Tuesday, May 15, 2018

SELAMAT PULANG ANWAR IBRAHIM!


SELAMAT PULANG ANWAR IBRAHIM!
MENEMPUH RANJAU, ONAK DAN DURI – MEMPERJUANGKAN REFORMASI



RANJAU SEPANJANG JALAN

Pada November 2017, sewaktu sekumpulan pasukan sukarelawan ABIM membawa bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir terbesar yang melanda kawasan Lahar Yooi Pulau Pinang, seorang warga tua menyahut, “Hangpa dari ABIM ke? Teringat pulak kat Pak Shaykh, kesian kat dia, dia dok dalam lagi.” Banyak lagi anekdot boleh dicatat daripada penduduk setinggan Sg Nibong Tengah pada tahun 80’an dan juga Baling pada tahun 1974 sebagai cerita rakyat marhaen serta merata pelusuk tanah air. Begitulah sosok Anwar Ibrahim diingati oleh mereka yang mengenangkan jasanya sewaktu mahasiswa yang turun berkhidmat masuk ke kampung mereka dan mereka mengamatinya sehingga bersinar naik menjadi menteri kemudian malap kejatuhannya disumbat ke dalam penjara dan dipukul setengah mati. Anwar Ibrahim tersemat di dalam hati nurani rakyat kerana dia pelopor gerakan kebangkitan Islam, pendakwah karismatik, tokoh politik tersohor dan negarawan yang disanjungi.

Di ambang pemecatan dan pemenjaraan Anwar Ibrahim pada 1998, sumber khas menganalisa dan mengandaikan penyokong-penyokong Anwar terutama daripada partinya tidak akan setia bertahan lama, lalu mereka menfokus kepada ABIM dilabel pendokong tegar atau disifatkan sebagai ‘diehards’. Namun analisa ini meleset kerana walaupun ketika itu ABIM, gerakan Islam, parti Islam PAS dan masyarakat sivil memang mengambil pendirian tegas berasaskan kebenaran dan keadilan tetapi yang sebenar mengangkatnya dan membelanya adalah rakyat. Ini telah memastikan Anwar tidak dilupakan di mata hati rakyat – ‘jauh di mata namun tetap di hati’ - walaupun dia dipaksa merengkok lama di balik tabir besi dan dicaci serta dihina media utama begitu rupa.

Rakyat menyaksikan sendiri layanan buruk yang diterima oleh seorang pemimpin harapan umat dan merekalah juga memastikan Anwar diangkat menjadi ikon Reformasi. Anwar mengajak kepada perubahan daripada sistem yang korup, bobrok dan maju bersama menyelamatkan negara. Dari sebalik tirai besi, Anwar membidani kelahiran parti baru, parti Reformasi pelbagai kaum, Parti KeAdilan yang juga bakal  membawa perubahan besar kepada ragam politik tanah air. Pilihanraya 1999 menyaksikan buat pertama kalinya beberapa kekalahan parti pemerintah tetapi pentadbiran negara masih mengekalkan status quo. Anwar kekal di dalam penjara.

Setelah kemenangan besar kerajaan Pak Lah pada pilihanraya 2004, Anwar dibebaskan dan dia disebut dalam suatu wawancara  sebagai ‘politically forgotten’ – pesaing enteng  oleh PM pada waktu itu. Anwar bergerak merangka strategi, meraih sokongan dan dokongan rakan-rakan, menemukan parti-parti berlainan ideologi, menjambatani perbedaan, melerai perbalahan dan menjelajah seluruh negara membangkitkan semangat rakyat  sehingga berjaya mewujudkan Pakatan Rakyat – gabungan parti yang berkoalisi berasaskan ‘moral compact’ – ikatan moral bagi memperjuangkan keadilan sosial demi mensejahterakan rakyat Malaysia. Anwar berjaya menangani pertembungan dan kepelbagaian bersama rakan-rakannya dalam satu pakatan yang sering diuji muafakatnya dalam isu-isu getir yang berjaya diolah oleh Anwar serta diartikulasi meyakinkan pimpinan semua parti agar terus bersatu pada waktu itu.

