Sunday, February 18, 2018

Rencana Jahat ke atas Tariq Ramadan




Perutusan Penting tentang Rencana Jahat ke atas Profesor Tariq Ramadan

Paris, 10 Februari 2018

“Kempen Bebaskan Profesor Tariq Ramadan Serta Merta” mengutuk dengan keras penangkapan ke atas Profesor Tariq Ramadan, dikenakan tempoh tahan yang tidak menentu dan penafian haknya untuk mendapatkan layanan prosedur undang-undang yang adil. Hingga kini, Dr Tariq masih tidak dibuktikan lagi dengan sebarang tuduhan, oleh itu kami menuntut pembebasannya dengan kadar segera. Terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa kes ini bermotifkan politik yang berselindung di belakang topeng siasatan jenayah. Pihak pendakwa Perancis hanya bergantung kepada dakwaan kosong semata-mata dan ianya tidak berasas serta mengandungi bukti yang lemah.

Sejak Jumaat 2 Februari 2018, Dr Tariq Ramadan telah dikenakan kurungan berasingan  (Solitary Confinement) di Pusat Tahanan Sekuriti Maksimum di Flori-Miroges di Paris. Sejak Rabu, 31 Januari 2018, ketika Dr Tariq pergi secara sukarela ke Balai Polis di Paris untuk menjawab soal siasat berkenaan dakwaan jenayah itu, keluarga beliau dihalang daripada melawatnya mahupun berkomunikasi dengannya melalui telefon. Sehingga kini masih belum dijelaskan, bilakah waktu keluarga beliau boleh mendapat akses bagi berhubung dengannya.

Pada hari Selasa, di penghujung pendengaran kesnya di mahkamah, Hakim telah mengarahkan Dr Tariq ditahan bagi suatu tempoh yang tidak dipastikan. Hal ini membolehkan pihak pendakwa terus menerus berkomplot untuk mengukuhkan kes mereka yang sememangnya sudah lemah dan tidak masuk akal.

Pihak pendakwa juga telah menuduh Dr Tariq cuba untuk melarikan diri ke luar negara lalu menuntut supaya beliau terus menerus ditahan meskipun Dr Tariq memberikan kerjasama yang baik kepada pasukan penyiasat sehingga ke hari ini. Sebelum ini pun, Dr Tariq seringkali pergi ke Paris melebihi satu minggu bagi bertemu para penyiasat dan Dr Tariq amat yakin bahawa dia langsung tidak bersalah dalam kes ini. Walaupun Dr Tariq memiliki niat yang baik, bekerjasama penuh dengan pihak penyiasat, dan meletak kepercayaan tinggi kepada badan kehakiman, namun Hakim tidak melihat perkara-perkara demikian dan Hakim juga tidak mahu menerima alternatif lain bagi memastikan kehadiran Dr Tariq di Paris sepanjang tempoh siasatan. Layanan yang zalim ini menunjukkan kepada motif politik disebalik kes ini yang mana ia sarat dengan kelemahan-kelemahan yang serius dan percanggahan-percanggahan yang sangat banyak.

Kes ini bergantung kepada dakwaan-dakwaan yang tanpa asas dan datang pula daripada mereka yang mempunyai agenda dan motif tertentu. Pasukan pembela Dr Tariq telah membentangkan bukti-bukti dan keterangan yang mensabitkan keraguan-keraguan yang munasabah terhadap dakwaan tersebut.  Seorang wanita bernama Christel mendakwa dia telah dirogol oleh Dr Tariq di sebuah hotel di Leon selepas waktu tengah hari pada 9 Oktober 2009. Peguambela Dr Tariq telah mengemukakan tempahan tiket penerbangan Prof Tariq ke Leon yang menunjukkan bahawa Dr Tariq hanya tiba di Leon 9 Oktober 2009 pada pukul 6:35 petang, dan Prof Tariq juga berada di dalam dewan syarahan pada pukul 8.30 petang menyampaikan syarahan kepada ratusan hadirin.

