Wednesday, January 30, 2019

DR SIDDIQ FADZIL: BEBERAPA KENDALA DALAM PROSES PEMBINAAN BANGSA




BEBERAPA KENDALA DALAM PROSES PEMBINAAN BANGSA:
ISLAM DAN MASYARAKAT MAJMUK

Siddiq Fadzil


Mukadimah

Pada tahun 1991 Perdana Menteri Malaysia mengungkapkan wawasannya tentang hala tuju negara yang dikenali sebagai wawasan 2020. Mendahului senarai sembilan cabaran dalam wawasan tersebut ialah pembinaan bangsa Malaysia yang bersatu. Diskripsi rinci bangsa Malaysia tersebut menggambarkannya sebagai bangsa yang sejahtera, terintegrasi dari segi wilayah dan kelompok etniknya, berkongsi masa depan, menikmati kehidupan bersama berasaskan prinsip keadilan dan persamaan hak, taat dan setia seutuhnya kepada negara bangsa Malaysia. Dilihat dari perspektif agama, gagasan bangsa Malaysia sedemikian mungkin dapat diserasikan dengan konsep ummah siyasiyyah seperti yang terungkap dalam Sahifah Madinah. Perlembagaan bertulis pertama di dunia itu menyatakan bahawa seluruh warga dari pelbagai agama dan etnik adalah satu umat tersendiri yang berbeza daripada yang lain-lain (ummatun wahidatun min duni al-nas). Seluruh warga - Muslim dan bukan Muslim - menikmati hak yang sama dan memikul tanggungjawab yang sama.

Kenyataan tersebut menghadapkan kita kepada persoalan sejauh mana Islam telah difungsikan bagi merealisasikan gagasan ummatik atau aspirasi nasional pembinaan bangsa Malaysia? Yang jelas, terdapat beberapa kendala dalam proses tersebut yang bermuara pada kegagalan memahami isu Islam dan kemajmukan masyarakat. Akibatnya, umat Islam tidak berperanan sebagaimana mestinya dalam menjayakan proses pembentukan ummah siyasiyyah yang dijelmakan dalam rupa gagasan bangsa Malaysia itu.


Prinsip Karamah Insaniyyah

Manusia sebagai manusia, tanpa mengira bangsa dan agamanya adalah makhluk mulia. Kemuliaan yang inklusif tersebut adalah kurnia langsung dari Allah sendiri (al-takrim al-Ilahiy). Kerana itu semuanya - yang Islam dan yang bukan Islam - harus dimuliakan atas dasar kemanusiaan mereka. Menghina manusia atau mendiskriminasikan manusia kerana bangsa dan agamanya adalah suatu kesalahan berat berasaskan prinsip karamah insaniyyah. Apa hak kita menghina manusia sedang Allah sendiri memuliakannya?. Umat Melayu-Islam seharusnya mempamerkan akhlak mulia dengan menghormati orang lain yang berbeza etnik, agama dan budaya. Untuk itu mereka juga seharusnya berjiwa besar menyemak dan menghapuskan kata dan istilah Melayu yang bernuansa penghinaan terhadap kaum lain.


Kepelbagaian Sebagai Ayati ‘Llah

Kepelbagaian adalah ciptaan Tuhan yang mengandungi hikmah dan erti tersendiri. Ayat 22 surah al-Rum menyebut kepelbagaian bangsa dan bahasa sebagai bahagian daripada ayat atau tanda kebesaran Allah. Kata ayat dalam al-Qur’an biasanya diikuti dengan kata yang membawa makna bahawa ia dapat difahami oleh mereka yang berakal dan berfikir seperti kata ya`qilun, yatafakkarun dan yang sepertinya. Ini bererti bahawa sesuatu yang disebut ayat mungkin tidak diperlihatkan secara terbuka dan eksplisit. Untuk memahaminya diperlukan perenungan dan rifleksi yang mendalam. Dalam isu kepelbagaian bangsa dan bahasa (ayat 22 surah al-Rum), kata ayat diikuti kata li al-`alimin, iaitu tanda yang hanya dapat difahami oleh mereka yang berilmu.

Hakikatnya, kepelbagaian adalah ayati ‘Llah (tanda kebesaran Allah) dan sekali gus sunnah-Nya dalam penciptaan makhluk yang indah dan penuh hikmah. Kerana itu kepelbagaian seharusnya diapresiasi, diraikan dan dirayakan. Kepelbagaian bukan suatu petaka atau kesialan yang harus disesali. Seperti yang disebut oleh al-Shaykh Abdullah bin Bayyah, orang Islam harus bersikap menghormati dan menyenangi kepelbagaian (ihtiram al-ikhtilaf wa hubb al-ikhtilah) kerana sesungguhnya kepelbagaian bererti rahmat kekuatan, kekayaan dan keindahan. Demikianlah andainya kepelbagaian disikapi secara positif dan diurus dengan bijaksana.

