Friday, August 5, 2011

Dr Siddiq Fadil: DEMOKRASI DAN PLURALITI bahagian akhir

DEMOKRASI DAN PLURALITI:   
PERSPEKTIF AL-SIYASAT AL-SHAR`IYYAH

Siddiq Fadzil


Islam dan Pluraliti

Dalam masyarakat demokratik tidak boleh ada  pemaksaan menelan pendapat yang tidak disetujui.   Memaksa rakyat menerima pendapat penguasa dan   mencabul kebebasan media adalah sejenis  al-irhab al-fikriy    atau terorisme pemikiran.    Pluraliti atau kepelbagaian,  termasuk kepelbagaian pendapat seharusnya disikapi  secara positif sebagai  ikhtilaf yang membawa rahmah.    Sebagaimana halnya perbezaan pendapat dalam fiqh yang  akhirnya membentuk pelbagai mazhab,   maka demikian jugalah perbezaan pendapat dalam politik yang kemudiannya menjelmakan pelbagai parti.   Kepelbagaian parti politik  (ta`addud al-ahzab al-siyasiyyah)  adalah suatu keperluan bagi mencegah kesewenang-wenangan para penguasa.   Dalam pemerintahan yang mengamalkan sistem satu parti,   tidak ada kekuatan korektif yang berkesan,   dan ini akan membuka ruang yang seluas-luasnya kepada segala bentuk penyelewengan, kecurangan dan kezaliman.   Dahulu,  ketika Amir al-Mu'minin `Umar ibn al-Khattab r.`a. meminta rakyat membetulkannya jika beliau menyeleweng, ada yang bangkit dengan ikrar akan membetulkannya dengan pedang.  Sukar untuk membayangkan hal seperti itu dapat dilakukan ketika ini,  kerana semua pedang sudah di tangan penguasa,  dan rakyat tidak punya apa-apa lagi.

Kehadiran pelbagai parti politik yang menawarkan agenda dan program yang berbeza-beza dapat memberikan peluang kepada rakyat  memilih mana yang terbaik.   Dalam sistem demokrasi  kekuatan idea harus disaingi dengan idea tandingan,  bukan ditindas dengan kekerasan.     Semua parti  akhirnya harus akur dengan keputusan rakyat yang dibuat melalui pilihan raya.   Mekanisme pilihan raya adalah jaminan proses  peralihan kuasa dari parti ke parti secara damai, tanpa  menyusahkan rakyat dalam silang sengketa pertumpahan darah.   Penggiliran kuasa memerintah di kalangan parti-parti politik seharusnya dianggap suatu yang wajar dan normal.  Kerana itu parti yang berkuasa tidak perlu bertindak  teror hancur-hancuran  demi  mempertahankan kuasanya,  yang  seolah-olah sudah menjadi harta pusaka datuk-nenek. 
    
Bagi umat Islam pluraliti  (tanawwu`, ta`addud, ikhtilaf)  adalah fenomena ciptaan Tuhan yang sarat dengan hikmah.  Yang  mutlak Tunggal hanya Allah sendiri,   sedang makhluk diciptakan beragam (mukhtalifan) dan berpasangan (azwajan).   Manusia diciptakan  lelaki dan perempuan,   berbangsa-bangsa dan bersuku-suku,  berbeza-beza bahasa dan berlain-lainan warna.       Kepelbagaian  tersebut diciptakan bukan tanpa makna.  Pluraliti adalah tanda (ayat)  yang menyiratkan hikmah dan makna untuk diteroka oleh al-`alimin, mereka yang memiliki daya renung keilmuan yang tajam.     Demikianlah premis yang membentuk sikap positif-apresiatif terhadap pluraliti.   Kerana itu pula tidak ada masalah  bagi umat Islam menghadapi  pluraliti masyarakat.

Dalam konteks Malaysia,  rakyat  bukan Muslim selayaknya dilayani sebagai  saudara setanahair.     Mereka bukan lagi kaum dhimmiy, suatu pengkategorian yang sudah  kehilangan justifikasi kesejarahannya.    Perubahan sejarah dan realiti politik telah menjadikan istilah tersebut tidak relevan lagi.  Realiti inilah yang diserlahkan oleh Fahmiy Huwaydiy, lalu diungkapkan dengan tegas lewat judul bukunya Muwatinun la Dhimmiyyun  (Warganegara, bukan Zimmiy).    Kesimpulan Huwaydiy tersebut mendapat dukungan  penuh dari al-Qaradawiy  yang menyarankan agar istilah tersebut dipadam sahaja kerana tidak lagi dapat diterima oleh kaum bukan Muslim:
        ولابد من حذف كلمات ومصطلحات تاريخية من قاموس التعامل المعاصر، مثل كلمة "ذمّة" التى لم
         يعد يقبلها غير المسلمين.

