Tuesday, November 24, 2015

ANWAR IBRAHIM: BANGKITLAH DEMOKRAT SE DUNIA



Sahabat, rakan demokrat, tetamu terhormat, tuan-tuan dan puan-puan.

Pertama, saya ingin mengalu-alukan kedatangan para peserta dan perwakilan kita ke persidangan ini – persidangan antarabangsa kedua Forum Sedunia Demokrat Muslim.

Saya amat berterima kasih ke atas dokongan Sasakawa (Sasakawa Peace Foundation); Pusat Habibie dan SETA kerana membolehkan pengartikulasi visi bagi menyatukan orang Muslim dalam berusaha mencapai reform demokratik. Khususnya, saya ingin secara peribadi melahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sokongan kuat dan bermakna oleh mantan-mantan presiden BJ Habibie, Abdullah Gul dan juga Dr Rashid Ghannouchi.


Tiga tahun yang lalu, pada Mac 2012, saya berada di Dubai di sebuah persidangan membentangkan tentang perubahan landskap politik di dunia Islam apabila idea forum ini tercetus. Apabila saya menggunakan ungkapan perubahan landskap politik, pada masa itu, itulah gambaran waktu pergolakan semasa yang kita alami. Namun, setelah meninjau kembali, kepesatan, keamatan dan natijahnya tidaklah dijangkakan.

Kebangkitan Arab Spring waktu itu sedang terhurai dengan Tunisia mendahului memecut jejak demokrasi, selepas berjaya menggulingkan Ben Ali, hanya 13 bulan sebelum itu. Tetapi tidak sampai setahun kemudian, Bashar al-Assad memberi amaran kepada penunjuk perasaan tentang akibat “bekerjasama dengan anasir luar untuk menjatuhkan regimnya”.

Tidak lama kemudian, berlaku siri-siri serangan kejam pembunuhan oleh regim Assad ke atas rakyatnya sendiri di bandar Homs. Dua minggu sebelum saya mencapaikan ucaptama di, Ali Abdullah Saleh meletakkan jawatan. Dua bulan kemudian, Dr Mohammed Morsi memenangi pusingan pertama pilihanraya presiden di Mesir dan sehari berikutnya Assad mengarahkan suatu lagi pembunuhan beramai-ramai di Houla.

Tanggal 24 Jun, 2012, suruhanjaya pilihanraya mengumumkan secara rasmi kemenangan Morsi dlam pemilihan presdien. Kemenangannya tipis denga undian baginya 51.7 % berbanding 48.3% untuk pencabarnya.  

Pada Julai 2012, dunia baru sedar bahawa perang saudara besar-besaran telahpun meletus di Syria. Lebih  200,000 pelarian Syrian meninggalkan negara itu.

Pada 9/11 tahun itu, kedutaan Amerika di Benghazi, Libya, diserang dan Duta U.S. Christopher Stevens terbunuh.
Pada November, Morsi meminda perlembagaan bagi  mengupaya presiden “melindungi” negara dan melaksana perundangan tanpa sekatan kehakiman. Lapan bulan kemudian, dia digulingkan oleh sebuah rampasan kuasa tentera.

Pada awal tahun lalu, ISIL muncul sebagai raksasa  “Kraken” semacam jelmaan halus yang mengambil kesempatan ke atas konflik di Syria dan Iraq, ketidakstabilan Timur Tengah serta kelompangan kuasa akibat persengketaan Sunni/Shia di rantau itu. Selanjutnya, adalah apa yang sering dikatakan sebagai sejarah.


Pelajaran Sejarah

Saya mengambil masa mengenangkan peristiwa-peristiwa ini kerana saya mempercayai pengajaran penting sejarah – jika kita mempunyai rasa rendah diri dan keazaman untuk mempelajarinya.

T.S. Eliot mengatakan sejarah boleh bermakna kebebasan tetapi pada masa yang sama mengingatkan  kita bahawa sejarah boleh bererti perhambaan. Itu saya andaikan adalah persoalan jalur sejarah mana yang kita pilih untuk bersama.

Betul, dan ia memang benar. Hari ini, ISIS/ISIL mendapat paparan utama akhbar kerana melakukan keganasan, kekerasan dan kekejaman bukan sahaja di Timur Tengah bahkan di Eropah dan tempat-tempat lain. Bersama-sama dengan al-Shabab, Boko Haram, al-Qaeda, dan organisasi pengganas lain, mereka bersaing untuk  merebut perhatian media dan apa yang mereka mempercayai sebagai sanjungan dan pujaan oleh minda-minda pemuda-pemudi. Kita semua tahu jalur sejarah mana yang akan memperingati mereka.

