Sunday, February 28, 2016

DR SIDDIQ FADZIL: MEMPERINGATI WIRA PEMUDA AL KAHFI

TM76





MEMPERINGATI  WIRA DARI GUA:
PEMUDA-PEMUDA AL-KAHFI  DALAM PENCITRAAN  QUR’ANI
(Memahami mesej surah al-kahf ayat   19  -  26)







19.  Dan demikianlah Kami bangunkan mereka, agar di antara mereka saling bertanya.  Salah seorang  di antara mereka berkata, “Sudah berapa lama kamu berada (di sini)?”   Mereka menjawab,  “Kita berada  (di sini)  sehari   atau   setengah hari.”       Berkata (yang lain pula),       “Tuhan-mu    lebih mengetahui  berapa lama kamu berada (di sini).    Maka suruhlah  salah seorang di antara  kamu pergi ke kota  dengan membawa wang perakmu ini,   dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang lebih baik,   dan bawalah  sebahagian  makanan  itu  untukmu,   dan hendaklah dia  berlaku lemah-lembut dan jangan sekali-kali menceritakan halmu kepada sesiapa pun.

20.  Sesungguhnya jika mereka dapat mengetahui tempatmu, nescaya mereka akan melempari kamu dengan batu,  atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika demikian nescaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya.”

21.  Dan demikian (pula) Kami perlihatkan  (manusia) dengan mereka,  agar mereka tahu,    bahawa Janji Allah benar,  dan bahawa (kedatangan) hari Kiamat tidak ada keraguan padanya.     Ketika   mereka  berselisih tentang urusan mereka,  maka mereka berkata, “Dirikanlah sebuah  bangunan di atas  (gua)  mereka,   Tuhan lebih mengetahui tentang mereka.”    Orang   yang  berkuasa  atas urusan mereka berkata, “Kami pasti akan mendirikan sebuah rumah ibadat di atasnya.”

22.  Nanti (ada orang yang akan) mengatakan,  “(jumlah mereka) tiga (orang),  yang keempat adalah anjingnya,” dan (yang lain) mengatakan, “(jumlah mereka) lima (orang),    yang  keenam  adalah anjingnya,”   sebagai terkaan  terhadap yang ghaib;    dan  (yang lain lagi) mengatakan, “(jumlah mereka) tujuh (orang), yang kedelapan adalah anjingnya.”   Katakanlah (Muhammad),  “Tuhan-ku lebih mengetahui  jumlah  mereka;    tidak ada yang mengetahui  (bilangan)  mereka  kecualisedikit.”    Kerana  itu janganlah engkau (Muhammad) berbantah  tentang  hal mereka,    kecuali perbantahan lahir sahaja dan jangan engkau menanyakan tentang mereka (pemuda-pemuda    itu) kepada siapa pun.            

23.  Dan janganlah sekali-kali engkau mengatakan terhadap sesuatu, “Aku pasti melakukan itu besok pagi, “

24.  kecuali  (dengan mengatakan),  “In sha’a ‘Llah.”   Dan ingatlah kepada Tuhan-mu apabila engkau lupa dan katakanlah, “Mudah-mudahan Tuhan-ku akan memberiku petunjuk kepadaku agar aku yang lebih dekat (kebenarannya) daripada ini.”

25.  Dan mereka tinggal dalam gua selama tiga ratus tahun dan ditambah sembilan tahun. 

26.  Katakanlah, “Allah lebih mengetahui berapa lamanya mereka tinggal (di gua);  miliknya semua yang tersembunyi di langit dan di bumi.  Alangkah terang penglihatan-Nya dan alangkah tajam pendengaran-Nya;   tidak  ada  seorang pelindung pun  bagi  mereka selain  Dia;   dan Dia tidak mengambil seorang pun menjadi sekutu-Nya dalam menetapkan  keputusan.”