Lebih jauh al-Qaradawiy  menyebut  warga bukan Muslim sebagai saudara ketika merujuk kaum Koptik  dengan sebutan  ikhwanuna al-Aqbat.   Rupa-rupanya ada yang keberatan dengan sebutan saudara  untuk orang bukan Muslim (Kristian).  Dalam penjelasannya al-Qaradawiy menegaskan  bahawa memang mereka adalah saudara kita setanahair:
         إن الأقباط إخواننا فى الوطن، وإن لم يكونوا إخواننا فى الدين، يجمعنا وإياهم وطن واحد.

Dalam penghujahannya al-Qaradawiy merujuk sejumlah ayat dari surah al-Shu`ara'  tentang hubungan  persaudaraan (ukhuwwah) di antara para rasul (Nuh, Hud, Salih dan Lut `a.s.) dengan kaum masing-masing (Qawmu Nuh, kaum `Ad, kaum Thamud dan Qawmu Lut)  yang semuanya kufur dan mendustakan para rasul itu.    Namun demikian al-Qur'an menyebut hubungan antara rasul-rasul  tersebut dengan mereka  sebagai hubungan persaudaraan:
                                             قال لهم أخوهم

Dari ayat-ayat tersebut al-Qaradawiy merumuskan bahawa  selain persaudaraan keagamaan (ukhuwwat al-din) masih ada lagi bentuk-bentuk persaudaraan yang lain:  persaudaraan setanahair (al-ukhuwwat al-wataniyyah), persaudaraan sebangsa (al-ukhuwwat al-qawmiyyah), persaudaraan  seikhtisas (al-ukhuwwat al-mihaniyyah), persaudaraan seinsaniah (al-ukhuwwat al-insaniyyah) dan seterusnya.  

Sebagai saudara setanahair,    warga bukan Muslim  dapat menjadi komponen pembentukan satu ummah bersama kaum Muslimin.  Demikianlah petunjuk nabawi dalam pembentukan negara berbilang kaum sebagaimana yang didokumentasikan dalam  Piagam Madani (Sahifah Madinah).    Kaum Muslimin adalah satu ummah,  sementara Yahudi juga adalah satu ummah.   Tetapi dalam konteks kenegaraan,  kedua-duanya  dapat bergabung membentuk  ummah Madaniyyah,  tanpa melebur jati diri keumatan masing-masing.   Hakikat itulah yang diisyaratkan lewat ungkapan ummatun ma`a al-mu'minin (Yahudi bersama kaum Mukminin adalah satu ummah).   Kata kuncinya adalah  ma`a (bersama).    Teks Piagam Madani  tidak memakai ungkapan min al-Muslimin (Yahudi sebahagian daripada kaum Muslimin).

Berasaskan pertimbangan  al-siyasat al-shar`iyyah,  tidak ada halangan bagi kaum Muslimin mengadakan pakatan politik dengan parti-parti bukan Islam.   Asas pertimbangannya adalah maslahah.   Tidak ada nass yang menghalang sekiranya pakatan seumpama itu  mengandungi  masalahah bagi umat.     Atas pertimbangan yang sama,  juga tidak ada halangan bagi kaum Muslimin berkongsi kuasa dengan warga bukan Muslim.  Pada zaman kerajaan `Abbasiyyah,    ketika warga bukan Muslim masih dikategorikan sebagai kaum dhimmiy,  al-Mawardiy (yang hidup pada zaman tersebut)  dalam kitabnya al-Ahkam al-Siltaniyyah  membolehkan   mereka   menjawat wazir al-tanfidh (menteri pelaksana).   Dalam konteks realiti kita hari ini tentunya ruang penyertaan warga bukan Muslim lebih luas lagi.

