Friday, February 17, 2017

DR SIDDIQ FADZIL: FIQH MEMBEBAS DAN MEMBERDAYAKAN UMAT


DAULAT RAKYAT DAN MARTABAT UMAT:
MENILAI KEPENTINGAN FIQH PEMBERDAYAAN (FIQH AL-TAMKIN)

Dr Siddiq Fadzil


Mukadimah

Ketetapan mengangkat wacana daulat rakyat dan martabat umat adalah suatu cerminan kepekaan dan ketajaman intelektual yang layak diapresiasi. Golongan yang disebut “rakyat” dan “umat”, sesungguhnya telah lama dipinggirkan, malah selalu diremehkan. Kata “rakyat” biasa dirangkaikan dengan kata “kecil” lalu membentuk ungkapan “rakyat kecil”. Demikianlah wujudnya suatu uncomfortable truth dalam budaya politik kita. Kenyataan adanya istilah “rakyat kecil” tetapi tidak pernah ada istilah “rakyat besar”, membayangkan persepsi bahawa yang namanya rakyat memang selamanya kecil. Keadaan yang sama berlaku juga kepada ummah yang telah lama kehilangan posisi sentralnya akibat himpitan dan asakan institusi bernama dawlah (negara/kerajaan) yang semakin perkasa dan leluasa. Hubungan antara ummah dengan dawlah sudah tidak proportional lagi, sehingga timbul persoalan bagaimana seharusnya hubungan tersebut, ummat al-dawlah (umat negara) atau dawlat al-ummah (negara umat). Demikianlah latar realiti yang mendorong ilmuwan-pemikir Ahmad al-Raysuniy menulis buku al-Ummah Hiya al-‘asl, untuk mengembalikan umat ke posisi hakikinya sebagai tonggak. Justeru, umatlah yang sebenarnya menjadi fokus al-khitab al-shar`iy, sedang yang lain-lain hanya iringan dan sampingan.


Rakyat dalam Tradisi Keilmuan

Menelusuri jejak dan citra rakyat dalam karya sejarah ternyata tidak mudah. Gambaran tentang peranan rakyat dalam sejarah bangsa terkesan hanya samar-samar kerana memang tradisi penulisan sejarah umumnya sangat berorientasi istana. Sorotan sejarah masa lalu lebih terpusat pada dinasti, raja dan elit penguasa. Dalam tradisi feudal, posisi rakyat tidak lebih daripada sekadar hamba jelata yang peranannya hanya setia dikerah dan diperintah. Akibatnya yang ada hanya sejarah kerajaan, raja dan orang besar, tetapi tidak ada sejarah rakyat. Hanya selepas pertengahan abad ke-20, barulah timbul pola penulisan sejarah yang disebut history from below atau sejarah dari bawah. Ternyata tradisi menghargai posisi, peranan dan sumbangan rakyat biasa dalam sejarah adalah tradisi yang sangat baru.

Andainya memang benar bahawa zaman tradisi tidak mewariskan sejarah rakyat, tetapi ada mewariskan sastera rakyat. Bagaimanapun khazanah kesusasteraan Melayu tradisional umumnya, lebih banyak memuatkan kisah-kisah kebesaran dan kesaktian warga istana. Sastera rakyat hanya sebahagian daripada pelbagai genre dalam khazanah kesusasteraan tradisional. Genre sastera rakyat memang ada, tetapi watak-watak yang ditampilkan banyak berkisar pada watak lucu seperti Pak Belalang, Pak Pandir, Pak Kadok, Mat Jenin dan lain-lain sejenisnya. Tanpa menafikan wisdom kepujanggaan dan ketajaman mesej kritik sosial yang terkandung dalam genre sastera rakyat, yang menjadi tanda tanya ialah ketiadaan paparan yang memadai tentang kecemerlangan prestasi rakyat.
Segala yang menimpa sejarah rakyat itu sesungguhnya tidak menggambarkan sikap dan semangat Islam yang sebenarnya. Sejarah zaman awal Islam tidak hanya mencatatkan peranan golongan bangsawan Quraysh, tetapi memaparkan juga peranan rakyat biasa seperti Bilal ibn Rabah al-Habashiy, Suhayb al-Rumiy, Salman al-Farisiy dan lain-lain lagi. Malah al-Qur’an sendiri menyebut nama Zayd dalam ayat 37 surah al-Ahzab. Kata “rakyat” sejatinya membawa implikasi tanggungjawab terhadap mereka yang dijaga dan dipelihara. Secara literal kata al-ra`iyyah selalu diberi erti gembala, tetapi dalam konteks masyarakat manusia ia membawa maksud warga umat yang wajib dijaga dan dibela segala maslahah dan kepentingannya.