Saya mungkin bersuara daripada sebuah kamar penjara di Malaysia, setelah dinafikan secara tidak adil kebebasan saya, tetapi ia tidak menjadi halangan untuk melahirkan kesedihan dan kegusaran,  sesiapapun akan merasakannya apabila mengetahui tentang kejadian kejam dan terkutuk – terkini dengan tujuh serangan serentak di Paris.

Tindakan keji pembunuhan ganas dan wewenang ke atas orang awam yang tidak bersalah termasuk wanita dan orang muda wajar dikutuk samasekali. Kita mesti bersama berganding tangan dengan semua pihak, merentasi semua sempadan sempit agama dan kaum, dengan satu mesej tegas – bahawasanya pembunuhan terancangan dan kejam ini ditolak samasekali.

Hari ini, kita berada di atas bucu gelombang lautan perubahan di mana generasi masa depan kita akan menilai kita. Forum demokrat Muslim akan diuji di sini.


Adakah dunia Islam berpeluk tubuh menjauhkan diri apabila demokrasi baru memekar dan masyarakat yang baru bebas di Egypt, Libya dan Iraq runtuh akibat hentakan permainan kuasa-kuasa terpendam (deep state)?

Nampaknya, kitaran sejarah Hegel itu benar. Regim-regim monolitik tersergam teguh dibina atas asas totalitarian dan kuasa kuku besi tidak akan menyerahkan budaya penindasan, kezaliman dan keganasan walaupun berdepan dengan protes besar-besaran rakyat yang mahu perubahan.

Mereka mungkin tersungkur sementara. Tetapi tanpa keazaman tegar rakyat dan pertumbuhan institusi-institusi demokrasi, mereka akan muncul kembali dengan penuh dendam kesumat.

Musim bunga  mungkin berubah menjadi musim dingin kerana senantiasa ada pihak penentang revolusi yang gigih berusaha untuk memusing balik jam ke belakang dan mengembalikan kuasa serta kegemilangan lama mereka yang telah kian menikmati.

Huru hara brutal dan balas dendam berdarah dilancarkan ke atas rakyat sebagai peringatan ngeri betapa terdesak dan kejam tirani dan autokrat apabila enggan menyerahkan kuasa.

Demokrat Muslim tidak boleh membiarkan penguasa terpendam atau teroris terus menerus merampas perjalanan sejarah. Kita mesti merangka laluan baru. Dengan naratif baru ini, sifar toleransi buat mereka.

Kita mesti nyatakan dengan jelas bahawa tindakan pembunuh-pembunuh ini bukan jihad. Ini adalah pemalsuan  Islam dalam bentuk yang paling keji dan kejam. Mereka memakai pakaian berwajah keagamaan dan mendakwa mereka melakukannya untuk Islam serta ummah tetapi apa yang mereka sebenarnya inginkan adalah keuntungan duniawi dan kuasa politik.

Oleh itu, kita mesti mengulangi kutukan ke atas tindakan jahat dan bobrok segelintir fanatik - ISIS/ ISIL sebagai musuh kepada dunia bertamadun.

Keazaman dan perjuangan kita untuk– demokrasi dan keadilan adalah jelas dan tidak akan reda.  Ini adalah insiatif berani – bagi menentukan naratif; bahawa kebebasan dan keadilan; demokrasi dan kedaulatan undang-undang adalah agenda  Muslim yang sejati.


Keutamaan Umat Islam

Dalam dunia yang bertambah bergolak, apa yang kita perlu lakukan adalah untuk fokus kepada apa yang terbaik bagi ummah.

Kita mesti jelas tentang fundamental tadbir urus – ciri-ciri yang menentukan keabsahan kerajaan. Halangan utama dan penyakit ummah adalah ketidakupayaan umat berpartisipasi dalam proses menentukan siapa yang patut mewakili dan memimpin mereka. Inilah pokok permasalahan.

Oleh itu, kita mesti berjuang untuk ekonomi manusiawi dan kerajaan yang bersih serta prihatin. Kita perlu mengimbangi di antara pasaran bebas dan tuntutan keadilan sosial. Kita perlu jaminan perlembagaan tentang hak dan kebebasan asasi, tadbir urus baik dan kebebasan kehakiman.

Bagaimana kita melayani kaum wanita dan kanak-kanak, orang tua dan orang kurang upaya? Kita menuntut hak orang Muslim di negara majoriti  non-Muslim tetapi apa rekod dan posisi kita apabila melindungi hak kaum minoriti di negara-negara Islam?