Keharmonian antara golongan yang beragam dan pelbagai diasaskan di atas suatu set nilai:   kemanusiaan,   persamaan, keadilan dan seterusnya.    Tidak ada golongan yang diunggulkan semata-mata kerana darah keturunan.     Keunggulan  bukan hak eksklusif golongan tertentu, tetapi ditawarkan kepada semua yang sanggup memenuhi syarat.   Dalam Islam tidak ada ketuanan warisan, yang ada ialah keunggulan bersyarat (khayriyyatun mashrutah).   Keunggulan seperti itulah yang tersirat dalam ayat Ali `Imran:
                 كنتم خيرأمّة أخرجت للنّاس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله...

Keunggulan (khayriyyah) yang disebut dalam ayat tersebut   terkait dengan tiga syarat:
·         Komitmen penegakan nilai-nilai kemakrufan.
·         Kesanggupan berjuang melawan gejala kemunkaran.
·         Beriman dengan Allah dalam erti yang seluas dan semurninya.

Ternyata  tidak ada ketuanan yang dipusakai,  kerana memang keunggulan tidak diwarisi.  Keunggulan harus diraih dengan usaha gigih membina kekuatan watak berasaskan iman dan nilai-nilai murni.   Demikianlah, yang ada hanya keunggulan yang bersyaratkan usaha yang serius (khayriyyatun mashrutatun muktasabah).   Al-Qur'an tidak menyebut keunggulan yang berasaskan hak warisan perkauman (al-`unsuriyyat al-mawruthah).   Justeru, keunggugulan  bukan monopoli sesuatu kaum.   Ia ditawarkan  terbuka kepada semua yang sanggup memenuhi syarat,   termasuk golongan ahl al-kitab:
                                                 ولو آمن أهل الكتاب لكان خيرا لهم ...

Mudah-mudahan Tuhan Yang Maha Rahman berkenan memberkati amal perjuangan tiga serangkai gerakan Islam PKPIM-ABIM-WADAH ini   meratakan rahmat  sehingga seluruh warga alam dapat menikmati kurnia agung al-Islam sebagai rahmatan li al-`alamin.

Penghargaan dan Harapan

Sidang muktamirin,  demikianlah yang terdaya kami ungkapkan dalam keadaan serba payah ketika ini.  Maaf,  atas ketidakmampuan hadir dan ikut serta sebagaimana mestinya.  Hanya Tuhanlah Yang Maha Tahu betapa ingin untuk ikut hadir dalam ijtimak yang bersejarah ini.  Tetapi sebagai pesakit saya tidak dapat mengingkari larangan doktor yang merawat saya  (Prof. Dr. Hamidon Basri)  yang pada penilaiannya  kesan serangan penyakit  Miller Fisher syndrome  belum memungkinkan saya hadir.

Terima kasih atas do`a dan simpati  sepanjang saya menjalani ujian ini.  Sesungguhnya saya berasa sangat tertolong dengan barakah do`a dan munajat saudara-saudara.  Mudah-mudahan derita yang menimpa ini menjadi kaffarah.    Kepada seluruh warga harakah saya mohon do`a yang berterusan semoga Allah berkenan mengurniakan kesembuhan penuh secepat-cepatnya untuk meneruskan kiprah amal bakti demi agama-Nya menerusi wadah tercinta ini. 

                           ربّناعليك توكّلنا وإليك أنبنا وإليك المصير.   الله أكبر ولله الحمد.
                      

Senarai Rujukan
Al-Qaradawiy,  Yusuf.  2010.   Al-Watan wa al-Muwatanah.  Kaherah:  Dar al-Shuruq.

----------------------------   1997.  Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam.  Kaherah: Dar al-Shuruq.

Al-Sa`udiy, `Abd al-Wadud Mustafa.  2010.  Al-Bayan al-Shafi fi al-Fiqh al-Islamiy:  al-                    Siyasat   al-Shar`iyyah.   Bangi:  Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan  Malaysia.

Khallaf, `Abd al-Wahhab.  1984.  Al-Siyasah al-Shar`iyyah.  Beirut:  Mu'assat al-Risalah.

`Uthman, Fathiy.  1979.  Min Usul al-Fikr al-Siyasiy al-Islamiy.  Beirut:  Mu'assasat al- Risalah.

 (Teks Amanat Pimpinan Wadah Ijtimak Harakiy ke-2 dan Seminar Siyasah Shar`iyyah:  Demokrasi dan Pluraliti, 23 Julai 2011/21 Sha`ban 1432H.,  Taman EkspoPertanian Malaysia, Serdang .)     

No comments:

Post a Comment