MISI KECENDEKIAWANAN DALAM GERAKAN
REFORMASI ISLAHI
Siddiq
Fadzil
…nescaya
Allah akan meninggikan orang-orang beriman
di
antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan
beberapa
derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa
yang
kamu
kerjakan - al-Mujadilah:11.
Mukadimah
Andainya ayat al-Mujadilah tersebut diaplikasikan
dalam konteks perjuangan mengangkat martabat umat, tuntutan yang harus
dilaksanakan ialah memenuhi dua syarat:
membangun iman dan menyuburkan budaya ilmu. Tidak akan ada perubahan dan tidak akan
terjadi nahdah dalam erti yang
setulennya tanpa agenda gerakan
berteraskan paduan dua nilai asasi - iman
dan ilmu.
Martabat
keunggulan memang selamanya bersyarat.
Martabat al-a`lawn (orang-orang
yang paling tinggi derajatnya) seperti yang disebut dalam surah Ali `Imran: 139, adalah kurnia bersyarat “…jika kamu (benar-benar) mukmin.” Demikian juga martabat keunggulan khayriyyah (umat terbaik) yang disebut dalam surah Ali `Imran:110, bersyarat
dengan iman yang semurni dan
setulennya, iaitu iman yang
membangkitkan komitmen kebaktian
kemanusiaan al-amr bi al-ma`ruf wa al-nahy `an al-munkar. Faktor pengangkat martabat selain iman ialah
ilmu. Memang tidak akan sama
martabat umat yang berbudaya ilmu dengan
umat yang mengabaikan ilmu (Al-Zumar:9).
Iman dan keberagamaan secara utuh
Bertolak dari
premis tersebut, gerakan reformasi islahi harus bermula dengan pembinaan umat salim al-`aqidah, umat yang memahami dan menghayati tawhid dengan segala implikasinya dalam segala ranah
kehidupan - keagamaan dan kemasyarakatan. Tawhid dalam pengertian tersebut seharusnya menjelmakan
al-tadayyun atau religiosity
yang sempurna menepati
makna kesempurnaan (shumuliyyah)
al-Islam. Antara gagasan besar kebangkitan Islam (Islamic resurgence) yang kita pelopori pada hujung abad lalu, termasuk
pemerataan kesedaran tentang hakikat
shumuliyyat al-Islam atau
Islam sebagai cara hidup yang lengkap dan sempurna. Sekarang sudah saatnya kita menilai tahap keberagamaan (al-tadayyun) umat kita keseluruhannya. Ternyata secara umum keadaannya jauh lebih
baik daripada zaman pra-kebangkitan Islam.
Namun demikian kita juga melihat gejala ketidaksempurnaan dalam memahami
dan menghayati Islam. Masih ada sebahagian
umat yang sikap keberagamaannya hanya
memusat pada bidang tertentu, tetapi
mengabaikan bidang-bidang lain yang pada hakikatnya menjadi bahagian daripada
agama Islam. Ramai yang hanya menjadi salih
spiritual, tetapi gagal menjadi salih sosial; kuat beribadat
tetapi tidak memiliki kepedulian sosial.
Gejala seperti inilah yang disebut oleh Fahmi Huwaydiy sebagai al-tadayyun al-manqus atau keberagamaan
yang tidak utuh dan sempurna.
Demikianlah hakikatnya, masih
ramai yang setiap tahun menunaikan haji dan umrah, tetapi tidak sensitif terhadap derita
kemanusiaan, dan tidak peka terhadap gejala kemungkaran -
kezaliman, penindasan, rasuah, penipuan dan lain-lain sebagainya. Malah tidak sedikit yang mati-matian dan
tanpa malu-malu mempertahankan koruptor
dan orang zalim.
Begitulah antara
realiti masa kini yang perlu ditangani oleh para ilmuwan-da`i. Perubahan dari al-tadayyun
al-manqus kepada al-tadayyun
al-shamil (keberagamaan yang utuh dan sempurna) memerlukan komitmen pendakwahan dan pendidikan
massal yang bersifat
intensif-korektif. Gerakan perubahan
islahi tidak boleh diasaskan hanya pada pengobaran semangat, tetapi harus berteraskan agenda pendidikan tanwiriy (pencerahan) -
membangkitkan kesedaran keislaman (al-wa`y
al-Islamiy) yang tulen dan membangun
tradisi keilmuan yang kuat.