Kemaraan Anwar disekat sekali lagi dengan tuduhan kedua dan bermula semula adegan fitnah jijik serta kemunculan Anwar yang kesekian kalinya terpaksa naik turun menghadiri perbicaraan-perbicaraan di mahkamah bagi membela dan mempertahankan diri demi memelihara maruahnya. Pilihanraya 2008 menyaksikan Tsunami politik pertama merubah landskap negara dengan menafikan kuasa dua per tiga kerajaan. Anwar juga telah kembali ‘menggegarkan parlimen’. Pak Lah akur dengan prestasinya yang  merudum lalu mengundur diri.

Pilihanraya 2013 menyaksikan kemenangan undi popular bagi Pakatan Rakyat walaupun masih tidak dapat menguasai parlimen. Pada Februari 2015 Anwar dipenjarakan setelah dijatuh hukum oleh Mahkamah Persekutuan. Musuh-musuh politik Anwar seolah-olah ingin merayakan musibah ini dengan melakukan ‘jelajah qazaf’ bertujuan membenam terus reputasinya.

Pakatan Rakyat dilanda krisis pertelagahan besar apabila perbedaan tidak dapat lagi ditangani sehingga PAS meninggalkan pakatan berkenaan. Peluang dan harapan Pakatan Rakyat bertambah tipis.

ISTIQAMAH DAN KESABARAN DALAM PERJUANGAN

Di sinilah dapat disaksikan istiqamah dan kesabaran Anwar Ibrahim dalam perjuangan. Apabila ditanya bagaimana mencari kekuatan dengan dugaan besar yang dihadapinya, dia merujuk kepada pesanan-pesanan tok guru dan alim ulama – al marhum Tok Guru Nik Aziz, Tuan Guru Hj Salleh, Shaykh Wahbah al Zuhaili semuanya berpesan yang sama - supaya berpaut kepada ayat Innalladzina qalu rabbunallah (sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, “Tuhan kami ialah Allah”) sebagai pengakuan atas ketuhanan-Nya dan keesaan-Nya - thummas taqamu (kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka) (Surah al Fushshilat: 30)”

Profesor Yusuf al Qaradawi berkali-kali mengutus surat dan datang sendiri bertemu pemimpin negara ini memohon agar Anwar dibebaskan. Al marhum Dr Wahbah telah menegaskan semasa kunjungan ke rumah Anwar, “Saya kenal Anwar Ibrahim begitu lama, dia seorang yang baik dan bersih. Sangat wajar dia mengadu terus ke hadrat Allah s.w.t..” Keyakinan dan dokongan para ulama luar dan dalam negeri menggembirakan kedukaannya serta mengukuhkan ketabahannya menempuh tribulasi.

Tema perjuangan Anwar disingkap apabila dia ditanya kenapa dia masih sanggup menjejaki jalan ranjau penuh penderitaan ini dengan segala mehnah dan fitnah, Anwar sering merujuk kepada ungkapan Islah mastata'tu - surah Hud:88 - “Tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami.””


Anwar berazam bahawa perjuangan untuk demokrasi, untuk kebebasan, untuk keadilan bukan suatu lakaran teori. Anwar mempunyai ‘tabiat hati’, satu iltizam, ‘courage of conviction’ - keberanian berbekalkan keyakinan, dengan ketabahan, dengan niat yang luhur. Dia percaya bahawa ini prinsip yang tidak boleh dikompromi. Itulah sebabnya dia menolak tawaran agar menjadi suaka politik di luar negara seperti yang cuba dipujuk rayu oleh rakan-rakannya memandangkan usia dan kesihatan fizikalnya bagi menjalani penjara semula. Anwar berkata, “Saya harus pulang dan berada di sini. Disinilah gelanggang perjuangan saya. Saya akan hadapi apa pun termasuk penjara.”

Rakyat dapat melihat bahawa Anwar dikurniakan keluarga yang hebat. Dr Wan Azizah dan anak-anak bukan sahaja menyokong, mendokong penuh tetapi mereka semua komited sepenuhnya kepada idealisme perjuangan. Anwar juga terinspirasi dan terhutang budi kepada rakyat Malaysia, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan  semua orang yang mempercayai perjuangannya, demi kebebasan, untuk demokrasi, demi kedaulatan undang-undang, untuk kebebasan hati nurani. Dan dia percaya jika semua ini memerlukan sedikit usaha dan pengorbanannya, ia mesti dilakukan.

