Saturday, August 30, 2014

Qaradawi di Istanbul: Isu Semasa Umat Islam


Ucapan Profesor Yusul al Qaradawi pada Persidangan Kesatuan Ulama Islam Sedunia al ittihad al alamiyah lil ulama’ al muslimin di Istanbul



Khilafah

Khilafah yang diumumkan oleh ISIS di Iraq dan Syria tidak ada makna. Umat Islam mesti bersatu menuntut pemerintahan yang adil, pemerintahan yang melihat perkara dengan realistik dan pemerintahan yang bekerjasama dengan rakyat mereka.

Khilafah boleh dilaksanakan pada hari ini di negara-negara yang ditabir oleh Syariah dan pemerintah serta rakyat merestui dan menyukai perkara itu dengan corak bentuk persekutuan atau konfederasi yang bukan lagi seperti dahulu. Negara Cina yang mempunyai bilangan pendudukan mencecah 1.5 bilion boleh ditadbir. Sudah tentu umat Islam yang seramai 1.7 bilion boleh dihimpunkan dalam bentuk kesatuan. Tetapi gagasan ini memerlukan pemerintah-pemerintah yang adil dengan melihatnya secara realistik dan bekerja rapat dengan rakyat. Bersama-sama mereka boleh membina satu kesatuan yang bermakna.


Natijah Kefasadan (Nitajul Fasad)

Jamaah-jamaah keras dan militan (al mutasyaddidah) muncul di kalangan umat Islam. Kumpulan-kumpulan ini adalah hasil daripada kerosakan suasana persekitaran dan kepimpinan korup (fasadul awdo’ wal hukkam). Ada segolongan pemuda Islam yang mengikuti kumpulan-kumpulan garis keras, dan mereka percaya bahawa jamaah-jamaah militan ini berjuang di jalan Allah swt. Jamaah garis keras ini mengkafirkan sesama Muslim, membunuh Non Muslim yang aman tanpa hak dan ini adalah masalah yang besar. Kita ingin tegaskan bahawa Islam tidak menerima samasekali keterlaluan (ghuluw).

Jalan dan cara berdepan dan menangani puak ekstremis (muwajahah al tatorruf) di kalangan pemuda Islam, perlu kepada kerja yang banyak, yang mana tidak boleh tidak fiqh kesederhanaan (al fiqh al mu’tadil) hendaklah diterapkan di arena Islam. Ini bermaksud wasatiyyah dengan menyeru kepada keimanan dan kefahaman kerana Rasulullah s.a.w. yang mulia melalui beberapa hadith baginda menolak perbuatan melampau (ghuluw) dan menyeru kepada kesederhanaan (I’tidal). Oleh itu, janganlah mensyadidkan agama (mengeraskan fahaman) dan dan jangan pula mengabaikan agama (tasayyub). Kita menolak ghuluw dan pengabaian – neglect (tafrit). Kita adalah umat wasatiy.

Di Qatar ditubuhkan Pusat Al Wasatiyyah al Islamiyyah wal Tajdid. Kerjanya bagi memajukan kefahaman wasatiyyah, I’tidal, tawazun (keseimbangan) dan tajdid (pembaharuan). Kita diingatkan tentang tempoh seratus tahun bagi melahirkan pembaharuan iman dan kefahaman.


Kesatuan Ulama Sedunia

Ini adalah perhimpunan kali keempat kesatuan ulama dan buat pertama kalinya diadakan di Istanbul. Umat adalah bersama Kesatuan Ulama. Kehadiran ke perhimpunan ini melebihi jangkaan walaupun terdapat negara-negara yang cuba menggugat Kesatuan dan ada yang melarang warganegaranya daripada hadir ke perhimpunan. Sejumlah besar ulama daripada pelbagai negara hadir dan ini meyakinkan kita bahawa umat masih bersama Kesatuan Ulama. Persidangan ini mengambil berat tentang masa depan umat.


Wanita

Persidangan ini juga telah menyeru kepada para ulama mazhab Hanafi supaya membenarkan  wanita Islam pergi ke masjid. Sebelum ini ulama Hanafi berhujah bahawa perkara itu adalah fitnah. Hal ini khusus pada suatu masa dahulu, namun sekarang wanita telah keluar ke serata medan. Tidak mungkin bagi kaum wanita membangun tanpa kaum lelaki, dan wanita adalah kekuatan bagi lelaki. Tidak mungkin lelaki terbang hanya dengan sebelah sayap (bi janahin wahidin). Begitulah sepertimana kekuatan wanita untuk keluarganya.
Maka Kesatuan berpendirian bahawa bagi membangunkan wanita maka dizinkan mereka mengunjungi masjid dan para ulama Hanafi daripada pelbagai negara akur dengan seruan ini.