Pelestarian Tradisi Ilmu
Rangkaian
gerakan ini (PKPIM-ABIM-WADAH) sesungguhnya sangat beruntung ditakdirkan
mewarisi kekuatan tradisi keilmuan yang dibina
sejak awal oleh generasi pengasas, khususnya
tokoh ikonik kebangkitan Islam di Malaysia,
Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Andainya prestasi kepimpinan diukur dari segi kejayaannya sebagai human transformer dan culture builder, Dato’ Seri Anwar -
tanpa ragu – telah memenuhi kedua-dua kriteria tersebut. Justeru,
beliau telah berjaya merubah sikap dan watak ribuan anak muda
generasinya, dan sekaligus membina
budaya baru berteraskan ilmu, tidak
hanya dalam kalangan warga gerakan yang dipimpinnya, malah merentas ke tengah umat dan rakyat
keseluruhannya. Tradisi penggabungan
aktivisme-intelektualisme keagamaan yang beliau pelopori itulah yang kita
warisi dan lestarikan hingga ke hari ini.
Rakan-rakan
seangkatan dapat sama-sama memberikan kesaksian bagaimana eksperimen penting tersebut bermula dengan berteraskan kefahaman terhadap al-Qur’an dan al-Sunnah
yang menjadi bahan asas program belajar bersama bernama usrah. Di atas asas inilah terbinanya
sebuah tradisi keilmuan berorientasi gerakan yang memadukan pemikiran harakiy
kontemporari seperti al-Banna, Sayyid Qutb, Muhammad Qutb, al-Mawdudiy dan Muhammad Natsir dengan pemikiran intelektual Muslim kelas
dunia: al-Ghazaliy, Ibn Khaldun, Malik
Bennabi, Syed Husain Alatas, Sayyid Muhammad Naquib al-Attas, Abu al-Hasan `Ali al-Nadwiy, Muhammad Asad, Seyyed Hosein Nasr dan lain-lain. Malah daerah penjelajahan intelektual generasi
tersebut meluas meliputi pemikiran
sarjana-sarjana bukan-Muslim
seperti Henri Pirenne, Gunnar Myrdal, Paulo Freire dan lain-lain.
Anwar Ibrahim,
tokoh inspirator dan sekaligus pembina
tradisi keintelektualan gerakan ini
mengungkapkan suara nuraninya dalam
prakata bukunya Gelombang Kebangkitan Asia ,
Penulis memasuki alam dewasa tatkala rantau ini
bergolak,
menjalani transformasi sosial yang
hebat, idea dan peristiwa
bertembung dan saling
pengaruh-mempengaruhi. Ia adalah
zaman kebangkitan kesedaran moral dan keagamaan di kalangan
generasi muda dan kesedaran ini mendorong tumbuhnya gerakan
pelajar yang berani untuk
menentang kepura-puraan dan keruntuhan
akhlak dalam masyarakat. Ia
juga zaman kegelisahan politik,
kekecewaan terhadap
pembangunan yang tidak seimbang,
merebaknya faham radikal, rasuah dan ketidakstabilan serantau
akibat campurtangan Amerika
Syarikat di Vietnam. Penulis sebagai
anak muda terjun di tengah-tengah
gelanggang pergelutan ini dengan
keyakinan bahawa to be is to act, kewujudan manusia ditakrifkan
oleh tindakannya. Tetapi
penulis juga insaf bahawa tradisi-tradisi
agung umat manusia,
lebih-lebih lagi Islam, juga menegaskan
bahawa to be is to know,
kewujudan manusia ditakrifkan oleh
usaha menyelami hakikat, yang kekal dan yang berubah.
Tanpa
ilmu tindakan itu sendiri
boleh menyimpang. Ilmu juga menyemai
sikap tawadhu`
dan memupuk kita sentiasa
bersikap terbuka dan
mendengar pandangan orang lain. Ilmu dan amal: penulis diasuh
dari kecil untuk
mensepadukannya. Ilmu itu sendiri
mengasyikkan,
meluaskan ufuk pemikiran, tetapi
ilmu tanpa amal laksana pohon
tidak berbuah. (Anwar Ibrahim, 1997: x-xi).
Demikianlah seorang
ilmuwan pejuang memaknai hidup -
mencari kebenaran, mempertahankan
kebenaran dan mendaulatkan kebenaran. Kualiti seorang ilmuwan tidak ditentukan
oleh gelar akademik yang disandang,
tetapi oleh komitmen keilmuan yang meliputi
kecintaan terhadap ilmu, kejujuran
terhadap kebenaran ilmu, kesetiaan
terhadap moral dan etika (akhlak)
keilmuan, kegigihan memperjuangkan kebenaran ilmu, dan keberanian menghadapi
risiko komitmen keilmuannya.
Hidup sebagai ilmuwan berprinsip memang pahit, terutama pada jaman edan seperti sekarang ini.
Sikap “berani kerana benar, takut kerana salah” yang kita warisi
turun-temurun, kini sudah berganti
dengan sikap “berani walaupun salah,
takut sekalipun benar” kerana kesalahan selalu dilindungi, sementara
kebenaran seringkali diperangi. Pada
zaman gila, kekuasaan merajalelai segala-gala, sehingga
orang yang memiliki kuasa boleh berbuat seenaknya, “benar tak benar, dibenarkan!”; sedang yang tidak memilikinya selalu menjadi
mangsa, “salah tak salah, disalahkan!”.
