Thursday, June 9, 2016

ANWAR IBRAHIM: KASIH SAYANG DAN KEMAAFAN: WACANA NAHDAH ASIA





Kemaraan dan penglibatan Anwar Ibrahim sebagai ahli politik tersohor di dalam kerajaan Malaysia terhenti secara mendadak pada 1998 apabila dia dipecat daripada semua jawatan-jawatan yang disandangnya. Setelah Anwar menganjurkan protes reformasi terbesar di dalam sejarah negara, rumahnya diserbu, dia ditahan dalam jel tanpa ikatjamin, digari, diikat penutup mata dan dia dipukul oleh Ketua Polis Negara waktu itu. 

Pada ketika itu apabila dia menjadi mangsa keganasan polis, ramai tersilap menyangkakan bahawa dia telah mati. Gambarnya yang terkenal menunjukkan matanya yang lebam dipukul menjadi simbol penganiayaannya seantero dunia dan pukulan itu meninggalkan kesan kepada badannya menyebabkan kecederaan belakangnya memerlukan pemakaian bres pengukuh sepanjang masa.

Walaupun mengalami kecederaan serious dan layanan yang keras, Anwar Ibrahim seorang yang pemaaf. Dia tidak mengharapkan pihak berkuasa memohon maaf dan dia tidak bercadang untuk menyaman kerajaan. “Bolehkah Hitler disaman?” dia bertanya. 

Anwar pembantu rapat bekas perdana menteri Mahathir Muhammad dan dikatakan menjadi bakal penggantinya. Anwar berdepan dengan keluarga Mahathir apabila dia cuba menangani gejala rasuah, sehingga dia ditangkap serta disabitan kesalahan pada tuduhan kali pertama.  Dia dianggap sebagai tahanan nurani - prisoner of conscience oleh Amnesty International sebanyak dua kali pada pemenjaraan pertama dan pemenjaraannya yang terkini, dan Anwar menerima sokongan luas daripada seluruh dunia membantah pemenjaraannya.

Anwar telah dibicarakan dan disabit kesalahan rasuah berkaitan kesalahan seksual yang penuh kesangsian pada 1999. Kemudiannya dia disabitkan dan dipenjarakan atas salahlaku seksual yang akhirnya setelah melalui proses rayuan yang berjela, Anwar didapati tidak bersalah dan dibebaskan. Peristiwa itu adalah di antara episod paling memalukan dan mengarut yang berlaku di mahkamah apabila sebuah tilam yang comot yang dibawa mundar mandir dan kononnya dipamerkan sebagai “bukti kukuh”. Media rasmi dan saluran berita utama bermaharajalela menfitnah dan menghina Anwar Ibrahim. Pada 2008 adegan memualkan ini diulangi lagi.

Perbicaraan-perbicaraan pertama dikendalikan sewaktu pergeseran pertembungan politik, serta pertikaian tajam di antara Mahathir and Anwar Ibrahim tentang langkah-langkah kewangan dan ekonomi yang dilaksanakan sedang negara menghadapi krisis ekonomi merudum dan tuduhan sengit mengenai kronisme di peringkat tertinggi negara. 6 tahun kemudian, pengganti Dr. Mahathir’, Abdullah Ahmad Badawi, membebaskan Anwar menyebabkan kegusaran Mahathir. Anwar terus menjadi pemimpin pakatan pembangkang sehinggalah dipenjarakan buat kali kedua atas dakwaan yang juga dianggap sangsi.  Mahathir tidak pernah memaafkan Abdullah Badawi kerana memberikan ruang yang mengizinkan Anwar dibebaskan.

Orang yang berkesempatan bersua dengan Anwar Ibrahim akan menyedari dia mempunyai deria lucu yang kuat dan keberanian teguh yakin bahawa dia tidak bersalah, dan rasa humor serta keyakinan teguh inilah yang membantunya mengharungi 6 tahun kurungan penjara berseorangan pada pertama kali.

Apabila bercakap tentang masanya di penjara, Anwar menceritakan kesusahan dan sengsaranya apabila kehilangan orang tersayangnya dan kematian mereka yang paling rapat dengannya. Bagi mengharungi waktu yang sulit itu, dia bergantung gigih kepada al Qur’an, membaca kitab-kitab agama Islam, solat dan doa. Dia memenuhi masanya dengan menelaah dan menyelami buku-buku. Dia menekuni sastera kelasik, bukan hanya sumber Islamik tetapi juga teks Bible dan Kung Fu Tze. Dia membaca dan membaca Shakespeare.  Dia menyentuh khusus tentang King Lear, dengan mengatakan, “… King Lear di penjara bersama Cordelia. Dia keluar dengan lebih bijaksana dan lebih menyepi. Apabila aku keluar, aku telah maafkan semua yang berlalu, marilah kita maju ke hadapan.”

