Saturday, June 25, 2016

DR SIDDIQ FADZIL: TADHKIRAH BERANI


TARBIAH RAMADHAN DAN SIFAT BERANI:   MENGAPA SESUATU BANGSA ITU BOLEH DI TINDAS?


Apabila berlaku penindasan oleh pemerintah yang zalim ke atas rakyatnya, adalah lazim pemerintah itu akan dihina dan dipersalahkan. Hakikatnya, tanpa kita sedari, kezaliman itu boleh berlaku, dengan rela dan izin oleh bangsa itu sendiri.

Siapakah mereka yg termasuk kumpulan ini?


Pertama: Bangsa penakut (al-ra'iyyat al-kha ifah)

Di dalam al Qur’an, terakam kisah Bani Israil yang pernah menjadi bangsa paling penakut. Ia adalah kesan indoktrinasi puluhan tahun Kerajaan Firaun ke atas mereka.

Penakut adalah watak Bani Israil pada zaman nabi Musa a.s. Mereka takut untuk mengisytiharkan pendirian ketika jelas kebenaran mengatasi kebathilan dalam pertembungan Nabi Musa dan tukang-tukang sihir Firaun.

Maka dikisahkan, meskipun jelas tongkat Musa sudah menelan semua ular ahli-ahli sihir, namun rakyat masih tak berani menerima kebenaran risalah Nabi Musa dan menolak kebatilan Firaun. Ia adalah akibat terlalu dibenam psikologi penakut.

Mereka terus menerus dihantui ketakutan terhadap Firaun walaupun telah terlepas daripada cengkaman kezaliman. Walaupun Firaun telah mati ditelan laut, namun mereka masih berperwatakan penakut. Sifat berani telah pupus dalam diri mereka apabila diperintahkan untuk memasuki tanah yang dijanjikan kerana takut untuk berhadapan dengan Qauman Jabbarin.

Apabila penyakit penakut sudah jadi watak, memakan beberapa generasi lamanya untuk berubah. Walaupun Firaun sudah mati berpuluh tahun, watak penakut tetap wujud lagi.

Maka Allah sesatkan mereka di padang pasir selama 40 tahun. Kenapa padang pasir dan tempoh 40 tahun?

Ia bagi menghapuskan generasi penakut dan melahirkan generasi pemberani yang mampu meneruskan kehidupan dalam ketandusan dan kegersangan padang pasir yang memeritkan. Keberanian hanya timbul bersama kepayahan. Keberanian lahir di luar zon selesa. Keberanian hanya lahir setelah ketakutan dikuburkan.

Sebab itulah kita disaran mengamalkan doa yang di ajar oleh junjungan besar kita Nabi Muhamad s.a.w.
"Allahumma a’inni ‘a'uzubika minal hammi wal hazan...." (Ya Allah, jauhkanlah aku daripada penyakit lemah dan rasa penakut).


Kedua: Budaya dan moral hidup bangsa itu sudah rosak.

Contohnya: Jika penyakit rasuah dan gila kebendaan begitu membarah ke atas setiap individu bangsa itu, maka masakan mereka akan menolak pemimpin yangg rasuah. Kerana mereka sendiripun akan amalkan rasuah itu, jika ada peluang dan kesempatan. Mereka menjadi masyarakat ‘venal’open to bribery and overly motivated by  bribes, mudah serta sedia disuap dan amat terangsang dengan rasuah.

Dengan sikap yang sudah hina sebegini, maka semakin mudahlah pihak berkuasa yang korup mengambil kesempatan memanipulasi sikap rakyat yang tersedia sudah rosak itu. Umat yang terkena ‘sumpahan kefasiqkan’.

Jembalang kefasiqkan, adalah jembalang yang menghantui ummah. Ummah disumpah kehinaan atas rasukan kefasiqkan yang menggila. Segala fikir, zikir, kata, daya dan aksi berkiblatkan keuntungan duniawi. 'Kekinidisinian' menjadi cogan kata masyarakat.

Apa yang boleh diharap pada masyarakat yang dirasuk kefasiqkan. Segalanya rosak baik yang tua dan yang muda, pemimpin mahu pun rakyat jelata, ilmuwan mahu pun agamawan semuanya hina disumpah kefasiqkan.

Adakah realistik untuk kita mengharapkan masyarakat yang sebegini terhindar daripada penindasan? Malah merekalah yang merelakan diri dan keluarga mereka dizalimi, ditindas malah diratah semahunya oleh pemimpin penindas demi secubit keuntungan duniawi. Sudah tentu mereka bukan sahaja mengiyakan malah menyokong penindas agar terus berkuasa semahunya.

Tiada makna ditelanjangkan segala kebobrokan, dijaja kekudusan perjuangan jika masyarakat masih terus disumpah kefasiqkan.

Maka, untuk mengharap rakyat yang sakit untuk menolak pemimpin yang sakit adalah suatu yang mustahil.

Benarlah apa yang terpahat dalam pesan Baginda Rasul s.a.w mafhumnya, bahawasanya kita diperlakukan sebagaimana peri keadaan kita. Pemimpin penindas hanya akan terus dijulang oleh masyarakat yang disumpah kefasiqkan.
Mafhum Hadith: "Sesungguhnya, seseorang dari kamu akan diperlakukan orang mengikut peri keadaan diri kamu sendiri."


Justeru, apa yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan bangsa yang sudah parah diwabaki penyakit penakut dan rosak moral, jika ia benar-benar berlaku? Ini suatu soalan yang tidak mudah untuk dileraikan. Ini memerlukan tarbiah dan islah.

Di sinilah terpusatnya gerak daya islah. Islah mas tata'tu yang menagih segala kesungguhan dan keikhlasan juga kecerdasan yang menuntut komitmen dari segala sudut, dari setiap lapangan dan golongan. Juru dakwah perlu tangkas mendidik dan menghentikan sumpahan ini. Hanya kebenaran dan keadilan yang mampu menumpaskan jembalang yang bersekongkol dengan pemimpin penindas.

Tarbiah Ramadhan adalah tarbiah untuk melahirkan sifat keberanian. Keluar dari kebiasaan, melawan keselesaan. Lapar dan dahaga diharungi demi menyempurnakan titah Ilahi. Hanya yang berani sahaja mampu mengharungi keperitan Ramadhan.

Inilah maqasid puasa yang gagal dihayati ummat. Ketakutan terus dipasakkan bersama ilusi yang tiada berpenghujung. Segenap tempat dan ketika ketakutan menjelma tanpa malu dan silu. Umat Islam ditakutkan seolah-olah tiada lagi kekuatan yang tersisa dan hidupnya hanya meminta-minta.

Ayuh! Dalam baki waktu termahal dalam Ramadhan ini, kita bina keberanian bersama munajat menghambat lailatul qadr.



Profesor Dato' Dr. Siddiq Fadzil.
Kg. Sg. Ramal Dalam.



(Catatan intisari usrah 20 Ramadhan 2016 oleh Cikgu Amidi Abd Manan dan Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni)

No comments:

Post a Comment