Ilmuwan berprinsip memang tidak mungkin rela menyerah kepada budaya warisan jaman edan seperti itu. Kebatilan dan kepalsuan harus dilawan dengan
menyalakan kembali semangat “berani kerana benar!”. Kepalsuan tidak akan mampu bertahan seperti kata
Rendra dalam puisinya SAJAK SEORANG TUA DI BAWAH POHON, “O, kepalsuan yang diberhalakan, berapa jauh
akan bisa kau lawan kenyataan kehidupan.”.
Kemerosotan Kualiti Kecendekiawanan
Sikap optimis memang
perlu, tetapi jangan sampai
meremehkan masalah serius yang sedang
kita hadapi, iaitu gejala kemerosotan
kualiti para graduan sebilangan
institusi pengajian tinggi masa
kini. Isu inilah antara yang sangat
diprihatinkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejak puluhan tahun. Ketika menjadi Menteri Pendidikan Malaysia ,
beliau pernah mengarahkan semua Naib Canselor membaca sebuah laporan tentang kemerosotan pengajian
tinggi di Amerika Syarikat. Laporan
tersebut, A Nation at Risk: The Imperative
for Educational Reform - A Report to the Nation and the Secretary of
Education, United States Department of
Education by the National Commission on Excellence in Education, April 1983 mengemukakan
sejumlah perakuan reformasi pendidikan untuk menangani ancaman dan bahaya
akibat ketertinggalan Amerika Syarikat di belakang negara-negara
pesaingnya. Suruhanjaya nasional
tersebut merakamkan keprihatinannya tentang tahap kekuatan intelektual, moral
dan spiritual bangsa Amerika, “Our
concern, however, goes well beyond matters such as industry and commerce. It also includes the intellectual, moral and
spiritual strength of our people which knit together the very fabric of our
society”. Perhatian Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadap
mutu pendidikan dan kualiti kesarjanaan ternyata besar sekali. Meskipun sudah tidak menjadi Menteri
Pendidikan, perkembangan dunia
pendidikan terus diikutinya tanpa henti.
Laporan yang dikaji dan diteliti tidak berhenti pada A Nation at Risk, tetapi dilanjutkan hingga ke laporan-laporan
lain yang berikutnya, termasuk A
Test of Leadership: Charting the Future
of U.S. Higher Education - A Report of the Commission Appointed by
Secretary of Education Margaret Spellings, 2006. Laporan yang disemangati objektif
menangani era baru intellectual capital abad
21 itu memprihatinkan gejala pelbagai rupa kemerosotan dalam pendidikan tinggi negara
kuasa besar itu. Kesimpulan laporan
tersebut menyatakan,
The future of our country’s colleges and universities
is threatened
by global competitive pressures, powerful technological development,
restraints on public finance, and
serious structural limitations that
cry out for reform.
Our report has recommended strategic actions designed to make
higher education more accessible,
more affordable,
and more
accountable, while maintaining world-class quality. Our
colleges
and universities must become
more transparent, faster to respond
to rapidly changing
circumstances and increasingly productive
in order to deal effectively with the powerful forces of change they
now face.
Selain
laporan-laporan badan bentukan pemerintah, terdapat pula lambakan buku-buku
yang menyuarakan kritik dan keprihatinan terhadap orientasi dan kualiti
institusi-institusi pengajian tinggi di
pelbagai rantau dunia. Dalam isu ini, institusi-institusi
pengajian tinggi Islam juga tidak terkecuali. Keunggulan universiti al-Azhar
sendiri kini dipersoalkan. Dalam
tulisannya Risalat al-Azhar bayna al-ams
wa al-yawm wa al-ghad (Misi al-Azhar:
kelmarin, kini dan nanti) Dr.Yusuf al-Qaradawiy menyarankan agar al-Azhar
melakukan kritik diri (al-naqd al-dhatiy) setelah demikian banyak aduan tentang
berlakunya gejala kemorosotan standard dan kualiti (hubut al-mustawa wa su’ al-nata’ij) dalam sistem persekolahan
al-Azhar. Al-Qaradawiy juga menyarankan
agar kurikulum pengajian Islam di Azhar diubahsuai dan dikemaskini, termasuk mata kuliah usuluddin dan fiqhnya
yang sebahagian kandungannya dinilai sudah ketinggalan zaman dan tidak mampu
menjawab persoalan-persoalan masa kini. Beliau
juga sangat memprihatinkan budaya ketergantungan pelajar kepada nota para
pensyarah. Menurutnya, penerbitan dan
pengedaran nota-nota (al-mudhakkirat)
itu lebih bermotif keuntungan untuk pensyarah daripada manfaat bagi pelajar.
