diekspresikan lewat kata-kata tersebut jelas suatu kezaliman yang mutlak, tanpa ragu. Mereka diusir semata-mata kerana `aqidah, bukan kerana sebab-sebab lain yang melibatkan kepentingan peribadi atau perebutan harta duniawi.

Peperangan bagi umat mukminin adalah murni demi prinsip asasi bahawa `aqidah wajib dilindungi dan dipertahankan. Kebebasan `aqidah dan kebebasan ibadah adalah prinsip yang kudus dan kerananya harus sentiasa dihormati dan didaulatkan. Segala bentuk pencabulan terhadap prinsip tersebut harus dilawan, termasuk dengan perlawanan bersenjata di medan perang. “Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentu telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut Nama Allah…”. Demikianlah cara Allah mencegah pencabulan terhadap kesucian prinsip kebebasan ber`aqidah dan beribadah (yang disimbolkan dengan tempat-tempat beribadat), dengan membangkitkan kaum mukminin memerangi golongan yang sewenang-wenang mencabul prinsip tersebut. Hanya perang yang dapat menyelamatkan tempat-tempat ibadat (sawami`, biya`, salawat dan masajid) dari kehancuran. Nama Allah yang banyak disebut di dalamnya tidak lagi dapat menginsafkan golongan manusia pengganas, dan tidak lagi dapat mencegah mereka dari kebiadaban menghancurkan rumah-rumah ibadat.

Umat mukminin harus berperang demi agama, tetapi keizinan berperang diawali dengan jaminan pembelaan dan pertolongan Tuhan terhadap mereka. Ini bererti bahawa mereka yang dibela dan ditolong Tuhan pasti akan menang kerana Tuhan Maha Berkuasa memenangkan mereka. Jika memang demikian, lalu untuk apa diizinkan perang? Dan untuk apa diwajibkan berjihad? Bukankah Tuhan Maha Perkasa melindungi agama-Nya tanpa memerintahkan umat mukminin berperang, menyabung nyawa dan mengalami derita cedera-luka, malah ramai yang gugur di medan tempur?. Memang Allah Maha Berkuasa melaksanakan kehendak-Nya (membinasakan musuh-musuh agama-Nya) tanpa susah-payah, tanpa menumpahkan walau setitik darah kaum mukminin. Tetapi tentu ada hikmah, sebab tersirat di balik perintah berperang, bahawa Tuhan tidak menginginkan agama ini didukung oleh orang-orang malas, mereka yang hanya ingin bersantai, yang merasa cukup dengan mendirikan solat dan membaca al-Kitab serta menadah tangan ke langit ketika menghadapi bahaya pencerobohan.

Memang orang mukmin harus menunaikan solat, harus membaca al-Kitab dan bermunajat kepada Allah setiap saat, ketika senang dan ketika susah. Tetapi ibadat-ibadat tersebut semata-mata belum cukup melayakkan mereka menjadi pendukung agama Allah. Ibadat-ibadat tersebut hanyalah sebahagian daripada bekalan yang perlu disiapkan sebagai kekuatan tambahan untuk mengharungi medan perjuangan. Senjata fizikal harus sepadan dengan senjata musuh, sementara taqwa adalah senjata spiritual yang hanya ada pada kaum mukminin. Demikianlah kehendak Allah, bahawa pembelaan dan pertolongan-Nya tersalur menerusi daya lawan kaum mukminin. Hanya dengan kemampuan bertarung di medan perang segala potensi kekuatan terpendam yang mereka miliki akan tumbuh perkasa dengan sempurna. Tuhan menghendaki agar para pendukung agama-Nya memaksimumkan seluruh kekuatan yang dikurniakan-Nya kepada mereka. Sesungguhnya misi penyiaran dan pendaulatan agama Allah adalah amanah berat yang hanya dapat dipikul oleh umat yang kuat, umat berdaya juang yang terbina dalam keperitan rebah bangun di kancah pertarungan.
Memang bukan kehendak Tuhan menghadiahkan kemenangan mudah. Justeru, kemenangan mudah dan segera yang dihadiahkan tanpa susah payah kepada orang-orang yang berbudaya santai tidak akan meledakkan kekuatan terpendam di pedalaman diri mereka. Selain itu kemenangan segera dan mudah akan segera dan mudah pula hilangnya kerana ia akan dirasakan sebagai suatu yang murah, dapat diraih tanpa membayarnya dengan pengorbanan yang mahal. Kemenangan segera dan mudah juga tidak akan kekal lama kerana ia tidak akan mampu dipertahankan oleh mereka yang tidak terlatih dan teruji dalam hempas-pulas perjuangan. Demikianlah hikmah di sebalik sukar dan lambatnya kemenangan bagi umat silam, generasi yang dizalimi dan diusir dari kampung halaman tanpa alasan selain kerana mereka berpendirian “Tuhan kami ialah Allah!”.


