Monday, December 12, 2016

ANWAR IBRAHIM: SAYA DEMOKRAT MUSLIM


ANWAR IBRAHIM: SAYA SEORANG DEMOKRAT MUSLIM

Ucaptama Anwar Ibrahim pada Forum Demokrat Muslim Sedunia ke 3 dibaca oleh Nurul Izzah Anwar berserta mukadimah khas.


MUKADIMAH


Saya amat berbesar hati meneruskan kesinambungan legasi Anwar Ibrahim, sebuah legasi yang pasti akan disambung olehnya apabila dia bebas kelak, kerana dia adalah konvenor awal  pengasas Forum Demokrat Muslim Sedunia pertama pada 2014. Kita bertuah kerana dapat hadir bersama perjumpaan ketiga ini di Tokyo, Jepun.

Bapa saya masih merengkuk di dalam kesunyian penjara. Dan jika kita menghitung saban tahun dia telah berada di dalam tahanan balik tirai besi,  jumlahnya 11 tahun dan sedang meningkat. Ia adalah peringatan dengan penuh perasaan bahawa para demokrat Muslim sedunia terus menerus menjadi bukti dan hujah nyata peri pentingnya wujud sistem-sistem demokratik berfungsi baik, berdaya maju dan bermakna.

Saya mungkin kehilangan suara akibat menghadiri sebuah demonstrasi aman minggu lepas tetapi sekurang-kurangnya saya masih menikmati kebebasan. Demi memelihara dan mempertahankan sistem-sistem demokratik maka ramai, termasuk Anwar, memilih jalan yang payah, laluan berisiko menentang autokrasi.  Dan bagi saya, perasaan saya sangat terharu , saya tidak tahu bagaimana untuk berterima kasih, mengucapkan merakam setinggi penghargaan kepada Sasakawa Peace Foundation kerana membolehkan kami wacanakan idealisme kami dan penerokaan bermakna bagi membolosi merentas belenggu pemenjaraan. 

Kita berada di sini sebagai hujah. Malangnya, demokrasi memerlukan perjuangan dan pengorbanan, dan sesungguhnya para demokrat Muslims dan Non Muslim mesti bersama dan kekal bersatu dalam menghadapi pelbagai-bagai cabaran pada zaman kegamatan tata baru dunia. Terasa sedih dengan ketiadaan Anwar bersama tetapi saya berdiri di sini dengan penuh bangga mengenangkan sumbangan dan kepimpinannya.

Sekarang saya akan bacakan ucapan bapa saya, perintis demokrat Muslim, ketua pembangkang demokratik Malaysia dan jurubicara tatakelola telus dan akauntabiliti governan sedunia:-


Sahabat-sahabat yang dikasihi, bukanlah ianya suatu berita baru bahawa dunia Islam, kecuali sebilangan kecil, mengalami kekurangan atau defisit demokrasi yang parah.  Adalah juga benar bahawa di merata-rata tempat, umat Islam menginginkan sistem kerajaan berpewakilan  dan punya akauntabiliti – boleh dipertanggungjawabkan, sebagai satu-satu cara mampan bagi memastikan kebebasan, keadilan, kesaksamaan dan kedaulatan undang-undang, demi mencapai kesejahteraan hidup dan kemakmuran negara mereka.

Namun, keinginan mendesak dan harapan setinggi gunung tidak boleh dengan sendirinya membawa kepada perubahan. Hakikatnya adalah terlalu banyak warganegara dalam negara majoriti Muslim kerap dikecewakan hasrat mereka untuk perubahan oleh kuasa ampuh kerajaan autoritarian, rasuah, kleptokrasi seperti di Malaysia, kezaliman, keganasan dan pemerintahan kuku besi.  Persoalan yang ditanya oleh anak-anak muda masih berbunyi: bagaimana untuk menggembleng dan bagaimana untuk menangani dan menghasikan perubahan? Inilah teka-teki bagi penduduk yang ditakut-takutkan dan generasi tersisih dan terabai akibat kesalahan pemerintah.

Dan melatari semua retorik dan riuh keghairahan berubah tercegat kekeliruan yang parah. Kekeliruan tentang bagaimana umat Islam menangani demokrasi dan apa makna demokrasi kepada umat Islam. Dengan dahsyat sekali kita sudah terbiasa melihat gelagat pelampau dan pembunuh yang menjaja seruan bahawa Islam menghendaki sejenis sistem tatakelola autokratik dan pembolotan total kuasa pemerintah, lalu mendakwa mereka mempunyai monopoli ke atas pentafsiran dan mereka tunjukkan kesediaan wewenang jahat mereka untuk melaksanakan. Lebih sering kita memerhatikan gelagat hantu jembalang ini, lebih jelas lagi hakikat bahawa merekalah sebenarnya yang merupakan jelmaan kezaliman yang nyata.