Fahmi
Huwaydiy, penulis prolifik dan
cendekiawan Mesir terkenal, juga pernah
meyuarakan keprihatinannya terhadap kualiti pengajian al-Azhar lewat
makalah-makalahnya, al-Azhar fi khatar (al-Azhar dalam bahaya) dan al-Watha’iq hina tatakallam (apabila dokumen-dokumen berbicara
sendiri). Meskipun kenyataan-kenyataannya
dalam makalah-makalah yang disiarkan dalam akhbar al-Ahram (Mac1998) itu ditolak dan dinafikan oleh wakil al-Azhar,
Huwaydiy dihujani surat-surat dukungan dari pelbagai pihak termasuk para ulama
al-Azhar sendiri yang menggesa agar al-Azhar diselamatkan dan dikembalikan
kepada misinya yang sebenar. Juga dari
ibu-bapa penuntut yang mengadukan kemerosotan standard anak-anak mereka yang
belajar di al-Azhar.
Isu pokok dalam
ranah kecendekiawanan masa kini, sebenarnya bukan sangat segi kuantitinya, tetapi lebih dari segi kualitinya. Ramainya bilangan yang berijazah, bukan
indikator yang sah tentang kekuatan intelektualisme umat. Dalam kaitan ini mungkin ada manfaatnya kita
merenung jawapan Mitsuo Nakamura (Profesor Emeritus, Chiba University, Jepun) kepada
pertanyaan majalah TEMPO (10-16 Ogos 2015) tentang peranan organisasi besar
seperti Muhammadiyah dalam pengembangan sektor pendidikan. Cendekiawan yang terkenal akrab dengan Indonesia itu
menyatakan, “Mereka harus mencegah inflasi akademis. Kita tahu, jumlah lulusan perguruan tinggi di
Indonesia
sangat besar. Banyak lulusan magister
dan doktoral di sini, tetapi kualitasnya diragukan. Semestinya ada kontrol yang
ketat terhadap kualitas para master dan doktor itu. Saya mencontohkan beberapa orang yang saya
kenal. Mereka mendapatkan ijazah S-3
padahal jarang melakukan penelitian dan jarang menulis makalah. Jadi mereka semacam hanya duduk di atas gelar
S3-nya.”
Membaca
kata-kata Nakamura tersebut, terasa
seolah-olah beliau juga berbicara tentang Malaysia . Justeru, kita dapat mengongsi keprihatinan
dan saranannya. Lebih memprihatinkan
lagi, Institusi-institusi pengajian
tinggi kita sudah begitu parah mengalami
politisasi dan komersialisasi yang keterlaluan.
Peristiwa tindakan pihak pentadbiran universiti menghukum pemimpin
mahasiswa hanya kerana menganjurkan forum GST dengan menghadirkan pembicara
yang kritis dan menguasai subjek perbahasan forum. Amalan memaksakan pandangan sebelah pihak ke
atas mahasiswa universiti mengingatkan
kita kepada dasar pembelengguan
pemikiran rejim Fir’aun seperti yang terumus dalam ayat 29 surah Ghafir (…aku tidak perlihatkan kepada
kamu selain apa yang aku lihat).
Pendidikan yang membelenggu
pemikiran rakyat dapat disebut sebagai the education proper to slaves…unlike the
education proper to free men.
Bagaimana
mungkin kita mengharapkan lahirnya
cendekiawan berkualiti dari
institusi-institusi pengajian tinggi sedemikian. Ijazah tidak memberikan erti apa-apa tanpa
semangat dan jiwa kesarjanaan, iaitu
semangat dan jiwa mencari kebenaran, menghayatinya, megembangkannya dan
memperjuangkannya. Cendekiawan Muslim
seharusnya memiliki kompetensi keilmuan
yang memungkinkannya menjawab
persoalan-persoalan zaman dan lingkungannya.
Untuk menghadapi cabaran realiti hari ini diperlukan ijtihad baru. Tanpa kompetensi berijtihad,
pemikiran Islam akan terus membeku
pada teks-teks warisan zaman silam yang relevan pada zamannya, tetapi tidak semestinya relevan lagi pada
zaman kini dengan segala realiti barunya yang serba kompleks. Kemandulan
intelektual akan mengakibatkan
pelarian umat mencari jawapan di luar Islam.
Ijtihad tidak
hanya memerlukan kefahaman yang mendalam tentang nass (al-Qur’an dan al-Sunnah),
tetapi juga kefahaman yang tepat tentang realiti (waqi`) yang dihadapi. Untuk
memahami waqi` hari ini yang sudah
sedemikian kompleks, tentunya tidak
dengan kitab-kitab peninggalan fuqaha’ silam,
tetapi dengan ilmu-ilmu
kontemporari dari pelbagai disiplin, ilmu-ilmu yang disebut oleh Rashid al-Ghannushiy sebagai al-`ulum al-mutakhassisah fi fiqh
al-waqi` (ilmu-ilmu pengkhususan
dalam fiqh realiti) yang meliputi ilmu-ilmu sosial, ekonomi, sejarah, falsafah dan lain-lain. (Al-Ghannushiy, Rashid, 2000:
112).
