Monday, February 1, 2010

Bahagian 2 : Gerakan Islam: Menoleh Masa yang Lalu dan Menyorot Masa Depan

Dr Siddiq Fadil:
Gerakan Islam: Menoleh Masa yang Lalu dan Menyorot Masa Depan Bahagian 2

Adalah tidak benar dan salah persepsi yang menganggap ABIM sebagai tempat pelarian Melayu yang merasakan kerendahan diri kerana lemah atau gagal menguasai bahasa Inggeris (inferiority complex) – tanggapan yang didakwa dalam tulisan oleh Judith Nagata, Zainah Anwar, Chandra Muzzaffar. Padahal sebahagian yang signifikan pemimpin ABIM adalah berpendidikan aliran Inggeris. Adalah tidak benar ABIM itu jelmaan Melayu yang jati dirinya terhakis. Fenomena kebangkitan Islam di Malaysia adalah fenomena global al sahwah al Islamiah.

Yang membentuk pemikiran para aktivis ABIM bukan tokoh-tokoh racist Melayu, tetapi karya tulisan para pemikir dan pemimpin gerakan Islam seperti Hasan al Banna, Sayyid Qutb, Muhammad Qutb, Maududiy, an Nadwi, Fathi Yakan, Sa'id Hawwa, Muhammad Natsir, Malik Bennabi, Isma'il R. al Faruqi dan lain-lain lagi.

Daripada kalangan ilmuwan-pemikir tempatan yang turut berperanan membentuk pemikiran para aktivis termasuklah Prof. Sayyid Naquib al Attas. Beliau sangat berjasa dalam pengukuhan idea Islamisasi dan dewesternisasi. Kritiknya terhadap Barat, tamadun dan kesarjanaannya telah meruntuhkan hegemoni pemikiraan Barat di kalangan generasi muda terpelajar. Ini seperti membebaskan minda yang terpenjara. terhadap peranan besar Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu memberikan keyakinan budaya - cultural confidence - dalam perjuangan pendaulatan Islam dan tamadunnya di Malaysia. (peranan Islam yang selama ini diperkecilkan oleh orientalis) Prof Sayyid Hussein al Attas adalah public intellectual yang turut memberikan sumbangan besar dalam membangkitkan kepedulian sosial dan pemikiran kritis. Kritiknya terhadap Dasar Ekonomi Baru dan idea kapitalistik buku Revolusi Mental mendapat perhatian luas di kalangan pimpinan dan warga ABIM.

Inilah tradisi keilmuwan ABIM yang terbuka kepada karya-karya termasuk contohnya penulis Brazil, Paulo Freire yang menulis Pedagogy of the Oppressed, membela kaum tertindas melalui pendidikan. Dalam pembinaan tradisi keilmuannya ABIM bersikap terbuka, sedia memanfaatkan ilmu dari siapa sahaja termasuk dari kalangan bukan Islam. ABIM tidak pernah terikat dengan sesiapa – bacalah dan manfaatkanlah mana-mana – bawa balik ke jamaah dan bersama kita menjadikan madrasah ABIM. Dengan demikian, kekayaan khazanah ilmu dan kepelbagaian, keintelektualannya menjadi lebih kaya dan beragam – membolehkan pencitraan ABIM kepada rakyat – bukan badan da’wah dalam pengertian yang sempit tetapi suatu kekuatan sosial dan agen perubahan sosial – a social and political force to reckon with. Kekayaan dan keragaman intelektual memang sangat perlu untuk pengentalan mesej risalah dan misi perjuangan membina masyarakat yang beragama dan sekaligus rakyat yang cerdas dan berfikiran kritis.


(Catatan Kuliah pada Muzakarah Qiyadah 2 WADAH-ABIM-PKPIM 30-31 January 2010)

No comments:

Post a Comment