Kemenangan Yang Tertangguh

Dalam tafsir al-Zilal-nya, Sayyid Qutb menyenaraikan kemungkinan-kemungkinan yang menyebabkan tertangguhnya kemenangan bagi kaum mukminin:

 Kemenangan tertangguh kerana persediaan umat mukminin belum cukup matang, belum cukup siap dan belum maksimum sehingga andainya diberi kemenangan ketika itu, kemenangan itu tidak akan bertahan lama kerana mereka tidak akan mampu mempertahankannya

 Kemenangan tertangguh kerana umat mukminin belum mencurahkan seluruh tenaga keupayaannya dan belum mengorbankan segala yang dimilikinya sehingga tidak tersisa lagi sesuatu yang berharga, sehingga semua yang ada, yang mahal dan yang murah sudah diserahkan untuk membiayai perjuangan di jalan Allah.

 Kemenangan tertangguh sehingga umat mukminin menggunakan kekuatan terakhirnya, lalu dengan begitu mereka menginsafi bahawa tanpa pertolongan Allah, kekuatan mereka semata-mata tidak akan membawa kemenangan. Sesungguhnya kemenangan akan dikurniakan setelah mereka menggunakan kekuatan terakhir dan kemudiannya menyerahkan segalanya kepada Allah.

 Kemenangan tertangguh agar umat mukminin mempereratkan lagi hubungan dengan Allah, sehingga pada saat menempuh derita perang mereka benar-benar merasakan bahawa sesungguhnya tidak ada lagi tempat untuk mengadu dan meminta selain hanya Allah Yang Maha Esa. Hubungan erat dengan Allah inilah yang akan menjamin istiqamah mereka nanti apabila Allah Berkenan mengurniakan kemenangan, bahawa mereka tidak akan menyeleweng dari kebenaran, keadilan dan kebaikan yang kerananya Allah memenangkan mereka.

 Kemenangan tertangguh kerana umat mukminin belum benar-benar tulus dalam perjuangan dengan niat murni semata-mata kerana Allah dan dakwah agama-Nya. Mungkin masih ada dalam kalangan mereka yang berjuang kerana motif-motif lain yang tidak murni: mungkin untuk meraih kepentingan tertentu, mungkin kerana dorongan emosi marah semata-mata, atau mungkin untuk mencari glamour sebagai jaguh pertarungan atau lain-lain sepertinya, sedang Allah Menghendaki agar setiap orang berjuang semata-mata kerana-Nya dan di jalan-Nya. Pada suatu ketika Rasulullah s.`a.w. pernah ditanya tentang seorang yang berperang kerana dorongan gejojak emosi, seorang lagi berperang untuk mempamerkan keberanian, dan seorang yang lain berperang untuk menonjol-nonjolkan diri, siapakah di antara mereka yang berjuang di jalan Allah? Rasulullah s.`a.w. menjawab, “Siapa yang berjuang agar Kalimat Allah terjulang tinggi, dialah yang berjuang di jalan Allah.”

