Tuesday, August 30, 2016

AHMAD AZAM: MENELUSURI ZAMAN : ISLAM DAN KEAMANAN SEJAGAT



AHMAD AZAM ABD RAHMAH:  ISLAM DAN KEAMANAN SEJAGAT: IDEAL DAN REALITI, MODEL AL ANDALUS DAN AL UTHMANIYYAH


LATAR SEJARAH


Sepintas lalu, ada tiga tarikh bersejarah era moden yang besar impak kepada nasib umat Islam. Mei 19, 1916 termeterai perjanjian Sykes Picot Agreement oleh Inggeris dan Perancis dengan dokongan Rusia yang menyaksikan kejatuhan dan pembahagian khilafah Uthmaniyah serta percambahan kelahiran negara-negara nasionalis kecil. Pengiystiharan Balfour Declaration pada November 2, 1917 adalah pernyataan sokongan Inggeris kepada projek Zionis dan mereka memperakukan tanah air Yahudi di bumi Palestin,  yang membawa era dominasi Zionis yang gemar berperang dan bencana keganasan Israel, sengketa dan kesengsaraan yang tidak berkesudahan di dunia Arab. Mac 3, 1924 tarikh rasmi pemansuhan khilafah Uthmaniyah menandakan kebangkitan sekularisme dan hegemoni penguasaan Barat ke atas dunia Islam.  

Ringkasnya, dengan kejatuhan khilafah, hegemoni Zionis memerintah dengan memenuhi hasrat idamannya, ketuanan Barat bermaharajalela tanpa sebarang cabaran atau penentangan daripada sebarang kuasa di dunia Islam.  Negara-negara Islam ditakluk, ditundukkan dan dijajah. Begitulah imperialisme Barat yang wewenang tanpa sekatan dibantu pula oleh rempuhan Zionis yang agresif terus mengancam keamanan dunia zaman ke zaman.


KINI

Itulah sejarah dan sejarah mempunyai banyak pengajaran. Bagaimana pula keadaan kita masakini?

Ada 1.7 bilion penduduk Muslim, menyamai 23.4 % populasi dunia. Terdapat 25 juta penduduk Muslim di negara-negara Barat. Namun, naratif dan wacana tentang Islam dan orang Islam dirujuk kepada asas-asas yang palsu dan berprasangka buruk.

Prejudis ini menjadi bertambah teruk selepas September 11, 2001 apabila menurut laporan media, sekumpulan kecil orang yang beragama Is;am, menyerang World Trade Centre di New York yang menatijahkan serta mencipta “Terorisme Islam” sehingga tertonjol ke seluruh pelusuk.


MEMERANGI TEROR

Dengan apa yang disifatkan oleh ramai masa ini sebagai alasan berperang, War on Terror - “Memerangi Teror” telah diiystiharkan sendiri oleh Amerika Syarikat dengan melepaskan ‘jentera-jentera pembunuhan’ mereka ke atas negara-negara berdaulat bermula dengan  serangan dan penaklukan ke atas Afghanistan (7 October 2001), Iraq (20 Mac 2003) dan kehancuran Libya (19 Mac 2011). Dengan sokongan NATO, peperangan diiystiharkan dan negara-negara Islam ini diserang dan ditewaskan. Saddam Hussein dihukum bunuh di taligantung di depan khalayak rakyatnya. Muammar Gaddafi pula dibunuh secara kejam dalam keadaan penuh kontroversi.