Anak lelaki Anwar, Ihsan mengungkapkan, “Papa mengutamakan negara dan rakyat daripada dirinya.”

Politik luhur memerlukan jiwa besar dan berlapang dada. Perpaduan politik memerlukan pemimpin yang boleh mengetepikan sentimen, mudah memaafkan dan mengutamakan matlamat lebih tinggi. Itulah yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim dengan menyifatkan penganiayaan terhadap dirinya sebagai ‘luka kecil’ lantas dia serta keluarga memaafkan Tun Dr Mahathir dan tidak ingin membalas dendam.

Pengorbanan Anwar dan keluarga ini membolehkan muafakat padu Pakatan Harapan yang diketuai Tun Dr Mahathir yang akhirnya berjaya menumpaskan Barisan Nasional pada 9 Mei 2018 yang bersejarah.


PEMEKARAN DEMOKRASI DAN PERUBAHAN POLITIK

Anwar adalah instrumental  dalam pembentukan pakatan politik baru iaitu Pakatan Harapan. Dia percaya bahawa Pakatan Harapan memiliki kesungguhan untuk memulih dan membina semula negara manakala Barisan Nasional pula mempunyai pelbagai rekod kefasadan yang nyata serta tidak berdaya untuk berubah. Malaysia amat memerlukan perubahan politik. Inilah citra gerakan reformasi Anwar Ibrahim. Oleh itu, Anwar Ibrahim mesti diberi keadilan, ditebus dengan pembebasan dan pembersihan nama serta maruahnya. Ini hanya mungkin dengan kemenangan Pakatan Harapan.

Isu kleptokrasi dan rasuah bertaraf mega serta global 1MDB dan skandal-skandal lain telah mengheret rakyat menjadi derita berpanjangan bakal meninggalkan malapetaka kewangan kepada  beberapa generasi akan datang sedangkan elit pemerintah dan kuncu-kuncunya hidup mewah penuh pembaziran yang melampau-lampau.  Pada 9 Mei rakyat telah bangkit dan dengan sebatang pena melakukan perubahan besar.  


PELOPOR ISLAM DAN DEMOKRASI, MUSLIM DEMOKRAT SERTA DIALOG PERADABAN

Umat Islam menginginkan sistem kerajaan berpewakilan  dan punya akauntabiliti – boleh dipertanggungjawabkan, sebagai satu-satu cara mampan bagi memastikan kebebasan, keadilan, kesaksamaan dan kedaulatan undang-undang, demi mencapai kesejahteraan hidup dan kemakmuran negara mereka.

Apa yang menjadikan Anwar Ibrahim unik dan unggul adalah bagaimana dia menterjemahkan visinya dan perjuangannya kepada tindakan dan kepada sebuah pergerakan. Anwar adalah seorang pengasas kepada gerakan Demokrat Muslim.

Demokrat Muslim menekankan fundamental tadbir urus menentukan keabsahan kerajaan. Pokok permasalahan adalah ketidakupayaan umat berpartisipasi dalam proses menentukan siapa yang patut mewakili dan memimpin mereka mesti diatasi. Demokrat Muslim berjuang untuk ekonomi manusiawi dan kerajaan yang bersih serta prihatin, mengimbangi di antara pasaran bebas dan tuntutan keadilan sosial, menjaminkan hak dan kebebasan asasi, tadbir urus baik dan kebebasan kehakiman, layanan adil kepada kaum minoriti, wanita dan kanak-kanak, orang tua dan orang kurang upaya.

Demokrat Muslim berazam membasmikan rasisme dan sifat kebencian sesama insan.  Anwar menegaskan bahawa ini memerlukan reform dan pembaharuan serta keberanian menelusuri jejak yang dipandukan oleh maqasid al-Shari’a. Ia memerlukan agar menekankan sifat Islam yang sebenar, sejahtera dan meraikan kemajmukan. Intelektual Muslim dan orang ramai diseru kembali kepada keunggulan mesej Islam tentang kebebasan dan rahmatan lil ‘alamin.

Anwar menggalakkan trend sihat di kalangan ulama Muslim untuk mendalami ruang dialog peradaban kerana pentingnya mengadakan program dialog antara agama dan budaya bagi menangani kepelbagaian dan perbedaan. Dia menganjurkan saling faham memahami di antara satu sama lain, berinteraksi dengan bermakna dan kehidupan bersama merujuk kepada pengalaman Andalusia “la convivencia” di mana manusia pelbagai latarbelakang dan keturunan telah menjalani hidup makmur dan aman damai.