Dalam tradisi fiqh yang kita warisi, terdapat kaedah yang meletakkan umat pada posisi sentral, iaitu kaedah:



Kaedah fiqh yang diungkapkan oleh al-Imam Badr al-din al-Zarkashiy itu dikatakan berpangkal dari al-Imam al-Shafi`iy. Maksud kaedah tersebut bahawa dasar pentadbiran pemerintah harus selamanya menjurus kepada penjagaan kepentingan (maslahah) rakyat. Ungkapan asli al-Shafi`iy menegaskan tanggungjawab pemerintah melayani rakyat berasaskan maslahah mereka, persis tanggungjawab wali anak yatim dalam penjagaan hartanya:


 (Al-Raysuniy, Qutb. 2013: 11 – 13).

Perenungan yang lebih mendalam terhadap kaedah tersebut akan menatijahkan kesan bahawa ia sebenarnya menyiratkan suatu prinsip pemerintahan yang berorientasi kerakyatan, dalam pengertian pemerintahan yang berkhidmat untuk kepentingan rakyat, bukan kepentingan penguasa. Ini bertentangan dengan sistem pemerintahan feudal yang memusat pada kepentingan elit penguasa. Konsep pemerintahan kerakyatan sedemikian itu menjadikan rakyat sebagai paksi, sedang negara atau kerajaan hanya alat, sarana atau mekanisme pelaksana aspirasi dan kepentingan rakyat.

Prinsip pemerintahan kerakyatan seterusnya didukung oleh al-siyasat al-shar`iyyah sebagai ilmu yang menangani isu pentadbiran urusan rakyat dengan cara yang membawa maslahah dan kepentingan kepada mereka. Al-siyasat al-shar`iyyah pada asasnya adalah aplikasi al-masalih al-mursalah yang maksudnya tidak lain adalah maslahah `ammah kerakyatan. Pengutamaan maslahah umum kerakyatan dapat juga didasarkan pada maqasid al-shari`ah, tujuan utama syari`at yang terumus pada ungkapan masalih al-`ibad, iaitu aktualisasi kepentingan kemanusiaan seluruhnya, terutama tentunya rakyat yang secara kolektif menjadi bahagian terbesar komposisi al-`ibad. Al-Imam Muhammad al-Tahir ibn `Ashur yang merumuskan kembali maqasid al-shari`ah memberikan pentakrifan al-maqasid al-`ammah yang ummatik, iaitu:



(Al-`Awwa, Muhammad Salim, 2006: 37)

Pendekatan ummatik dalam pentaktifan maqasid al-shari`ah menekankan objektif pemeliharaan sistem dan aturan kehidupan umat, serta pelestarian kebaikannya menerusi kebaikan penguasa dan pengendalinya iaitu makhluk jenis manusia. Kebaikan yang dimaksudkan dalam konteks kemanusiaan meliputi kebaikan akal dan amalnya, juga kebaikan segala yang wujud di alam persekitaran hidupnya. Tuhan yang empunya syari`at ini memang menghendaki kebaikan segala aspek kehidupan sosial manusia. Perumusan semula maqasid al-shari`ah sebagai pelestarian kebaikan aturan hidup umat, menerusi kebaikan umat, dan demi kebaikan umat, seperti yang dipromosikan oleh Ibn `Ashur di atas, mungkin dapat disimpulkan bahawa hifz al-ummah (memelihara umat) termasuk dalam maqasid al-shari`ah; dan ini terasa sangat serasi dengan semangat pemerintahan kerakyatan. Ternyata rakyat atau umat menempati posisi paksi dalam pemerintahan Islami. Bagaimanapun persoalan umat tidak sentiasa mendapat sorotan sebagaimana mestinya dalam turath fiqh politik. Karya-karya al-siyasat al-shar`iyyah umumnya lebih tertumpu pada isu-isu khilafah, imamah, imarah, wizarah dan jenis-jenis penguasa lainnya; dengan sedikit kekecualian seperti kitab al-Siyasat al-Shar`iyyah fi Islah al-Ra`iy wa al-Ra`iyyah oleh Ibn Taymiyyah.