Mukadimah

Ashab al-Kahf  bukan sekadar sebuah kisah,  tetapi suatu peristiwa sejarah yang diabadikan dalam al-Qur’an untuk menyampaikan mesej  tentang erti hakiki  kewiraan yang bercirikan iman dan perjuangan.   Peristiwa heroik tersebut berlaku pada awal tarikh masihi,  di sebuah kota (yang tidak jelas namanya) dalam kerajaan Romawi purba,  ketika  memuncaknya  reign of terror dan gaya hidup materialistik-hedonistik dalam tradisi keagamaan memuja berhala yang dipaksakan ke atas seluruh warga.     Sepanjang era tersebut,  kuasa adalah segala-gala.  Yang berkuatkuasa adalah undang-undang rimba   -   yang besar membuli yang kecil, yang kuat memangsakan yang lemah.  Golongan elit penguasa merajalela memaksakan kemahuannya ke atas rakyat jelata.  Prinsip keadilan, kebebasan,  hak asasi  dan segala nilai murni peradaban hancur dimamah keserakahan penguasa.    Kerajaan  menguasai dan mendominasi segala sumber kehidupan.  Segalanya dari kerajaan,  sehingga tidak ada siapa pun boleh memiliki apa-apa (kekayaan,  kehormatan,  keselesaan dll)  tanpa izin dan restu kerajaan.   Semuanya harus ditentukan oleh kerajaan,   termasuk kepercayaan dan agama anutan.   Tidak ada siapa pun yang boleh menganut agama selain agama negara -  menyembah berhala.   Sistem sedemikian telah menyuburkan budaya  opportunism dalam kalangan rakyat     -    untuk hidup harus mengampu kerajaan.   Demikianlah,  rakyat rata-rata sudah menjadi  hamba nafsu kebendaan dan pengabdi kekuasaan.      Tidak mematuhi kemahuan kerajaan,  alamat celakalah padahnya.                      

Tuhan yang Maha Penyayang,  tebaran rahmat-Nya amat luas,  boleh sampai ke mana sahaja,  dan boleh menjangkau siapa sahaja yang dikehendaki-Nya.   Di tengah masyarakat yang rosak separah itu,  masih ada rahmat hidayah yang menyerap ke dalam hati sekumpulan anak-anak muda.  Merekalah ashab al-kahf  yang berlindung di gua demi menyelamatkan iman dan pendirian mereka.  Keberanian bersikap   -   menolak  agama dan budaya sesat anutan penguasa dan masyarakat  -  mendedahkan diri mereka kepada bahaya deraan kejam penguasa yang sudah mengerahkan seluruh jenteranya menangkap mereka.     Pemuda-pemuda al-kahf  itu menjadi buruan  rejim kuku besi  yang mulai merasa  tergugat.   Bagi kerajaan, mereka adalah “musuh” negara, “pengkhianat” bangsa,  dan “perosak” agama.     Jumlah mereka memang sangat kecil,   hanya beberapa orang,  tetapi keberanian mereka menolak agama dan budaya pihak berkuasa tetap menakutkan kerana mereka memiliki potensi besar membenihkan kesedaran rakyat.  Justeru, mereka memiliki kekuatan iman, kekuatan fikrah,  kekuatan daya tahan dan daya juang yang luar biasa.     

Dalam situasi sedemikian,  satu-satunya pilihan bagi pemuda-pemuda al-kahf  tersebut ialah `uzlah,   mencari tempat berlindung yang selamat,    sebuah gua yang meskipun pada zahirnya kasar, kelam, sempit, berbahaya dan menyeramkan;   tetapi apabila Tuhan berkenan menabur rahmat-Nya,  ia  menjadi lapang dan nyaman.   Demikianlah,  hakikatnya  mereka lari kepada (perlindungan) Allah.    Tidak ada perlindungan lebih selamat dan lebih nyaman daripada perlindungan Allah.  Di sanalah berlakunya     tadbir perencanaan Tuhan yang Maha Bijaksana,    mereka tertidur  dalam belaian rahmat Ilahi selama lebih tiga ratus tahun.         


Huraian Maksud Ayat

Ayat 19 menyerlahkan kekuasaan Tuhan yang amat menakjubkan dengan membangunkan pemuda-pemuda al-kahf  setelah ditidurkan selama ratusan tahun dalam keadaan sihat, segar-bugar walaupun tanpa makan-minum  selama tempoh tersebut.       Mereka sendiri tidak menyangka telah tidur selama itu.    Mereka hanya menduga paling lama sehari atau setengah hari.        Keajaiban tersebut bukan untuk dirahsiakan,  tetapi kemudiannya didedahkan kepada umum dengan bukti nyata yang cukup meyakinkan.    Tujuannya ialah untuk menjawab isu keraguan terhadap hari kebangkitan.   Setelah Kiamat,   manusia yang semuanya telah mati  dibangkitkan semula.  Justeru,  bangun dari tidur ratusan  tahun,  hakikatnya  hampir sama dengan bangun semula setelah mati.      Keajaiban tersebut adalah bukti bahawa segala janji Ilahi pasti ditepati.