Kebanyakan pandangan dan pemikiran politik Anwar berlegar sekeliling peranan ajaran agama tentang keamanan, kerohanian dan kemaafan. “Saya seorang Muslim yang mengamal Islam,” katanya, “dan saya fikir belas kasihan adalah sebahagian ajaran agama.” Bagi Anwar Ibrahim, kasih sayang  bermakna meletakan penekanan dan menitikberatkan kesamaan semua di Malaysia, bukan hanya untuk orang Islam tetapi semua rakyat daripada berbilang agama dan kepercayaan. Menurutnya, “Setelah setengah abad merdeka, kita tidak mahu Melayu miskin dipinggirkan atau Cina didiskriminasi atau India diabaikan.” Dia kata pendiriannya tentang isu demikian tidak menjadikannya “pro-sekular” tetapi menjadikannya “pro keadilan dan kebebasan”.

Anwar bercakap tentang serangan tidak sudah-sudah  Mahathir walaupun dalam senja usia tuanya tanpa menunjukkan sebarang penyesalan atau insaf,  “Apabila saya dibebaskan saya berkata saya akan memaafkan tetapi saya tidak akan melupakan (kezaliman yang diperlakukan ke atas saya dan keluarga). Kemudian Dr Mahathir terus melemparkan tuduhan tidak berasas ke atas peribadi saya. Saya mempunyai hak sebagai seorang insan bagi mempertahankan maruah dan kehormatan saya. Ini bukan sahaja bagi membersihkan nama saya bahkan bagi menjaga nama baik saya melawan serangan jahat ini.

Bercakap tentang hubungannya dengan Mahathir dan samada nasibnya boleh berubah jika dia mengambil pilihan lain, Anwar menjelaskan, “Orang bertanya saya bagaimana saya melihat Mahathir sekarang, dan saya mengambil masa 20 minit bercakap tentang betapa bagusnya semasa bersama dengannya.  Mereka pun hairan, “Tidak, tolonglah bercakap dengan serious..” Saya jawab,  “Betul, saya serious!” Itulah sesuatu yang hebat. Betul, adakalanya saya marah, saya lawan hujahnya, saya sanggah dengan tegas, dalam beberapa perkara saya jelek dengan kepura-puraannya, kezaliman ketara, tetapi saya tidak akan menafikan sumbangan positifnya.   Tetapi pemusnahan institusi-institusi kerajaan, itu tidak boleh dimaafkan. Secara peribadi, saya OK, saya telah beralih, tetapi kehakiman, media, pasukan polis, parlimen, semuanya direndahkan hingga menjadi tidak bererti.”

(Tentang samada dia boleh mengambil pilihan berlainan pada ketika itu) “Oh, saya telah memikirkan lama tentang ini. Anda mesti ingat, saya di dalam penjara, jadi apa yang saya buat? Merenung, membaca dan berfikir. Dan menyanyi, dan saya banyak menyanyi juga. Kita akan merenung kembali, memang sebelum itu kami saling berbaik-baik, dia berbuat baik kepada saya dan saya amatlah baik dan setia kepadanya. Sudah tentu pada masa itu sukar dan getir tetapi saya fikir saya tidak mempunyai pilihan di saat-saat penghujungnya. Sebenarnya, saya telah memberitahu kawan-kawan saya yang kritikal bahawa saya telah bebaskan diri saya daripadanya. Walauapapun, kami berdua sebahagian daripada kerajaan pada masa itu. Ada keputusan-keputusan yang pahit, tetapi kita perlu membataskan garisan pemisah.”

“Perkara seperti ‘bailouts’, hal seperti laporan-laporan rasuah terhadap menteri-menteri di atas meja saya, dan saya diharapkan dan dijangkakan agar mengatakan, “jangan buat apa-apa”… kita mesti bangkitkan ini! Tetapi ada orang kata saya berkompromi, malah sekarang pun ada kawan-kawan yang mengatakan demikian. Tetapi itu bererti saya melanggar had batasnya. Bila dan jika saya ambil alih, bagaimana saya hendak rasionalkan dengan rakyat terhadap apa yang telah berlaku? Jika dilakukan oleh perdana menteri, saya tidak boleh buat apa-apa. Tetapi jika ia direstui oleh saya, saya akan hadapi masalah. Adakah saya menyesalinya? Tidak.  Adakah ia sukar? Ya. Adakah saya mempunyai pilihan lain? Tidak, kecuali bersara awal atau mati sebagai pejuang.”