Rakyat yang Berkedaulatan

Antara maslahah rakyat yang utama ialah pemilikan kedaulatan yang dapat diertikan sebagai maruah dan karamah, martabat dan kuasa. Daulat dalam konteks pemerintahan demokratik berada di tangan rakyat. Rakyat adalah sumber kekuasaan (al-sha`b masdar al-sultah) dalam pengertian merekalah yang berkuasa mengangkat dan menurunkan pemimpin. Mereka jugalah yang secara kolektif membentuk negara, dan kerananya negara bentukan mereka itu adalah negara rakyat (dawlat al-ummah). Berbeza dengan negara feudal yang dibentuk dan dikuasai sepenuhnya oleh seorang raja, kedaulatan berada di tangan raja.

Isu yang selalu dibangkitkan dalam wacana kedaulatan ialah persoalan antara kedaulatan rakyat dengan kedaulatan Tuhan. Dilihat dari perspektif Islam, kedua-duanya (Tuhan dan manusia) memiliki kedaulatan masing-masing secara kontekstual. Kedaulatan Tuhan adalah kedaulatan mutlak yang tidak dibatasi oleh apa pun dan siapa pun. Tuhan berkuasa mutlak mencipta dan mengatur perjalanan alam seisinya menurut kehendak-Nya. Sementara kedaulatan manusia (rakyat) adalah kedaulatan relatif yang dibatasi oleh syari`at dan aturan-aturan lainnya. Apabila kedua-dua kedaulatan tersebut difahami menurut konteks masing-masing, maka tidak ada konflik antara kedaulatan Tuhan dengan kedaulatan manusia, kerana pada hakikatnya kedaulatan manusia adalah bersumber dari kedaulatan Tuhan.

Persoalan kedaulatan rakyat dan hubungannya dengan Tuhan telah dibahas oleh HAMKA dalam konteks Pancasila yang diletakkan dalam perspektif Islam. Lewat tulisannya, Urat Tunggang Pancasila, HAMKA mengatakan bahawa kedaulatan rakyat lahir dari sila pertama Ketuhanan Yang Maha Esa. Katanya, “Barangsiapa yang mengaku percaya kepada Tuhan Yang Maha Esa, dengan sendirinya dia pasti percaya akan kedaulatan rakyat, kedaulatan manusia.” Dalam huraiannya, beliau menekankan kaitan antara daulat dengan nilai dan martabat insan. Sila Ketuhanan Yang Maha Esa tidak memungkinkan penguasaan manusia ke atas manusia lain. Kerana itu dalam masyarakat yang mengakui Ketuhanan Yang Maha Esa tidak ada diktator, baik diktator kenegaraan atau diktator keagamaan. Ditegaskannya bahawa nilai dan martabat manusia dalam Islam sebenarnya lebih tinggi daripada kedudukan mereka dalam demokrasi atau faham Barat lainnya. Justeru, Tuhan Yang Maha Esa telah mengangkat manusia sebagai khalifah-Nya, wakil Tuhan mengatur dunia. Katanya lagi,

Maka kalau ada pemimpin, baik raja atau presiden diserahi memimpin suatu negara, penyerahan itu bukanlah datang dari langit yang langsung diberikan kepadanya. Bukan sebagai perkataan Louis (Lodewijk) ke XIV yang berkata, “Sayalah negara”. Atau Willem II yang berkata, “Saya memerintah atas kehendak Tuhan.”