Pemuda-pemuda al-kahf yang tertanya-tanya selama mana mereka telah tidur,   akhirnya menyerahkan persoalan tersebut kepada Tuhan Yang Maha Mengetahui.   Demikianlah adab manusia mukmin ketika berhadapan dengan sesuatu kemusykilan.   Soal-jawab tentang persoalan seperti itu tidak perlu diperpanjang.    Mereka segera beralih kepada persoalan lain yang lebih mendesak bahawa mereka sama-sama lapar dan perlu makan.      Peristiwa masuk kota untuk membeli makanan inilah pula yang menyedut perhatian orang ramai terhadap siapa sebenarnya mereka,  dan mengungkapkan semula sejarah yang tercipta lebih tiga abad yang lalu.       Warga kota dapat mengesan jejak  pemuda al-kahf itu menerusi  wang perak  (dirham) yang dihulurkan untuk  membeli makanan,   atau mungkin juga dari dialek pertuturan dan pakaiannya.     

Memang rencana Tuhan mahu membuka peristiwa ini kepada pengetahuan umum dengan maksud yang dinyatakan secara eksplisit dalam ayat 21,    iaitu untuk meyakinkan mereka bahawa janji Ilahi membangkitkan manusia yang telah mati bukan gertak kosong,  tetapi benar-benar akan terjadi.        Selain itu tersirat pula hakikat bahawa isu kehilangan misterius sekumpulan pemuda beriman itu masih terus hidup di tengah masyarakat walaupun setelah tiga abad.     Selama tempoh tersebut banyak perubahan telah berlaku,   termasuk berakhirnya  pemerintahan rejim zalim pemuja berhala  zaman pemuda kahfi,    digantikan oleh kerajaan baru yang beriman.    Ternyata yang berubah bukan hanya raja yang memerintah,   tetapi yang lebih bererti lagi ialah berubahnya agama, budaya, ideologi, sistem nilai, dan cara berfikir rakyat.    Generasi yang hidup pada zaman pemerintahan baru inilah yang memiliki kesedaran sejarah tentang kehebatan pemuda-pemuda yang berani bersikap   menolak tradisi bejat dan sesat untuk memilih iman dengan segala risikonya.        Di mata generasi baru ini,     pemuda-pemuda al-kahf bukan lagi orang-orang buruan,  tetapi pahlawan yang sangat menginspirasikan.       Demikianlah hakikatnya,    citra manusia dalam sejarah boleh berubah.

Pemuda-pemuda al-kahf itu sendiri memang tidak menyedari perubahan yang telah berlaku.   Masa yang dilalui dalam gua terasa seperti baru sehari atau setengah hari.    Rasa cemas masih menghantui perasaan mereka.   Kerana itu mereka sangat berhati-hati merencana strategi,    jangan sampai ada yang tahu siapa mereka dan di mana tempat persembunyian mereka.  Andainya mereka tertangkap,  risikonya besar sekali    -     direjam atau didera untuk memaksa mereka kembali  kepada agama dan budaya sesat.    Risiko berat inilah yang mereka cuba hindari,  kerana mereka tahu benar  bahawa kembali kepada kesesatan bererti  rugi besar duniawi-ukhrawi.

Al-Qur’an  tidak memaparkan rincian peristiwa yang membawa kepada terungkapnya hakikat bahawa merekalah sebenarnya  pemuda-pemuda al-kahf  yang menghilang (demi menyelamatkan iman) tiga abad yang lalu.   Terdapat indikasi bahawa Tuhan segera mematikan mereka sejurus selepas terungkapnya segala yang terjadi.     Kematian mereka adalah rahmat dari Allah Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat mereka.  Justeru,  serba-serbinya telah berubah sehingga menyukarkan mereka menyesuaikan diri andainya mereka hidup lebih lama lagi.   Selain itu  mereka dihadirkan untuk membawa misi khusus Ilahi,  dan misi tersebut telah sempurna terlaksana.   Mungkin juga kematian yang berlaku pada waktu itu sebagai  rahmat kurnia Allah menyempatkan mereka menyaksikan perubahan yang berlaku walaupun untuk hanya beberapa detik.        

