Thursday, March 5, 2015

BAGAIKAN LAYAR MENIMPA TIANG



Tahap dendam kesumat telah dijulang ke suatu aras yang cukup merbahaya, tertegak di atas falasi reka-rekaan, desakan melampau dan cercaan jahat. Kesemuanya hasil daripada pungutan dan picisan kemarahan yang dibikin-bikin dan hasutan yang menggila. Bekas-bekas rakan yang telah berpaling tadah memuntahkan kata-kata nista mengutuk Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat bangsa Melayu. Tidak cukup dengan itu tanpa hujah yang kukuh, mereka terus menerus mencalar dan menghina kehormatannya, menuduhnya tamak haloba dan kemaruk untuk berjawatan perdana menteri, serta menjual dirinya menjadi agen Yahudi.

Memang kita telah mendengar mantera fanatik begini sebelum ini dan kita akan terus mendengarnya berulangkali kerana musuh ketatnya berpakat dan bergabung bersama dalam suatu himpunan durjana. Para pemimpin negara sendiri tanpa merasa segan silu serta adab, mengungkapkan bahan dan nada yang sama. Begitulah lazimnya perlakuan pembantaian Anwar dalam suatu orkestra yang muncungnya menjerit menyembur luahan keji dan diputar semacam sawan oleh media. Bagaikan hingar bingar parti politik yang dirasuk kebejatan. Kini dilaksanakan pula dalam cara yang penuh ekstrim dan merbahaya.


Berikut bidalan menarik dipetik dari pemblog yang menamakannya bahaya sang saka bangsa:-

Itulah bagi orang-orang fasik yang inginkan sangat dipanah halilintar, mereka suka sangat bersumpah dan sering mencabar susunan serta ketenteraman peradaban masyarakat. Mereka gemar memecahkan suasana aman damai dan harmoni. Mereka kata mereka hanya ingin membawa kebaikan untuk agama, bangsa dan negara. Dentuman hujan batu tidaklah menerjah bumi yang mereka pijak namun fitnah yang dijaja memberanakkan lagi fasad dan mungkar yang berjela-jela.

Segala mambang dan jembalang dijelmakan dengan hantu-hantu raya lama dibela melalui akhbar-akhbar saka berbisa. Pontianak dan langsuyar diupah dan dihantar merata-rata memaki hamun dan mencarut tanpa batas dan hilang hormat diri. Maka segala macam santau dan peleset dikirim melalui utusan pena-pena penulis berpuaka yang memberitakan secara harian. Gerombolan keris mengamuk menggila. Katanya apabila bulan purnama mengambang, lagi meraung kumpulan pemuja ini.

Akibatnya jenuh jiwa dan semangat Melayu dilanyak dan diasak dengan tahyul dan mitos cerita buniyan. Orang Melayu dibuai halimunan dan ditakutkan-takutkan dengan jaruman halus dan tikaman tajam untuk mencurigai jiran, meninggalkan kawan, mengkhianati sahabat, memporak peranda agama, melanggar pantang larang muhibbah dan meninggalkan kebijaksanaan akal.

Fitnah jahat menjadi-jadi bermaharajalela sebagai mentera untuk menghapuskan musuh politik dan memperdayakan umat. Pawang dan bomoh memuntahkan lagi jampi dendam kesumat. Dukun sesat muncul di kalangan pemimpin yang sepatutnya lebih waras dan berilmiah. Alangkah bisa racun ditanam di dalam dada-dada siaran dan kaca-kaca TV. Pengacara media dan askar maya meludahkan santau dan kahak jangkitan pembohongan. Para agamawan rasmi yang mungkin kurang cermat melepaskan tangan, menyimpan diam dan membiarkan poyang dan syaman menabur upas dan menyesatkan lagi masyarakat.

Kaca, miang buluh dan jarum dicucuk sehingga menjerit kesakitan batang tubuh negara yang ingin bebas dan terlepas daripada rasukan histeria penguasa gila kuasa yang melepaskan gerombolan penyebar naba' fasik - berita jahat. Sihir gila dinamakan propaganda lebih dahsyat daripada ilmu hitam segenap nusa. Katanya ada sang penunggu tua mahawangsa di sebuah menara yang merancang dan mengatur kejahatan ini semua.

