Wednesday, July 4, 2012

Dr Siddiq Fadil: ISLAM DAN MELAYU


TEKS SYARAHAN PENGANTAR PELANCARAN DAN DISKUSI BUKU MELAYU DAN ISLAM: MARTABAT UMAT DAN DAULAT RAKYAT
by Wasif Wan ·

Kami dahului dengan pernyataan tahmid kesyukuran  al-hamdu li'Llah  dan rasa terharu atas sambutan terhadap buku Melayu dan Islam:  Martabat Umat dan Daulat Rakyat.  Di tengah suasana seperti ini, saya tidak dapat menyembunyikan rasa takut-takut dan malu-malu,  kerana ketika mengerjakan buku ini,  saya tidak membayangkan sambutan bersemangat begini.  Tidak ada yang luar biasa dalam proses penerbitannya.  Bermula dengan pertanyaan teman-teman tentang nasib  tulisan-tulisan saya yang terbiar dan berserakan,  saya terdorong mengumpul,  memilih dan mengeditnya untuk diterbitkan dalam bentuk sebuah buku yang seadanya dan  sejadi-jadinya.    Andainya saya tahu bahawa buku ini akan diberi perhatian  sebegini rupa  -   dilancarkan, dibedah dan didiskusikan    -     mungkin saya tidak akan berani menerbitkannya.

Bagaimanapun,  buku ini telah telanjur terbit dan kerana itu ia harus siap untuk ditanggapi oleh khalayak pembacanya.  Mudah-mudahan penulisnya dikurniakan ketahanan ruhaniah dalam menghadapi  segala kemungkinan  --  dukungan dan kritikan,  tidak lupa diri kerana dukungan,  dan tidak berkecil hati kerana kritikan.  Terlepas dari soal setuju atau tidak dengan pemikiran  dalam buku ini,  sebagai penulis saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh khalayak yang sudi memberikan perhatian kepada buku ini.  

Atas susah payah rakan-rakan menjayakan majlis pelancaran dan diskusi buku malam itu saya ucapkan jazakumu 'Llahu khyara 'l-jaza' .   Mudah-mudahan semangat di sebalik usaha ini bukan sangat kerana buku saya,  tetapi komitmen kita semua terhadap penyuburan budaya ilmu.

Terima kasih kepada rakan-rakan yang tampaknya menyambut buku ini dengan bersemangat sekali, sehingga saya sendiri menjadi hairan, apalah istimewanya buku ini?  Saya hanya dapat menduga bahawa  ketika menyambut buku ini,  yang mereka sambut sebenarnya adalah pemikiran mereka sendiri.  Demikianlah hakikatnya,  kita memang banyak berkongsi pemikiran, berkongsi  idealisme,  berkongsi  wawasan dan gagasan.  Tetapi tidak semua kita berkesempatan mengungkapkan, mengucapkan atau menyuarakannya. Andainya dugaan itu benar, saya sangat berbahagia  dapat melaksanakan peranan  mewakili anda sekalian  untuk mengungkapkan yang tak terungkap, mengucapkan yang tak terucap dan menyuarakan yang tak tersuara itu.


Sebagai karya manusia, buku ini tentu sekali mengandungi pelbagai kelemahan manusiawi.  Dengan menginsafi  keterbatasan ilmu, pengalaman dan daya renung, saya akan sangat berterimakasih andainya ada yang sudi memberikan teguran dan koreksi.  Memang saya tidak dapat memberikan jaminan akan bersetuju dengan pendapat anda,  tetapi saya tetap akan menghormati  hak anda untuk tidak bersetuju dengan saya. 
         
Sebuah karya tulis biasanya lahir dari liku-liku  intellectual journey dan pengalaman di kancah kehidupan penulisnya.   Demikianlah wacana di sekitar Islam dan Melayu yang termuat dalam buku yang dilancarkan sebentar tadi,  dilatari  timbunan pengalaman perjalanan keilmuan selama puluhan tahun.  Persoalan tentang sejarah Islam dan kebudayaan Melayu memang sudah tersentuh sepanjang  mengikuti pengajian menengah dan universiti,  tetapi sentuhan paling mengesankan adalah  kuliah-kuliah Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu yang sempat kami ikuti dalam pengajian pasca-sarjana.   Sejak itu (1975)  bidang ini kami tekuni tanpa henti terutama selama tempoh melaksanakan tugas meneruskan pengajaran kursus yang sebelumnya  dikendalikan oleh Prof. al-Attas sendiri,  di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu,  UKM.  Memang,  tahun-tahun perkhidmatan di UKM sebagai tenaga akademik di Jabatan Persuratan Melayu adalah kurnia kesempatan belajar dan mengajar pelbagai aspek pengajian Melayu,  kebudayaan dan kesusasteraannya,  termasuk karya-karya agungnya seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan lain-lainnya. 