Apabila ditanya berkenaan buku yang ditulisnya Nahdah Asia - “Asian Renaissance”, Anwar menjawab, “Buku ini menjadi bahan perbalahan kerana pihak yang rapat dengan Mahathir menyangkakan kami sudah berpisah haluan. Kedua, idea paksi pemberdayaan ekonomi adalah kritikal, tetapi ia bukan segala-galanya, itulah sebabnya saya bercakap tentang nahdah, pemberdayaan budaya, saya bercakap tentang kebebasan, dan keadilan. Dan saya berpendapat ada kesilapan pada mahaguru-mahaguru ekonomi pada waktu itu: preskripsi-preskripsi Bank Dunia, IMF tentang keajaiban ekonomi Asia Timur, dan sebagainya. Mereka tidak bercakap tentang jurang perbedaan kaya miskin, orang yang terpinggir, orang miskin, samada badan kehakiman bebas ataupun tidak, atau adakah media bebas. Pada mereka ‘keajaiban itu’ adalah daripada segi tanggapan cetek ekonomi dan kuasa. Saya berpegang teguh kepada tesis yang saya bentang dalam buku berkenaan. Itulah sebabnya saya guna istilah ‘nahdah’.

Namun ini suatu cabaran. Sekali kita merubah menjadi demokrasi yang segar bugar secara relatifnya, kita telah membenarkan ruang kebebasan. Dan kebebasan itu adalah kemestian untuk percambahan idea. Itu, pada saya, adalah sangat kritikal apabila kita bercakap tentang pemberdayaan ekonomi atau budaya.

Ini sedang berlaku dengan lebih jaya di Indonesia and Filipina kerana mereka lebih demokratik. Walaubagaimanapun, saya tidak mahu menafikan bahawa Indonesia, juga, menghadapi masalah besar kerana korupsi endemik dan peminggiran. Jika isu tadbir urus tidak diselesaikan, orang akan curiga, apa sahaja dasar-dasar, betapa rasional atau baik, akan sentiasa diragui. Adakah polisi-polisi itu bertujuan memperkayakan kroni-kroni  atau ia memang yang betul-betul keperluan penting kepada rakyat? Percaya itu mustahak.”

Tentang kejayaan politik terbaiknya sehingga kini, Anwar berkata, “Perjalanannya jauh lagi. Kita tunggu dan lihat. Ada orang kata kejayaan bermakna kita mendapat jawatan. Itu tidak betul. Kejayaan adalah apabila kita berjaya menyampaikan apa yang dijanjikan.

Ia bukan apabila kita meraih jawatan. Itulah saya fikir hikmah kerana telah berada di bawah dan ditindas. Dan itulah pada saya yang memastikan kita waras dan penuh tawadu’. Saya fikir itulah penting. Orang merasakan menjadi perdana menteri itulah matlamat akhir, tetapi saya tidak fikir begitu.

Saya rasa kita patut dinilai dan diadili. Dan apabila kita mampu menunaikan janji setelah mendapat jawatan, dan berpegang teguh kepada idea-idea kita, itu, pada saya, suatu cabaran yang lebih besar daripada mengolah idealisme semasa tiada autoriti atau kuasa. Apabila kita berkuasa, kita berdepan dengan realpolitik, dengan permainan kuasa, dengan kuasa-kuasa yang besar, dengan taukeh-taukeh. Bagaimana jika mereka berikan cincin bernilai 10 juta dollar, apa kita hendak buat?”

Apabila ditanya bagaimana dia hendak menangani taukeh-taukeh demikian dan mengekalkan idealismenya, Anwar menerangkan, “Saya seorang yang beriman; Saya seorang Muslim yang mengamalkan agama. Pada masa yang sama, saya membesar dengan baik, terima kasih kepada ibu dan ayah saya. Saya bersyukur kepada ibu dan ayah, mereka idealistik, arwah ibu dan ayah.  Ibu saya bukan berpendidikan Inggeris tetapi dia seorang yang gemar membaca.  Dia membaca hampir kesemua novel Melayu dan Indonesia pada zaman itu, keseluruhan koleksi buku-buku Balai Pustaka. Dan bapa saya, kami ada kompedium-kompendium kecil buku-buku, dari Gandhi ke Lao Tzu hingga Confucius, dan itu yang menarik. Bagi sebuah keluarga Muslim di kampung, dengan sebuah perpustakaan kecil, kami memilikinya.  Oleh itu kita membiasakan diri kita. Saya pergi ke kelas Qur’an, dan saya ikut Nabi s.a.w., sebagai seorang intelektual, kita tidak lihat agama semata-mata sebagai dogma tetapi kita melibatserta.