 Kemenangan tertangguh kerana masih ada sisa kebaikan pada pihak musuh yang diperangi. Tuhan menghendaki agar sisa kebaikan itu lenyap sama sekali, dan hanya tinggal kejahatan sepenuhnya, barulah akan ditimpakan kehancuran total tanpa ada sisa kebaikan yang turut terkorban.

 Kemenangan tertangguh kerana kebatilan yang diperangi itu belum terdedah sepenuhnya di mata khalayak massa. Andainya kemenangan diraih dalam keadaan seperti itu, masih akan ada pendukung-pendukungnya yang tertipu dengan kebatilan yang belum tampak jelas batilnya itu. Dengan kata lain, kebatilan tersebut masih mengakar pada segolongan orang innocent yang masih belum dapat melihat hakikat. Allah menghendaki agar kebatilan itu terus wujud beberapa lama sehingga ia terdedah sepenuhnya di hadapan semua orang. Dengan demikian kehancurannya nanti tidak akan disesali oleh sesiapa pun.

 Kemenangan tertangguh kerana iklim persekitaran yang belum cukup bersedia untuk menyambut kebenaran, keadilan dan kebaikan yang dibawa oleh kaum mukminin. Andainya kemenangan dicapai ketika keadaan masih seperti itu, sudahnya ia akan ditolak oleh masyarakat yang belum bersedia itu. Biarlah pertarungan terus berlangsung sehingga jiwa dan minda masyarakat seluruhnya bersedia menerima kemenangan kebenaran, dan siap untuk mempertahankannya.

Demikianlah antara sebab, di samping sebab-sebab lain yang Allah sendiri yang Mengetahuinya, mengapa kemenangan masih tertunda, dan kerana itu perjuangan dengan segala pengorbanan dan deritanya terus berlanjutan dengan keyakinan akhirnya Allah akan memberikan kemenangan.


Syarat Kemenangan

Memang janji Allah untuk memenangkan mereka yang menolong (menegakkan) agama-Nya adalah suatu kepastian, tetapi kemenangan tidak diberikan tanpa syarat. Sesungguhnya kemenangan selamanya terikat dengan sejumlah tanggungjawab. Justeru, kemenangan tidak diberikan kerana kemenangan itu sendiri, tetapi ia diberikan untuk menjadi wahana islah ke arah aktualisasi cara hidup dan tamadun berasaskan nilai-nilai Ilahiah. Yang dijanjikan kemenangan ialah mereka “…yang jika Kami berikan kedudukan di bumi, mereka melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” - (ayat 41)

Demikianlah empat syarat kemenangan: pertama, melaksanakan solat dalam pengertian mengabdi sepenuh dan setulusnya kepada Allah, mempererat hubungan dengan Allah dan sentiasa menghadap-Nya dengan patuh, merendah dan menyerah. Dengan kata lain, Allah harus sentiasa didahulukan; kedua, menunaikan zakat dalam pengertian melaksanakan tanggungjawab kehartaan (haqq al-mal), mengikis sifat bakhil, mengenyah sifat tamak, membebaskan diri dari nafsu kebendaan, dan prihatin terhadap kaum yang lemah (miskin); ketiga, menyuruh berbuat yang makruf dalam pengertian memperjuangkan kebaikan, nilai-nilai murni dan mendorong masyarakat mengamalkan cara hidup sihat dan bermoral berasaskan nilai-nilai makruf, mulia dan terpuji; dan keempat, mencegah dari yang mungkar dalam pengertian komitmen melawan segala bentuk kejahatan dan penyelewengan, memperjuangkan perubahan dan pembebasan umat dari budaya bobrok dan bejat. Kepada Allah-lah kembali segala urusan, sesungguhnya Allah adalah penentu kesudahan segalanya, memenangkan yang kalah atau mengalahkan yang menang, tergantung pada syarat-syarat yang telah di tetapkan-Nya, ditepati atau tidak. Demikianlah hakikatnya, bahawa kemenangan selamanya bersyarat, di samping ia juga adalah adalah suatu amanah besar yang membawa tanggungjawab mengisinya dan mempertahankannya.



KDH:26102013.

No comments:

Post a Comment