Tetapi kepala negara memerintah atas kehendak rakyat. Rakyat itulah yang berdaulat, yang berkuasa. Dialah khalifah Tuhan. (Yusran,R., 2001: 154-155).

Dalam sejarah perjuangan kemerdekaan Indonesia, daulat rakyat menjadi agenda utama atas kesedaran bahawa ia adalah prasyarat kemerdekaan. Seawal tahun 1931 telah terbit majalah Daulat Ra’jat yang didukung oleh sebarisan tokoh perjuangan termasuk Hatta, Soedjadi, Sutan Sjahrir dan Suparman. Dalam terbitan sulungnya (Tahun I, No. 1, 20 September 1931), majalah pendidikan kader perjuangan kemerdekaan itu memuatkan pengantar redaksi yang menyatakan,

Bagi kita rakyat itu yang utama, rakyat umum yang mempunyai kedaulatan, kekuasaan (souvereiniteit). Kerana rakyat itu jantung- hati bangsa. Dan rakyat itulah yang menjadi ukuran tinggi rendah derjat kita. Dengan rakyat itu kita akan naik dan dengan rakyat kita akan turun. Hidup atau matinya Indonesia Merdeka, semuanya itu bergantung kepada semangat rakyat. Penganjur-penganjur dan golongan kaum terpelajar baru ada bererti, kalau di belakangnya ada rakyat yang sadar dan insaf akan kedaulatan dirinya. (Daulat Ra’ja, 2002: 1).

Seterusnya rencana pengantar redaksi Daulat Ra’jat itu menyebut tentang hilangnya kedaulatan rakyat Indonesia sejak berabad-abad setelah dirampas oleh kaum hartawan. Hilangnya kedaulatan rakyat inilah yang menjadi punca timbulnya sistem feudalisme dan seterusnya menjerumuskan Indonesia ke dalam penjajahan Belanda. Daulat rakyat harus dikembalikan kerana, “Tak ada negeri yang boleh jadi besar dan makmur, kalau rakyatnya tiada mengetahui dirinya sendiri atau tiada merasa kedaulatannya.” (Daulat Ra’jat, 2002:1-2).

Perjuangan daulat rakyat mencapai kejayaan penting apabila kata “berkedaulatan rakyat” dicatatkan dalam mukadimah (preambule) Undang-Undang Dasar Negara Republik Indonesia 1945:

..., maka disusunlah Kemerdekaan Kebangsaan itu dalam suatu Undang-Undang Dasar Negara Indonesia yang terbentuk dalam suatu susunan Negara Republik Indonesia yang berkedaulatan rakyat dengan berdasar kepada Ketuhanan Yang Maha Esa, Kemanusiaan yang adil dan beradab, Persatuan Indonesia dan Kerakyatan yang dipimpin oleh hikmah kebijaksanaan dalam Permusyawaratan/Perwakilan serta dengan mewujudkan suatu keadilan sosial bagi seluruh rakyat Indonesia. (Mas`udi, M.F.,  2013: 2).

Antara yang paling gigih dan konsisten memperjuangkan kedaulatan rakyat dalam kalangan pemimpin rantau ini ialah Hatta. Yang beliau inginkan adalah “daulat rakyat”, bukan “daulat tuanku”. Demikian kuatnya semangat daulat rakyat sehingga ketika memilih bentuk negara Indonesia, yang dipilih adalah bentuk negara republik, bukan bentuk monarki. Pemilihan tersebut tentunya berasaskan keyakinan bahawa negara republik yang dipimpin oleh Presiden lebih mendukung asas kedaulatan rakyat. Negara republik yang diaspirasikan oleh Hatta ialah republik yang demokratik dan berdasarkan kedaulatan rakyat, dengan catatan bahawa kedaulatan rakyat gaya Indonesia yang bersemangat kolektivisme, berbeza daripada kedaulatan rakyat versi Rousseau yang bersifat individualisme. (Yudi Latif, 2012: 385).

