Wednesday, September 10, 2014

KEBEBASAN BERSUARA

Kebebasan Bersuara: Alija Ali Izetbegovic




Setelah Mahkamah Agong menolak rayuan kami, kami mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Persekutuan untuk semakan semula penghakiman (Judicial Review). Dokumen permohonan semakan semula dibentang setebal 30 muka surat termasuk bukti dan keterangan yang menunjukkan tuduhan tersebut adalah palsu dan membuktikan bahawa mahkamah sebelumnya telah secara serious menyalahi prosidur undang-undang.

Aku mengemukakan:

“Keputusan mahkamah yang salah dan menyalahi undang-undang pada amnya adalah akibat dan natijah kesilapan, penyimpangan dan kesalahan perjalanan peraturan yang membawa kepada keputusan berkenaan. Asas pertuduhan palsu mengenai sifat dan tujuan tulisan “Deklarasi Islam” – pendustaan amat nyata mulai detik pertama acara penyiasatan… menyebabkan penyiasat-penyiasat tertentu dan mahkamah melakukan kesalahan undang-undang dan pemalsuan yang terang-terangan. Walaupun berbunyi aneh, tetapi saya ingin tegaskan bahawa jika saya benar-benar bersalah sudah tentu saya akan diberikan perbicaraan yang adil dan saksama. Saya tidak dibicarakan dengan adil kerana saya tidak bersalah. Jika saya benar-benar bersalah sudah tentu penyiasatan akan dibuat oleh hakim penyiasatan yang bebas bukan oleh polis; peguambela sepatutnya diberi hak untuk bertemu tertuduh daripada permulaan kes sepertimana termaktub dalam undang-undang bukan setelah pertuduhan didaftarkan; soal siasat saksi dan tertuduh sepatutnya dijalankan dengan kehadiran peguambela; cara-cara menyalahi undang-undang tidak akan dikenakan ke atas saksi-saksi dan kenyataan berhemat mereka tidak akan diselewengkan; media pencacai dan akhbar yang dicucuk hidung tidak merekacipta suasana perang saraf dengan kempen luar biasa untuk meyakinkan orang ramai bahawa tertuduh telah didapati bersalah walaupun penyiasatan masih berjalan; dan sudah tentu kami tidak akan dibicara secara rahsia. Semua ini tidak perlu berlaku kecuali kerana ia amat dikehendaki untuk memastikan kami bersalah dan untuk menutup hakikat sebenar kes daripada pengetahuan orang ramai.”

Keputusan Mahkamah Persekutuan hanya mengurangkan hukuman sebanyak 2 tahun sahaja dan mengekalkan kesalahan “perkataan”. Fasal 133 Akta Jenayah masyhur ini berbunyi: “Barangsiapa yang menghina atau mengancam ketenteraman negara melalui perkataan, penulisan atau paparan akan dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun.” Kesannya, aku menjalani semua hukuman ini semata-mata kerana tulisan, kata-kata, suara atau ringkasnya kerana keteguhan kepercayaanku.

Kita telah pelajari sejak di bangku sekolah bahawa sejarah manusia bermula yakni bahawa manusia menjadi manusia bersejarah apabila manusia belajar menulis. Tetapi manusia menjadi spesis kemanusiaan apabila ia belajar bercakap, bersuara dan berkata menurut fikirannya. Kemudian datang orang lain yang melarangnya bersuara, merekacipta undang-undang menyekat kebebasan, menggubal akta kesalahan berkaitan berkata-kata dan mengembalikan manusia kepada zaman purba dari mana ia mula muncul dahulu.

Pada suatu syarahan umum di Sarajevo sekitar 1994, seorang khalayak telah bertanyakan kepada aku tentang kawalan penapisan (censorship). “Tuan Presiden, tahukah anda apa yang sedang dituliskan walaupun pada ketika ini kita dalam peperangan. Kenapa anda membiarkannya? Kenapa anda tidak memperkenalkan kawalan penapisan?” Aku menjawab bahawa setelah apa yang aku sendiri alami, aku tidak bersetuju dengan larangan sedemikian. Ini bukan sahaja perkara prinsip tetapi juga isu produktiviti atau daya cipta. Aku berpegang bahawa larangan dan pemaksaan sedemikian tidak akan mencapai apa-apa untuk mengubah pendirian seseorang. Aku mengingatkan kepada ajaran al Qur’an sendiri yang menekankan secara yang indah dan pada masa yang sama amat lengkap ungkapannya, ayat Bahasa Arabnya berbunyi “ la ikraha fi’l din” – tidak ada paksaan dalam beragama. Jika ditafsirkan dengan lebih luas, seseorang mempunyai kepercayaan, pemikiran, yang tidak boleh dipaksakan.

Sebelum ini pihak Komunis yang memerintah kita telah cuba menghalang idea-idea dan kebebasan berfikir melalui ancaman, deraan, polis dan penjara, kerana inilah cara-cara yang mereka ketahui dan mereka gunakan. Pengalaman gelap dan pahit sistem tirani komunis, dan kekalahan serta tertewasnya, membuktikan buat selama-lamanya kegagalannya – seolah-olah menjadikannya suatu ujikaji sejarah tentang perjuangan kebebasan.

Akhirnya. setelah aku dibebaskan, aku sering ditemuramah mengenai perbicaraan ke atas aku dahulu yang telah berlalu. Pada tahun 1990, apabila aku telah mencapai kemenangan di pilihanraya, soalan yang paling kerap ditanya adalah samada aku akan membalas dendam, mengambil tindakan ke atas pihak Komunis kerana apa yang pernah mereka perlakukan ke atas diriku dan teman-temanku. Aku menjawab bahawa tidak akan ada tindakan atau balasan: dan tiada sesiapapun dikenakan sebarang tindakan. Semua orang yang terlibat dalam perbicaraan – pegawai-pegawai penyiasat, pendakwa raya, dan hakim-hakim – terus menjalani kehidupan seperti biasa dan bekerja dengan tugas mereka, dan ada pun yang masih kekal di jawatan yang sama.

Sebagai seorang ahli politik, aku memaafkan mereka. Selaku seorang insan, aku tidak memaafkan.



--------------------------------------------------------------------------------------------------------
Tulisan di atas adalah petikan terjemahan yang disunting dan disuaipadan daripada buku autobiografi al marhum Alija Ali Izetbegovic bertajuk “Inescapable Questions” diterbitkan oleh The Islamic Foundation 2003.

Pada 1992 sehingga 1994, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman penghapusan kaum angkara militan Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka.

Beliau terkenal sebagai Presiden Bosnia Herzegovina yang telah berjuang untuk mencapai kesudahan yang adil kepada konflik yang telah melanda negaranya pada tahun 90’an. Kerjayanya yang mejangkau dua abad sangat gemilang sebagai seorang peguam, aktivis, pejuang kebebasan dan ilmuwan serta menjadi contoh teladan negarawan Muslim Eropah.



No comments:

Post a Comment