Kita mesti berjuang membasmikan rasisme dan sifat kebencian di kalangan kita.  Islamophobia bermula di tanah air sendiri. Sunni Muslim takut Shia Muslim dan Shia Muslim takut Sunni Muslim. Dan di dalam pelbagai mazhab pula, ada pecahan-pecahan mazhab yang saling bersyak wasangka.

Kita perlu menjalani kelahiran semula. Ini memerlukan reform dan pembaharuan. Kita perlu berani menelusuri jejak yang dipandukan oleh maqasid al-Shari’a.

Keperluan islah juga menuntut supaya tafsiran perundangan Islam disemak semula bukan sahaja mengambil kira pengalaman umat Islam di bawah pemerintahan  penjajah tetapi hendaklah menekuni maqasid. Kita perlu menekankan sifat Islam yang sebenar, sejahtera dan pluralistik.

Forum ini mesti berusaha menggalakkan intelektual Muslim dan orang ramai kembali kepada keunggulan mesej Islam tentang kebebasan dan rahmatan lil ‘alamin.

Ini seiring dengan trend sihat di kalangan ulama Muslim untuk mendalami ruang dialog peradaban. Kepentingan mengadakan program antara agama perlu ditekankan.

Pemberdayaan ekonomi adalah sangat mustahak. Di kalangan dua bilion lebih jumlah orang Muslim, lebih separuh berada di bawah paras kemiskinan. Peminggiran ekonomi begini menyemai benih yang membawa kepada natijah sosio-ekonomik yang dahsyat.

Idea al-adalatul ijtama’iyya tercabar. Di manakah keadilan sosial seperti dianjurkan oleh al Qur’an and al Sunnah? Apa telah terjadi kepada ajaran Islam tentang kesihatan, pendidikan, perumahan dan pekerjaan?

Ketaksaksamaan buruk yang melanda dunia Islam akan kekal dan bertambah teruk jika tiada usaha kolektif dan bersungguh-sungguh. Negara-negara Islam yang kaya mesti menerajui dan mempelopori gagasan ini berbekalkan keampuhan dan keazaman yang jelas serta cekal bagi mengangkat martabat mereka yang tidak bernasib baik.


Kita tidak boleh menjadi pemerhati semata-mata.

Tragedi terbesar adalah apabila negara-negara Islam lain cenderung menjadi pemerhati semata-mata menonton huru hara dan pembunuhan. Oleh sebab itu, hakikatnya ternyata masa depan negara-negara yang dilanda musibah ini bukan berada di tangan dunia Arab atau Muslim world tetapi di dalam genggaman US dan Eropah. Walaupun dikurniakan kekayaan melimpah ruah minyak dan sumber lain, mereka memilih untuk terlena dibelai ketidakpedulian manakala sebahagiannya berada dalam serba kekalutan.

Adakah kerana apa yang berlaku tidak mengenai kita secara langsung maka kita pun beritahu diri kita bahawa semua ini bukan urusan kita?

Martin Luther King, Jr. mengingatkan kita bahawa “Injustice anywhere is a threat to justice everywhere. We are caught in an inescapable network of mutuality, tied in a single garment of destiny. Whatever affects one directly, affects all indirectly” – Kezaliman di mana saja akan mengancam keadilan kesemuanya. Kita terperangkap dalam rangkaian saling bergantungan diikat dengan se helai perca kain takdir. Apa yang mengenai sesuatu secara langsung akan mempengaruhi yang  lain secara tidak langsung.

Apa yang diperlukan adalah supaya kita kurangkan melihat kepada orang lain tetapi melihat ke dalam diri kita. Tanyalah satu soalan asas: Kenapa pelarian Muslim lebih suka mencari suaka perlindungan di negara-negara Eropah berbandingkan dengan negara Timur Tengah atau negara-negara Muslim lain?

Apakah yang dapat dikatakan tentang keadaan dunia Muslim apabila orang yang paling sengsara, paling tertindas dan paling tidak bernasib baik, memilih untuk mendapat perlindungan di negara-negara seperti Germany, Sweden, Hungary, dan Turki?

Oleh yang demikian, kita perlu melihat kepada kompas moral kita dan bertanyakan ke mana arah penunjuk itu menghala.

Isu keabsahan kerajaan adalah masalah seantero dunia Islam. Walaupun sudah berdekad-dekad lama merdeka, kita masih berhempas pulas dengan persoalan asasi demokrasi, kedaulatan undang-undang, keadilan dan maruah manusia. Penguasa yang ada terlalu asyik berpaut kepada kuasa dan tidak menghindari isu keabsahan politik.