Meskipun pasukan pembela Dr Tariq mengemukakan keterangan-keterangan atau bukti yang tepat dan kuat kepada polis Perancis serta polis mengakui  penerimaan bukti-bukti tersebut, namun secara tiba-tiba pihak polis mendakwa pula pada waktu lain bahawa bukti-bukti tersebut telah hilang daripada fail siasatan.  Maka, adalah jelas bahawa alibi iaitu percanggahan besar yang menolak dakwaan Christel tidak diambil peduli, samada pada laporan pendakwaan dan juga pada keputusan Hakim yang telah mengarahkan Dr Tariq ditahan bagi suatu waktu yang tidak ditetapkan.

Terdapat banyak persoalan serius timbul kerana pertemuan di antara si penuduh Christel dan Hakim Perancis yang berpangkat tinggi iaitu Michelle Dibasc yang berlaku pada tahun 2009. Pertemuan ini dengan jelas menunjukkan niat mereka untuk merekacipta satu kes bertujuan menjatuhkan Dr Tariq Ramadan dengan kerjasama individu-individu yang anti Islam iaitu Caroline Furst dan Antoine Sfieir. Justeru, jelaslah Dibasc telah berkomplot secara jijik dengan Furst dan Christel untuk menjatuhkan Dr Tariq semenjak 9 tahun lalu. Dibasc masih belum mendedahkan penglibatan beliau dalam kes Christel dan kes yang lain dan Dibasc kini bertugas sebagai Hakim di French Court of Cassation. Komplot ini sememangnya menyalahi undang-undang.

Dengan keadaan begini, adakah mungkin bagi Dr Tariq berpegang dan berharap kepada sistem kehakiman Perancis untuk mendapatkan layanan adil dan tidak bias terhadap dakwaan yang tohmahkan kepadanya?

Suatu lagi percanggahan ketara adalah berdasarkan dakwaan seorang lagi si penuduh, Hinda Ayari. Dia mendakwa dirogol oleh Dr Tariq pada April 2012. Namun mesej-mesej Facebook yang didedahkan oleh pihak peguam bela Dr Tariq menunjukkan Hinda Ayari telah menghantar mesej-mesej tersebut kepada DrTariq sebanyak 280 mesej antara Jun dan Ogos 2014, lebih dua tahun selepas berlakunya insiden yang didakwa itu. Hinda Ayari juga mengaku kepada media Perancis yang dialah yang meghantar mesej-mesej tersebut melalui akaun Facebooknya yang kedua, selepas Dr Tariq menghentikan akaun Facebook Hinda Ayari yang pertama kerana Hinda Ayari sering mengganggunya. Hinda berharap dia dapat memperdaya dan menggoda Prof Tariq untuk melakukan perbuatan terkutuk dengannya. Pendedahan-pendedahan ini menjadi sebab kenapa Hinda Ayari tidak hadir apabila dipanggil oleh polis Perancis.

Fakta-fakta ini menimbulkan persoalan-persoalan besar terhadap proses siasatan terhadap Dr Tariq, apatah lagi tentang dakwaan yang dilemparkan kepadanya. Namun pihak pendakwa dan sekutu mereka telah mempamerkan di media massa beberapa dakwaan dan pertuduhan yang tiada asas, semata-mata untuk mencemari imej Dr Tariq. Peranan jelik yang dimainkan oleh media massa merupakan mudarat dan keburukan yang khusus. Hal ini kerana media terus menerus menggembar-gemburkan maklumat yang salah dan mengulangi secara harfiah “bukti-bukti” yang diungkapkan oleh pihak pendakwa tanpa menyemak kesahihan maklumat tersebut. Antara maklumat atau propaganda yang disebarkan adalah, dakwaan bahawa Dr Tariq pemegang paspot Mesir, dan dia  cuba untuk menggunakannya bertujuan melarikan diri ke Mesir. Padahal Dr Tariq tidak mempunyai paspot Mesir dan beliau adalah warganegara Swiss sahaja.