Anehnya, “Memerangi Teror” telah menghasilkan dan mensasarkan banyak kumpulan-kumpulan yang kabur dan tidak pernah dikenali sebelum ini, kumpulan-kumpulan Jihadi yang muncul, bergerak dan berselindung di bawah pelbagai nama-nama licik. Al Qaeda dilaporkan dipimpin oleh  Usama bin Laden. Taliban di Afghanistan. Kemudian tampil Shabab, Boko Haram, Abu Sayyaf dan beberapa variasi nama-nama gerombolan teroris. Paling jahat adalah ISIL atau adakah namanya ISIS – Islamic State of Iraq and Syria, lalu berubah namanya menjadi IS atau Dawlah Islam. Apabila umat Islam membantah salahguna istilah “Dawlah Islam” kerana mengelirukan, maka Barack Obama dan John Kerry memilih slanga Arab “Daesh” yang masih  merujuk kepada Dawlah Islamiyyah fi ‘l Iraq was sh Sham.

Orang yang serious menekuni dan aktif secara akrab dengan aktivis Islamis seluruh dunia amat terkejut dan hairan dengan pertumbuhan pesat pelampau-pelampau militan dan teroris tidak berhati perut yang tidak dikenali langsung sebelum ini. Perkembangan kelam dan jahat ini pasti bertujuan membunuh psikologi Islamis sejati dan menumpaskan semangat tulen jihad. Pameran durjana dan gambaran menyayatkan tentang ungkapan Shahadah, La ila ha illal Lah Muhammad ur Rasulullah oleh teroris mengguris fikiran dan jiwa Muslim dan Non Muslim. Distorsi jelek mengibarkan lambang khataman nabiyyin pada bendera-bendera hitam sewaktu melakukan aksi ganas dan brutal meninggalkan bekas mendalam ke atas sanubari dan memberi kesan psikologi parah serta parut yang buruk kepada ingatan dan minda banyak golongan muda.


Kuasa Keras dan Kuasa Halus

Banyak di kalangan penganalisis politik, cendekiawan dan pemerhati beranggapan “Memerangi Teror” hanya sebagai “Peperangan ke atas Islam” tanpa memerlukan pengisytiharan perang. Islam diperhatikan diserang daripada segenap sudut melalui penggunaan strategi kuasa keras dan kuasa halus. Kuasa keras melalui perang dan serangan fizikal semata-mata untuk menumpaskan orang Islam supaya tunduk dan menyerah kalah. Sementara kuasa halus menggunakan taktik senyap-senyap, psikologi dan kawalan minda melalui  propaganda agresif perang saraf dan diplomasi gigih.

Joseph Nye daripada Harvard University menulis dalam bukunya, Soft Power: The Means to Success in World Politics merakamkan kata-kata Robert Gates, Setiausaha Pertahanan US waktu itu, membayangkan penggunaan kuasa halus dalam diplomasi dunia dengan ungkapan, a dramatic increase in spending on civilian instruments of national security – diplomacy; strategic communications, foreign assistance, civic action, and economic reconstruction and development – pertambahan mendadak perbelanjaan ke atas instrumen-instrumen awam keselamatan negara – iaitu diplomasi; komunikasi strategik, bantuan kepada negara asing, tindakan sivik, dan pembangunan ekonomi serta pembangunan.

Kuasa halus mensasarkan minda dan psikolgi golongan muda. Bagi menambat hati dan menawan minda golongan muda Arab, TV satelit sangat berkesan. Carnes Lord di dalam buku “Public Diplomacy and Soft Power” menulis Satellite TV is actively promoting American soft power in the Arab world in ways that the United States had been incapable of doing. The launch of the Arabic language al Hurra channel in early 2004 to provide news in more ways beneficial to the US marked an important turning point in US public policy development – "TV satelit sedang aktif mempromosi kuasa halus Amerika kepada dunia Arab dengan cara-cara yang Amerika tidak mampu melakukannya sebelum ini. Pelancaran saluran bahasa Arab al Hurra awal 2004 bagi menyiarkan berita-berita  memihak dan bermanfaat kepada Amerika menandakan titik perubahan penting dalam dasar pembangunan awam US."


