Jika kita melihat semula kepada
kekuatan kita pada masa lalu, apakah kita boleh mempertahankan kekuatan itu.
Kekuatan yang menjadikan ABIM berupaya membidani, menangani fenomena kebangkitan
Islam. ABIM telah mencipta sejarah.
Tiada sarjana yang membincangkan
fenomena kebangkitan Islam tanpa menyebut nama ABIM dan Anwar Ibrahim. Sarjana
yang mahu membicara tentang Islam dan Malaysia akan menyebut perihal ini pada
tahun 70’an. Babak ini merupakan babak terpenting sejarah Islam di Malaysia
pada hujung abad ke 20. Pada awal abad
ke 20 berlaku fenomena kebangkitan Kaum Muda. Tetapi kebangkitan Islam pada
tahun 70’an lebih fenomenal dan lebih signifikan berbanding pergerakan Kaum
Muda.
Kitalah yang menciptanya. Itulah
kekuatan anugerah Allah swt. Kekuatan yang kita sendiri tidak mengetahui. Kalau
dibincang, dianalisa, kita juga tidak tahu akan kekuatan kita miliki. Tidak
boleh tidak disebutkan ABIM jika menilai secara aktual dan faktual. Jadi kita
mempunyai kekuatan dan mudah-mudahan kita berdoa supaya kita terus memilikinya.
Dari mana datangnya kekuatan
kita?
Kekuatan Kepimpinan
Barangkali ditakdir kita
dianugerahkan pemimpin yang karismatik. Pemimpin yang tidak dilahirkan pada
setiap masa. Anwar Ibrahim adalah paling berjasa dan bertanggungjawab membawa
gagasan dan konsep harakah Islamiyyah
– pergerakan Islam kepada masyarakat. Pemimpin seperti ini jarang ada pada
setiap ketika.
Kita beruntung kerana memiliki
kualiti kepimpinan yang tidak dimiliki oleh wadah-wadah lain. Ada badan yang
mempunyai ramai ahli-ahli. Ahli-ahli mereka mungkin highly educated and professionally qualified tetapi mereka tidak
mempunyai pemimpin yang karismatik. Kita beruntung kerana kekuatan kepimpinan –
leadership of the movement.
Kekuatan Tradisi Ilmu
Kebangkitan Islam bukan ledakan
semangat atau sentimen semata-mata, tetapi Profesor Qaradawi menyebutnya
sebagai al sahwah al ilmiah –
kebangkitan keilmuan. Ianya adalah kekuatan intelektual, kekuatan ilmu dan tradisi
ilmu.
Tiba-tiba melonjak aktiviti
menelaah, mendalami ilmu melalui percambahan usrah, tamrin, seminar, forum,
program-program dan pembacaan buku-buku. Membeli buku, menjual buku, menjadi
agen buku, pengedar buku, sembang buku. Sembang buku bukan macam sekarang
sembang picisan, sembang poligami. Dulu
kita bersembang buku-buku, kitab-kitab baru, karya-karya Hasan al Banna,
Mawdudi, Sayyid Qutb, Said Hawwa, Fathi Yakan, Al Buti dan banyak lagi. Begitu
kita ghairah dengan tradisi ilmu sehingga kita menubuhkan syarikat-syarikat
buku – Dewan Pustaka Islam, Tradisli Ilmu. Kita juga giat menterjemah buku-buku
baru.
Kitalah pada itu mempelopori
pembaharuan, mengarusperdanakan Islamisasi. Sebelum 70’an, sekularisasi tidak
dibincang, dibahaskan dan disanggah. Wacana tentang sekularisme itu dimulakan
oleh kita.
Kita mula membahaskan isu-isu
besar seperti ini dan kita tampil di pentas dan forum peringkat nasional. Dulu,
menteri-menteri pun turun menyertai forum dan berdiskusi dengan kita. Sekarang
kita tidak lagi melihat kesanggupan berwacana seperti ini, mereka bukan lagi
seperti Dr Mahathir yang turun berdebat sewaktu dia menjadi menteri pelajaran
pada tahun 70’an.