Pengkhianatan Intelektual
Dalam wacana-wacana tentang kecendekiawanan selalu dibangkitkan
isu pengkhianatan kaum intelektual.
Memang pengkhianatan selalu
berlaku sepanjang sejarah. Kerana itu
wajar kita mewaspadai gejala yang disebut oleh Hamka sebagai “mengilmiahkan
kebohongan-kebohongan”. Memelihara amanah `ilmiah
seharusnya dijunjung sebagai komitmen keintelektualan, terutama pada zaman leluasanya moral deficit seperti sekarang ini. Sebagai ilmuwan-da`i kita memikul
amanah menampilkan Islam dalam wajah dan
citra hakikinya sebagai agama rahmat
sejagat (rahmatan li al-`alamin). Kita bergembira, sejak kita mengangkat tema ini dalam Muktamar Nasional Kelapan
tahun lalu (20-21 September 2014), banyak pihak yang menyambutnya dengan ghairah dan bersemangat. Kita ingin mengajak rakan-rakan yang
berkongsi aspirasi ini untuk menggembleng kekuatan kolektif memelihara citra rahmatan
li al-`alamin agama ini dengan penuh rasa cemburu. Justeru, kita sama-sama menyedari adanya
kalangan yang mencemari citra agama
rahmah ini dengan menyimbahkan warna perkauman yang pekat, garang dan
menakutkan. Dalam sejarahnya, umat
rantau Melayu telah melaksanakan amanah
pencitraan ini dengan menampilkan wajah Islam yang ramah, santun dan
peduli. Rekod sejarah toleransi yang
unik rantau ini harus dilestarikan
sebagai memenuhi tuntutan amanah keilmuan.
Hubungan Ilmuwan-Penguasa
Isu lain yang
banyak diserlahkan dalam pembicaraan tentang kecendekiawanan ialah hubungan antara ilmuwan dengan
penguasa. Dari al-Ghazaliy (Ihya’ Ulum al-Din) hingga Edward W.Said
(Representations of the Intellectual)
persoalan sikap para ilmuwan terhadap
kekuasaan dibicarakan dalam pelbagai
konteks realiti zaman. Dari segi
idealnya, tidak seharusnya ada masalah
antara kedua pihak tersebut seperti yang berlaku pada zaman awal sejarah Islam.
Para penguasa (al-khulafa’ al-Rashidun) adalah juga ilmuwan-ilmuwan yang kompeten
dan komited. Tetapi dalam perkembangan
sejarah kemudiannya, kekuasaan menjadi
monopoli elit politik keluarga tertentu dan dengan demikian partisipasi para ilmuwan semakin terbatas. Meskipun masih ada ulama yang menempati posisi-posisi pemerintahan, tetapi dapat dikesan berlakunya pengunduran
yang fenomenal para ulama dari politik kekuasaan, terutama ketika leluasanya kezaliman,
kefasikan dan kefasadan dalam
pemerintahan. Dalam konteks seperti
itulah al-Ghazaliy menyarankan agar ulama menjauhi penguasa.
Pada suatu
ketika kekuatan kedua pihak agak
seimbang. Penguasa memiliki tentera dan
senjata, sementara ulama memiliki massa pendukung yang setia. Tetapi keseimbangan tersebut tidak sentiasa dapat dipertahankan. Ketika ulama tidak lagi mengakar di tengah
umat, penguasa menjadi leluasa, menggunakan wewenang dengan
sewenang-wenang. Sebahagian ulama, seperti yang disebut oleh al-Qaradawiy dalam
konteks politik Asia Barat ketika
ini, sudah menjadi `ulama’ al-sultah wa `umala’ al-shurtah (ulama penguasa, dan
talibarut polis/tentera). Dengan
demikian telah berlakulah perselingkuhan kaum cendekiawan dengan kekuasaan
politik.
Seperti apa pun
keadaanya, para cendekiawan harus
memiliki keberanian menyatakan kebenaran.
Demikianlah pesan nabawi tentang jihad al-kalimah -
menyatakan kalimat kebenaran di hadapan penguasa zalim, walau apa pun risikonya. Itu jugalah mesej utama Edward W.Said dalam bukunya Representations of the Intellectual yang diungkapkan di bawah bab khusus, Speaking
Truth to Power. Said mengajak kita menjadi intelektual berprinsip,
setia kepada kebenaran dan berani membuat pendirian dalam keadaan sesulit mana
pun. Beliau sangat tidak senang dengan
intelektual opportunist yang
mementingkan diri, mengejar pangkat dan
kedudukan dengan mengenepikan prinsip,
Nothing in my view is more reprehensible than those habits of mind
in the intellectual that induce
avoidance, that characteristic turning
away from a difficult and principled position which you know to be
the right one, but which you decide not to take. You do not want to
appear too political; you are afraid of seeming controversial; you
need the approval of a boss or an authority figure; you want to keep
a reputation for being balanced, objective, moderate; your hope is
to be asked back,
to consult,
to be on a board
or prestigious
committee, and so to remain within the responsible mainstream;
someday you hope to get an honorary degree, big prize,
perhaps
even an ambassadorship. (Said, E.W., 1994:74).