Islamophobia

Impak terbesar “Memerangi Teror” adalah terhadap imej Islam. Islam digambarkan dengan penuh ketakutan dan ancaman. Islam sering dipamerkan sebagai misogynistic - pembenci perempuan – menindas wanita, menganggap wanita sebagai manusia lebih rendah untuk diperhambakan kepada lelaki dan cerita resam khitan mencacatkan wanita berulangkali dicanang. Islam dituduh sebagai pembenci agama dan kepercayaan lain, berhasrat memajukan undang-undang shariah yang lapok, gasar dan tidak berperikemanusiaan. Islam dikutuk sebagai penganjur keganasan dan terorisme atas nama Jihad. Mitos menjadi realiti maya di dalam dunia para pembenci Islam - the world of Islamophobes.

Sebagai bandingan, Barat dipamerkan sebagai bertamaddun tinggi, moden, ditabdir menurut hukum, menikmati kesaksamaan, kebebasan dan keadilan. Barat diterjahkan sebagai model umat Islam mesti turuti. Namun dunia dengan mudah melupakan dan mengabaikan berjuta orang pelarian yang sengsara dan  terlantar tanpa pertolongan di merata dunia akibat langsung agenda “Memerangi Keganasan”. Mereka adalah orang yang tidak berdosa merempat mencari perlindungan, mendambakan maruah dihormati dan kehidupan yang baik. Barat memberikan respon dingin dengan menutup sempadan dan menaikkan pagar-pagar berduri  berceracak.

Bilangan mereka yang terkorban kian bertambah dibunuh melalui bom-bom sembarangan dan dron kawalan jauh tanpa fikir. Kehilangan nyawa, kemusnahan dan malapetaka ini semua dipersalahkan ke atas pejuang jihad, mujahidin dan Islam. Manakala Barat adalah penyelamat manusia yang gagah perkasa dan pelindung kemanusiaan.

Jika kita ambil peduli dan mengkaji secara objektif sejarah dunia apabila umat Islam memerintah sebelum kedatangan dan era penjajahan  Barat, kita akan merasa kagum dengan agama Islam yang telah berperanan besar memastikan keamanan dan kestabilan, memekarkan tamadun segar bugar serta dinamik berabad-abad lamanya. Tamadun Andalusia yang hebat, pengalaman Islam Sepanyol telah membidankan dan melahirkan Zaman Pencerahan Eropah pada abad ke 17.


La Convivencia (Kehidupan Bersama) di Al Andalusia (711 – 1492)

Beberapa abad apabila Sepanyol Zaman Pertengahan diperintah oleh Moors (orang Islam), penganut  Judaisme, Kristianiti dan Islam hidup bersama dengan aman damai. La Convivencia merujuk kepada kehidupan bersama ini dan inklusiviti. Selama 400 tahun, ilmu pengetahuan dan amalan kerohanian subur berkembang di bandar-bandar Toledo, Cordoba and Granada menyaksikan para pelajar dan guru-guru pelbagai disiplin berinteraksi, menolong satu sama lain mempelajari, menterjemah, menelaah dan memahami ajaran-ajaran lama.

Dihujahkan bahawa faktor-faktor politik paling mempengaruhi dan memudahkan proses Convivencia. Terdapat dua orang tokoh politik penting berada di kalangan pemerintah tertinggi kerajaan Islam Al Andalus abad ke 10 yang memberikan impak besar kepada kelahiran kehidupan bersama yang cukup bermakna. Abd al Rahman III (912-961) melaksanakan dasarnya mendamaikan dan menyatupadukan Barbar, Arab, Yahudi dan Kristian yang ada dalam populasi Ibero-Hispanic. Dia bekerjasama rapat dengan kaum Mozarab, orang Kristian yang tinggal di bawah pemerintahan Islam. Yahudi dan Kristian bebas mengamalkan agama mereka tanpa merasa takut kepada gangguan atau penindasan. Abd al Rahman III menggilirkan jawatan-jawatan di dalam kerajaan dan meletakkan bekas-bekas hamba Yahudi dan Kristian pada posisi-posisi berkuasa.