Kita tampil di peringkat nasional
membawa perspektif Islam. Kita terpaksa mencari modal baru, berceramah dengan
kelainan, ceramah-ceramah yang membawa semangat kebangkitan. Ceramah yang bukan
seperti penyampaian tradisional kerana penceramah tradisional tidak membaca Mawdudi, Qutb atau Fathi Yakan. Ada
kelainan pada ceramah kita dan semangat mencari bahan baru memaksa kita membaca
lebih banyak lagi.
Apakah kita masih mempunyai
kekuatan ini? Apakah kita mampu mewariskan kekuatan ini kepada generasi
berikutnya?
Memang tidak semua ahli generasi
awal menjadi ilmuwan tetapi cukup untuk menjadi lambang ketokohan. Memang ada yang menjadi dan ada yang tak
menjadi langsung!
Adakah kita sendiri meneruskan
tradisi ini dan apakah kita mewariskan sehingga penyusulannya?
Ada sarjana memerhati dan menyoal
perkara yang sama. Memang ada badan lain yang kurang menguasai tradisi dan
bahan keilmuwan tempatan kerana para pengasasnya berada lama di seberang laut
dan kurang pendedahan kepada kesusasteraan Melayu dan Nusantara.
Kita telah meletakkan satu tanda
aras – benchmark. Bolehkah tanda aras
ini dicapai oleh generasi akan datang. Rupa-rupanya ada pemerhati luar yang
menilai dan ikut rasa bimbang. Adakah kita mampu teruskan tradisi ilmu yang
kita telah bina dengan penuh susah payah?
Jika kita masih berusrah dengan
kekerapan hanya sekali sebulan, maka ini bukan tradisi keilmuan. Jika kita
menghayati matlamat usrah, pengisiannya dan kekerapan mingguannya, barulah kita
boleh mempertahankan tradisi keilmuwan.
Kekuatan Tarbiyah Kerohanian
Dulu kita menekuni tarbiyyah
bersandarkan kepada harakiy, kepada
gerakan. Dulu kita hadir usrah pada waktunya. Kita datang sebelum Maghrib
menepati masa. Lepas Maghrib, kita membaca al
ma’thurat wazifah kubra bersama. Sekarang pembacaannya wazifah sughra. Dulu ada qiamulayl
terancang, tarbiyyah masajidiyyah –
ziarah masjid ke masjid.
Itulah kekuatan. Sekarang
dipersoalkan apakah kita masih mempertahankannya?
Kekuatan Organisasi
Kita adalah di antara juara yang
cukup berencana – well organized dan
mempunyai sistem yang kemas. Faktor ini jangan diremehkan. Di antara faktor
kekuatan Ikhwan Muslimin adalah keampuhan organisasinya. Itulah tema besar yang
kini kita bicarakan dan kita mesti pertahankan wadah ini sebagai the most well organized Islamic movement.
Kenapa?
Faktor kekuatan fizikal kita
tidak lagi seperti dulu. Kita telah berusia walaupun ada yang masih belum
mengakuinya bahawa stamina tidak lagi seperti dulu. Bila aktif di program pagi
, kita kurang bertenaga pada program petang.
Bagi menyelesaikan dan menangani
keadaan ini kita memerlukan sekretariat yang kuat dan efektif. Sekretariat
mesti kuat dan mestilah muda. Asalkan kita mempunyai keazaman memperbaiki diri, segala kelemahan organisasi
boleh ditangani.
Kita perlu mengadakan pertemuan
dan bermesyuarat dengan lebih kerap. Jangan sampai kita kalah kepada tungkus
lumus pentadbiran kerajaan yang beroperasi, berjumpa, mengendali kertas-kertas
penting, dossier dan cabinet papers yang banyak.
Dana adalah penting bagi gerakan
Islam dan pergerakan di peringkat nasional perlulah padan dan sentiasa ada
peningkatan. Kita perlu bersikap seperti bapa yang bertanggungjawb di dalam
jamaah besar ini. Kita perlu biayai staf sepenuh masa. Kita perlu lihat dan
menjaga anak-anak buah kita, pelajar-pelajar, pelapis-pelapis dan kader-kader.
