Wednesday, May 18, 2011

KITA TIDAK MINTA APA-APA.....: Siddiq Fadil



KITA TIDAK MINTA APA-APA.....: Dr Siddiq Fadil

Mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia ( ABIM ), Dato Ustaz Dr Siddiq Fadhil, ketika memberi ucapan di Forum Pengkisahan Sejarah ABIM sempena sambutan 40 tahun ABIM di Universiti Selangor     ( UNISEL ) pada hari Sabtu, 14hb Mei 2011 baru-baru ini mengesahkan bahawa ABIM tidak mengharapkan apa-apa habuan dari Dato Seri Anwar Ibrahim, sekiranya dia ditakdirkan menjadikan Perdana Menteri Malaysia suatu masa nanti dengan sokongan yang kita berikan kepada beliau dalam isu Fitnah dan Video Aib yang dilemparkan kepada Dato Seri Anwar Ibrahim oleh musuh-musuh politiknya.

ERA 80'AN DAN 90'AN ERA PALING GETIR DALAM MEMATANGKAN ABIM
Ujar Dr. Siddiq, era tahun 80’an dan 90’an adalah merupakan era yang paling pahit dilalui oleh barisan kepimpinan dan ahli-ahli ABIM dengan peristiwa kemasukan Dato Seri Anwar ke dalam UMNO.
Ahli-ahli ABIM telah terbelah tiga. Sebahagian menyokong Anwar memasuki UMNO dan mendokongnya, sebahagian keluar daripada ABIM serta menyertai PAS, dan sebahagian kecil tinggal bersama ABIM mempertahankan kredibiliti dan fikrah ABIM. Ahli-ahli ABIM dilabelkan dengan berbagai-bagai label, saperti ‘Thagut’, ‘Kafir’tidak jelas, bersekongkol dengan UMNO, pengampu kerajaan, sesat dan sebagainya. Namun ahli-ahli ABIM tetap yakin, tabah dan sabar memperjuangkan prinsip "Wasatiyyatul Islam" (prinsip kesederhanaan agama) dan "al-waqiyiyyatu 'l-Muassolah" (libatserta realistik - constructive engagement) dengan sikap husnul-zon ( berprasangka baik – goodwill ) dengan penuh hikmah dan berhemah. Zaman itu adalah merupakan zaman yang paling pahit dalam sejarah 40 tahun perjuangan ABIM. 
Kata Ustaz Siddiq :
“Zaman itu ‘pahit sekali’, tapi syukur “kepahitan yang memperkaya." Andainya saya mengejar ghanimah ( material keduniaan ), rasanya saya tidak berada di sini lagi.”
“Saya anggap ini satu kemujuran tidak dapat apa-apa. Dia ( Anwar yang semasa itu menjadi Menteri dan Timbalan Perdana Menteri di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad ) tak beri apa-apa dan saya tidak minta apa-apa. Lalu akibatnya kita tak dapat apa-apa. Satu kemujuran yang sangat saya syukuri.” 
Ianya kemudiannya disambut dengan gelak ketawa oleh lebih kurang 1,000 orang para hadirin (yang terdiri daripada ahli-ahli lama ABIM, WADAH, PKPIM dan juga para jemputan) yang memenuhi Dewan Utama UNISEL pada FORUM Pengkisahan Sejarah sempena sambutan 40 tahun ABIM pada hari itu.
TUGAS PARA DA'IE SEBENARNYA UNTUK MENCARI KEREDHAAN ALLAH
Dengan nada yang perlahan dan sebak al-fadhil (Murabbi Ummah) Dr. Siddiq menyatakan : “Bahawa generasi yang saperti saya ini, hanya ingin mendidik adik-adik dan anak-anak….( beliau berhenti sejenak sambil menahan sebak)….dan sambungnya lagi, kalau berjuang jangan mengharapkan apa-apa. Tidak ada yang lebih penting daripada untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T.”
Dr. Siddiq seterusnya menegaskan bahawa ABIM sebagai sebuah gerakan Islam yang mendokong ‘syumuliyyatu ‘l-Islam’ ( kesempurnaan Islam ), berpendirian bahawa arena politik seharusnya berlaku dalam “rules of the games” (tertib berperaturan) dan kita tidak dapat menerima politik mengaibkan orang dan politik lucah. Kita tidak akan berdiam diri apabila berlaku perlanggaran terhadap hak asasi manusia, perlanggaran terhadap prinsip keadilan dan pencabulan terhadap kesucian maruah manusia Muslim. Itu bukan lagi urusan peribadinya ( Dato Seri Anwar) tapi itu sudah memasuki bidang yang juga bidang para da’ie.
MARUAH SEBUAH GERAKAN APABILA SEORANG MUSLIM DICEMARI DAN DIAIBKAN..?

Ujarnya lagi, tentang politik saudara Anwar Ibrahim, pastinya itu urusan dia dengan rakan-rakannya dalam parti, tetapi apabila sampai kepada maruah Anwar Ibrahim sebagai seorang manusia Muslim, sebagai seorang yang yang kita semua terasa terhutang budi kepadanya yang telah mencetuskan Gerakan Islam yang demikian hebat dalam sejarah, apabila maruah beliau dicemarkan dan diaibkan dengan cara yang melampau-lampau ( tidak ada hari yang berlalu tanpa mengaibkan beliau ) , maka seluruh warga ABIM merasakan yang ikut rasa malu, tidak cuma beliau dan keluarganya tetapi seluruh gerakan yang kita semua menjadi warganya. Ia adalah maruah sebuah gerakan…!

Kemudian disambut dengan laungan takbir para hadhirin, Allahu Akbar..!!!
Katanya lagi, dan mengakhiri pengkisahan sejarah, bahawa ABIM tidak dapat menerima politik mengaibkan dan politik lucah dan sememangnya menjadi tugas dan bidang utama para da’ie untuk menegakkan yang ma’aruf dan mencegah yang mungkar…
Takbir..! Allahu Akbar..!!!


oleh al marhum Zahidin Mahmood pada Selasa Mei 17, 2011 (semoga Allah swt merahmati)




No comments:

Post a Comment