Hasdai ibn Shapmut merupakan wazir berbangsa Yahudi kepada Abd al Rahman III. Dia dan Abd al Rahman III mempunyai matlamat yang seiring iaitu menganjak masyarakat Yahudi dan Muslim daripada pemusatan Timur dan memajukan ketrampilan intelektual dan keagamaan. Ini membawa mereka mencipta struktur pendidikan yang menggalakkan pengajian filosofi Yunani, terutama karya-karya Aristotle yang diterjemahkan kepada pelbagai bahasa. Pengolahan politik ini membawa manifestasi sosial – orang Yahudi berkongsi bahasa vernakular Arab dan Romawi bersama Muslim dan Kristian. Lantaran permulaan ini membawa kepada penyatuan sosial ketiga-tiga komuniti di semenanjung itu. (Sarah Mac Thomas, The Convivencia in Islamic Spain)

Akbar S Ahmed menulis, “We need to put Muslim Spain in the perspective of medieval Europe. At the time London and Paris were small towns. There was no notable art or literature or libraries or debate anywhere in Europe. Here, in contrast, was a sophisticated and powerful civilization with clear notions of harmony involving race and religion. Ideas of debate, love of poetry, cleanliness and baths were pervasive. Plato and Aristotle were discussed here.

The intermingling of race and religion in Muslim Spain produced a rich and dynamic culture. Intermarriage between Jews, Christians and Muslims produced many Muslim rulers with fair hair and blue eyes, according to literature. There were alliances between Muslim and Christian rulers and a great deal of give and take on all levels.” - "Kita perlu meletakkan Islam Sepanyol pada kacamata Eropah Zaman Pertengahan. Pada waktu London dan Paris cuma pekan-pekan kecil. Tidak ada seni kebudayaan atau kesusasteraan atau perpustakaan ataupun perbahasan di mana-mana pun di Eropah zaman itu. Di sini (Andalusia) pula terdiri satu peradaban canggih dan tamadun tinggi  dengan wawasan jelas tentang kedamaian serta harmoni di kalangan bangsa dan agama. Idea-idea perdebatan, kecintaan kepada puisi, kebersihan dan tempat permandian meratai . Wacana Plato dan Aristotle ada di sini.

Percampuran dan pergaulan di antara bangsa dan agama di Islam Sepanyol melahirkan budaya yang kaya dan dinamik. Perkahwinan silang di antara Yahudi, Kristian dan Muslim melahirkan banyak pemimpin yang berambut perang dan bermata biru, menurut pembacaan. Termeterai pakatan di antara pimpinan Muslim dan Kristian serta banyak berlaku berlapang dada dan tolak ansur di segenap peringkat." (Akbar S Ahmed, Islam Today, A Short Introduction to the Muslim World)


Kejatuhan Al Andalus, Umat Islam dan Yahudi mencari suaka perlindungan di Khilafah Uthmaniyyah (Empayar Uthmaniyyah)

Kegemilangan Islam Sepanyol tamat pada tanggal 2 Januari 1492, apabila raja Muslim terakhir Granada, Sultan Muhammad XII atau dikenali sebagai Boabdilla menyerah kalah kepada Queen Isabella I Castille dan Ferdinand II Aragon. Semangat  Reconquista memacu dan merasuk Ferdinand dan Isabella. Hukuman paksaan menganut agama Katolik dikerah ke atas orang Islam dan Yahudi dengan memberikan mereka pilihan murtad atau dibuang daripada Sepanyol. Dengan itu semangat La Convivencia yang telah membawa kegemilangan Sepanyol selama 800 tahun telah tamat. Sepanyol menjadi negara Katolik secara total.

