Saturday, August 20, 2011

POLEMIK JAIS-DUMC-HK: JANGAN CETUSKAN KERESAHAN UMAT ISLAM





POLEMIK JAIS-DUMC-HK: JANGAN CETUSKAN KERESAHAN UMAT ISLAM
Abim Pusat 21 Ogos 2011

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berasa terpanggil untuk memberi penegasan pendirian terhadap polemik antara Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Harapan Komuniti (HK) dan Damansara Utama Methodist Church (DUMC).

Sejak polemik pemeriksaan JAIS ke atas majlis ‘Thanksgiving’ pada 3 Ogos 2011, pelbagai pihak telah mengeluarkan kenyataan dan pendirian yang berbeza. Dalam menanggapi kenyataan dan pendirian ini, WADAH-ABIM-PKPIM menilai ia lebih bersikap melulu dan tidak memberi keadilan yang sewajarnya kepada semua pihak.

Kami merujuk kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh tokoh-tokoh seperti Reverend Thomas Philips, Ketua Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) dan Pastor Daniel Ho, yang  membina persepsi  umum kononnya kekerasan telah digunakan oleh JAIS dalam pemeriksaan yang diadakan ke atas Harapan Komuniti (HK) serta Damansara Utama Methodist Church (DUMC).

Kami juga ingin melahirkan rasa kesal dengan sikap membisu pihak penganjur iaitu HK serta ingin mempersoalkan motif HK untuk membiarkan pihak gereja menjawab segala persoalan dari awal. Sebagai organisasi yang mendakwa  dianggotai oleh ahli-ahli pelbagai agama dan lapisan masyarakat, HK seharusnya memahami konteks sosial masyarakat Malaysia di mana kita hidup saling hormat-menghormati.

Pihak kami ingin melahirkan rasa kesal apabila HK secara langsung tidak mengormati sensitiviti umat Islam dengan menyanyikan dua lagu kesyukuran dalam Bahasa Melayu iaitu - “Allahu Akhbar” dan “Allhamdulillah” dan tentang sebuah kuiz yang mencetuskan persoalan-persoalan berikut; Adakah soalan-soalan dalam kuiz tersebut ditujukan untuk semua peserta? Atau ia khusus untuk 15 atau lebih peserta Islam  yang hadir?

Sepanjang polemik ini berlaku, pihak JAIS telah memberikan kerjasama serta penjelasan yang sewajarnya berhubung dengan beberapa isu yang diketengahkan. Pihak kami telah mendapat penerangan dan penjelasan daripada pihak JAIS. Meskipun begitu, usaha kami untuk mengadakan dialog  dengan DUMC dan penganjur telah menemui jalan buntu sekaligus menghalang kami untuk mendapatkan pandangan mereka berhubung dengan isu ini. 

Ini selari dengan pendirian kami yang menggalakkan dialog secara sihat serta tertutup tanpa perlu digembar-gemburkan menerusi saluran media. Mengambi kesempatan ini, ABIM-WADAH-PKPIM ingin menzahirkan penghargaan kami terhadap keprihatinan sesetengah kelompok gereja serta sebahagian besar masyarakat Kristian yang menghormati sensitiviti umat Islam serta kedudukan istimewa Islam sebagai agama Persekutuan di negara ini.

Bahkan, pihak kami juga sering berusaha untuk menjalinkan hubungan yang baik dengan mereka di samping bekerjasama dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan  dan menggalakkan dialog antara agama.

Sebagai penegasan dan teguran, kami merasa amat kesal dengan keengganan  pihak DUMC dan HK untuk menggunakan saluran dialog menyelesaikan kemelut ini. Kami juga ingin mengetengahkan peringatan tegas agar sebarang aktiviti serupa yang meragukan sepertimana membabitkan HK dan DUMC tidak diulangi lagi.


Sepanjang pemerhatian kami ketika polemik ini, kami memandang berat terhadap tindakan segelintir ahli politik yang seakan menjadikan insiden ini sebagai batu loncatan mencetuskan polemik politik yang tidak menyenangkan .

Pihak kami juga ingin melahirkan kekesalan terhadap tindakan NGO-NGO tertentu yang seakan merelakan diri mereka diperkudakan untuk memenuhi agenda politik pihak tertentu, dengan memanipulasi keprihatinan serta kegusaran di kalangan umat Islam di negara ini mengenai beberapa isu yang menyentuh secara langsung sensitiviti serta kepentingan mereka.

Berkenaan polemik JAIS-DUMC-HK, kami menyokong tindakan JAIS membuat pendakwaan di mahkamah sekiranya terdapat bukti yang kukuh bahawa wujud usaha memurtadkan umat Islam oleh pihak yang berkenaan. Mengambil iktibar dari kemelut ini, kami menyeru agar masyarakat tidak mudah tertipu dan sentiasa bersikap objektif dan mengambil pendekatan dialog dalam menyelesaikan isu berkaitan ini. Kami juga berharap agar pihak institusi agama di setiap negeri mempergiatkan aktviti dakwah dan mendekati golongan sasar yang memerlukan bantuan dan sokongan.

No comments:

Post a Comment