Nass lain yang selalu menjadi rujukan dalam isu kepelbagaian ialah ayat 13 surah al-Hujurat yang menyebut bahawa manusia memang diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku dengan tujuan untuk saling mengenal (...lita`arafu). Tujuan “untuk saling mengenal” inilah yang tampaknya tidak direalisasikan sepenuhnya. Secara umum dapat dikatakan tidak ada usaha yang serius mengenal orang lain dalam erti mempelajari agamanya, budayanya, sejarahnya, perwatakannya dan seterusnya. Demikian juga di pihak lain; mereka tidak berusaha dengan sungguh-sungguh untuk mengenal kita. Akibatnya kesalingan pada tahap ta`aruf belum berlaku. Seharusnya proses ta`aruf sudah berlaku seawal umur persekolahan. Tetapi sistem persekolahan kita, termasuk persekolahan Islam - korikulum dan kokorikulumnya - seolah-olah mengabaikan kehadiran orang lain.

Andainya ta`aruf telah terlaksana dengan sempurna, ia akan berkelanjutan dengan kesalingan-kesalingan seterusnya: saling menghormati, saling mempelajari, saling bekerjasama, saling memperkasa dan saling memperkaya. Justeru, interaksi Muslim-bukan Muslim, tentunya tidak hanya sebatas saling kenal, tetapi ta`aruf adalah pembuka jalan menuju pelbagai kesalingan yang produktif dan bermanfaat untuk semua.


Prinsip Keadilan

Ayat 25 surah al-Hadid menegaskan bahawa tujuan utama pengutusan para rasul ialah agar manusia menegakkan prinsip keadilan. Memang keadilan adalah prinsip yang wajib ditegakkan dalam semua urusan, termasuk hubungan intra kaum dan antara kaum. Penentuan hak dan tanggungjawab tidak didasarkan kepada pertimbangan majoriti atau minoriti, tetapi didasarkan kepada prinsip keadilan. Demi prinsip keadilan majoriti tidak boleh membolot dan mendominasi, sementara minoriti tidak boleh didiskriminasi dan dipinggirkan.

Umat Islam tidak boleh hanya memikirkan kepentingan diri sendiri tanpa pertimbangan adil atau tidak. Sebagai contoh, terdapat orang Islam yang menyokong gerrymadering dan malapportionment dalam pensepadanan kawasan pilihan raya atas pertimbangan ia menguntungkan Melayu, walhal ia adalah suatu kecurangan yang nyata. Dalam isu seperti itu pendirian tidak seharusnya berasaskan pertimbangan siapa untung siapa rugi, tetapi berasaskan prinsip keadilan. Kita mungkin tidak suka kepada seseorang atau sesuatu kaum, tetapi tidak suka, benci atau marah tidak boleh dijadikan justifikasi untuk tidak berlaku adil. Demikian peringatan Tuhan dalam al-Qur’an.


Misi Rahmat Sejagat

Islam adalah agama pembawa rahmat sejagat (rahmatan li al-`alamin). Seluruh warga Alam - manusia (dari segala bangsa dan agama), haiwan, tetumbuhan dan lain-lain - layak dan berhak menikmati curahan rahmat belas kasih Tuhan yang terkandung dalam agama-Nya. Kerana itu rahmat Tuhan tidak seharusnya dibatasi hanya untuk bangsa atau kelompok sendiri. Mempersempit rahmat Tuhan dengan menghalang-halanginya daripada menjangkau pihak lain adalah bertentangan dengan sifat keluasan rahmat Tuhan yang meliputi semua (...wasi`at kulla shay’).

Umat Islam adalah pengemban misi menyebar kebaikan, maslahah, khidmat dan manfaat kepada kemanusiaan sejagat. Kesejagatan tersebut diekspresikan lewat kata al-nas seperti bayna al-nas dan li al-nas yang jelas merujuk makna kemanusiaan inklusif merentasi sempadan bangsa, agama dan budaya. Ayat 110 surah Ali `Imran menyebut umat terunggul (khayra ummah) yang ditampilkan kepada kemanusiaan sejagat (ukhrijat li al-nas). Tafsiran ungkapan tersebut ialah bahawa mereka ditampilkan untuk berbakti dalam erti menyebar khidmat manfaat dan maslahah kepada warga kemanusiaan seluruhnya. Bertolak dari tafsiran tersebut maka menjadi suatu kesalahan bagi umat Islam membolot dan membatasi semua habuan dan kebaikan hanya untuk diri mereka sendiri. Apa pun habuan kebaikan yang mereka perolehi seharusnya dikongsi dengan orang lain, atau dilimpahkan sebahagiannya kepada orang lain sebagai amal kebajikan:


من رسالة هذه الأمة إن لا تحتجز الخير لنفسها، ولا تستاءثر به حين يقع ليدها، بل تجعل منه نصيبا تبر به الإنسانية
كلها


Demikian semangat kemanusiaan inklusif ajaran Islam yang jelas menolak semangat dan tindakan racist atau perkauman sempit. Kegagalan memahami dan menghayati misi kemanusiaan inklusif adalah suatu pencederaan terhadap hakikat Islam sebagai aktualisasi kasih-sayang Tuhan kepada warga alam keseluruhannya.