Menyingkap sejarah gejolak semangat daulat rakyat zaman awal kemerdekaan itu, ahli sosiologi politik Indonesia, Yudi Latif mencatatkan bahawa cita-cita menjunjung daulat rakyat, “bergema kuat dalam sanubari para pendiri bangsa sebagai pantulan dari semangat emansipasi dari aneka bentuk penindasan, khususnya penindasan yang ditimbulkan oleh kolonialisme dan feodalisme yang bersahutan dengan semangat egalitarianisme.” (Yudi Latif, 2012: 477). Generasi yang disebut “para pendiri bangsa” itu benar-benar menyedari bahawa prinsip kedaulatan rakyat harus diterjemahkan secara nyata dengan membuka ruang peranserta rakyat dalam proses pembuatan keputusan-keputusan kenegaraan. Justeru, suara rakyat adalah suara berdaulat. Untuk itu suara rakyat harus didengar dan dihormati dengan penyalurannya menerusi amalan musyawarah sebagaimana yang dinyatakan dalam Mukadimah UUD 45, “...Kerakyatan yang dipimpin oleh hikmah kebijaksanaan dalam Permusyawaratan/Perwakilan...”. Mengenai kedaulatan rakyat dan hubungannya dengan demokrasi musyawarah dalam konteks Indonesia, Yudi Latif mengatakan,

Di bawah semangat kekeluargaan, negara yang berkedaulatan rakyat itu mengandung cita-cita kerakyatan dan permusyawaratan. Dalam visi negara ini, demokrasi memperoleh kesejatiannya dalam penguatan daulat rakyat, ketika kebebasan politik berkelindan dengan kesetaraan ekonomi, yang menghidupkan semangat persaudaraan dalam kerangka musyawarah-muafakat”. Dalam prinsip musyawarah-mufakat, keputusan tidak didikte oleh golongan mayoritas (mayorokrasi) atau kekuatan minoritas elite politik dan pengusaha (minorokrasi), melainkan dipimpin oleh hikmah-kebijaksanaan yang memuliakan daya-daya rasionalitas deliberatif dan kearifan setiap warga negara tanpa pandang bulu. (Yudi Latif, 486-487).

Apabila dikatakan bahawa “demokrasi memperoleh kesejatiannya dalam penguatan daulat rakyat”, bererti demokrasi tanpa kedaulatan rakyat adalah demokrasi palsu. Kerana itu penguatan daulat rakyat menjadi penting demi pembinaan demokrasi yang tulen. Dalam rangka penguatan daulat rakyat itulah perlunya jaminan sejumlah hak kebebasan, termasuk kebebasan berfikir dan bersuara; di samping hak-hak lain seperti keadilan dan persamaan (al-musawah).

Demikianlah catatan indah sebuah perjuangan heroik menegakkan kedaulatan rakyat. Namun dalam kenyataannya hari ini kita menyaksikan pelbagai model demokrasi yang sebahagiannya telah kehilangan kesejatian dan ketulenannya, apabila demokrasi tidak lagi didukung oleh kedaulatan rakyat. Adanya pilihan raya tidak lagi dapat dijadikan bukti hidupnya demokrasi. Sesungguhnya demokrasi sejati telah mati pada saat daulat rakyat dicekik daulat ringgit. Semakin ramainya orang yang “beriman” dengan ajaran money is king, adalah indikasi jelas bahawa yang berdaulat bukan lagi rakyat, tetapi duit-ringgit. Tragedi demokrasi ini terjadi apabila berlaku persekongkolan elit politik dengan elit ekonomi dalam pakatan mengalahkan rakyat. Gejala seperti inilah yang menyebabkan Hariman Siregar (mantan tokoh aktivis mahasiswa Indonesia tahun 70-an) kembali menjerit, “kembalikan kedaulatan rakyat, jangan bajak demokrasi”. (Hariman, S., 2008).


