Sunday, May 13, 2012

Dr Siddiq Fadzil: Menyeru Kebaikan & Mencegah Kemungkaran adalah Jati Diri Muslim


Nota Kuliah Tafsir Maudhuiyy Siri Ke-62:                    AL-AMR BI 'L-MA`RUF WA 'N-NAHY `ANI 'L-MUNKAR:          WATAK DAN JATI DIRI MUSLIM

يــــــــــبنيّ أقم الصلاة وأمر بالمعروف وانه عن المنكر واصبر على مآأصابك،

إنّ ذلك من عزم الأمور.

Hai anakku,  dirikanlah  solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik  dan  cegahlah   (mereka)  dari  perbuatan yang  mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu.  Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).


Ayat 17 surah Luqman di atas  adalah antara pesan kependidikan Luqman al-Hakim  yang mengaspirasikan generasi  berkualiti pengabdi Ilahi  dan sekaligus memiliki kepedulian sosial yang tinggi.  Generasi  yang setia melaksanakan solat dan komited terhadap terhadap misi amar  makruf-nahi munkar adalah generasi anak salih, agen  pembinaan  al-mujtama` al-salih,    masyarakat bersih dalam pengertian  masyarakat yang dibangun di atas nilai-nilai  murni kemakrufan dan terhindar dari segala gejala  kemungkaran. Luqman adalah penerima kurnia  hikmah ketuhanan yang ditampilkan untuk mengungkapkan prinsip-prinsip pendidikan rabbani.    Apabila beliau menempatkan amar makruf nahi munkar selepas perintah (pendidikan) solat,  yang terkesan adalah peri pentingnya  amar makruf nahi munkar sebagai salah satu prinsip asasi  pendidikan.   Demikianlah,  di mata seorang al-hakim (pemilik wisdom ketuhanan)  generasi  ideal yang harus dibina dalam sistem pendidikan rabbani ialah generasi  God conscious  yang disimbolkan dengan kata solat,  generasi pejuang idealisme: menegakkan kemakrufan dan melawan kemungkaran, juga generasi yang kuat dan berdaya tahan (sabar).
Berasaskan konteks ayat yang menyebut  amar makruf nahi munkar dalam bentuk pesan kependidikan seorang ayah (Luqman) kepada anaknya,  bererti  bahawa  ia harus disebatikan  dalam diri sejak  kanak-kanak. Semangat menyintai kemakrufan dan membenci kemungkaran  harus dipupuk  serentak dengan pendidikan solat.   Dengan demikian amar makruf nahi munkar tidak  hanya berupa suatu tindakan,  tetapi lebih daripada itu ia adalah watak dan jati diri.  Dengan demikian  akan lahirlah generasi yang menepati kata al-amiruna bi 'l-ma`ruf wa 'n-nahuna `ani 'l-munkar. (surah  al-Tawbah: 112),  iaitu mereka yang berwatak  pejuang kemakrufan dan penentang kemungkaran. Demikian pentingnya amar makruf nahi munkar sehingga dijadikan komponen utama pendidikan kerana ia adalah ciri asasi dan dan jati diri umat Islam:

والمؤمنون والمؤمنات بعضهم أوليآء بعض، يأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر
ويقيمون الصلاة ويؤتون الزكاة ويطيعون الله ورسوله،    اولــــئك  سيرحمهم الله،
إنّ الله عزيز حكيم.

Dan orang-orang  yang beriman,   lelaki  dan  perempuan,   sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain.  Mereka menyuruh  (mengerjakan)  yang ma`ruf,  mencegah  dari yang mungkar, mendirikan  sembahyang,  menunaikan zakat,  dan  mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya.      Mereka  itu  akan   diberi  rahmat oleh Allah;   Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Al-Tawbah:71

Lebih daripada itu amar makruf nahi munkar adalah syarat khayriyyatu 'l-ummah (keunggulan umat) sebagaimana yang ditegaskan dalam ayat 110 surah Ali `Imran:

كنتم خيرأمّة أخرجت للنّاس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله،
ولوءا من أهل الكتاب لكان خيرا لهم، منهم المؤمنون وأكثرهم الفاسقون.

Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia,  menyuruh kepada yang ma`ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman  kepada Allah.   Sekiranya Ahli Kitab beriman,  tentulah itu  lebih baik
bagi mereka;   di antara mereka  ada yang beriman, dan  kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.