Orang Islam dan Yahudi yang enggan murtad memilih untuk berhijrah, menariknya ke Empayar Muslim lain, iaitu khilafah Uthmaniyyah yang berpusat di Turki.  Rajanya Sultan Bayezid II (1481-1512) sebaik sahaja mendengar tentang kata putus yang diberi kepada orang Islam dan Yahudi di Sepanyol, mengirim perutusan diraja atau Ferman dalam bahasa Uthmaniyyah ke seluruh pelusuk wilayahnya supaya menyambut dan menerima pelarian-pelarian itu. Pada perutusannya itu, Sultan Bayezid II mengumumkan kepada pelarian Yahudi bahawa Allah telah memerintahkan supaya menjaga anak keturunan Nabi Ibrahim dan Nabi Ya’kub a.s., agar memastikan mereka mempunyai makanan yang cukup dan memberi mereka perlindungan. Mereka dipelawa ke Istanbul agar hidup dengan aman “di bawah naungan pohon tin” dan mereka bebas untuk berniaga serta memiliki harta.  250,000 orang Yahudi berhijrah ke wilayah Uthmaniyyah, kebanyakannya menuju ke Istanbul dan  Salonika. Hari ini, negara Turki sekarang telah menerima 3 juta orang pelarian Syria seperti apa yang disebutkan oleh Presiden Erdogan sebagai “tetamu”.



Model Al Andalus dan Uthmaniyyah untuk Keamanan Sejagat: Iltizam Spiritual mematuhi Perintah al Quran

Ini adalah suatu nilai terpenting dimiliki para pemimpin pengasas al Andalus dan Uthmaniyyah. Al Qur’an membekalkan kepada mereka petunjuk, pedoman, inspirasi dan motivasi bagi tadbir urus, keadilan sejagat, keamanan, tasamuh dan harmoni. Keamanan sejagat dan kedamaian akan hanya di capai apabila nilai-nilai al Quran dipatuhi secara zahir dan batin. Apabila nilai-nilai ini diabaikan atas apapun alasannya, maka datanglah keadaan huru-hara, permusuhan dan kacau bilau, menyelinap masuk menjadi barah kepada empayar sehingga menyebabkan kejatuhannya dan kekalahannya.

Sepintas lalu, jika kita meneliti ayat-ayat al Qur’an, kita akan dapati:-

Surah al Fatiha mengingatkan bahawa Allah itu Satu dan Tuhan segala manusia dan alam serta kepada Allah jua kita sembah, kita memohon pertolongan dan memohon hidayah sepanjang perjalanan kehidupan ini.

Al Isra: 70 mengingatkan manusia bahawa kita semua keturunan Nabi Adam a.s. dan manusia dikurniakan Allah dengan karamah, maruah dan kehormatan.

Al Hujurat: 13 menegaskan bahawa manusia dijadikan majmuk dan pelbagai supaya saling mengenali satu sama lain dan bahawa darjat paling tinggi adalah bagi orang yang paling bertaqwa di sisi Allah.

An Anbiya’: 106-107 membawa mesej bahawa Rasulullah s.a.w. adalah rahmat kepada seluruh alam.
Al Baqarah: 85 menegaskan agar kita mematuhi al Qur’an keseluruhannya dan komprehensif.


Ulama’ al Andalus

Suatu faktor penting memajukan keadilan sejagat dan keamanan global adalah peranan yang dimainkan oleh pemimpin Islam dan hubungan akrab mereka dengan ulama’. Sultan-sultan terutama pada era pengasas sangat berminat dalam memupuk budaya ilmu dan pelajaran. Mereka menggalakkan ulama dan cendekiawan daripada segala ceruk rantau untuk datang mendampingi dan mendiami istana-istana, kediaman-kediaman atau madrasah-madrasah di persekitaran istana mereka. Sultan-sultan menghargai hubungan mereka bersama ulama’ dalam mencari petunjuk dan pedoman rohani sementara para ulama’ menyeru kepada ajaran al Qurán tanpa takut dan tanpa menagih upah.

