Monday, March 14, 2016

MERA'IKAN KEPELBAGAIAN PANDANGAN: RASULULLAH s.a.w. DAN ETIKA DIALOG



Islam mera’i kepelbagaian pandangan dan pendapat. Al-Quran menggariskan ciri-ciri hamba yang beriman dan bertaqwa,  di antara lain adalah merujuk kepada firman Allah swt:-



"Dan orang-orang yang menjauhi thaghut (yaitu) tidak menyembahnya dan kembali kepada Allah, bagi mereka berita gembira; gembirakan hamba-hamba-Ku iaitu mereka yang mendengar pelbagai kata, lalu (memikirkannya dan) mengikut apa yang terbaik darinya. Mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna" - [al-Zumar 39:17-18].

Rasulullah s.a.w. telah menunjuk sikap sabar, tenang dan toleran serta hormat yang luar biasa terhadap mereka yang berbeda pandangan. Pada suatu hari, Utbah bin Rabi’ah, salah seorang cerdik pandai Quraisy, atas desakan kaumnya, telah bersemuka dengan Rasulullah s.a.w. lalu berhujjah dengan panjang lebar. Dia mengajukan di  antara lain, menegaskan bahawa risalah yang dibawa Baginda s.a.w. telah memecahbelahkan masyarakat, kerana itu Baginda s.a.w. diminta berhenti dari meneruskan seruannya.

Ketika Utbah terhenti-henti dalam bicaranya, Rasulullah s.a.w. mencelah: [Ya Aba al-Walid, (teruskan), aku mendengar].

Utbah lalu meneruskan kata-katanya dengan membuat pelbagai tawaran agar Baginda s.a.w. meninggalkan dakwahnya: [Kalau harta yang kau inginkan melalui seruan ini, kami sedia mengumpulkan harta-harta kami untukmu sehingga engkau menjadi orang yang terkaya di antara kami. Kalau engkau inginkan kemuliaan, kami sedia melantikmu sebagai pemimpin termulia di antara kami, dan kami tidak akan membuat keputusan tanpa merujuk kepadamu. Kalau kau ingin menjadi raja, maka kami sedia melantikmu sebagai raja kami. Kalau ada ‘gangguan’ yang tidak dapat kau tolak, maka kami sanggup berhabis-habisan dengan harta kami mencari tabib yang boleh mengubatimu].

Apabila Utbah berhenti, Rasulullah s.a.w. bertanya: [Sudah selesaikah, Ya Aba al-Walid?]. Utbah menjawab: [Ya]. Maka Rasulullah s.a.w. pun berkata: [Sekarang, dengar pula dariku]. Lalu Rasulullah s.a.w. membaca ayat-ayat dari surah al-Fussilat. Baginda lalu sujud ketika sampai ke ayat sajdah iaitu:-



Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah.
(Fussilat 41:37)

Selesai membaca, Rasulullah s.a.w. bertanya: [Sudahkah kau dengar apa yang aku bacakan tadi ya Aba Al-Walid?]. Utbah terkedu, tanpa berkata apa-apa lalu beredar menemui kaumnya yang sedang menanti hasil dari dialog itu.

Ternyata Rasulullah s.a.w. memberi ruang seluas-luasnya kepada Utbah untuk berkata-kata menyampaikan pandangannya. Baginda s.a.w. tidak mengganggu dan memotong cakapnya. Bahkan Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa dia memberi perhatian penuh kepada apa yang disampaikan: [Teruskan, aku mendengar]. Apabila Utbah selesai berbicara, Baginda bertanya lagi: [Sudah selesaikah, Ya Aba al-Walid?]. Bila tiada lagi kata-kata dari Utbah, barulah Baginda memulakan bicaranya. Rasulullah s.a.w. juga mendapatkan kepastian bahawa apa yang disampaikannya benar-benar didengar oleh Utbah sebagai balasan dari Rasulullah yang tekun mendengar kata-katanya. Ketika memanggilnya, Rasulullah s.a.w. memanggilnya dengan gelaran yang disukainya [Ya Aba al-Walid] sebagai tanda hormat kepadanya.

Rasulullah s.a.w. adalah sosok manusia insan kamil yang sempurna dalam segala halnya. Suatu kesempurnaannya adalah caranya dalam melakukan dialog dan menjalin komunikasi dengan kawan mahupun lawannya. Kehebatan komunikasinya itulah yang dapat “mempesonakan” orang sehingga tertarik, kemudian mengikuti ajaran yang dibawanya.

Muhammad s.a.w. sudah tentu bukan ahli sihir. Kemampuan komunikasinya bukan dari hasil mistik. Lebih dari itu, tentu saja Nabi s.a.w. mempunyai berbagai kelebihan yang bersifat mu’jizati.

Suatu rahsia keberhasilan Rasulullah s.a.w. dalam berbagai dialognya adalah kesediaannya menjadi pendengar yang baik. Rasululllah s.a.w. tidak saja pandai berbicara, tapi juga pandai mendengar. Selain menjadi pembicara yang baik, beliau adalah pendengar yag sangat baik. Kisah di atas adalah Rasulullah s.a.w. ketika berdialog dengan perunding ulung Quraish yang akhirnya takluk setelah berdialog dengan beliau.

Jika kita perhatikan percakapan di antara Rasulullah s.a.w. dengan Utbah, perbualannya sungguh sangat menarik. Selain kualiti pembicaraannya yang bagus, cara dialognya juga mempesona. Rasulullah s.a.w. sebagai tuan rumah terlebih dahulu mempersilakan tetamunya untuk menyampaikan maksud kedatangannya. Dengan penuh perhatian Baginda s.a.w. mendengarkan sehingga pembicara tuntas menyampaikan maksudnya. Beliau tidak memotong pembicaraan lawan bicaranya, malah Baginda s.a.w. bertanya kepadanya, Wahai Abul Walid, apakah kamu sudah selesai?

Kesediaan Rasulullah s.a.w. mendengarkan hingga tuntas pembicaraan orang merupakan cerminan akhlaq beliau yang sangat mulia. Dengan akhlaq mulia itulah Rasulullah s.a.w. menakluk hati orang, sehingga bersedia mendengar risalahnya dan mempertimbangkan dakwahnya.

Utbah adalah salah seorang mitra dialog yang kemudian tertarik dan terpesona dengan gaya komunikasi Baginda s.a.w. Tidaklah menghairankan apabila teman-teman Utbah kemudian mengatakan kepadanya bahawa Utbah telah tersihir oleh  ucapan Muhammad s.a.w.

Jika dihitung, ucapan Utbah jauh lebih banyak daripada ucapan Rasulullah s.a.w. Bahkan Baginda hanya membacakan beberapa ayat suci al-Qur’an. Justeru dengan berhemat bicara inilah akhirnya Utbah tertarik, dan akhirnya menyerah.

Demikianlah sikap dan akhlak Rasulullah s.a.w. ketika berdialog, sekalipun yang dihadapi adalah mereka yang memusuhinya. Sebagai umatnya tentu sangat baik jika kita mencontohi dan mempraktikkan gaya Rasulullah s.a.w. dalam berdialog dan berkomunikasi.



(Adaptasi dan suntingan nukilan Cikgu Abd Halim Ismail, Setiausaha Agong dan juga coretan oleh Pengusaha Muslim Ideologis)



No comments:

Post a Comment