Pemberdayaan ekonomi sangat mustahak agar menyelamatkan umat yang  separuh berada di bawah paras kemiskinan kerana peminggiran ekonomi membawa kepada natijah sosio-ekonomik yang dahsyat. Keadilan sosial seperti dianjurkan oleh al Qur’an and al Sunnah adalah ajaran Islam tentang menyediakan kesihatan, pendidikan, perumahan dan pekerjaan. Ketaksaksamaan buruk yang melanda dunia Islam akan kekal dan bertambah teruk jika tiada usaha kolektif dan bersungguh-sungguh.

Berdasarkan maqasid al-Shari’a, tugas pemimpin-pemimpin Muslim mendirikan institusi-institusi tabdir urus demi keadilan, demokrasi dan hak asasi manusia bagi memacukan kebangkitan ummah. Kebangkitan Islam mesti memastikan kebebasan bersuara dan bebas daripada ancaman penahanan rambang serta penindasan penguasa.

Anwar mengakui bahawa ini waktu getir bagi dunia Islam, di samping jalan ke arah pemulihan dan kekuatan itu jauh dan berliku-liku lantas cabaran terbesar dihadapi umat adalah reform dan pembaharuan -  tajdid dan islah yang mesti datang daripada diri kita sendiri.

Anwar Ibrahim sering menegaskan bahawa dia  berdiri tegak sebagai seorang demokrat Muslim tanpa ragu dalam memburu dengan kritis perubahan tulen, tuntutan Islam dan konteks semasa adalah agenda koheren dengan tujuan dan objektif yang jelas; iaitu pilihanraya bebas dan adil, akses terbuka dan inklusif bagi partisipasi dan libatserta semua lapisan masyarakat, penggantian kuasa aman dan tatakelola  teliti dengan akauntabiliti. Itulah yang diperjuangkannya dengan gigih di lapangan.


WAWASAN ANWAR IBRAHIM. MEHNAH DAN FITNAH

Anwar Ibrahim adalah tokoh multi-dimensi memiliki kemampuan pelbagai sebagai pemimpin karismatik,  ahli politik berkaliber dan strategis yang cemerlang.    Dia juga sebenarnya adalah seorang pemikir serius dan ilmuwan berwawasan luas menginspirasikan:  wawasan  kebangkitan Islam, wawasan kebangkitan Asia,  wawasan ekonomi kemanusian,  wawasan pendidikan keinsanan,  wawasan masyarakat madani, dan ‘Muslim Democrats’.

Anwar menganjurkan pemerataan kefahaman Islam yang syumul dan pendekatan da'wah bil  hikmah wal mau'izatul hasanah. Kesederhanaan dan keseimbangan - ummatan wasata; dan keyakinan bahawa hanya dengan derajat mulia dan seimbang, umat akan menjadi contoh dan saksi kepada umat manusia - shuhada' 'alannas.

Anwar menolak pandangan agama yang dogmatik, terperangkap dengan taqlid buta, tidak memberi ruang untuk pemikiran kreatif yang berlandaskan kepada asas Islam. Dia menyarankan supaya menyingkap sejarah mengambil iktibar daripada kelenturan dan kelesuan pemikiran hingga berlaku 'kelompong ijtihad'. Gejala mutakhir, adalah kemunculan ulama yang menganggap penafsiran mereka sebagai muktamad - dan kecenderungan menjurus kepada takfir dan faham kabilah secara sempit. Islam menekankan keseimbangan sosial - tawazun ijtima'i  bukan cara keras, memaksa, mengugut dan mengherdik. Anwar menolak faham jumud kalangan yang bersekongkol dengan penindas terutama yang menganiaya golongan miskin dan lemah. Agamawan mesti menghindari penyakit ingin mendapat laba.

Program agama hendaklah memberi penekanan ke arah pencerahan dan pencerdasan umat, mengekalkan landasan da'wah berhikmah, memanfaatkan gudang pengalaman, khazanah ilmu dan turath Islam untuk menyinarkan obor.