Namun, keprihatinan mendalam saya adalah untuk orang Islam yang jujur dan tulus beragama yang bersungguh-sungguh mempercayai bahawa tatakelola Islam yang ‘sejati’ mesti berbeda dengan konsep demokrasi sepertimana ianya diamalkan se antero dunia. Seorang Muslim pada konteks moden menimbulkan kebingungan bagi sesetengah pihak tentang apa yang perlu dilakukan sesudah itu.

Adakah kompromi bertolak ansur boleh jadi atau diterima? Bagaimana boleh kita menyesuaikan dan meserasikan ajaran tradisional dengan struktur moden governan? Bolehkah kita pastikan ijtihad kita betul? Adakah cara yang lama dan telah terbiasa itu sahaja pilihan Islam?

Struktur ini ditambah buruk lagi dengan apa yang kita gelar ‘apologis demokratik Islam’. Mereka ini mengakui keserasian Islam dan demokrasi pada teori tetapi  mereka menawarkan deretan alasan-alasan kenapa ideal berkenaan tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya atau bukan pada ketika ini. Apologis-apologis ini sering menggagalkan perjuangan sah demokrasi melalui layanan sepi, berdolak-dalik dan sekatan-sekatan dalam mendokong sistem asasi pemilihan, perjalanan dan penggantian struktur-struktur moden kerajaan. Retorik apologetik dan kata-kata basi boleh bersekongkol dengan pemerintah yang ada di negara-negara Islam demi semata-mata mengekalkan masyarakat jumud dan keterbelakang. Para apologis hanya merupakan susur-susur keluar daripada lebuhraya mencabar ke arah perubahan dan pembaharuan. Kita tidak boleh membiarkan semua ini menjadikan alasan bagi memesongkan kita daripada jalan mulia untuk memupuk partisipasi merakyat dalam pembangunan negara-negara kita.

Biarlah saya berterus terang, sahabat-sahabat yang dikasihi. Saya berpegang dengan saranan terus terang bahawa demokrasi adalah perintah moral terkandung di dalam definisi seorang Muslim. Orang Islam diseru sebagai individu-individu agar menerima tanggungjawab berpartisipasi di dalam masyarakat untuk menegakkan kehormatan manusiawi dan bekerja membasmikan kemiskinan, kemelaratan dan wabak penyakit. Orang Islam berkewajipan melaksanakan syura, bermusyawarah, menjalankan perundingan bersama bagi mendapat perkenan khalayak ramai dan untuk memastikan mereka yang berada di tampuk kuasa mempunyai akauntabiliti kepada pentadbiran dan penyampaian tatakelola baik. Menjadi seorang Muslim bermakna berjuang menegakkan prinsip akhlak dan standard etika mencangkupi seluruh ruang lingkup aktiviti manusia samada muamalah ekonomi sehingga kepada memelihara alam sekitar. Bagi mencapai matlamat moral melalui cara beretika, orang Islam dikehendaki bekerjasama dengan sesiapa sahaja tanpa mengira asal usul atau kepercayaan.

Tidak diperselisihkan lagi bahawa matlamat agama mendorong kepada meletakkan kebebasan, keadilan dan kesaksamaan sebagai asas semua perhubungan. Islam menganjurkan, menetapkan dan memandatkan partisipasi demokratik sebagai prinsip universal. Nilai-nilai universal, ajaran moral dan etikal Islam adalah terbuka, sedang berjalan dan merupakan perintah tetap. Nilai-nilai Islam bukan milik khusus atau hak eklusif orang Islam. Ia merupakan kayu ukur - al rahmatun lil ‘alamin – dengan mana tindakan-tindakan disemak dan diteliti. Ia adalah matriks bagi sesiapa tanpa mengira bangsa, kaum, warna, asal usul atau bahasa, boleh meraih kedudukan terbaik pencapaian manusia dan kesejahteraan. Saya merasakan inilah visi Islam bagi menjadi dunia yang lebih makmur dan inilah agenda Muslim demokrat.  

Apa yang saya perjuangkan tidak ragu lagi berpaksikan kepada prinsip-prinsip maqasid al shariah, matlamat besar tujuan governan. Prinsip-prinsip ini tidak dibataskan waktu. Namun aplikasinya mesti ditafsir dan difahami menurut konteks semasa, cabaran-cabaran dan peluang-peluang. Aplikasi maqasid al shariah mesti melindungi dan menjaga maslahah masyarakat-masyarakat yang majmuk dan berkepelbagaian dengan membina asas etika yang kukuh.  