Kita perlu lihat kepada
projek-projek dan program bagi mengekalkan bakat bersama kita. Banyak pihak
yang ingin memancing bakat-bakat, pelajar, pimpinan pelapis kita melalui
bantuan bersyarat. Negeri-negeri perlu melihat pelajar-pelajar pelapis mereka
dan mesti ada perancangan kewangan untuk mereka. Jika bakat kita merosot, merosotlah
jamaah dan gerakan akan terkesan. Pungutan dana, kestabilan kewangan dan audit
harakah semuanya perlu dilakukan supaya kita dapat pertahankan kekuatan sebagai
gerakan Islam berencana.
Kita ingat kepada pesanan Hasan
al Banna supaya segala-galanya terurus dengan baik - munazaman fi syu’unih.
Saingan-saingan semakin banyak
bukan seperti dulu. Dulu pesaing senang dikenalpasti tetapi sekarang pesaing
semakin canggih, sengit dan berorganisasi. Kita mesti kompeten dalam segenap
hal.
Kadang-kadang kita semacam
tersudut, terpelanting dalam pesaingan seperti itu. Kadang-kadang
pesaing-pesaing kita tidak beretika dan bertindak agresif. Ada yang bersifat
oportunis dan mengambil kesempatan. Kita masih teringat cabaran tahun 80’an
akibat pergolakan politik. Badan-badan dalam dan luar negara menghimpit kita,
samada untuk mematahkan, percubaan mengambil alih, meratah dan menangguk di air
keruh.
Kita terkenang kata-kata
perangsang al marhum Ustaz Abd Wahab Zakaria apabila melihat keresahan kita
pada waktu itu, keresahan yang sangat menyakitkan. Himpitan ke atas gerakan
kita itu boleh dimaafkan tetapi tidak akan dilupakan. Hati kita telah tergores.
Al marhum Ustaz Abd Wahab berkata, “Ya akhi, kita hadapilah segalanya. Yang
penting kita ikhlas dalam perjuangan. Itulah yang akan menjadi penentuan
kemenangan.” Inilah yang dapati mengubati keresahan dan kita yakini
kebenarannya.
Keikhlasan bekerja dalam gerakan
itu hendaklah dipastikan. Tak guna kompetensi dan being well organized jika tiada keikhlasan. Kita perlu tangani
penyakit-penyakit kerohanian yang merosakkan organisasi. Al qanabil al ruhiy – bom-bom rohani yang boleh menghancurkan
organisasi.
Penyakit-penyakit rohani yang
boleh meruntuhkan gerakan adalah:-
Kebakhilan yang dituruti
Memang ada kecenderungan bakhil
tetapi kita perlu kawal dan jangan kita turuti. Jika kita bakhil wang, masa,
tenaga dan berkira-kira, habislah gerakan kita. Jamaah kita unggul sebab kita
tidak berkira. Dulu kita tidak menuntut claim dan kita tidak mengeluh
kepenatan. Pantang bagi gerakan Islam
untuk mengeluh dan mengadu penat. Penat bukan alasan kerana jika kita berani
pegang jawatan, kita mesti berani penat. Seperti teladan ‘Umar al Khattab r.a.
pada siang hari dia melayani rakyat, pada malam dia turun memantau keadaan
rakyat dan selepas itu dia beribadah di baki malam.
Hawa Nafsu yang dituruti
Kita ada saksikan orang harakah
mengikuti hawa nafsu. Dia mungkin tidak mencuri duit harakah tetapi
kesilapannya adalah dia ingin menang sentiasa mengikuti nafsu. Sifat malas itu
juga adalah nafsu.
Kagum dengan pendapat sendiri
Jika ada penyakit ini di dalam
jamaah, maka tidak guna lagi diadakan syura kerana jika “tewas” di syura akan
mengamuk. Jangan pandang mudah – don’t
take it for granted - dengan menyangka bahawa di dalam harakah tidak ada
perkara semacam ini.
Apa yang penting adalah kita mempertahankan
faktor-faktor kekuatan yang ada sejak dahulu. Jangan dirisaukan pesaing-pesaing
yang tidak tulen yang tidak mempunyai tradisi tarbiyyah rohaniah dan tiada
tradisi keintelektualan. Kita berwaspadalah dengan kerohanian yang tidak sihat –
hati yang berpenyakit – fi qulubihim
maradun.
Ketakutan kita adalah apabila
kita hilang barakah, apabila kita
kehilangan keikhlasan. Apabila kita kehilangan akhlak, kehilangan ketaqwaan,
kehilangan pekerti terpuji sebagai pekerja untuk Islam. Sebalik disuburkan
sifat-sifat tercela pula, kesombongan, takabbur.