Al-Qur’an hanya menggambarkan sambutan hangat masyarakat terhadap kemunculan semula pahlawan-pahlawan yang selama ini terselubung misteri dan teka-teki.  Demikian tingginya penghormatan mereka terhadap pemuda-pemuda ashab al-kahf itu sehingga gua persembunyian mereka menjadi tumpuan ramai,   masing-masing ingin mengabadikan rasa hormat dan apresiasi dengan cara sendiri-sendiri.     Ayat 21 menyatakan berlakunya perselisihan dalam kalangan pelbagai pihak tentang apa yang harus dilakukan terhadap gua persembunyian yang menyimpan sejarah besar  yang ketika itu sudah menjadi makam pahlawan.     Ada yang ingin membina bangunan tugu peringatan,  sementara pihak berkuasa pula memutuskan untuk membina masjid di atasnya.    Di balik pengkisahan tentang perselisihan tersebut,   tersirat suatu hakikat bahawa semuanya adalah pengagum-pengagum  ashab al-kahf  yang berkongsi keinginan  mengabadikan sanjungan, hormat dan apresiasi dengan cara masing-masing.      Demikianlah terciptanya peristiwa sejarah yang cukup mengharukan:   kelmarin diburu sebagai pengkhianat,  hari ini dinobat sebagai pahlawan.   Ia berlaku dengan kuasa Allah menurut sunnah aturan-Nya.       Memang sejarah mempunyai undang-undangnya sendiri yang menjadi bahagian daripada sunnatu ‘Llah.  

Wira-wira al-kahf itu telah mati,    tetapi al-Qur’an membayangkan kisah mereka tidak pernah mati.   Polemik dan debat tentang persoalan-persoalan  di sekitar mereka terus berlaku sepanjang zaman.  Ayat 22 menyebut bahawa suatu ketika nanti akan muncul   pelbagai teori tentang jumlah sebenar  pemuda-pemuda tersebut    -      tiga, lima atau tujuh orang.    Ternyata minat untuk menelusuri lebih jauh tentang ashab al-kahf terus tumbuh terutama dalam kalangan ilmuwan-sejarawan.  Terasa ada isyarat pada ayat tersebut bahawa yang benar adalah tujuh orang.   Yang mengatakan tiga dan lima orang disebut  rajman bi ‘l-ghayb (terkaan terhadap yang ghaib),    tetapi  yang mengatakan tujuh orang tidak disebut demikian.    Bagaimanapun gaya dan nada al-Qur’an mengungkapkan isu tersebut memberikan indikasi bahawa soal jumlah pemuda yang terlibat tidak perlu dipolemikkan.   Yang penting dalam  pengajian sejarah bukan rincian kisah,    tetapi `ibrah  atau iktibar pengajarannya.  Dalam konteks ashab al-kahf,    berapa pun jumlahnya  (tiga, lima atau tujuh)  tidak merubah pengajaran yang terkandung dalam peristiwa sejarah tersebut.

Ayat-ayat seterusnya membawakan pesan Tuhan tentang bagaimana menyikapi  persoalan-persoalan ghaybiyyat (perkara-perkara ghaib)  baik mengenai masa lalu atau masa mendatang.    Hal-hal seperti itu hanya Tuhan yang tahu.  Kerana itu serahkan dan kembalikan sahaja kepada-Nya dengan kata Allahu a`lam (Allah sahajalah yang lebih tahu).   Ilmuwan-sejarawan tidak perlu mengada-ngada,   berteori dan berhipotesis tentang hal-hal ghaib yang di luar daerah jangkauannya.   Sebagaimana masa lalu,   masa depan juga adalah daerah ghaybiyyat  yang  hanya diketahui dengan pasti oleh Tuhan sendiri.   Memang kita harus  melihat ke hadapan,  merancang dan bersiap menghadapi  kemungkinan-kemungkinan masa depan.    Tetapi  penentu apa yang akan terjadi adalah kuasa Allah.   Kerana itu apa pun yang kita ingin lakukan harus disandarkan kepada Allah dengan in sha’a ‘Llah.

Sikap mengembalikan segalanya kepada Allah dan menyandarkan segalanya kepada kuasa Allah adalah bahagian daripada implikasi tauhid.    Allah adalah kuasa tunggal yang semutlaknya dalam menentukan segala-gala.

Khatimah

Citra manusia dalam sejarah boleh berubah  kerana ini tertakluk kepada penafsiran semula dari masa ke masa berasaskan perspektif  dan sudut pandang yang berbeza dan berubah.  Pencitraan palsu oleh media propaganda politik tidak akan mampu bertahan lama kerana dasarnya bukan fakta dan kebenaran.      Apa yang selalu dipromosikan sebagai  “sejarah” seringkali berupa versi bikinan pemerintah yang didasari motif kepentingan.    Sejarah yang direkayasa seperti itulah yang selalu dipenuhi distorsi  sehingga menciptakan fenomena tragik  ramainya pahlawan yang tidak didendang. Tetapi akan sampai masanya,   sejarah bikinan seperti itu tidak  mampu berhadapan dengan sejarah tandingan yang berasaskan kejujuran ilmiah.     
       


KDH:27022016.

1 comment: