Monday, May 23, 2011

IMAN DAN PEMBINAAN WATAK PEJUANG: MENANGKAP SEMANGAT SURAH AL-TAWBAH:38-42, Dr Siddiq Fadil

Tafsir Maudu'iy : al Tawbah 38-42 Bahagian 1

Siddiq Fadzil

38. Wahai orang-orang Yang beriman! mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka Dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding Dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.

39. jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela ugamanya), Allah akan menyeksa kamu Dengan azab seksa Yang tidak terperi sakitnya dan ia akan menggantikan kamu Dengan kaum Yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

40. kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka Sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, Iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di Dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah Engkau berdukacita, Sesungguhnya Allah bersama kita". maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya Dengan bantuan tentera (malaikat) Yang kamu tidak melihatnya. dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah Dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah Yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

41. pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada Dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun Dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah Dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

42. kalau apa Yang Engkau serukan kepada mereka (Wahai Muhammad) sesuatu Yang berfaedah Yang sudah didapati, dan satu perjalanan Yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat Yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. dan mereka akan bersumpah Dengan nama Allah Dengan berkata: "Kalau Kami sanggup, tentulah Kami akan pergi bersama kamu". (dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui Bahawa Sesungguhnya mereka itu orang-orang Yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Hilang kepedulian terhadap panggilan perjuangan bukan sifat mukmin sejati. Demikianlah ayat 38, surah al-Tawbah memaknai iman. Mereka yang imannya kental dengan dinamika hayawiyyah, yang imannya hidup dan aktif pasti tersentak apabila menerima panggilan "Wahai orang-orang yang beriman…". Justeru, iman adalah keyakinannya yang terdalam, dan pendirian hidupnya yang paling mendasar. Memilih untuk beriman adalah keputusan terbesar yang dibuat dengan serius dan penuh kesedaran, termasuk kesedaran tentang erti, implikasi dan tuntutannya. Kesedaran itulah pula yang menjadikannya sentiasa responsif setiap kali menerima perintah Ilahi yang selalu disebut berurutan dengan panggilan "Wahai orang-orang yang beriman…". Kerana itu ungkapan "Ya ayyuha 'lladhina amanu…" seharusnya disikapi dengan berghairah dan bersemangat siap melaksanakan perintah.

Ayat tersebut terasa membawakan nada kesal terhadap gejala kelesuan iman. Demikian lesunya sehingga tidak lagi responsif, dan mulai hilang kepedulian terhadap panggilan perjuangan. Perjuangan (mendaulatkan agama Allah) tidak lagi dilihat sebagai peluang keemasan meraih kurnia tinggi ukhrawi, tetapi sudah mulai dipersepsikan sebagai suatu yang menyusahkan, menakutkan dan tidak menjanjikan suatu yang bererti. Mentaliti tidak mahu bersusah-payah mulai tumbuh. Idealisme ukhrawi menjadi lesu dan layu dalam ghairah dan serakah nafsu terhadap nikmat segera materi duniawi. Ayat berbentuk pertanyaan ma lakum… (apa sudah jadi kepada kalian…?) mengesankan suatu kejutan yang menyedarkan tentang iman -- hakikat dan implikasinya. Iman yang tulen tidak menjelmakan watak penakut, pemalas dan bermentaliti short termist. Iman dalam erti sejatinya adalah keyakinan, perjuangan dan pengorbanan demi Ilahi untuk masa depan ukhrawi yang hakiki dan abadi. Hakikat inilah yang diungkapkan dalam ayat al-Hujurat:

إنّماالمؤمنون الّذين آمنوابالله ورسوله ثمّ لم يرتابوا وجاهدوا بأموالهم وأنفسهم فى سبيل الله،

أولئــك هم الصّادقون.

Demikianlah penegasan hakikat perjuangan dan pengorbanan sebagai komponen iman yang benar.

(bersambung)

No comments:

Post a Comment