Fiqh Pemberdayaan (Fiqh al-Tamkin)

Daulat rakyat dan martabat umat hanya akan dapat dipulihkan dengan mengembalikan kebebasan, keadilan, persamaan dan segala yang tercakup dalam hak-hak asasi kemanusiaan sejauh yang tidak bertentangan dengan agama. Demi daulat dan martabat, tidak harus ada kompromi dalam perjuangan hak asasi. Justeru, manusia yang kehilangan hak asasinya, adalah manusia yang kehilangan kemanusiaannya. Sudah banyak kita saksikan di sana sini kejadian mengurangi dan melucuti hak-hak asasi dengan pelbagai dalih - demi keselamatan, demi kestabilan, demi pembangunan dan entah apa lagi. Penodaan hak asasi seperti inilah yang diugkapkan oleh penyair kenamaan W.S.Rendra dalam puisinya, Sajak Seorang Tua di Bawah Pohon yang antaranya memuatkan bait-bait berikut:

Aku mendengar orang berkata:
Hak asasi tidak sama di mana-mana.
Di sini, demi iklim pembangunan yang baik,
kemerdekaan politik harus dibatasi.
Mengatasi kemiskinan
meminta pengorbanan sedikit hak asasi.”
Astaga, tahi kerbo apa ini!
Apa disangka kentut bisa mengganti rasa keadilan?
Di negeri ini hak asasi dikurangi,
juteru untuk membela yang mampu dan kaya.
Buruh, tani, nelayan, wartawan, dan mahasiswa
dibikin tak berdaya.
O, kepalsuan yang diberhalakan,
berapa jauh akan bisa kau lawan kenyataan kehidupan.

Hak asasi memang tidak boleh dikompromikan, kerana apa yang disebut secara konvensional sebagai “hak” itu pada hakikatnya mungkin kewajipan, malah mungkin keperluan (darurat). Kebebasan bersuara (hurriyyat al-ta`bir) misalnya, disebut sebagai suatu hak, tetapi jika yang disuarakan itu adalah al-amr bi al-ma`ruf wa al-nahy `an al-munkar, jelas ia bukan lagi hak, tetapi kewajipan. Jika cuma hak, ia boleh dikorbankan dengan kerelaan. Tetapi jika kewajipan, tidak ada pilihan selain melaksanakannya, dan tidak boleh dikorbankan walau dengan kerelaan. Pemikir Islam kontemporari, Muhammad `Imarah berpendapat bahawa yang disebut huquq al-insan (hak asasi manusia) itu pada hakikatnya bukan huquq (hak), tetapi darurat (keperluan asasi), yang tanpanya manusia tidak dapat hidup sebagai manusia dalam erti yang setulennya. Kerana itu beliau tidak menyebut kebebasan sebagai hak, tetapi keperluan (darurat al-hurriyyah), demikian juga tidak keadilan yang disebutnya sebagai darurat al-`adl. (`Imarah, M. 2005).

Pengangkatan martabat umat harus menjurus pada idealisme khayriyyah yang disebut dalam ayat 110 surah Ali `Imran. Ayat yang menempatkan umat di puncak keunggulan kemanusiaan sebagai khayra ummah (terunggul) dengan jelas mengisyaratkan keunggulan bersyarat. Tanpa memenuhi syarat tidak akan layak menempati posisi setinggi itu. Hakikat inilah yang diserlahkan oleh Ahmad al-Raysuniy dalam ulasannya tentang kelayakan umat terunggul:



Hanya umat yang kuat, bermartabat dan berdaulat sahaja yang layak mencapai keunggulan sedemikian. Di atas asas itulah Rasulullah s.`a.w. membina generasi yang selama beberapa abad memimpin dunia, meratakan sinar hidayat, menebar rahmat keadilan, ilmu dan ketinggian budi. (Al-Raysuniy, Ahmad., 2014: 31). Ayat Ali `Imran di atas menyebut keunggulan umat yang bercirikan ketinggian daya juang menegakkan nilai-nilai kemakrufan, dan kehebatan daya lawan memusnahkan gejala kemungkaran, berasaskan iman kepada Allah s.w.t. Ayat tersebut juga mengisyaratkan bahawa keunggulan yang ditawarkan oleh Allah s.w.t. adalah keunggulan yang bersyaratkan usaha gigih meraihnya (al-khayriyyat al-mashrutat al-muktasabah). Ia bukan keunggulan yang diwarisi berasaskan darah keturunan ras tertentu (al-`unsuriyyat al-mawruthah). Fiqh pemberdayaan harus berintikan idealisme al-khayriyyah tersebut, bagi menampilkan generasi yang berdaya menyumbang kepada kemanusiaan sejagat, menepati makna ungkapan ukhrijat li al-nas.