Kita survive selama ini adalah dengan keberkatan ini dan Allah swt boleh
mencabutnya bila-bila kerana penyimpangan-penyimpangan kita. Kita hendaklah
berhati-hati agar jangan kita hilang keberkatan ini.
Bagaimana untuk kekal Relevan dan Trampil
Gerakan ini perlu kaya dengan
wawasan, idea dan fikrah baru. Ini akan hanya berlaku melalui tradisi ilmu yang
kuat dan tradisi berfikir yang kuat. Kita tidak boleh malas dan lemah berfikir
dan cuma mahu gelak ketawa sahaja. Jika hanya ingin gelak ketawa sahaja,
mengadaplah Maharaja Lawak - jika kita
bosan dengan keintelektualan dan kita hanya inginkan yang menghibur.
Gerakan ini perlu kaya idea dan
gagasan. Dulu kita arusperdanakan wacana sekularisasi, sekarang kita harus
mengenengahkan political Islam,
mengkaji hubungan di dalam sebuah negara - konsep kewarganegaraan – muwatinun, menjelaskan maqasid shariah – supaya tidak hanya
terlalu obses dengan pematuhan hukum tanpa memikirkan objektif shariah tercapai,
dan bagaimana membentuk, membina,
mencorak Bangsa Malaysia yang plural – mengutarakan idea sahifah Madinah – Piagam yang memberi kerukunan perhubungan Muslim
dan Non Muslim.
Kita bukan kekeringan idea tetapi
idea yang kita punyai itu lemah jentera penyebarannya dan kurang pemerataan di
masyarakat. Kita juga bimbang jika terdapat kelesuan intelektual di kalangan
kita. Contohnya, apabila Ucapan Dasar tidak dibahaskan dengan sepatutnya. Apabila
isi pemikirannya tidak dihadam dan dibahas dengan adil. Kita harapkan berlaku perbahasan
pemikiran kita secara ilmiah dan intelektual, yang jarang terjadi, dan kita
tidak perlukan perbahasan sekadar ucapan terima kasih. Apakah ada kelesuan
budaya ilmu pada gerakan kita dan ke mana tumpuan kita, ini perlu muhasabah.
Tarbiyyah rohaniah mesti
diberikan tumpuan. Pembacaan tetap adalah “Tarbiyyah
Ruhiyyah” karya Sa’id Hawwa– kita pelajari qalbun salim, pelajari mujahadah.
Kita mengaji bukan membaca sahaja. Buku begini bukan untuk pembacaan di waktu
lapang dan santai. Buku ini, tazkiyatunnafs
perlu dipelajari dengan tunjuk ajar dan panduan.
Usul tentang tarbiyyah ruhiyyah ini penting dilaksanakan pada program dan
latihan, ia perlu diberikan perhatian khusus. Anak-anak muda kita sekarang
berhadapan dengan segala macam godaan-godaan. Mereka memerlukan pedoman dan
panduan serta dibina daya ketahanan rohani.
Apa yang telah terjadi dulu pun
ada kegagalan, dropouts yang gugur
dari segi kerohanian, ketagihkan
kehidupan mewah dan mengejar pangkat. Jika belum diuji, kita belum tahu
dan bencana ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
(Catatan Ucapan Amanat Kepimpinan
oleh Dr Siddiq Fadil, Presiden WADAH Pencerdasan Umat pada MPPW 2 di Teras
Jernang)
Tahniah Sdr Hamdan di atas usaha sdr. Ramai yang tidak berkesempatan bersama di program ini dapat berkongsi maklumat. Mohon di 'share'. Terima kasih.
ReplyDeleteFezal rasa mahu menjerit mengenangkan diri yang tidak banyak melakukan apa-apa.. Altikel ini yang terbaik pernah Fezal baca.. Dan di saat yang paling tepat dimana semua perlu bermuhasabah diri.. Membuat yang terbaik untuk Agama.. Kita tidak perlu menunggu super hero muncul menyelamatkan kita.. Tetapi dengan azam yang jitu, kita lahirkanlah satu gerakan bersama membela Agama..
ReplyDelete