Tuesday, April 17, 2018

AHMAD AZAM: IBRAH al-'Isrā' wal-Mi'rāj




Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. ( al-'Isrā': 1)


Pengajaran Mesej Peristiwa al-'Isrā' wal-Mi'rāj


1.Pergantungan perjuangan mutlak hanya kepada ALlah SWT.
Selama 10 tahun memikul amanah kerasulan, bapa saudaranya Abu Talib menjadi benteng perlindungan politik dan kekuasaan dari hegemoni kafir Quraish. Sebagai salah seorang Pembesar Quraish, Abu Talib sentiasa mempertahankan dan melindungi Rasulullah SAW dari sebarang bentuk tindakan provokasi. Dalam bahasa mudah, Abu Talib adalah ‘godfather’ kepada anak buahnya.

2.Begitu juga dengan peranan Sayyidatina Khadijah r.a. yang menjadi sumber kekuatan ekonomi dan kekuatan motivasi keluarga bagi memikul amanah dakwah yang masih baru berputik. Sayyidatina Khadijah r.a. menghabiskan seluruh hartanya untuk perjuangan dakwah Rasulullah SAW.

3.ALlah SWT memberi isyarat kepada Rasullulah SAW dan semua pejuang dakwah bahawa pergantungan mutlak dalam perjuangan dakwah hanyalah kepada ALlah SWT sumber segala pergantungan hidup.

4.Kematian Abu Talib dan Sayyidatina Khadijah r.a. selang beberapa bulan memberi mesej jelas bahawa selepas ini pergantungan perjuangan Rasulullah SAW bukan lagi kepada manusia. Hanya ALlah SWT tempat bergantung harap.

5. Peristiwa Thaif di mana Rasulullah SAW mengharap bantuan dan pertolongan dakwah setelah kematian dua tiang tonggak perjuangannya selama ini berakhir dengan penolakan dan penghinaan penduduk Thaif. Rasulullah SAW dihalau dengan balingan batu oleh anak muda Thaif hingga luka berdarah badan Baginda. Malaikat penjaga Gunung juga tidak tahan akan penghinaan begitu rupa hingga memohon izin Baginda untuk menghancurkan penduduk Thaif. Namun, baginda melihat optimis akan perubahan generasi yang bakal berlaku. Sebaliknya, Baginda mendoakan agar dari tulang sulbi penduduk Thaif ini nanti akan menerima ajaran dakwahnya. Bukan dendam kesumat dan sumpah laknat.

6.Setelah melalui dua peristiwa pahit yang merupakan ujian ketahanan jiwa dan mental serta fizikal dalam menunaikan amanah dakwah, yang dinamakan oleh pengkaji Sirah sebagai Tahun Kesedihan atau ‘Ām al-Ḥuzn, maka ALlah SWT menjemput Baginda mengadapnya dalam Peristiwa penuh mukjizat al-'Isrā' wal-Mi'rāj.

7. Pasca al-'Isrā' wal-Mi'rāj, maka perintah berhijrah diturunkan sebagai tanda bermulanya fasa kedua perjuangan dakwah Baginda, iaitu fasa dawlah Islam.

8. Rupa-rupanya ALlah SWT menghantar mesej penting buat para pendakwah. Hanya yang tahan ujian jiwa, mental dan fizikal yang terpilih untuk menerima kalungan penghargaan ALlah sebagai pejuang, mujahid dakwah.

9. Juga mesej ALlah SWT yang penting bahawa fasa pembinaan model baldatun thayyibatun wa rabbun ghafûr mestilah ditangan mereka yang mampu menjalani ujian getir kesabaran menghadapi fitnah dan mehnah perjuangan.

(Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!. (Saba’: 15)

10. Urutan peristiwa kematian Abu Talib dan Saidatina Khadijah, disusuli dengan peristiwa Thaif yang memilukan, kemudian anugerah teramat istimewa al-'Isrā' wal-Mi'rāj sebelum arahan Hijrah mengandungi banyak ibrah dan mesej tersurat dan tersirat.

11.Tugasan penting Hijrah untuk membina model Masyarakat Islam bukan suatu tugas tanpa persiapan. al-'Isrā' wal-Mi'rāj adalah skima ILahi yang amat istimewa. Dalam ilmu pengurusan moden disebut sebagai ‘environmental scanning’ dan melihat cabaran mendatang dengan pendekatan ‘helicopter view’. Melihat sejarah, bangun jatuh bangsa-bangsa, cabaran ujian para Rasul terdahulu, pengakhiran nasib mereka yang taat dan derhaka, kehidupan syurga dan neraka adalah bertujuan untuk Baginda siap memikul amanah berat Kekhalifahan sebagaimana termaktub dalam Al-Baqarah 2:30.

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi".

12.ALlah SWT telah membekalkan Baginda dengan resepi terpenting bagi kejayaan dunia dan akhirat bagi menjayakan misi Kekhalifahan ini. Umat Islam jika ingin berjaya di dunia dan di akhirat, menjadi hamba kepada ALlah dan menjadi Khalifah kepada manusia wajib menjadikan kehidupannya “Solat-centric”. Solat menjadi paksi kehidupannya sepanjang hayat dan sekiranya ini dapat dilaksanakan seutuhnya, maka umat Islam akan meraih anugerah Al-Falah oleh ALlah SWT.

13. Justeru itu Solat menjadi elemen terpenting untuk kejayaan umat Islam. Solat dikaitkan dengan Misi Kekhalifahan di mana Masjid menjadi Pusat Pentadbiran mengurus umat dalam masyarakat Islam yang baru berputik. Maqasid bagi Institusi Masjid adalah untuk membina nilai-nilai kehambaan dan nilai-nilai kekhalifahan.

14. Inilah mesej terpenting al-'Isrā' wal-Mi'rāj. Namun Solat yang hanya menekankan soal 'ubudiyyah atau perhambaan semata-mata tanpa diimbangi dengan soal kekhalifahan bakal melahirkan masyarakat yang lemah dan mudah diperhambakan.

15. Apa yang dimaksudkan dengan Maqasid Masjid dengan Misi Kekhalifahan ialah peranan Masjid untuk memimpin perubahan masyarakat dari penyakit kejahilan, kemiskinan dan perpecahan. Misi Kekhalifahan ialah misi Pembebasan dari tiga penyakit umat ini.

16. Bukankah surah Al-Maa'uun 107:1-7 mendefinisikan siapakah pendusta agama? Siapa orang yang solat tetapi celaka di sisi ALlah?

Tahukah kamu orang-orang yang mendustakan agama?
yakni orang yang menindas anak yatim
dan tidak bersedia memelihara hidup golongan peminta-minta,
maka celakalah golongan yang shalat!
yakni orang-orang yang menganggap remeh shalat mereka;
yakni orang-orang yang gemar menampak-nampakkan
namun enggan untuk memberi sumbangsih (bantuan pertolongan)


(Ahmad Azam Abd Rahman adalah Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH))

Disunting daripada teks asal.


No comments:

Post a Comment