Bagi Asia Tenggara, terutama dengan pengalaman kita hadapi, nasib kesengsaraan bangsa Rohingya jika dibiar dan diabaikan bermakna kita memang tidak menepati prinsip-prinip ini samasekali.

Istilah lama and resam tradisi tidak boleh meleraikan perdebatan tentang rancangan terbaik bagi menegakkan prinsip-prinsip ini.  Prinsip-prinsip kita mesti diartikulasi dengan jelas dan koheren menurut istilah dan bahasa hari ini.  Prinsip-prinsip ini mesti boleh memenuhi keprihatian dan realiti semasa kita atau ia akan gagal melepasi ujian kerelevanan.

Keadaan dunia Islam kini mengalami malapetaka. Perang bersaudara mengorban banyak nyawa dan menjejaskan kehidupan jutaan orang.  Kemusnahan dan maut adalah bencana ngeri kemanusiaan yang melanda merentasi batas sempadan negara-negara. Kita perhatikan penyebaran kesengsaraan dan porak-peranda merebak serata pelusuk dunia. Berduyun-duyun pelarian membanjiri mencari perlindungan dan keselamatan diri menuntut belas kasihan kita seolah-olah sifat mengasihani itu sesuatu mereka yang perlu tuntut daripada kita.  Kemiskinan dan kegersangan kemudahan, ketiadaan peluang atau kehilangan harapan melingkari migrasi ini.  Mereka menyulitkan lagi keupayaan kita menangani bagi memenuhi keperluan kita yang kian meningkat. Tetapi apa yang kita perlukan sebenarnya adalah ingatan bahawa kita masih mempunyai ruh, hati nurani.


Kini setelah berlalu generasi demi generasi, defisit demokrasi telah meratah dan mereputkan tonggak-tonggak keselamatan, kemajuan dan kesejahteraan kebanyakan negara Islam. Defisit demokrasi telah mengakibatkan krisis yang menyelubungi masyarakat kita. Apakah pilihannya jika pada suatu pihak,  fanatik menghunus ideologi pembunuh membunuh diri tanpa menghiraukan langsung nilai kemanusiaan dan karamah insan. Sementara di sebelah pihak pula, regim autokrat atau kleptokrat mempunyai rekod penindasan, kezaliman, hingga tirani brutal menumpahkan darah rakyat jelatanya sendiri. Ini telah mengobarkan krisis yang melanda masyarakat kita. Adakah kita mempunyai pilihan lain apabila kita menyambut demokrasi dan bolehkah pilihan kita direalisasikan mencapai bentuknya yang betul seperti sepatutnya?

Demokrat Muslim mesti menjadi suara jurubicara nurani koheren di tengah-tengah kancah kekeliruan yang menyelubungi ini.  Suara yang jelas terang benderang dengan analisis kritikal mengutuk kemelampauan fanatik dan juga regim-regim. Tugas di hadapan kita bukan semata-mata respon reaktif. Bagi setiap pelanggaran ke atas kebebasan, keadilan dan kesaksamaan, misi kita adalah menggali akar punca masalah persis ketepatan siasatan forensik, menerbitkan dapatan kita dalam bahasa yang jelas dan bekerja keras menyebarkan kesedaran dan kefahaman tentang ideal dan tuntutan demokratik Muslim.

Kecelaruan yang terletak sendiri di atas budaya politik Muslim memarakkan defisit demokratik majoriti ramai. Samada legasi salahlaku pemerintah berselindung sebalik tirai menyamar sebagai demokrasi atau terang-terangan pemerintahan kuku besi atau  realiti herot negara-negara yang tunduk kepada kuasa asing yang memperkayakan konco-konco terpilih, semua unsur-unsur ini berperanan membawa kita kepada kebuntuan sekarang. Tidak satu unsur pun boleh diabaikan.  

Islamophobia hanyalah nama baru kepada prejudis lama yang terpendam. Prasangka ini diajar kepada Muslim dan Non Muslim lalu menyebarkan faham tersirat bahawa Islam bertentangan dengan demokrasi. Dan menyuburkan salah didik bahawa pimpinan mutlak, pemimpin kuku besi, penzalim, autokrat adalah fitrah lazim landskap politik kita. Bertahun-tahun menerima setan yang diketahui daripada memilih perubahan telah menyediakan jalan kepada krisis hari ini. Ini adalah  wabak buruk ke atas masyarakat kerana terus menyokong apa yang sedia ada tanpa menawarkan alternatif-alternatif dan tragedi se abad lamanya. Fahaman ini telah merencatkan pertumbuhan sihat masyarakat madani, masyarakat yang sepatutnya menuntut dan mendesak kerajaan-kerajaan Muslim mempunyai akauntabiliti awam dan, menyediakan wadah dan proses bagi memastikan perubahan kepimpinan. Hanya masyarakat madani yang lasak boleh mengukuhkan aspirasi rakyat dengan memberikan partisipasi bermakna dalam kehidupan politik.