Tidak kurang pentingnya adalah penglibatan kami yang berterusan dalam gerakan Islam tanahair  (PKPIM, ABIM dan WADAH).   Pengalaman dari kancah perjuangan merealisasikan idealisme keislaman selama lebih emat dekad itu tentunya banyak mewarnai,  dan bahkan menyemangati  pemikiran, gagasan dan wawasan yang tertuang dalam buku ini.  Justeru,  gerakan Islam pencetus  kebangkitan Islam yang cukup fenomenal sepanjang dekad-dekad menjelang hujung abad ke-20 itu,  bukan sekadar membawa keriuhan  retorik slogan-sloganan,  tetapi jelas membawa fikrah dan risalah tahririyyah-taghyiriyyah atau misi pembebasan dan perubahan.   Dalam merangka agenda perubahan tersebut,  para ideologue gerakan  tentunya telah meneliti pesan-pesan al-Qur'an dan al-Sunnah tentang khayriyyat al-ummah (keunggulan umat), di samping  karya-karya agung  pemikir besar seperti Ibn Khaldun tentang jatuh-bangun  bangsa dan tamadun,  Malik Bennabi tentang masalah pemikiran dan syarat-syarat kebangkitan (syurut al-nahdah) dan  sarjana-sarjana besar lainnya.  Sebagai gerakan yang berkiprah di tengah realiti kemalaysiaan pula tentunya ia juga menangani isu-isu setempat,  termasuk  isu Islam dan Melayu serta persoalan kemajmukan masyarakat.

Dari latar sedemikian itulah lahirnya karya tulis,  Islam dan Melayu:  Martabat Umat dan Daulat Rakyat yang mengangkat persoalan pemberdayaan bangsa dengan nilai-nilai agama (Islam).    Bertolak dari hakikat Melayu sebagai suatu realiti  jelmaan sunnatu 'Llah,   bahawa manusia selamanya diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku,  bukan tanpa maksud,  tetapi dengan tujuan mulia   -    saling kenal dan saling  hormat.   Tidak salah andainya seluruh anak bangsa ingin agar bangsanya dikenal sebagai umat  yang kuat, mulia dan berwibawa.   Untuk itulah kami mengangkat nilai maruah dan harga diri yang ketika ini terhakis di tengah maraknya budaya fitnah, gossip, mengaib dan memalukan orang  seenaknya dan semahu-mahunya.  Kontrak sosial yang menyepakati bahawa rakyat Melayu,  "…jangan ia difadihatkan, dinista yang keji-keji…"  diinjak-injak dengan leluasa,  tanpa mempedulikan lagi sumpahan apabila penguasa   "…memberi  aib seseorang hamba Melayu,  alamat negerinya akan binasa.".    Bangsa tidak dapat dibina dengan caci-maki dan sumpah-seranah penguasa. Bangsa yang mulia dan bermartabat dibangun dengan kesedaran tentang maruah  yang dicirikan oleh sifat  al-haya'   -   tahu malu atau sense of shame,   malu melakukan perbuatan keji, malu menjadi rakyat negara yang mundur,  malu menganggotai organisasi yang korup dan seterusnya.  Dari sifat tahu malu itulah bangkitnya semangat juang untuk berubah,  menebus maruah yang tercemar.