Tiada yang terselamat dari sentuhan khurafat dan usaha toyol-toyol merosakkan dan mengelabui umat dengan tuduhan kesat dan tayangan lucah. Tidak cukup dengan itu, Cina dan Nasrani pun dituduh secara merasuk dan meracau.

Maka si fasik masih bersumpah merasa senang hati tiada disambar petir dan kilat. Hanya umat merana kerana alah bisa yang tak berubat hinggalah akhir padahnya.

Siapalah yang akan menjunjung panduan kebenaran dan membawa ayat-ayat syifa bagi penawar memulihkan keruntuhan jatidiri bangsa dan menyelamatkan negara?


Segolongan pembawa naba’ fasik ini terdiri daripada bekas-bekas sahabat, penyokong dan teman seperjuangan Anwar samada sewaktu kegemilangan parti lama, atau rakan-rakan yang pernah bersama di dalam pakatan baru, ataupun kawan-kawan zaman aktivisme, belia serta pergerakan pelajar serta masyarakat sivil. Tiba-tiba mereka berubah menjadi seteru yang nyata dan mereka berikrar untuk mengabadikan permusuhan mereka. Mereka sangat bernasib baik kerana tidak melalui mehnah dan tribulasi yang dialami bekas sahabat yang mereka kecam disebabkan kesetiaan mereka rapuh, mereka gementar mendengar ancaman dan seboleh-bolehnya mereka mahu lari menyelamatkan diri sendiri walauapapun terjadi. Sebenarnya, jika mereka jujur dengan diri sendiri, merekalah yang telah mengkhianati sahabat mereka. Bukan sahaja Anwar dijatuhkan malah dia seolah-olah dipaksa merangkak di dalam lorang sehingga tidak ramai yang percaya Anwar boleh kembali semula membebaskan diri daripada lohong gelap yang cukup dahsyat ini.

Siapa menyangka bahawa kawan menjadi lawan. Mereka bertindak menikam belakangnya, berulang-ulang kali. Kenapa mereka sungguh bersemangat dan berapi-api menawarkan diri masing-masing seolah-olah seperti anjing-anjing suruhan yang mahu membaham dan menyiat-yiatkan  sosok tubuh Anwar Ibrahim walaupun dia telahpun dihukum dan dijatuhkan dalam acara Fitnah 2? Adakah mereka telah hilang segala bentuk perasaan belas kasihan, sifat kemanusiaan, kemuliaan dan kehormatan? Kenapalah mereka menyambut dan meraikan musibah yang menimpa  Anwar dan pemenjaraannya yang ketiga? Bagaimana mereka tidor di waktu malam, merenung dan melayani jiwa serta pemikiran penuh hasad dan khianat? Adakah ini sahaja kerja buat mereka sebagai mata pencarian dan saraan hidup kaum keluarga mereka? Mereka pasti akan menginsafi dan menebus segala kelakuan serta tindak tanduk mereka samada mereka suka ataupun tidak, atau mereka akan terbenam di dalam keaiban buat selama-lamanya.

Pada September 1998, di rumah lama Anwar Ibrahim di Damansara beberapa hari selepas pemecatannya, Sheikh Taha Jabir Alwani daripada IIIT telah menyampaikan tadhkirah ringkas sesudah salat jamaah maghrib.  Sheikh Taha menghuraikan tafsir beberapa potong ayat surah An Nur berkenaan peristiwa hadithat al ifk, fitnah besar yang telah melanda masyarakat Madinah khususnya keluarga Rasululllah s.a.w. Sheikh Taha mengingatkan semua yang hadir di rumah itu bahawa barangsiapa yang terlibat serta mereka yang bersubahat di dalam penyebaran fitnah itu akan jatuh fasiq dan kepercayaan serta kesaksian mereka ditolak buat selama-lamanya – abada.  Ramai daripada kalangan rakan-rakan pendokong kuat Anwar ketika itu  yang kini berpaling tadah dan bersubahat telah hadir di pertemuan itu. Tetapi mereka telah terlupa agaknya. Amat malang sekali.

Sebagaimana dinukilkan oleh seorang pemblog – Anwar kini adalah pemimpin Malaysia yang paling berbakat di kalangan generasinya dan dia telah berjaya menyatupadukan sebuah pakatan politik alternatif berhadapan dengan pelbagai aral melintang serta serangan musuh yang terus menerus berdendam.




No comments:

Post a Comment