Ayat tersebut membawa implikasi bahawa menghilangnya amar makruf nahi munkar dari kehidupan umat, berakhirlah khayriyyah (keunggulan) mereka.  Seterusnya kegagalan  memenuhi komitmen amar makruf nahi munkar bererti  mengundang kutukan Tuhan sebagaimana nasib yang menimpa Bani Israil:

لعن الّذين كفروا من بنى إسرآئــل على لسان داود وعيسى ابن مريم، ذلك بما عصوا
وكانوا يعتدون.   كانوا لايتناهون عن منكر فعلوه، لبئس ما كانوا يفعلون.                

Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani  Israil  dengan lisan  Daud dan `Isa  putera  Maryam.  Yang demikian  itu,  disebabkan mereka  durhaka dan selalu melampaui batas.

Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka  perbuat. Sesungguhnya   amat  buruklah  apa   yang selalu mereka perbuat itu. Al-Ma'idah:78-79

Amar makruf nahi munkar adalah penyuaraan  kebenaran yang dijamin sebagai hak kebebasan bersuara.  Dalam konteks masa kini ia dapat dilaksanakan dengan belbagai cara sebagaimana yang disebut oleh  Wahbah  al-Zuhayliy:  menerusi  ucapan lisan dan tulisan,  lukisan dan rakaman, persuratkhabaran dan demonstrasi (al-tazahur).   Dalam kaitan ini mengkritik adalah bahagian daripada amar makruf nahi munkar,  termasuk mengkritik pemerintah.  Malah membangkang juga adalah bahagian daripada amar makruf nahi munkar jika dilakukan atas dasar  melawan kemungkaran.   Kerana itu Islam menjamin  haqq al-mu`aradah  atau hak bangkang dalam pengertian  menolak kesalahan,  melawan kebatilan, menegakkan kebenaran dan merealisasikan  maslahah ummah  dalam batasan-batasan syara`.
Dalam tradisi politik Islam bangkangan dalam pengertian tersebut bukan hanya tidak dihalang, malah diminta oleh para penguasa, khususnya al-Khulafa' al-Rashidun seperti Abu Bakr dan Umar r.`a. yang meminta umat membetulkan mereka apabila mereka melakukan kesalahan.   Dalam kes `Umar ibn al-Khattab  r.`a. permintaannya disambut oleh seseorang dengan berkata beliau akan membetulkannya dengan pedang.   Kata-kata seperti itu mungkin terasa terlalu keras,  tetapi ternyata `Umar ibn al-Khattab tidak marah,  malah beliau bertahmid,  menyatakan kesyukuran kepada Allah  kerana masih ada rakyat yang punya keberanian mengoreksi pemimpin/penguasa dengan pedang.  Justeru,  para khalifah al-Rashidun tersebut bukan jenis penguasa  yang obsesif  dengan kekuasaan.   Dalam tradisi kepimpinan Islam yang penting bukan kuasa memegang tampuk pemerintahan,  tetapi  yang penting adalah terlaksananya  al-khayr wa 'l-ma`ruf (kebajikan dan kemakrufan).    Kerana itu mereka merasa dibantu  dan ditolong oleh pembangkang yang  ingin mengembalikan mereka ke jalan kebaikan dan kemakrufan.
Melakukan perubahan  sehingga terhapusnya  segala rupa halangan ke arah  kebajikan dan kemakrufan adalah suatu kewajipan keagamaan sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 104 surah  Ali `Imran:

ولتكن منكم أمّة يدعون إلى الخير ويأمرون با لمعروف وينهون عن المنكر،
وأولــئـك هم المفلحون.
Dan hendaklah  ada di antara kamu segolongan umat yang  menyeru kepada kebajikan,  menyuruh kepada yang ma`ruf dan mencegah dari yang munkar;  merekalah orang-orang yang beruntung.