Penting diperhatikan juga bahawa seorang ‘alim zaman al Andalus adalah juga seorang ahli filosauf, saintis, ahli shariah, faqih dan guru tasawuf. Para ulama’nya menguasai kepelbagaian disiplin ilmu merentasi bidang-bidang pengetahuan. Al Andalus terkenal kerana menghasilkan ramai ulama’ yang dihormati seperti Ibn Rushd, Ibn Arabi, Ibn Bajjah and Ibn Tufail.


Asas Spiritual Empayar Uthmaniyyah

Asas Empayar Uthmaniyyah berakar di dalam kerohanian. Telah menjadi resam bahawa semua Sultan-Sultan terdiri daripada orang yang wara’, tegas mematuhi ajaran al Qur’an. Semua Sultan- Sultan mempunyai penasihat spiritual dan mereka ini terdiri daripada guru-guru tasawuf yang hanya takut kepada Allah.  Zaman awal pemerintahan Uthmaniyyah dikurniakan Sultan-Sultan yang takut kepada Allah dan mereka menghormati alim ulama’, mendampingi serta mempelajari daripada ulama lalu menuruti nasihat penasihat-penasihat spiritual mereka. Pengasas Empayar, Osman Ghazi (1299-1326) dikurniakan dengan Shaykh Edebali, seorang alim yang telah menafsirkan mimpi masyhur Osman Ghazi.

Pada suatu malam, Osman menjadi tetamu di  dergah Edebali. Osman bermimpi. Tiba pagi, dia pergi bertemu Edebali dan memberitahunya, “Wahai Shaykh, aku lihat kamu di dalam mimpi aku. Bulan muncul di dada kamu. Ia naik dan naik ke atas dan kemudiannya turun ke dada aku.  Daripada pusat aku tumbuh sepohon pokok. Pokok ini tumbuh dan bercambah lebat hinggakan bayang ranting-rantingnya melitupi seluruh bumi. Apa maksud mimpi aku ini?”

Setelah berdiam diri sejenak, Edebali menafsirkan: “Tahniah Osman! Allah Azza wa Jalla mengurniakan kerajaan kepada kamu dan keturunan kamu. Anak perempuan aku akan menjadi isterimu, dan seluruh dunia akan nerada di bawah naungan pelrindungan anak-anakmu.”

Mimpi Osman tegar mencerminkan penubuhan Empayar Uthmaniyyah. Mimpi Osman menjadi bahan sastera penting bagi ulama’ Uthmaniyyah.

Keturunan Osman Ghazi mengikuti jejak langkahnya dengan Sultan Murad II mempunyai Haci Bayram Veli sebagai penasihat dan Sultan Mehmet II – al Fatih, pembuka Constantinople mempunyai Ak Semsettin Hoca membimbingnya secara spiritual.


Keperibadian Spiritual Sultan-Sultan Uthmaniyyah dan Tentera mereka menawan hati Kristian

Kejayaan dan pengembangan pantas Empayar Uthmaniyyah melebar ke dalam wilayah Kristian Eropah bukanlah semata-mata dengan pedang seperti yang sering disebut. Sebaliknya, kejayaan ini datang daripada contoh teladan terserlah kepasrahan dan kepatuhan padu kepada ajaran al Qur’an. Orang rela menerima pemerintahan Uthmaniyyah dan sebahagiannya memeluk Islam kerana sahsiah Islamiah yang terpancar daripada budi pekerti Sultan-Sultan Uthmaniyyah dan tentera-tentera mereka.