Roger Garaudy seorang ahli falsafah ternama, bermula hidup sebagai seorang Kristian di Perancis, kemudian menganut Islam. Apa yang dikatakan olehnya amat menarik, tidak seperti biasa seorang yang baru muallaf. Dia berkata, “Saya bernasib baik, saya membesar sebagai seorang Kristian, dan disitulah saya pelajari kasih sayang dan toleransi. Kemudian, saya menjadi seorang Komunis, dan saya punya empati kuat dan mengasihi golongan miskin dan tertindas. Kemudian, saya menganut Islam dan saya menjadi lebih universal.” Oleh itu hanya kerana dia kini Muslim, kehidupannya yang lalu tidak lagi relevan? Tidak, masa lalunya  adalah dirinya.

Itulah apa yang disebut oleh Amartya Sen. Dalam bukunya “Identity and Violence”, dia berkata, “Saya seorang India, saya menghafal Sanskrit pada umur 9 tahun dan ia suatu yang membanggakan, saya seorang Hindu dan saya rasa tamaddun kita hebat, tetapi oleh kerana saya di India, saya rasa Mogul Muslim telah memerintah dengan baik dan mengkagumkan. Tetapi saya kemudian menjadi profesor di Cambridge, di Harvard. Saya rasa ini institusi hebat dan saya suka berada sini di Amerika, dan walaupun saya dilahirkan dan membesar di Santiniketan, saya mengkagumi Shakespeare. Oleh itu, siapakah saya?” Dan itulah yang cantik. Saya selalu gunakan idea ini. Dan apabila kita membacanya dan memahaminya dan kita lihat pula mereka yang bercakap tentang ketuanan Melayu, demi Tuhan, mereka tidak tahu apa-apa pun.”

Tentang kenapa dia didakwa dengan tunduhan yang cukup mengaibkan, Anwar berkata, “Mereka tidak dapat mencalitkan saya dengan rasuah atau salahlaku jenayah jadi akhirnya mereka memilih sodomi – kerana ini akan menimbulkan kebencian orang Melayu di desa. Lagipun, ia lebih mudah, tiada bukti diperlukan untuk mensabitkan saya, hanya cuma terima aduan pengadu.”

Anwar membawa perihal (jenayah fitnah, Qadhaf) kepada mahkamah shariah, dengan menerangkan, “Saya bawa perkara ini kerana mereka (penuduh) menggunakan Islam dan mereka mahu memaksa saya bersumpah dengan menggunakan al Qur’an dan ini pada saya suatu penghinaan. Saya seorang Muslim yang mengamalkan Islam dan adalah suatu penghinaan kepada al Qur’an jika perbuatan jenayah dikendali hanya dengan bersumpah di atas kitab suci. Anda rogol orang dan anda bersumpah demi Qur’an dan anda terlepas? Apa ertinya ini? Adakah ini yang Islam mengajar kita? Saya telah merujuk kepada semua autoriti-autoriti agama dan mereka berkata tidak (kepada bersumpah), mereka berkata pilihannya hanyalah merujuk kepada mahkamah shariah. Itulah sebab saya buat keputusan membawanya ke situ tetapi mereka (penuduh) pula yang takut.”

Tuduhan sodomi yang digunakan bagi mengganggunya dianggap oleh orang luar negara sebagai pertuduhan biasa kelaziman di Malaysia, dan  Anwar menjelaskan dengan tuntas, “Tidak, saya seorang sahaja yang didakwa begini. Ini suatu phobia yang direka khas terhadap saya, semacam ‘xenophobia’ kebencian ditanam. Kita lihat media pada waktu perdana TV—- sayalah mengancam keselamatan, sayalah anti Melayu, mereka tuduh saya pergi India dan kecam Malaysia. Pernah saya meminta Menteri Penerangan (semasa di luar dewan parlimen), “Bolehkah kamu berikan saya cuti seminggu?” Dia tidak faham, lalu dia bertanya, “Kamu hendak pergi mana?” Dia asyik bertanya dan bertanya – akhirnya saya berkata, “Hentikan tentang Anwar dalam siaran rangkaian TV kamu.” Media dikuasai oleh UMNO, tiada kebebasan. Media asing telah melayani saya dengan baik. Amnesty dan Human Rights Watch berperanan besar dalam membangkitkan isu ini.

Orang yang paling rasuah akan menyokong undang-undang mencegah rasuah. Itu sebab kita mesti mengukur perubahan daripada reform sebenar dan pelaksanaan sebenar reform, bukan pengumuman-pengumuman. Jika saya orang kaya, saya boleh bayar 22 juta dollar US melantik konsultan PR antarabangsa yang dilantik oleh Sani Abacha dan lain-lain – oleh itu sememangnya mereka akan berikan (Perdana Menteri Malaysia) nasihat baik - tetapi bolehkah kita memandai-mandai saja dan menerima pandangan mereka? Adakah rasuah telah dibasmikan? Adakah media bebas? Adakah kehakiman bebas?

Saya pernah ditangkap, dimasukkan ke lokap duduk di atas lantai simen selama satu malam dan kemudian dibebaskan, tanpa apa-apa sebab – kecuali untuk menganiayai saya -  mereka boleh saja mengarahkan saya ke balai polis untuk memberikan keterangan.  Tetapi yang baiknya saya memiliki tawadu’ sekarang – semangat lebih kental bagi memperjuangkan keadilan – kalaulah saya, seorang yang dunia kenali boleh dilayani sebegini, bagaimana pula orang lain, mereka yang kurnag bernasib baik?”

Kemaafan adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan Anwar Ibrahim, dan ia telah memainkan peranan yang konsisten dalam urusannya dengan mereka yang telah menganiayainya. Satu contoh yang diberikan adalah isu yang timbul pada 2008 apabila Menteri Luar waktu itu menuduh Anwar sebagai agen Amerika. Dakwaan itu dianggap amat serious, dan Anwar terpaksa membawa perkara itu ke mahkamah. Enam tahun kemudian, apabila kedua-dua bertemu di mahkamah, bekas menteri luar yang menuduh Anwar sebagai agen Amerika berkata bahawa isu itu telah lama berlalu, dan mendesak supaya kes ini dilupakan dan semua orang boleh beralih ke laman baru. Anwar bersetuju, tetapi meletakkan syarat jika kes ini ingin dilucutkan, bekas menteri luar itu perlu menarik balik kenyataannya dan memohon maaf di khalayak ramai. Bekas menteri luar enggan, dengan mengatakkan dia tidak mahu lakukannya di depan khalayak ramai tetapi sanggup melakukannya di dalam kamar hakim agar kenyataan maafnya diterbitkan pada dokumen mahkamah sahaja. Paling mengejutkan kepada keluarga dan sahabat handainya yang hadir, Anwar Ibrahim bersetuju, kes dilucutkan dan dia menerima permohonan maaf bekas menteri itu. Kaum keluarga dan kawan-kawannya marah dan keliru tetapi katanya, “… kemudian mereka memahami dan menerima. Mereka berkata al Qur’an sangat jelas, dan memaafkan itu lebih baik.” Begitulah, kedua-dua agama dan kemaafan memainkan peranan penting di dalam cara Anwar membuat keputusan.

Beralih ke hadapan, Anwar Ibrahim percaya  keadilan mesti konsisten, dan kasih sayang, belas kasihan dan kemaafan itulah yang kita patut fokuskan. “Jika kita tunjuk kasih sayang, belas kasihan, dan kemaafan kepada mereka di sekeliling kita di dunia, yang ada di langit akan menyirami kasih sayang dan rahmat ke atas kita,” kata Anwar. (Borislava Manojlovic 2015, The Love & Forgiveness Project,  Seton Hall University)

Tentang keluarga dan sahabat handainya, Anwar berkata, “Isteri saya telah bersama menyokong saya selama ini. Dia hanya menjadi aktif berpolitik selepas saya ditahan tetapi anak saya memang dalam politik.  Orang dalam kerajaan pernah bertanya kepada isteri saya --"Kenapa kamu masih bersama suami kamu? Kenapa tidak tuntut cerai?.... Bolehkah ini berlaku di tempat lain di dunia ini? Inilah keadaan politik longkang di Malaysia – menghina maruah insan dan mereka menggelarkan diri pengamal Islam sederhana. Saya dapat bertahan melalui membaca, berdhikr, bersabar dan berkeyakinan bahawa pada akhirnya nanti kita akan berjaya. Peranan keluarga, isteri saya Azizah dan anak-anak cukup luar biasa. Orang ramai mendoakan saya – sokongan terhadap saya amat menakjubkan.”





(disunting daripada koleksi media luar sekitar 2010)

No comments:

Post a Comment