Fokus dan keutamaan fiqh al-tamkin adalah pemberdayaan ummah, bukan pemerkasaan dawlah. Masalah yang harus ditangani ketika ini ialah realiti ketidakseimbangan antara dawlah dengan ummah. Kedudukan dawlah yang terlalu kuat, sedang ummah terlalu lemah tidak akan membawa maslahah. Sebaliknya, ia akan membuka jalan keleluasaan penguasa bertindak sewenang-wenang tanpa kawalan dari pihak rakyat. Dalam budaya politik kepentingan, selalu berlaku kesengajaan melemah dan melumpuhkan kekuatan rakyat, dengan motif untuk menjerumuskan rakyat ke dalam sindrom ketergantungan, lalu hilang kemerdekaan. Mempersepsikan kekuatan rakyat sebagai ancaman adalah suatu kekeliruan. Hakikatnya, kekuatan rakyat dapat menyumbang produktiviti, kreativiti, inovasi dan pelbagai khidmat yang akhirnya secara langsung atau tidak langsung membantu dan memperkukuh pemerintahan.

Pembicaraan tentang isu penindasan (al-istibdad) bukan suatu yang mengada-ngada. Ia telah lama dibahas oleh `Abd al-Rahman al-Kawakibiy pada awal abad lalu lewat karya monumentalnya, Taba’i` al-Istibdad wa Masari` al-Isti`bad. Setelah itu dilanjutkan pula oleh Muhammad al-Ghazaliy dengan al-Islam wa al-Istibdad al-Siyasiy. Penindasan di pelbagai rantau dunia Islam selama berabad-abad adalah suatu realiti yang harus diakui dengan jujur. Tanpa kejujuran mengakuinya, dan keberanian menolaknya kezaliman akan terus berleluasa. Pada masa lalu fiqh dan kaedah-kaedahnya telah dimanfaatkan untuk menghalang sebarang perlawanan terhadap kezaliman dengan alasan menghindari bencana yang lebih besar. Dalam menyikapi pemerintah, adil atau zalim. rakyat tidak dibolehkan berbuat apa-apa selain syukur kalau mereka adil, dan sabar kalau mereka zalim. Fuqaha’ yang terlibat membantu penindasan itulah yang disebut oleh al-Kawakibiy sebagai fuqaha’ al-istibdad.

Andainya fatwa seperti itu memang ada justifikasinya pada masa lalu, apakah sampai sekarang masih dapat dijustifikasikan?

Suatu yang amat malang, ketika sistem pemerintahan despotik sudah berganti dengan sistem demokrasi, fiqhnya masih juga tetap yang lama, tidak ikut berganti. Ketika umat mulai menyedari hak demokratiknya melawan kezaliman dan kecurangan dengan bangkangan lisan dan demonstrasi aman, mereka dihadang dengan fatwa dari fiqh warisan zaman pra-demokrasi. Pembangkangan (al-mu`aradah) dan demonstrasi aman (al-tazahurat al-silmiyyah) yang sah dari segi syara` dan undang-undang, dan diterima oleh tokoh-tokoh fuqaha’ dan pemikir Islam masa kini seperti al-Qaradawi, al-Raysuniy dan Muhammad `Imarah, tetapi masih ada yang mengharamkannya seperti yang dinyatakan oleh Muhammad al-`Abd al-Karim,



Dalam realiti hari ini, memang terasa janggalnya fiqh yang membatasi perlawanan hanya dalam bentuk nasihat secara rahsia. Kritik terbuka tidak dibolehkan, malah dianggap sejenis penderhakaan lisan. Sebahagian mereka mengenakan hukum penderhakaan bersenjata, lalu mengharuskan pembunuhan terhadap demonstrator atau mereka yang menganjurkannya. Selain tidak selaras dengan semangat syari`at yang menganjurkan perlawanan terhadap kezaliman dan kemungkaran, fiqh istibdadiy seperti itu merosakkan citra Islam di mata masyarakat dunia yang menjunjung nilai keadilan dan hak asasi kemanusiaan.