Thomas W Arnold menulis di dalam The Spread of Islam in the World – A History of Peaceful Preaching (1896), “Even in the dirt of alcoran you shall find jewels of Christian virtues; and indeed if Christians will but diligently read and observe the Laws and Histories of the Mahometans (followers of Muhammad), they may blush to see how zealous they are in the works of devotion, piety and charity, how devout, cleanly, and reverend in their Mosques, how obedient to their Priest (Imam), that even the great Turk (Sultan) himself will attempt nothing without consulting his Mufti; how careful are they to observe their hours of prayer five times a day wherever they are, or however employed? How constant do they observe their fasting from morning till night a whole month together; how loving and charitable the Muslemans (Muslims) are to each other, and how careful of strangers may be seen by their Hospitals, both for the Poor and for Travellers; if we observe their Justice, Temperance, and other moral Virtues, we may truly blush at our own coldness, both in devotion and charity, at our injustice, intemperance, and oppression; doubtless these Men (Muslims) will rise up in judgement against us; surely their devotion, piety and works of mercy are main causes of the growth of Mahometism (Islam).”

- "Hatta pada debu al Qur’an, kamu akan menemui permata-permata bernilai budi Kristian; dan sesungguhnya jika orang Kristian membaca dengan tekun dan memerhatikan undang-undang dan kisah sejarah umat Islam, mereka akan berasa malu kerana melihat betapa tekunnya umat Islam di dalam menjalankan ibadah, ketaqwaan dan bersadaqah, betapa salih, bersih dan tertibnya mereka di dalam masjid-masjid, betapa mereka mentaati imam-imam mereka, sehingga Sultan pun tidak akan bertindak melainkan setelah merujuk kepada muftinya; betapa cermat mereka menjaga waktu-waktu solat fardu lima kali sehari walau di mana mereka berada, atau ketika mana mereka melakukan sebarang kerja; betapa teguh mereka menunaikan ibadah puasa dari subuh sehingga ke malam selama satu bulan bersama-sama; betapa belas kasih mengasihani dan bermurah hati mereka bersadaqah sesama Muslim, betapa baik tetamu dilayani di hospital-hospital, tempat-tempat persinggahan bagi orang miskin dan si musafir; jika kita menyaksikan keadilan, kesederhanaan dan nilai-nilai akhlak lain mereka, kita akan berasa malu dengan kedinginan kita, pada ibadah dan sadaqah kita, pada kezaliman kita, sikap keterlaluan kita dan penindasan kita; tidak syak lagi mereka (umat Islam) akan bangkit menghukum kita; sesungguhnya kepasrahan mereka, ketaqwaan dan amalan menyebarkan rahmah adalah penyebab utama kebangkitan Islam."


PENUTUP

Bagi menggarap dan memahami peristiwa-peristiwa yang berlaku di dunia hari ini, kita perlu menoleh ke belakang menyelami latar sejarah dengan penuh objektiviti dan perspektif yang berimbang. Ini merupkan cabaran ke atas kita semua. Jatuh bangun sesebuah tamadun bergantung besar kepada nilai budi tadbir urus, keadilan, keamanan dan harmoni tanpa mengira bangsa atau agama. Kegemilangan sejarah Islam sering bercirikan komitmen spiritual umat islam kepada ajaran al Qur’an manakala keruntuhannya berkait dengan kegagalan mematuhi ajaran al Qur’an. Sejarah sentiasa berulang.

Masalah dunia Islam hari ini adalah kurangnya kualiti pada pemimpinnya dan pada alim ulama’nya. Umat kita akan lebih cerdas dan cerah berpedoman jika pemimpin-pemimpin kita adil dan berkebolehan dengan dokongan penuh alim ulama’ yang layak dan kompeten. Ulama’ yang tidak takut dan tidak menagih upah, ulama yang berkemampuan menegakkan agama dan menghuraikan Islam sebagai neraca piawai tertinggi  – al Islam ya’lu wa la yu’la álaih.



(Terjemahan pembentangan yang telah disunting dan diadaptasi yang telah disampaikan oleh Ahmad Azam Abd Rahman pada  International Seminar on Islam and Global Peace Mei 2016)


(Ahmad Azam adalah Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Timbalan Setiausaha Agong Union of NGOs in the Islamic World (UNIW) serta mantan Presiden ABIM)

No comments:

Post a Comment