Thursday, May 10, 2012

Dr Siddiq Fadil: Keberkatan Keikhlasan dalam Perjuangan


Harapan kita sebagai bapa kepada anak-anak  semestinya hanyalah yang lebih baik. Begitulah generasi senior gerakan ini inginkan generasi pelanjutnya lebih hebat daripada sebelumnya kerana kita silam dan pasti akan silam. Kini saat bagi pencerahan dan tindakan – tidak harus ada  - gap – jurang waktu lagi.

Pemuda mesti berani.  Kita mesti lawan budaya takut. Apa guna pada kekuatan yang dimiliki seorang penakut. Namun jangan jadi berani tidak kena tempatnya. Kerana ada orang yang mahu berlagak berani. Tapi beraninya berani nyamuk. Dia sangka dia boleh gigit semua orang tak kira raja dan orang kaya. Memang dia boleh gigit. Tetapi  berani nyamuk  adalah ketololannya. Berbuat bising sebelum gigit. Ditepuk habis!

Demonstrasi pertama dalam  sejarah Islam adalah ketika Saidina Umar r.a. dan Saidina Hamzah r.a. membuat perarakan perbarisan di masjidil haram mengisytiharkan keislaman mereka secara terang-terangan kepada Quraish penduduk Makkah. Demonstrasi ini direstui Rasulullah s.a.w. Tindakan ini adalah gesaan Umar bagi menunjukkan yang hak dan membedakan yang batil.  Rasulullah s.a.w. memberikan gelaran al Faruq (yang membedakan di antara haq dan batil ) kepada Umar selepas peristiwa ini.

Jangan tergesa-gesa menggunakan fatwa. Fiqih apa yang digunakan? Fiqih begini fiqh ampu namanya. BERSIH adalah tuntutan rakyat bagi proses pemilihan rakyat yang bersih, berintegriti, dipercayai. Mana mungkin dilarang atau disekat-sekat.

Kita tidak harus resah dan takut. Ikhlaskan amal. Umar Abd Aziz mampu melakukan perubahan dalam tempoh yang singkat sahaja. Hanya dua setengah tahun bagi membuat transformasi yang besar kepada umat. Keistimewaannya adalah ikhlas.  Dilaporkan Umar Abd Aziz tidak akan melangkah setapak pun sebelum berniat lillahi ta’ala – semuanya kerana Allah swt.

Yakinilah kepada keberkatan keikhlasan perjuangan.  Apa yang kita inginkan hanyalah ridha Allah bukan sebarangan yang lain. 

Kita renungi kisah apabila Allah swt ridha dan sayangi seseorang hambaNya. Ini adalah kisah kematian Saidatina Khadijah binti Khuwailid r.a. , seorang daripada al sabiqun al awwalun – yang terawal memeluk Islam. Khadijah menjadi teman sejati, pendokong setia, mendampingi, menyokong, membela dan membiayai perjuangan Rasulullah s.a.w.  

Pada suasana sedih beberapa minit sebelum kematian Saidatina Khadijah, malaikat Jibril a.s. turun menemui Rasulullah s.a.w.  Jibril berpesan kepada Rasulullah s.a.w. bahawa Allah swt menyampaikan salam kepada Khadijah dan supaya memberitahunya bahawa Allah swt telah menyediakan untuknya istana diperbuat daripada permata di syurga.

Tujuannya untuk Khadijah r.a.   Pengajarannya adalah untuk kita semua bahawa keberkatan keikhlasan dalam perjuangan adalah real dan benar.


Allahu akbar!


(Ucapan penggulungan Dr Siddiq Fadil di Tamrin Qiyadi 3G pada 6 Mei 2012)


No comments:

Post a Comment