Konsep Kewarganegaraan (al-Muwatanah)

Dalam pemikiran Islam kontemporari konsep kewarganegaraan atau al-muwatah banyak dibicarakan sebagai dasar kerakyatan yang realistik dan praktikal bagi negara-negara umat Islam masa kini. Memang realitinya kita tidak lagi berada dalam empayar Islam, tetapi dalam negara nasional moden (dawlah wataniyyah). Perubahan realiti politik semasa memerlukan penyesuaian dasar kerakyatan. Kewarganegaraan bererti bahawa rakyat yang disebut warganegara (al-muwatinun) mendapat hak kewarganegaraan penuh (al-muwatanah al-kamilah) dengan hak dan tanggungjawab yang sama, tanpa diskriminasi atau peminggiran mana-mana golongan.

Deklarasi al-Azhar Mengenai Kewarganegaraan dan Hidup Bersama (I`lan al-Azhar li al-Muwatanah wa al-`Aysh al-Mushtarak) 2017 menyebut bahawa istilah al-muwatanah (kewarganegaraan) adalah istilah Islam asli yang terpancar dari Perlembagaan Madinah dan dokumen-dokuman perjanjian antara Nabi s.`a.w. dengan pihak-pihak lain. Berasaskan hakikat tersebut, Deklarasi al-Azhar menegaskan bahawa al-muwatanah bukan penyelesaian import, sebaliknya ia menghadirkan kembali praktik sistem pemerintahan Islam yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.`a.w. di negara yang diasaskannya iaitu negara Madinah. Praktik pemerintahan nabawi tersebut tidak mengandungi apa jua bentuk diskriminasi atau peminggiran mana-mana pihak. Yang berlaku ketika itu adalah politik berasaskan kepelbagaian agama dan kaum dalam bingkai persamaan dan kesatuan kewarganegaraan penuh.

Penerimaan terhadap konsep kewarganegaraan, persamaan dan hak-hak kemanusiaan secara konsekuensial bererti penolakan terhadap segala bentuk perlakuan yang bertentangan dengan prinsip kewarganegaraan, termasuk perlakuan double standard, diskriminasi perkauman dan keagamaan, peminggiran, penindasan, pengusiran dan seumpamanya yang ditolak oleh Islam dan agama-agama lainnya. Demikianlah, kegagalan memahami dan menghayati prinsip dan nilai kewarganeraan sedemikian bererti kegagalan meneladani politik nabawi sebagaimana yang terakam dalam Perlembagaan Madinah.


Konsep al-Ra`iyyah

Warga yang kini disebut muwatinun, dalam khazanah turath fiqh, khususnya fiqh politik dahulu disebut ra`iyyah yang diadaptasi menjadi rakyat dalam bahasa Melayu. Pemakaian istilah al-ra`iyyah dalam kalangan fuqaha’ silam membawa makna yang inklusif meliputi yang Muslim dan bukan Muslim. Sifat inklusif inilah yang menjadi ciri istimewa al-siyasah al-shar`iyyah. Ini bererti bahawa semangat al-siyasah al-shar`iyyah ialah untuk memelihara maslahah kemanusiaan seluruhnya, tanpa mendiskriminasikan sesiapa berasaskan kaum atau agama. Pentakrifan sedemikian selaras dengan ciri kesejagatan risalah Islam dan misi pemerataan rahmat kepada seluruh warga alam. Pola fikir diskriminatif dalam konteks masyarakat pelbagai kaum dan agama ternyata tidak selaras dengan konsep al-ra`iyyah dan semangat al-siyasah al-shar`iyyah yang inklusif.


Khatimah

Memang banyak koreksi yang harus dilakukan terhadap pemikiran umat Islam terutama yang berkaitan dengan isu masyarakat majmuk. Demikian juga di pihak masyarakat bukan Islam. Mereka juga perlu melakukan koreksi yang sama. Melakukan tindakan korektif dalam masyarakat Islam harus dengan pendekatan berhikmah dan tabassur atau dalam ungkapan Qur’ani `ala basirah iaitu berasaskan maklumat, data dan fakta yang secukupnya. Selain itu ia juga harus dilakukan mengikut istita`ah atau qudrah iaitu keupayaan melakukannya. Dalam kaitan ini kefahaman tentang fiqh al-taghyir (fiqh perubahan) sangat diperlukan.



KDH/IDE/UNISEL/USIM
24012019.


No comments:

Post a Comment