Sunday, September 21, 2014

DR SIDDIQ FADZIL: ERA BARU DAN AKTUALISASI RAHMATAN LIL 'ALAMIN



PELAJARAN SEJARAH

Suasana kebangkitan Islam era 70 'an terasa dan berada di majlis (muktamar) seperti ini. Kita sempat menyaksikan kegejolakan, gelora melihat Anwar Ibrahim beraksi berpencak sebagai Super Star kebangkitan itu. Kami telah berada di layar sejarah 70'an, pada babak sejarah yang sangat bererti dalam sejarah kebangkitan Islam.

Namun kini, kita sedang menyaksikan segolongan generasi baru yang tidak dapat menghargai atau mengapresiasi fenomena kebangkitan Islam waktu itu. Mereka tidak menyaksikannya dan mereka tidak merasainya. Sebaliknya mereka meperlekehkan pula jasa tokoh-tokoh kebangkitan Islam.
Tidak mengapa dan kita boleh faham jika mereka tidak mengapresiasikannya. Tetapi mereka memperlekehkan tokoh-tokoh yang berjasa membina dan melakar sejarah Islam terpenting abad ke 20. Kalaulah Anwar Ibrahim boleh diperlekehkan, apa lagilah kita ini. Dikatakan kita tidak mengakar ke landasan ilmu dan tidak Islamik.

Secara mudahnya, kalaulah tidak kerana jasa Anwar Ibrahim, kami mungkin tidak menjadi seperti kami sekarang.  Kita sedih kerana para senior kita sudah tiada lagi bersama kita sekarang.  Al marhum Ustaz Niamat Yusuf  tiada lagi bersama kita. Al marhum Ustaz Yahya Othman tidak lagi bersama kita. Andaikata mereka boleh memberikan kesaksian maka mereka akan mengesahkan peranan dan sumbangan Anwar Ibrahim pada waktu bersejarah itu.

Mudah-mudahan ustaz-ustaz yang masih ada sekarang bersama kita barangkali harus tampil memberikan kesaksian kepada sejarah bahawa manusia bernama Anwar Ibrahim ini sangat berjasa kepada kebangkitan Islam dan hakikat ini jangan lagi diperlekehkan.

Kalau pemikiran Anwar Ibrahim dikritik, itu tidak mengapa. Bebaslah mengkritik Buku Jingganya itu. Tetapi dia adalah penggerak kebangkitan Islam dan keberadaannya kita di sini adalah hasil usaha itu.

Sekarang ini semacam ada musim Anwar bashing - menghentam Anwar. Orang-orang yang terlibat dalam kerja bashing ini sudah tentu berpenyakit. Mungkin untuk kelihatan dia besar maka dia harus memukul orang yang lebih besar. Jadi, dipukulnya besar-besaran. Mungkin supaya pangkat yang diperolehi pun pangkat lebih besar.

Kita sedih melihat  fenomena ini yang berlaku di luar kita. Kita sebenarnya tidak ada masalah dengan hal seperti ini di kalangan kita.


PROSES PEMBELAJARAN SEMULA

Kini kemunculan mereka yang merasai diri mereka sebagai ulama' - lulus 4 thanawi dan berpakaian tertentu sudah menggelar diri ulama'. Sewenang-wenangnya mencampuri sebarang masalah. Mereka menggunakan pula kedudukan 'keulamaan' itu pula untuk berbuat seenak-enaknya. Maka golongan yang dikategorikan bukan ulama' pula terpaksa menjadi kerdil dan tidak lagi berupaya. Apa boleh buat, sudah macam itu...

Ini suatu yang menyedihkan dan kita harus pastikan gejala ini tidak berlaku di dalam gerakan kita. Tradisi ilmu kita adalah melalui pembelajaran semula - re-educating process. Masing-masing anggota menjalani pencerahan. Berlaku proses 'pengintelektualan ustaz dan intelek kepada ustaz'. Orang tidak pernah bertanya apakah kita ulama' atau intelektual. Kita tidak pernah mempersoalkan pun sesama kita.

