Tuesday, February 24, 2015

Sandiwara Jalanan



P Ramlee telah berkata supaya jangan mengguna dadu lebih tiga kali pada adegan filem Ali Baba Bujang Lapok. Lebih daripada tiga kali dadu dibaling akan berlaku pecah tembelang. Segala kelentong dan temberang akan terdedah. Begitulah jenaka dan seloroh tentang pembohongan Ali Baba dan perompak jalanan.


Program penjelajahan fitnah and qazaf  mungkin tidak menyedari tentang petua penipuan Ali Baba dan angkatan penyamun tarbusnya. Maka penganjur, penyampai dan peserta menerima pelbagai kecaman dan hamunan, melalui pesanan ringkas sampai ke alam maya hinggalah ke akhir mereka nanti di langit dan di bumi. Mereka dikutuk sebagai bermoral rendah, korup, jahat dan tidak berperikemanusiaan. Begitulah kebencian orang kepada ahli maksiat dan pendokong kebejatan.

Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya),
Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai), -
Yang sering menghalangi amalan-amalan kebajikan, yang melanggar hukum-hukum ugama, lagi yang amat berdosa, -
Yang jahat kejam, yang selain itu tidak tentu pula bapanya.
Adakah kerana ia seorang hartawan dan ramai anak-pinaknya (maka ia mendustakan ugama Kami)?  (Al Qalam ayat 10 - 14 )


Penjelajahan fitnah ini menimbulkan banyak persoalan dan keraguan. Mungkin itulah hikmah shariah mensyaratkan kesaksian empat orang yang adil bukan keciciran percikan DNA, belitan CCTV atau manipulasi forensik perubatan.

Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta. (An-Nuur 24:13)


Tidakkah mereka sedar atau ingat bahawa umat Islam tidak akan menerima berita atau keterangan atau saksi daripada orang fasik. Ini ingatan kitab suci al Qur'an. Orang jahat tidak ada tempat di sanubari orang beriman.

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Al-Hujuraat 49:6)


Mereka mengaibkan orang dan terlupa tentang perumpamaan seolah-olah mereka memakan daging saudara mereka sendiri. Betapa buruknya perbuatan.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (Al-Hujuraat 49:11)

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. ((Al-Hujuraat 49:12)


Mereka menghina orang, keluarganya serta masyarakat dan tidak sedar bahawa manusia ada karamah kemuliaan insan. Rasulullah s.a.w. berpesan pada khutbah perpisahannya menyeru umat memelihara darah dan kehormatan sesama insan. Ayat menyeru ke arah keadilan dan kebaikan  menjadi bacaan tetap khatib-khatid di penghujung khutbah sebagai pesanan kepada jemaah yang sedar dan celik maknanya.

Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan. (Al-Israa' 17:70)
Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, (Al Nahl 16:90)


Mereka fikir dosa yang mereka lakukan itu kecil tetapi terlupa betapa besarnya ia di sisi Allah s.w.t. serta pasti menerima balasan.

Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya. (An-Nuur 24:15)


Marilah kita pesan memesan supaya berpegang teguh kepada iman dan ihsan, beristiqamah serta menambahbaik amalan.

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (Al Ankabut 29:69)
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Al-'Asr 103:3)


Dengan cahaya iman kita tidak akan terpedaya dengan sandiwara jalanan.





Selamatkan Malaysia dengan dakwah.


No comments:

Post a Comment