Dr Siddiq Fadzil pernah menyatakan bahawa kita berkongsi perasaan kasih kepada Anwar Ibrahim kerana sedih dengan apa yang menimpanya dan kita semua terasa terhutang kepadanya. Anwar pemimpin paling berjasa untuk Islam  dan dialah yang betul-betul mencipta sejarah kebangkitan Islam. Dialah ikonnya. Dialah tokoh yang berjasa dan berjaya merubah ribuan malah jutaan orang – berhijrah daripada kejahilan kepada Islam. Dia pula orang yang paling banyak diaibkan di dalam sejarah kita. Kesedihan itu turut disebut oleh Dr Razali Nawawi apabila dia mengatakan, “Tangisan itu adalah doa untuk sahabat kita.”

Sudah tiga kali dia dipenjarakan – 2 tahun di bawah ISA, tragedi 1998 selama 6 tahun dan sekarang 5 tahun pula. Tidak ada tokoh lain yang didera dan diaibkan seperti ini. Keputusan politiklah yang telah menjatuhkan Anwar Ibrahim. Ada yang merasa telah menang dan beruntung dengan memenjarakan dan terus menerus menfitnah Anwar.

Anwar pula tidak dilawan kekayaannya kerana dia memang tidak kaya. Anwar terbukti kewibawaan integritinya kerana tidak pernah mengambil kesempatan mengaut laba atau harta padahal sewaktu dia berjawatan TPM atau Menteri Kewangan memang banyak kesempatan. Oleh kerana dia bukan hartawan maka tidak ada guna bagi cubaan membankrapkannya. Kekuatannya adalah pada kekuatan moralnya. Musuhnya tidak sanggup untuk melawannya dari segi moral. Maka terjadilah fitnah paling dahsyat dan paling aib. Sehingga lidah kita pun tak sanggup, tak terdaya, tak tergamam menyebutnya.

Kita berserah kepada Allah swt bagi membersihkan orang-orang bersih. Soal berapa lama dan bila, kita hanya mampu berserah dan ambillah iktibar kisah Musa a.s. dan Aisyah r.a. Politik fitnah adalah politik keji dan bukan politik luhur. Kita perlu selamatkan umat daripada terjebak dalam kancah qadhaf dan kefasikan.
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala cacian yang mereka katakan; dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah. (al Ahzab : 69)

Satu kelebihan Anwar Ibrahim adalah kelebaran jaringan persahabatannya yang unik, akrab dan lingkaran jejak kenalannya boleh dikesan di serata dunia. Malangnya kekuatan karisma inilah yang  cuba dieksploit secara songsang - reverse psychosis dan dengan kaedah yang amat jelek bagi menjatuhkan  pula karakternya melalui ‘pengakuan’ bekas sahabatnya sendiri. Padahal tidak ada rekod di mana-mana bahawa Anwar Ibrahim memutuskan persahabatan dan mengkhianati kawan-kawannya.

Iltizam agamanya, pengetahuan mendalam, komitmen tinggi dan identiti diri peribadi Anwar sinonim dengan perjuangan Islam, gerakan kebangkitan Islam, pemikiran Islam dan kemampuannya mentadbir negara majmuk dan plural. Seluruh usaha Islamisasi, pembangunan institusi, membangunkan Falsafah Pendidikan Sepadu membuktikan iktikad dan kewibawaannya memimpin umat .

Anwar memang terkenal dan konsisten berjuang menentang kezaliman Israel bahkan menentang kezaliman mana-mana pihak pun terhadap rakyat yang ditindas, diceroboh samada Bosnia, Afghanistan, Iraq, Patani, Mindanao dan Rohingya atau lain-lain. Persahabatan rapatnya dengan pemimpin pejuang Palestin merentasi semua faction.  

Dengan Barat, terserlah keupayaannya mengadakan perhubungan, talian diplomatik dan mendapat pengiktirafan antarabangsa samada di bidang agama, sosial, ekonomi, kewangan dan politik. Kekuatannya adalah keterbukaannya, kemampuannya membina rangkaian kenalan merentas nasionaliti, kekuatan hujah, kepetahan berbahasa, kepandaian sastera, menggarap filosofi, keupayaan pengolahan dan mengartikulasi pelbagai isu serta cakna permasalahan semasa. Pendekatan pertengahan - wasatiyyah dan berprinsip yang bukan ala Taliban dan juga bukan Pak Turut Barat, membawa wajah Islam dengan pendekatan yang bermaruah dan mampu berdialog melibatserta secara konstruktif – constructive engagement.