Kita konfiden bahawa kita Islamis yang kompeten. Usrah kita berjalan dengan semestinya dan kita yakini kualitinya. Kita disiplinkan tarbiyyahnya dan budayanya. Inilah yang menjadikan kita begini.  Oleh itu, kita harus mempertahankan proses re-educating itu. Jika dicongak waktu pertemuan - contact hours - usrah setiap orang selama 40 tahun - boleh mencecah pembelajaran di 2-3 buah universiti.

Kita lihat semua ini sebagai kekuatan dan di sinilah perbedaan kita. Tidak ada dichotomy pemisahan di antara ulama' dan profesional di dalam konteks gerakan kita. Kita dapat  berada di dalam masyarakat dan mendewasakan umat dengan memanfaatkan kekuatan intelektual yang kita miliki. Bukan kita pamerkan ini untuk dihebohkan sebagai menunjuk-nunjuk - show off, tetapi inilah cerminan kekuatan dan kualiti yang gerakan miliki untuk membangunkan umat.


ERA BARU

Kini adalah era baru, perkembangan menarik berada di hadapan kita iaitu perhubungan kita bersama Non Muslim. Mungkinkah semakin kita terpukul, semakin kita terkenal. Kita sedang jalinkan hubungan dengan semua pihak dan bidang profesional.

Angkatan muda Non Muslim sudah mula menghadiri program dan ada yang hadir majlis berbuka puasa malah ada yang betul-betul cuba berpuasa. Ini dikatanya sebagai solidariti bersama umat Islam. Kita serahkan saja niatnya tetapi ini perkembangan yang baik dan menarik.

Mungkin selama ini mereka melihat autoriti Islam dan Melayu itu di tempat lain. Mungkin sekarang sudah menjadi kelainan dan tempat rujukan pemikiran Islam bukan di tempat lain tetapi di dalam diri-diri kita. Anak-anak muda Non Muslim kelihatan serious dan bersungguh-sungguh. Mereka membaca buku 'Islam dan Melayu' dan menyampai saranan  supaya bahasanya dipermudahkan lagi untuk tatapan orang awam.

Apa yang pengarang sampaikan dalam buku itu adalah natural dan tabii bukanlah dibuat-buat. Begitulah pengarang berfikir dan itulah bahasa yang terjelma dalam teks. Apa yang difikir, itulah yang ditulis - al lughatul fikri . Oleh itu, jika perlu, orang  lain mungkin boleh mempermudahkan dengan versi simplified.

Apabila dianjurkan idea piagam Madinah sebagai formula political compact, di mana wujud kebersamaan umat Islam dan bukan Islam - ummmah diniyyah dan ummah siyasiyyah dalam menangani pluraliti politik - 'kepelbagaian dalam satu bingkai kesatuan', ini disambut baik. Ada tokoh politik Non Muslim yang menyahut "Now I am part of the ummah!". Dia bertanya, "Can I quote you on this?". Kita jawab, "By all means."

Oleh itu sebagai wadah pencerdasan umat, kita harus berfikir secara lebih luas supaya berupaya mengakomodasi penglibatan Non Muslim. Ini betul-betul era baru dan kita harus memanfaatkannya.
Kita saksikan pengalaman parti politik multi racial. Kita sedari dan kita sangat prihatin dan concern supaya ia kekal berbilang kaum dan supaya ia jangan menjadi seperti parti-parti sebelumnya yang berasal pelbagai kaum pada akhirnya menjadi parti satu kaum. Tidak banyak orang berani menubuhkan parti multi racial sehingga pada peringkat permulaan ada yang sampai tidak mahu percaya. Oleh itu seharusnya ia kekal multiracial dengan fikrah dan aspirasi Islam.

Oleh itu adalah suatu kesombongan dan amat meloyakan apabila kehadiran Anwar Ibrahim memimpin parti multi racial dengan sejarah kebangkitan Islamnya, cuba untuk diperlekehkan orang lain.


AKHIR KATA

Kepada rakan-rakan seperjuangan, janganlah kita cepat berserah. Anggaplah misi kita rahmatan lil 'alamin bukan suatu bebanan.



DR SIDDIQ FADZIL, PRESIDEN WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA: UCAPAN PENANGGUHAN MUKTAMAR NASIONAL KE 8
21 September 2014


No comments:

Post a Comment