Pesan-pesan
kecendekiawanan Edward W.Said perlu direnung,
khususnya dalam konteks zaman kemerosotan moral kaum intelektual yang
sudah ramai merelakan diri menjadi hamba kekuasaan. Pentingnya pesan-pesan Edward W.Said disebut
oleh Noam Chomsky dalam sambutannya terhadap buku tersebut, “Edward Said helps us to understand who we
are and what we must do if we aspire to be moral agents, not servants of
power.” Hidup sebagai ilmuwan
berprinsip dan bermoral memang banyak risikonya, terutama apabila berhadapan
dengan penguasa politik. Hakikat ini
disedari dan dialami oleh semua mereka yang mengamalkannya, khususnya intelektual di Dunia Ketiga. Soedjatmoko, cendekiawan Indonesia yang
cukup dikenal oleh masyarakat intelektual di dalam dan di luar negara,
menyebut risiko yang dihadapi oleh
mereka yang mempunyai komitmen moral dan kejujuran intelektual,
Theirs is also a risky calling
- squeezed as they are between
their
professional integrity and moral commitment on the one hand and
political pressures on the other.
This means that often the greater
their commitment to moral commitment and scholarly honesty, the
tougher and more agonizing their jobs become. The
price they
sometimes have to pay is loss of their freedom - or even their lives.
(Triman, A.H., 2010: 79-80).
Akhlak Kecendekiawanan
Selain
kompetensi dan amanah keilmuan,
cendekiawan Muslim seharusnya memiliki watak kecendekiawanan yang utuh, bercirikan integriti moral yang tinggi. Yang disebut
ulama pewaris nabi (al-`ulama’ warathat al-anbiya’) adalah ulama yang
mewarisi ilmu, akhlak, watak dan amal perjuangan para anbiya’. Dalam masyarakat kita, ulama selalu
diberi penghormatan panggilan sahib al-fadilah. Tetapi yang sebenarnya layak dipanggil sahib al-fadilah hanyalah mereka yang mengamalkan
al-fada’il. Antara faktor keruntuhan wibawa ulama, selain
kemerosotan kompetensi keilmuan ialah kemerosotan akhlak keulamaan. Mungkin kerana menyedari gejala ini, Dr. Yusuf al-Qaradawiy dalam Risalat al-Azhar mengingatkan para ulama
Azhariy agar menghayati akhlaq al-`ulama’ yang meliputi
sifat-sifat mulia: berani, zuhud,
ikhlas dan `izzah.
Cendekiawan, ilmuwan, intelektual dan ulama harus
memiliki keberanian bersikap,
keberanian menyatakan yang benar,
dan keberanian menghadapi risiko.
Keberanian ulama silam seperti al-Imam Ahmad ibn Hanbal, `Izzuddin ibn
`Abd al-Salam, Ibn Taymiyyah dan lain-lain seharusnya menginspirasikan
kebangkitan kecendekiawanan dengan semangat shaja`at
al-`ulama’ (keberanian para ulama).
Sudah sekian lama kita terbelenggu dalam budaya takut (culture of fear) dan budaya bisu, membiarkan pelbagai kezaliman dan kemungkaran
yang berlaku di hadapan mata. Al-sukut `an al-munkar (membisu terhadap kemungkaran) adalah suatu pengkhianatan intelektual. Ilmuwan
harus berakhlak dengan sifat zuhud dalam pengertian tidak tersihir dengan
pesona dunia, baik berupa harta, pangkat, gelar atau lain-lain sejenisnya.
Ilmuwan harus ikhlas dalam erti ketulusan hati semata-mata demi mencari keredhaan
Allah, bukan mengejar populariti,
publisiti atau citra selebriti.
Ilmuwan juga harus memiliki sifat
`izzah,
menjaga maruah, kehormatan dan harga diri, terutama ketika berhadapan dengan kekuasaan,
kekuatan dan kekayaan. `Izzah tidak bererti membesarkan diri
atau angkuh. Kerana itu ia tidak bertentangan dengan sifat tawadu` yang juga menjadi bahagian daripada akhlaq al-`ulama’.
Bulan lalu kita
menerima khabar yang sangat
memprihatinkan dari Indonesia .