Apabila pada suatu ceramah awal era Reformasi 1998, Anwar melaungkan kata-kata masyhur “lawan tetap lawan” dan “kalau takut risiko, jangan bicara perjuangan”, banyak penyokong-penyokong terkenal dan pimpinan pemuda ketika itu bertempek, bersorak dan bertakbir bersemangat berkobar-kobar. Ketika itu Anwar mengingatkan hadirin bahawa apabila melangkah ke medan perjuangan, perlu benar-benar melangkah mengharungi onar dengan  sepenuh iltizam kerana melangkah itu langkah yang nyata bukan lagi hanya hasrat di hati sahaja.

Ini terbukti apabila tidak semua sanggup bertahan.  Ada ketua pemuda kecundang dan patah semangat tersungkur mengaku kalah dalam tempoh yang begitu singkat. Ada ahli intelek yang didera begitu rupa sehingga apabila bebas keluar mengecut memencilkan diri dan berpaling tadah. Ramai yang menjadi serik untuk menyertai perjuangan kerana baru tersedar bahawa betapa perit jalan yang ditempuhi dan dibayar pula harga yang mahal mencalar maruah, mengganggu jiwa serta mencelarukan pemikiran. Pengalaman jerih, ngeri dan menakutkan sedemikian meninggalkan memori pahit yang bakal menghantui diri kecuali pada jiwa kental diri seorang pejuang.

Ada yang pada awalnya berdegar-degar tetapi tewas akibat tekanan sempit hilang kemewahan dan habis keselesaan. Siapa sangka bekas tokoh korporat terpaksa berniaga direct selling jual agar-agar di bonet kereta selepas ceramah untuk sara hidupnya. Ada yang kecundang disebabkan umpanan, termakan budi dan janji sehingga terikat kepada agenda menyalak dan acara tibai-menibai apabila diarah. Ada yang rebah kerana dendam dan dengki. Ada yang tertiarap apabila menjangkakan tiada lagi laluan mudah bagi kemenangan. Mereka ini semuanya pernah menjadi sahabat tetapi tidak dapat mengerti atau mengisi erti persahabatan bersama seorang pejuang.

Sahabat-sahabat  di sisi Anwar Ibrahim samada seorang tokoh, orang awam atau orang kampung, baik Muslim atau Non Muslim telah dan akan membela serta lebih setia kepada persahabatan dan prinsip. Sememangnya banyak sahabat-sahabat setianya dari segenap pelusuk dunia dan rakyat jelata yang rela bersama pejuang yang sejati tak kira apa tohmahan dan menolak label yang digunakan bagi  memburukkan watak yang pada mereka lebih mereka kenali.


AKHIRKALAM:    IDEALISME PERJUANGAN

Anwar Ibrahim mengungkapnya begini:-
"Saya dibesarkan pada zaman transformasi sosial hebat di mana berlaku cetusan ledakan idea-idea dan peristiwa-peristiwa berbetulan serta bertindan dengan aktivisme mahasiswa, kebangkitan agama dan pergolakan politik. Saya tidak rela berada selaku pemerhati sahaja, bahkan saya memilih untuk menjadi ahli yang berpartisipasi aktif. Saya muncul daripada semua ini dengan berkeyakinan bahawa sementara pilihan hidup secara bertafakur, berfikir dan bertapa menyendiri boleh menyegarkan dan melazatkan minda dan jiwa, tetapi hidup bertafakur digandingkan pula dengan gerak tindakan dan pupuk persaudaraan lebih memugarkan aktualisasi diri. Saya tidak menyesali jalan yang ditempohi kerana jejak laluan ini telah membawa saya mengalami dan menghayati kehidupan cukup mencabar dan penuh bermakna bagi saya. Dan di ruang lingkup  inilah saya akan terus berperanan secara aktif dan menyertai dengan seutuhnya bagi merealisasikan cita-cita dan matlamat hidup yang lebih tinggi."


SELAMAT PULANG ANWAR IBRAHIM.
SELAMAT BERJUANG BAPA REFORMASI!


Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH   16 Mei 2018  bersamaan  30 Sya’ban 1439

No comments:

Post a Comment