Selain itu, Dr Tariq difitnah kononnya dia tidak dialu-alukan di Qatar. Perkara ini adalah sangat salah sekali. Disamping itu, agensi akhbar mendakwa, Christel mengenalpasti kesan parut di paha Dr Tariq dan kononnya Dr Tariq juga mengakui akan kewujudan parut itu. Kesemua ini adalah tohmahan dusta semata-mata. Media juga menyebarkan bahawa pihak pendakwa mempunyai bukti yang banyak merangkumi mesej-mesej di antara Dr Tariq dan dua orang wanita yang menuduh mereka dirogol itu.

Padahal bukti-bukti yang dikemukakan oleh peguambela mendedahkan bahawa Hinda Ayarilah yang menghantar surat-surat itu kepada Dr Tariq ratusan kali selepas berlalunya dua tahun selepas insiden itu didakwa telah berlaku. Dia juga telah mengaku bahawa surat-surat atau mesej itu dihantar untuk menggoda Prof Tariq untuk melakukan perbuatan yang keji bersama-samanya. Christel pula mendakwa dia telah kehilangan telefon peribadinya, oleh yang demikian, adalah mustahil dia dapat menghantar mesej-mesej tersebut pada tahun 2009.

Lazim dalam keadaan biasa, semestinya kes ini sudah pasti akan digugurkan. Namun, disamping semangat pihak pendakwa raya yang berkobar-kobar mahukan siasatan ini diteruskan, beserta cara yang digunakan untuk memaksa Dr Tariq merengkok di dalam tahanan meskipun kerjasamanya yang baik dengan pihak penyiasat, dan walaupun kehilangan bukti-bukti yang utama dalam penjagaan pihak polis, dan komplot yang jelas antara media massa yang mempromosikan naratif dusta pihak pendakwa, kesemua ini menunjukkan dengan terang akan ketidakpatuhan terhadap prosedur undang-undang, serta mencabul prinsip asasi ‘seseorang itu tidak bersalah hinggalah terbukti oleh mahkamah bahawasanya ia bersalah’ (innocent until proven guilty) dalam kes Dr Tariq Ramadan.

Selepas berdekad-dekad lamanya Dr Tariq Ramadan diburukkan oleh ahli-ahli politik dengan memberinya gelaran “Musuh negara Perancis beragama Islam”, adalah tidak menghairankan pihak berkuasa Perancis dipacu politik dendam demi menjatuhkan seorang insan Muslim yang amat vokal mengkritik dasar politik kerajaan Perancis yang zalim, serta pemerintahan yang prejudis terhadap fakir miskin, orang Islam, pelarian, serta mereka yang terkorban akibat rejim penjajah.

Terdapat banyak bukti yang kuat yang menunjukkan bahawa terdapat pihak-pihak yang memusuhi Islam yang terdiri daripada media massa, agensi-agensi politik, dan individu-individu yang membenci Islam Islamophobes seperti Caroline Furst dan Antoine Sfeir, kesemua mereka menjalankan kempen-kempen yang aktif dan jahat memomokkan Dr Tariq sejak beberapa tahun termasuklah kes yang menimpanya ini.

Profesor Tariq Ramadan merupakan suara untuk jutaan masyarakat yang lemah dan tertindas tidak terbatas hanya kepada orang Islam sahaja. Sepanjang hidupnya, Dr Tariq memperjuangkan isu-isu keadilan, dan menyeru kepada ta’ayush (co-existence) yang harmoni sesama manusia berdasarkan prinsip persefahaman dan toleransi. Adalah jelas bahawa musuhnya berusaha untuk mempergunakan atas alasan nama gerakan kebangkitan wanita yang dihormati untuk memburukkan maruah dan imej Dr Tariq Ramadan demi merealisasikan motif-motif kotor mereka.

Melihat situasi Dr Tariq ditahan tanpa keadilan dan berdepan dakwaan dusta, kami menyeru semua organisasi hak asasi manusia di seluruh dunia untuk mengutuk kes yang penuh motif politik ini yang digunakan semata-mata untuk menjatuhkan Professor Tariq Ramadan. Kami menuntut dengan segera pembebasan Dr Tariq dan dia hendaklah diberikan hak-haknya seperti termaktub dalam undang-undang.



Ini adalah terjemahan dari teks asal dari link Kesatuan Ulama Sedunia:-


No comments:

Post a Comment