Nahdlatul Ulama (NU), organisasi Islam terbesar di Indonesia ,
melangsungkan muktamarnya yang ke-33 di Jombang, Jawa Timur,
pada 1-6 Ogos yang lalu. Yang
menjadikan kita tersentak ialah laporan
tentang keributan yang berlaku sehingga dianggap sebagai muktamar terburuk
sepanjang sejarah NU. Halaman Opini, Majalah TEMPO (10-16 Ogos,
2015) menyebutnya “Muktamar yang gaduh
hujan protes dan nyaris adu jotos”,
suatu tragedi moral yang
ditafsirkan “seolah-olah persekot
rontoknya adab kaum sarungan ini
- wabilkhusus dalam bermuktamar”. Ada
pula pihak yang melihatnya sebagai
muktamar yang telah dicemari politik
wang dan campurtangan politik kepartian.
Tentu sahaja, kita ikut hiba dengan peristiwa malang yang menimpa organisasi Islam yang
memakai nama Nahdat al-`Ulama’ (Kebangkitan
Ulama), yang memang didominasi oleh para kiyai
dan warga pesantren. Memang suatu
“kemalangan moral” yang serius telah terjadi.
Demikian seriusnya kacau-bilau pelanggaran terhadap nilai-nilai akhlak
dan kehalusan susila sehingga Kiyai Haji Ahmad Mustofa Bisri, Rais Am Pengurus Besar Nahdlatul Ulama menyeru dan
merayu muktamirin dengan kata-kata yang cukup mengharukan, “…dengan hormat,
kalau perlu saya mencium kaki anda semua agar mengikuti akhlakul karimah, akhlak Mbah Hasyim dan
pendahulu kita.” Segalanya telah
terjadi, yang penting kita belajar dari
sejarah, memahami rahsia di balik
peristiwa. Banyak hal-hal yang boleh
disorot dan direnung, termasuk kata-kata
dan tindakan tokoh kiyai-budayawan dan pemimpin organisasi, Kiyai Mustofa Bisri. Beliau akhirnya menolak pelantikan sebagai
Rais Am, walaupun telah disepakati oleh
badan ahl al-hall wa al-`aqd. Kalau mahu, beliau boleh tersenyum megah
dengan kemenangan mutlak yang diraihnya sebagai Rais Am, jawatan pemuncak para
kiyai. Tentu ada mesej penting di sebalik sikap dan
tindakan yang mengejutkan itu. Mungkin
yang beliau rasakan pada saat seperti itu bukan “kemenangan”, tetapi “kegagalan”-nya sebagai
pemimpin-pendidik sehingga akhlak warganya runtuh separah itu. Ada kalangan yang membacanya sebagai penghantaran mesej kepada pimpinan dan warga
NU seluruhnya, bahawa kita harus berasa
malu dan prihatin, di samping berusaha
merangkul semua pihak yang
bertikai, dan untuk itu harus ada tokoh berkredibiliti
dan berintegriti tinggi yang berada di atas segala silang-sengketa konflik
antara kubu. Penampilan tokoh yang memiliki wisdom kepimpinan
memang sangat diperlukan pada saat
memuncaknya kemelut, ketika orang lain hilang
kesedaran, hanyut bersama arus pertarungan hancur-hancuran.
Khatimah
Mustofa Bisri
adalah ilmuwan-penyair yang memiliki ketajaman daya renung dan kepedulian
tinggi terhadap segala yang berlaku kepada agama, bangsa dan negaranya. Berikut kami ungkapkan dua buah puisi
beliau, KAUM BERAGAMA NEGERI
INI dan NEGERI HAHA HIHI. Puisi pertama tentang kelompok umat yang ditimpa penyakit “perasan”, merasa diri paling dekat dengan Tuhan, lalu
merasa layak berbuat apa sahaja atas nama-Nya.
Puisi kedua tergolong dalam
kategori “puisi-puisi balsem”, iaitu puisi
lipur lara sementara. Kita mentertawakan
sebentar kelucuan yang kita saksikan,
tetapi kembali kecewa
sesaat kemudian.
KAUM
BERAGAMA NEGERI INI
Tuhan,
Lihatlah,
betapa baik kaum beragama negeri ini.
Mereka
tak mahu kalah dengan kaum beragama lain
di
negeri-negeri lain.
Demi
mendapatkan ridho-Mu,
mereka
rela mengorbankan saudara-saudara mereka.
Untuk
mendapat tempat terdekat di sisi-Mu,
bahkan
mereka tega menyodok dan menikam hamba-hamba-Mu sendiri.
Demi
memperoleh rahmat-Mu,
mereka
memaafkan kesalahan dan mendiamkan kemungkaran,
bahkan
mendukung kelaliman.
Untuk
membuktikan keluhuran budi mereka,
terhadap
setanpun mereka tak pernah berburuk sangka.