Khatimah

Sudah saatnya kita membina fiqh siyasah yang baru, sesuai dengan perubahan yang berlaku. Fiqh baru ini harus bersemangat emansipatif, iaitu fiqh pembebasan dari segala bentuk belenggu dan segala bentuk penindasan dan kezaliman. Fiqh emansipatif (fiqh al-taharrur) ini harus dibina sebagai jelmaan komitmen merealisasikan masalih al-`ibad yang menjadi inti maqasid al-shari`ah. Tugas besar yang sangat mencabar ini tidak hanya memerlukan kompetensi keilmuan yang tinggi, tetapi juga keberanian dan kejujuran agar agama rahmatan li al-`alamin ini tidak menjadi agama rahmatan li al-zalimin.
Di samping pembebasan, usaha pengembalian daulat rakyat dan martabat umat juga memerlukan pemberdayaan. Untuk itu suatu formula pembinaan etos umat perlu dibina berasaskan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah. Pembinaan dan pemberdayaan umat harus dilakukan dengan cara yang benar bagi mempastikan terbentuknya karakter yang kuat sesuai dengan perwatakan al-mu’min al-qawiy (mukmin yang kuat), serta memenuhi kriteria khayra ummah, umat terunggul pelaksana misi kebaktian untuk kemanusiaan sejagat (ukhrijat li al-nas). Demikianlah yang namanya fiqh al-tamkin (fiqh pemberdayaan).



Rujukan

Al-Ghazaliy, Muhammad. 2000. Al-Islam wa al-Istibdad al-Siyasiy. Kaherah: Nahdat Misr.
Al-Kawakibiy, `Abd al-Rahman. 2009. Taba’i` al-Istibdad wa Masari` al-Isti`bad. Kaherah: Dar al-Shuruq.
Al-`Awwa, Muhammad Salim. 2006. Dawr al-Maqasid fi al-Tashri`at al-Mu`asirah. London: Mu’assasat al-Furqan.
Al-Raysuniy, Ahmad. 2014. Al-Ummah Hiya al-Asl. Kaherah: Dar al-Kalimah.
Al-Raysuniy, Qutb. 2013. Qa`idat Tasarruf al-Imam `ala al-Ra`iyyat Manutun bi al- Maslahah. Kaherah: Dar al-Kalimah.
Al-`Abd al-Karim, Muhammad. 2013. Tafkik al-Istibdad: Dirasat al-Maqasidiyyah fi Fiqh al-Taharrur min al-Taghallub. Beirut: Al-Shabakah al-`Arabiyyah li al- Abhath wa al-Nashr.
`Imarah, Muhammad. 2005. Al-Islam wa Huquq al-Insan: Darurat ..La Huquq. Kaherah: Dar al-Salam.
Latif, Yudi. 2012. Negara Paripurna. Jakarta: PT Gramedia.
Mas`udi, Masdar Farid. 2013. Sharah UUD 1945: Perspektif Islam. Ciputat: Pustaka Alvabet.
Siregar, Hariman. 2008. Kembalikan Kedaulatan Rakyat, Jangan Bajak Demokrasi. Jakarta: InDEMO.
Yusran R. (ed.). 2001. Debat Dasar Negara: Islam dan Pancasila. Jakarta: Pustaka Panjimas.
Yayasan Hatta. 2002. Daulat Ra’jat, Buku 1 1931-1932. Jakarta: Yayasan Hatta.



(Dr Siddiq Fadzil adalah Pengerusi Institut Darul Ehsan IDE dan Pengerusi Majlis Isytisyari Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH)


KDH/IDE/UNISEL: 10122016.



No comments:

Post a Comment