Thursday, October 18, 2018

Tulisan Terakhir Jamal Khashoggi





Jamal Khashoggi: Dunia Arab Mendambakan Kebebasan Bersuara


Baru-baru ini saya meneliti dapatan "Kebebasan di Dunia" yang diterbitkan oleh Freedom House pada 2018 yang membawa suatu kesedaran yang berat dan serius. Hanya terdapat sebuah negara Arab sahaja yang telah diklasifikasikan sebagai "bebas." Negara itu adalah Tunisia. Jordan, Maghribi dan Kuwait berada di tempat kedua, dengan klasifikasi "sebahagiannya bebas". Selebihnya negara-negara di dunia Arab dikelaskan sebagai "tidak bebas".


Hasilnya, orang Arab yang tinggal di negara-negara ini sama ada tidak tahu atau salah maklumat. Mereka tidak dapat membincangkan dengan secukupnya, tidak boleh membahaskan secara terbuka, tentang perkara-perkara yang mempengaruhi rantau ini dan hal yang memberi kesan kepada kehidupan seharian mereka. Naratif yang dikuasai oleh kerajaan menguasai jiwa minda orang awam, dan walaupun ramai yang tidak mempercayai naratif kerajaan, namun sebahagian besar penduduknya masih terjerumus menjadi mangsa naratif palsu ini. Malangnya, keadaan ini tidak mungkin berubah.

Dunia Arab telah menaruh harapan kepada Arab Spring pada musim bunga tahun 2011. Wartawan, ahli akademik dan penduduk awam penuh dengan harapan bahawa masyarakat Arab akan bangkit cerdas dan bebas di negara masing-masing. Mereka mengimpikan dapat dibebaskan dari hegemoni penguasaan kerajaan mereka, bebas daripada campurtangan kerajaan dan intrusi berterusan serta tiada lagi sekatan tapisan maklumat. Harapan ini hancur luluh; masyarakat mundur kepada takuk ‘status quo’ lama malah menghadapi keadaan tekanan lebih keras daripada sebelumnya.

Sahabat karib saya, penulis Arab Saudi terkenal Saleh al-Shehi, menukil sebuah rencana paling termasyhur yang pernah diterbitkan dalam akhbar Saudi. Malangnya dia kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun yang tidak adil hanya kerana komentarnya tidak seiring dengan pentadbiran penguasa Saudi. Penyitaan kerajaan Mesir ke atas keseluruhan cetakan akhbar, al-Masry al Youm, tidak membangkitkan perasaan atau menimbulkan reaksi daripada rakan-rakan sekerja. Langkah penindasan akhbar begini juga tidak lagi membawa akibat tindak balas masyarakat antarabangsa. Sebaliknya, tindakan ini akan hanya mencetuskan suatu pernyataan kecaman lantas dengan cepat diikuti pula dengan mendiamkan saja.


Akibatnya, kerajaan Arab telah dikurniakan kuasa sewenang-wenangnya untuk terus senyapkan media dengan penindasan yang semakin meningkat. Suatu ketika dahulu para wartawan meyakini bahawa Internet akan memerdekakan maklumat daripada cengkaman sekatan tapisan dan kawalan ketat yang berlaku kepada media cetak. Tetapi kerajaan-kerajaan ini, yang kewujudan serta kelangsungannya sangat bergantung kepada kawalan maklumat, secara agresif menghalang Internet. Mereka juga telah menangkap wartawan-wartawan tempatan dan mengugut pengiklan-pengiklan bertujuan mengancam dan menjejaskan pendapatan penerbit-penerbit.

Terdapat beberapa ‘oasis’ – tapak-tapak subur yang masih menghayati semangat Arab Spring. Kerajaan Qatar tetap mendokong liputan berita antarabangsa, berlawanan dengan usaha jirannya untuk menegakkan kawalan maklumat bagi menyokong dan memapah "tata perintah Arab lama." Bahkan di Tunisia dan Kuwait, di mana akhbar dianggap sekurang-kurangnya "sebahagiannya bebas," media memberi tumpuan kepada isu-isu domestik tetapi bukan isu-isu yang dihadapi oleh dunia Arab yang lebih utama. Mereka teragak-agak untuk menyediakan wadah untuk wartawan dari Arab Saudi, Mesir dan Yemen. Malah Lubnan, ‘permata mahkota’ kebebasan akhbar dunia Arab, telah menjadi korban kepada polarisasi dan pengaruh Hezbollah pro-Iran.


Dunia Arab berhadapan Tirai Besi versi bikinan sendiri, yang tidak dikenakan oleh pihak luar tetapi melalui kuasa domestik yang berebut kuasa. Semasa Perang Dingin di Eropah, Radio Free Europe, yang berkembang selama bertahun-tahun muncul sebagai institusi kritikal, memainkan peranan penting memupuk dan mengekalkan cita-cita aspirasi kebebasan. Dunia Arab memerlukan sesuatu yang serupa. Pada tahun 1967, akhbar-akhbar New York Times dan The Post mengambil pemilikan bersama akhbar International Herald Tribune, yang menjadi platform untuk kebebasan bersuara dari seluruh dunia.

Penerbit saya, The Post, telah mengambil inisiatif untuk menterjemahkan banyak tulisan saya dan menerbitkannya dalam bahasa Arab. Untuk itu, saya berterima kasih. Warga Arab perlu membaca dalam bahasa mereka sendiri agar mereka dapat memahami, berwacana dan membincangkan pelbagai aspek-aspek dan kerumitan-kerumitan demokrasi di Amerika Syarikat dan Barat. Sekiranya seorang warga Mesir membaca artikel yang mendedahkan kos sebenar sebuah projek pembinaan di Washington, maka dia akan dapat lebih memahami implikasi projek-projek seumpamanya di daerah komuniti dia.

Dunia Arab memerlukan versi moden media transnasional lama agar rakyat dapat pengetahuan tentang peristiwa-peristiwa global. Lebih penting lagi, kita perlu menyediakan wadah untuk suara bebas Arab. Kita menderitai kemiskinan, salah urus tadbir dan sistem pendidikan yang lemah. Melalui penubuhan forum antarabangsa yang bebas, terpisah daripada pengaruh pemerintah nasionalis yang menyebarkan kebencian menerusi propaganda, orang awam dunia Arab dapat menangani masalah asasi dan mendasar yang sedang dihadapi oleh masyarakat mereka.


(Diterjemah daripada The Washington Post 18 Oktober 2018)

No comments:

Post a Comment