Tuhan,
Lihatlah
betapa baik kaum beragama negeri ini
Mereka
terus membuatkan-Mu rumah-rumah mewah
di
antara gedung-gedung kota
hingga di tengah-tengah sawah
dengan
kibah-kubah megah
dan
menara-menara menjulang
untuk
meneriakkan nama-Mu
menambah
segan dan keder hamba-hamba kecil-Mu
yang
ingin sowan kepada-Mu.
Nama-Mu
mereka nyanyikan
dalam
acara hiburan
hingga
pesta agung kenegaraan.
Mereka
merasa begitu dekat dengan-Mu
hingga
masing-masing merasa berhak mewakili-Mu.
Yang
memiliki kelebihan harta
Membuktikan
kedekatannya dengan harta yang Engkau berikan.
Yang
memiliki kelebihan kekuasaan
Membuktikan
kedekatannya dengan kekuasaannya yang Engkau limpahkan.
Yang
memiliki kelebihan ilmu
Membuktikan
kedekatannya dengan ilmu yang Engkau karuniakan.
Mereka
yang Engkau anugerahi kekuatan
seringkali
bahkan merasa diri Engkau sendiri
Mereka
bukan saja ikut menentukan ibadah
tetapi
juga menetapkan siapa ke sorga siapa ke neraka.
Mereka
sakralkan pendapat mereka
dan
mereka akbarkan semua yang mereka lakukan
hingga
takbir dan ikrar mereka yang kosong
bagai
perut bedug.
Allahu Akbar wa li ‘Llahi ‘l-hamd.
NEGERI HAHA HIHI
Bukan
kerana banyaknya grup lawak
maka
negeriku selalu kocak.
Justeru
grup-grup lawak hanya mengganggu
dan
banyak yang bikin muak.
Negeriku
lucu, dan para pemimpinnya suka mengocok perut.
Banyak
yang terus pamer kebodohan
dengan
keangkuhan yang menggelikan.
Banyak
yang terus pamer keberanian
dengan
kebodohan yang mengharukan.
Banyak
yang terus pamer kekerdilan
dengan
teriakan yang memilukan.
Banyak
yang terus pamer kepengecutan
dengan
lagak yang memuakkan.
Hahaha
Penegak
keadilan jalannya miring
Penuntut
keadilan kepalanya pusing
Hakim
main mata dengan maling
Wakil
rakyat baunya pesing
Hihihihi
Kalian
jual janji-janji untuk menebus kepentingan sendiri.
Kalian
hafal pepatah-petitih untuk mengelabui mereka yang tertindih.
Pepatah-petitih
Hahahaha
Anjing
menggonggong kafilah berlalu,
sambil
menggonggong kalian terus berlalu.
Hahahaha
Sekali
dayung dua pulau terlampaui,
sekali
untung dua pulau terbeli
Hahahaha
Gajah
mati meninggalkan gading,
harimau
mati meninggalkan belang,
kalian
mati meninggalkan hutang.
Hahaha
Hujan
emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri,
lebih
baik yook hujan-hujanan caci maki.
Rujukan
Al-Ghannushiy,
Rashid. 2000. Al-Harakat al-Islamiyyat wa Masalat al-Taghyir.
Al-Mursiy, Kamal
al-din `Abd al-Ghaniy. 2001. Al-`Ilmaniyyat
wa al-`Awlamat wa al-
Azhar.
Iskandariyyah: Al-Maktab al-Jami`iy al-Hadith.
Al-Qaradawiy,
Yusuf. 2009. Risalat
al-Azhar bayna al-Ams wa al-Yawm wa al-Ghad.
Kaherah:
Maktabah Wahbah.
Anwar
Ibrahim. 1997. Gelombang
Kebangkitan Asia. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Huwaydiy, Fahmi.
1994. Al-Tadayyun al-Manqus. Beirut : Dar al-Shuruq.
Said. Edward W.
1994. Representations of the Intellectual: The 1993 Reith Lectures. London :
Vintage.
Triman, Andre
Hero (ed.). 2010. Asia di Mata Soedjatmoko. Jakarta : KOMPAS.
ReplyDeleteBismillahir Rahmanir Rahmanirahim
https://keep.line.me/s/e3CDyq3Xh6tfeqo-Q1f-HigFRyCYa00QAvqdfwTEsuI
Salam dan renungan
Web: almawaddah.info
Kepada;
Yang dihormati Para rektor universiti, para akademik dan para mufti.
Tun,Tan Seri/Datuk Seri/Datin Seri/Datuk/Datin/tuan/puan.
Perkara: "Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bertentangan dengan al-Qur'an dan ayat-ayat al-Qur'an yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah" sebagai kajian dan renungan. Diambil dari web: almawaddah.info
1. Tidakkah al-Qur'an itu asas agama Islam yang diredai oleh Allah dan Rasul-Nya?
2. Tidakkah Islam itu rahmatan lil Alamin?
Terima kasih dan 'afwan.
Daripada;
Pencinta al-Qur'an sebagai asas agama Islam di Malaysia.
.....