Peranan korektif ini dapat dimainkan oleh  umat secara kolektif,  termasuk pembangkang.  Kata ummah dalam ayat tersebut merujuk makna  kumpulan, jamaah, organisasi atau bentuk-bentuk tindakan kolektif lainnya.   Komitmen melakukan perubahan
korektif itulah juga yang tersirat dalam hadith Rasulullah s.`a.w.,

من رأى منكم منكرا فليغيّره بيده، فإن لم يستطع فبلسانه، فإن لم يستطع
فبقلبه، وذلك أضعف الإيمان.
Hadith tersebut menghendaki  setiap warga umat Islam bertindak sebagai agen perubahan apabila wujud gejala kemungkaran atau sebarang  keadaan yang menggugat  maslahah umat.   Untuk itu mereka harus berbuat sejauh yang termampu dengan menggunakan segala kemampuan yang dimilikinya --kuasa, suara atau sekurang-kurangnya bersikap tidak rela dengan kemungkaran.
Islam memberikan ruang yang cukup luas untuk umat memilih cara yang berkesan.    Taghyir al-munkar (merubah kemungkaran)  boleh dilakukan secara individual,  dan boleh pula dilakukan secara kolektif  dalam rupa gerakan kerakyatan.    Dalam kaitan inilah timbulnya persoalan  tentang al-muzaharat (demonstrasi)  sebagai  wasilah,   taktik dan strategi amar makruf nahi mungkar.   Sebagaimana yang disebut oleh al-Shaykh  `Abd al-Hafiz al-Sawiy,      al-muzaharat naw`un min inkar al-munkar  (demonstrasi adalah sejenis  tindakan mengingkari  kemungkaran).    Ia adalah pendapat umat yang disuarakan secara kolektif  (ta`bir jama`iy).      Dalam kaitan ini perlu dicatat bahawa menyatakan pendapat menurut al-Qaradawiy adalah hak kemanusiaan (al-ta`biru haqqun insaniy).

Mengenai demonstrasi pula al-Qaradawiy menyatakan,  "Seperti orang lain, kaum Muslimin juga berhak mengadakan perarakan dan demonstrasi  untuk menyuarakan tuntutan-tuntutan mereka yang sah, dan untuk menyampaikan permintaan-permintaan mereka kepada pihak berkuasa dan para pembuat dasar,    dengan suara yang dapat didengar dan harus didengar dan tidak boleh diabaikan.  Suara individu mungkin tidak didengar,  tetapi suara ramai  terlalu nyaring untuk diabaikan.    Semakin ramai yang berdemonstrasi,  apa lagi jika disertai oleh  peribadi-peribadi yang berbobot,  suara mereka akan lebih didengar dan lebih berkesan,  kerana kehendak ramai lebih kuat daripada kehendak perseorangan.   Manusia memang lemah ketika bersendirian,  tetapi menjadi kuat apabila bergabung dalam kumpulan.  Kerana itu Tuhan berfirman,  "Dan bertolong-tolonganlah kamu  dalam kebajikan dan ketaqwaan "  --  al-Ma`idah:2."

Demonstrasi bukan ibadat yang dasarnya adalah ittiba`  (mengikut nass sepenuhnya),  ia adalah sebahagian daripada umur al-dunya (urusan kehidupan duniawi) yang dasarnya adalah ibtida`  (mencipta).    Dari segi hukum ia termasuk di bawah kaedah al-asl fi al-ashya' al-ibahah (hukum asal segala sesuatu adalah harus).   Dengan demikian tidak ada sesuatu yang haram kecuali  jika ada nass  (yang sahih al-thubut wa sarih al-dilalah) yang mengharamkannya.  Kerana itu tidak perlu  dicari nass yang mengharuskan demonstrasi.  Justeru,  memang tidak ada nass yang mengharamkannya.

Demonstrasi pada hakikatnya hanyalah  wasilah,  jalan dan cara  mencapai tujuan-tujuan tertentu (maqasid).   Menurut kaedahnya,  hukum wasilah  didasarkan pada maqasidnya.  Jika maqasidnya harus maka demikian pulalah wasilahnya,  dan begitulah seterusnya.  Kerana  itu wasilah (termasuk demonstrasi) itu sendiri  tidak  haram (lam takun muharramatan fi dhatiha).     Halal dan haramnya tergantung maksud dan objektif yang hendak dicapai.

Fatwa adalah ilmu dan amanah.  Kerana itu ia harus diputuskan dengan teliti, berhati-hati dan penuh rasa tanggungjawab,  jangan sampai mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram.

(TM 62 di Kolej Dar Al Hikmah)

No comments:

Post a Comment