Demokrasi tidak berkembang membugar dalam vakum. Dan malangnya tidak ada jalan pintas. Defisit demokrasi adalah jurang buatan manusia dibikin kerana takut kepada khalayak ramai; tidak mempercayai niat dan hasrat rakyat jelata.  Apakah perbedaan di antara mereka yang menganjurkan demokrasi terpimpin, dengan mereka yang menerima demokrasi rapuh, dan demokrasi kacukan atau dengan regim langsung tanpa berdemokrasi? Tidak kira betapa baik niatnya, hasilnya masih pemerintahan autokratik yang tidak memberi ruang kebebasan mengartikulasi alternatif-alternatif kritikal atau mengkritik selain daripada mengampu parti-parti pemerintah dan teras elit mereka.

Ketidakpedulian kuasa-kuasa Barat samada US, UK, Perancis atau lain tidak boleh dibiarkan. Mereka bukan penonton biasa. Samada di Mesir, Turki atau di mana-mana negara lain, mereka tidak boleh petik dan pilih yang mana satu mandat popular yang sah menurut suka hati mereka dan mereka masih ingin mengaku sebagai rakan demokrasi. Mereka tidak boleh mengabsahkan regim-regim sementara menggagalkan pembangkang demokratik namun tidak mahu menganggap diri mereka sebagai tongkat kesinambungan pemerintah kuku besi. Natijahnya jelas dan nyata. Menghalang perubahan demokratik memarakkan lagi kesengsaraan dan menambahkan defisit demokrasi, menyediakan suasana dengan prospek kacau bilau masa depan.  

Sahabat sekalian, kita sedang berdiri di cenuram berbahaya. Inilah sudut pandangan tinjau demokrat Muslim. Tugas ke hadapan ini memang berat, iaitu mengolahkan sebuah alternatif dalam bahasa koheren dan melibatsertakan lebih lebar lagi bersama semua, agen dan penggerak masyarakat.  Membina demokrasi  dan tugas forum kita mestilah inklusif dan ekstensif sebagaimana visi demokratik kita. Hasil intelektual dan polisi kita mesti jelas, disampaikan secara mudah dan disebarluaskan melalui semua saluran masyarakat, cendiakawan, masyarakat madani, pergerakan Islam dan bukan Islam serta organisasi-organisasi. Dan kita mesti menghulurkan tangan kepada anak-anak muda, dan wanita, menawarkan mereka bahasa dan agenda bagi membina masa depan penuh harapan. Forum kita tidak harus hanya menjadi warung perbualan.

Perjuangan kebebasan, keadilan, kesaksamaan dan kedaulatan undang-undang untuk semua adalah satu cabaran. Kita mesti menjadikannya mustahil bagi kerajaan-kerajaan Muslim berselindung menyamar sebagai demokratik di sebalik perlakuan pilihanraya cacat dan sarat penipuan, didokong pula kehakiman yang berkompromi, bersandarkan institusi-institusi korup dan kroni-kroni ditatang kaya raya. Kita juga mesti menegur dan mendedahkan peragaan kewarakan palsu dan pergantungan kepada persekongkolan ‘ulama kompromi’ dalam salahlaku pemerintah mendakwa sebagai mewakili suara Islam yang sahih.

Saya, Anwar Ibrahim, berdiri tegak sebagai seorang demokrat Muslim tanpa ragu dalam memburu dengan kritis perubahan tulen, tuntutan Islam dan konteks semasa adalah agenda koheren dengan tujuan dan objektif yang jelas; iaitu pilihanraya bebas dan adil, akses terbuka dan inklusif bagi partisipasi dan libatserta semua lapisan masyarakat, penggantian kuasa aman dan tatakelola  teliti dengan akauntabiliti.

Inilah saja asas yang boleh diterima bagi kemajuan manusia. Jika saya tidak bebas berupaya menetapkan pendirian ini demi masa depan kita, maka demokrasi akan luput dan layu dan apabila defisit demokrasi kita meningkat maka kita berisiko untuk dilonjak menghampiri ambang kelenyapan. Oleh itu, saya ulangi, kita sedang berdiri di ceruman berbahaya dan saya ingin tegaskan bahawa saya seorang demokrat Muslim. Inilah pendirian saya. Di sini saya berdiri tegak. Tidak ada pilihan lain.


Terima kasih.



(Terjemahan transkripsi Ucaptama Anwar Ibrahim pada Forum Demokrat Muslim Sedunia ke 3 dibaca oleh Nurul Izzah Anwar berserta mukadimah khas.)



No comments:

Post a Comment