Maju ke depan bersama Maqasid

Berdasarkan maqasid al-Shari’a, sudah cukup anjuran bagi pemimpin-pemimpin Muslim meneruskan tugas mendirikan institusi-institusi tabdir urus demi keadilan, demokrasi dan hak asasi manusia. Itulah cara bagi memacukan kebangkitan ummah.

Keadilan sosial mesti menjadi keutamaan, dan masyarakat Muslim sebagai golongan paling miskin di dunia mesti menangani kemiskinan. Kemiskinan hendaklah dibasmikan dan pendidikan dijadikan hak asasi setiap warga.

Jika berbicara tentang kebangkitan Islam tanpa kebebasan bersuara, atau bebas daripada ancaman penahanan rambang, ianya tidak masuk akal. Pada pendapat saya, kebangkitan Islam adalah tentang memastikan kedaulatan undang-undang, kerajaan bersih, keadilan sosial, dan pemberdayaan budaya di mana wanita tidak dilayani sebagai warga kelas kedua atau dianggap barangan rumah serta kaum minoriti tidak dipinggirkan.

Ini adalah waktu getir bagi dunia Islam dan jalan ke arah pemulihan dan kekuatan itu jauh dan berliku-liku. Cabaran terbesar dihadapi umat bukan datang daripada Barat atau Eropah tetapi dari dalam sanubarinya. Tajdid dan islah mesti datang daripada diri kita sendiri.


Kesimpulan

Revolusi mungkin boleh berlaku sekelip mata semalaman tetapi transisi peralihan kepada demokrasi memerlukan usaha mampan, tekad kolektif dan resolusi tegas bagi membolehkannya berlaku. Jika tidak, berpatah balik ke belakang akan membawa kepada situasi yang lebih buruk daripada keadaan yang cuba digantikan.  

Di rantau ini, kita saksikan pengalaman Indonesia menunjukkan kitaran pertama transformasi telah bergerak. Hak-hak sivil dijamin dan institusi--institusi asasi masyarakat sivil berkembang.

Pilihanraya umumnya bebas dan adil serta telus. Ada institusi-institusi telah berposisi bagi memastikan kewujudan ‘semak dan timbang’ berkesan ke atas kuasa eksekutif, perlindungan hak asasi, kedaulatan undang-undang dan kehakiman bebas.

Menyusuli pilihanraya bebas dan demokratik – adalah isu akauntabiliti demokratik; isu ketaksaksamaan; kualiti pendidikan; dan langkah bagi menangani korupsi tegar bermula. Itulah harapan kita dan bakal cabaran masa mendatang Indonesia, Turki, termasuklah Malaysia. Pemimpin-pemimpin Muslim sudah sepatutnya tidak terkenal sebab banyak mengaut dan mengumpul harta kemewahan peribadi tetapi oleh kerana menyebarkan Rahmatan Lil ‘Alamin.

Akhirkata, izinkan saya untuk mengucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan atas rasa setiakawan mereka – simpati dan sokongan kepada visi ini pada waktu saya direhatkan secara paksa. Inshaa Allah, saya akan kembali tidak lama lagi.

Biarlah saya berpisah dengan puisi se orang penyair Inggeris abad ke 17, yang juga bertuah kerana masuk dan keluar penjara kerana prinsip pegangannya:

“Stone walls do not a prison make,
Nor iron bars a cage;
Minds innocent and quiet take
That for an hermitage;
If I have freedom in my love
And in my soul am free,
Angels alone, that soar above,
Enjoy such liberty.”

Saya ingin menamatkan dengan peringatan bahawa penindasan berterusan oleh diktator dan autokrat kejam – adalah tapak semaian para fanatik. Tanpa harapan reform ataupun perubahan regim secara aman – pilihan yang ada bagi mereka hanyalah janji syurga dengan meletupkan diri mereka

Segelintir teroris yang gasar ingin mewujudkan ketakutan dan memprovokasi supaya berlaku tindakbalas ganas berdasarkan kebencian. Adalah penting kita pastikan mereka gagal berbuat demikian.

Kita mesti ingat bahawa mereka tidak menjadi jurubicara dan mereka tidak mewakili keseluruhan manusia yang cinta kedamaian. Teroris yang sedikit tidak boleh dibenarkan merampas Islam.

Demokrat se dunia, tiba masanya untuk bersatu.




(Terjemahan Ucaptama oleh Dato Seri Anwar Ibrahim, penganjur dan pengasas bersama World Forum for Muslim Democrats – Forum Sedunia Demokrat Muslim, pada Persidangan Antarabangsa Kedua di Jakarta, Indonesia tanggal 23 November, 2015. Ucapan disampaikan oleh Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Malaysia dan Naib Presiden Parti KeAdilan Rakyat)





No comments:

Post a Comment