Dakwah

Persidangan ini juga membangkitkan tentang dakwah kepada manusia, dakwah kepada Islam. Umat Islam adalah terdiri daripada umat ijabah – mereka yang berasal penganut Islam dan umat da’wah – mereka yang menerima da’wah Islam. Kesatuan Ulama menyeru umat Islam supaya bersungguh-sungguh menggiatkan dakwah manusia kepada Islam. Seruan ini memerlukan kefasihan dan kekuatan bahasa, bagaimana umat hendak menyampaikan ucapan, pengutusan surat, syarahan, ceramah, lakonan, drama dan dengan setiap wasilah memerlukan dana jutaan dolar dan penglibatan ribuan manusia.


Syiah

Tentang kritikan terhadap kesatuan ulama bahawa persidangan ini tidak mempunyai wakil Syiah, jemputan diberikan tetapi memang Kesatuan tidak akan memanggil mereka. Terdapat perbedaan yang banyak dan juga mereka berusaha menyerang mazhab Sunni (ghaswu al madhhab al sunni). Mereka menghantar pendakyah-pendakyah ke benua Afrika dan mereka membayar jutaan dolar. Mereka tidak mematuhi persefahaman yang telah disepakati oleh Kesatuan Ulama.


Politikal Islam

Politikal Islam (al Islam al siyasi) tidak akan gagal. Menyentuh perkembangan di Mesir, kita menolak ungkapan bahawa politikal Islam gagal di sana. Bahkan politikal Islam telah menang kerana berlaku revolusi rakyat yang dianggotai pelbagai spektrum rakyat Mesir yang menyertai revolusi (thawrah ammah). Mereka datang daripada pelbagai latar dan kepercayaan, serta pelbagai umur penyertaan dan revolusi telah berjaya.

Dunia terkejut kerana Presiden Mesir yang dipilih rakyat bukan seperti presiden-presiden yang lalu. Presiden Mesir pilihan demokratik ini memiliki kelayakan tinggi, taraf ilmiah dan profesional. Dr Morsi seorang hafaz Qur’an, berkhidmat dengan tekun siang dan malam . Dia sentiasa memperelokkan bacaan Qur’an, bangun untuk qiam al layl dan berpuasa Isnin dan Khamis dengan konsisten (intizam). Dia menyeru manusia kepada agama dan dia memiliki janggut (multah). Dengan latar ini, Mesir pula mempunyai pengaruh besar di dunia Islam (al alam al Islamiy) dan Barat amat takut akan hal demikian.

Oleh kerana Dr Morsi memiliki ciri-ciri dan kualiti sedemikian, maka penentang-penentangnya tidak memberikan ruang atau peluang kepadanya. Malah mereka melawannya dan menyokong musuh-musuh Dr Morsi, unsur-unsur kuasa terpendam seperti Hosni Mubarak. Musuh-musuh Dr Morsi memberikan kuasa kepada tentera supaya tidak aman dan tidak stabil perjalanan dan urusan Ikhwan. Tindakan dan pendakwaan tidak dibuat ke atas perosak-perosak (mufsidin) dan penyangak-penyangak (al lusus).


Ashabul ‘Aza’im – Orang-Orang Berazam

Kepada pemuda Islam, “umat kamu memerlukan kamu” kerana pemuda adalah orang-orang yang mempunyai azam. Pemuda mewakili kekuatan yang wajib berkhidmat untuk Islam. Tugas mereka tidak akan dapat dilakukan oleh orang tua atau pun kanak-kanak.

Adalah amat penting diambil berat ke atas pemuda kerana mereka adalah ruh umat (ruh al ummah) dan ikatannya. Adalah wajib merekrut dan mengkader mereka supaya berkhidmat untuk islam serta mengajak pula anak-anak mereka bagi membina umat melalui bahasa dan pendidikan. Pemuda tidak boleh diabaikan kerana umat memerlukan mereka demi pembangunan (nuhud).


Turki

Sesungguhnya manhaj bakal presiden yang dipilih, perdana menteri Rejab Tayyib Erdogan dan saudara-saudaranya yang bersama-sama dalam parti AKP berdiri di atas tasawur dan kesederhanaan (al ru’ya al alamiyah wa al wasatiyyah wa al tawazun). Tidak ada ghuluw dan tidak ada kekerasan ( al jafa’). Mereka mewakili kesempurnaan (takamul) dan pembaharuan dalam Islam (tajdid).

Manhaj ini mengambil berat dengan intipati (jawhar) dan bukan formaliti (syakliyat) dan inilah manhaj sejahtera (salim). Mereka bersedia menerima kritik daripada pihak yang mengkritik.

Semoga Allah bersama mereka dan memberikan tawfiq yang berpanjangan.




(Ucapan Profesor Yusul al Qaradawi pada Persidangan Kesatuan Ulama Islam Sedunia al ittihad al alamiyah lil ulama’ al muslimin di Istanbul, laporan Anadolu Agency)

(Disunting dan diterjemah oleh Omar Mokhtar bin Hamdan)






No comments:

Post a Comment