Kami juga menyerlahkan nilai ilmu sebagai kekuatan pengangkat martabat umat.  Kata iqra'  yang mengawali penurunan kitab suci al-Qur'an menandakan bermulanya demokratisasi pendidikan  dan revolusi keilmuan melawan gerakan pembodohan untuk mencipta umat yang enlightened,  umat yang mengalami pencerahan keilmuan,  lalu mampu melihat hakikat segala sesuatu  dengan tepat sebagaimana wujud hakikinya.    Matlamat akhir gerakan pencerahan bersemangat iqra'  ialah untuk mengenal Allah, mencapai  ma`rifah yang membentuk sikap  wa 'sjud wa 'qtarib (tunduk mengabdi dan menghampirkan diri kepada Allah).        Demikianlah realisasi tawhid (pengesaan Allah) sebagai  kekuatan pembebasan,   pencipta manusia merdeka yang memiliki keberanian bersikap,  menolak dan melawan  kezaliman dan kebatilan,  kalla la tuti`hu (jangan sekali-kali, jangan patuh kepadanya…).   Mesej surah   al-`Alaq adalah nilai ilmu sebagai kekuatan transformatif:  bermula dengan  iqra'  (baca)  berakhir menjadi  merdeka dengan sujud  hanya kepada Tuhan Yang Maha Esa, dan menjadi perkasa dengan mendampingkan diri kepada  Tuhan Yang Maha Berkuasa.
Ilmu dan iman adalah  unsur penting pemberdayaan bangsa.  Bangsa yang lemah dan penakut tidak akan menjadi bangsa yang mulia dan bermartabat.  Lewat puisinya Kesaksian Bapak Saija,  penyair ternama WS Rendra menampilkan  Pak Saija yang bangkit dari alam barzakh untuk membuat kesaksian  betapa menyesalnya beliau menjadi manusia penakut selama hidupnya.  Ia takut  membuka mulut untuk memprotes ketidakadilan,  ia takut melawan kerana melawan bererti mati.  Tetapi ternyata akhirnya Pak Saija mati juga sebagai korban kezaliman.  Ia  mati walaupun tidak melawan.  Ia menyesal,  tetapi  sayang,  ia telah terlambat, kerana penyesalan itu timbul hanya sesudah mati dibunuh dan mayatnya ditendang ke dalam longkang.  Sesudah mati baru ia menyedari bahawa sepanjang hayatnya sebagai penakut ia telah bersyubahat dengan orang-orang zalim.  Justeru,  kerana ketakutannya melawanlah, maka orang lain berleluasa melakukan kezaliman.  Penyesalan terlambat seorang penakut itulah yang diungkapkanya dengan kata-kata:

                  Hidup tanpa daya
                  Sebab daya ditindih ketakutan
                  Setiap hari seperti mati berulang kali
                  Setiap saat berharap menjadi semut
                  agar bisa menjadi tidak kelihatan.


                  Sekarang setelah mati
                  baru aku menyedari
                  bahwa ketakutanku membantu penindasan,
                  dan sikap tidak berdaya menyuburkan ketidakadilan.


Pak Saija sebenarnya bukan tidak berdaya, tetapi dayanya telah dilumpuhkan oleh sifat penakutnya.  Memang kekuatan tidak akan berguna tanpa keberanian.  Kerana itu orang Melayu selalu memadukan kekuatan dengan keberanian sebagaimana yang terungkap dalam serangkap pantun:

                  Apa guna pergi ke bendang
                  Kalau tidak menanam padi
                  Apa guna keris disandang
                  Kalau tidak berani mati.


Hidup tanpa daya dalam belenggu budaya takut, bukanlah kehidupan yang didambakan oleh manusia bermaruah, berilmu dan beriman.   Justeru, budaya takut (culture of fear)  jelas bertentangan dengan aspirasi kebebasan yang terpancar dari ajaran tauhid.  Surah Quraysh menyebut  Allah sebagai Tuhan Pengurnia makanan untuk bebas dari kelaparan, dan Dia jugalah Pengurnia keamanan untuk bebas dari ketakutan.   Demikianlah hakikat kebebasan dari ketakutan, di samping kebebasan dari kelaparan sebagai suatu yang amat terkait dengan iman dan pengabdian kepada Tuhan Yang Maha Esa.


Daya maju sesuatu bangsa banyak ditentukan oleh faktor budaya yang teguh dan kepimpinan yang tangguh.  Untuk memacu daya maju bangsa Melayu, budayanya harus diperkasa dengan nilai-nilai kudus kewahyuan dari al-Qur'an dan al-Sunnah.  Dengan demikian bangsa ini akan menjadi umat yang berjaya menepati kata  al-falah, kejayaan hakiki duniawi-ukhrawi.    Laungan azan hayya `ala 'l-falah (mari bersama meraih kejayaan) yang berkumandang setiap hari bekali-kali itu seharusnya diangkat menjadi salah satu nilai utama pembentuk winning mind-set dan seterusnya pembina orientasi kejayaan (success orientation) yang kuat di kalangan umat.  Yang kita aspirasikan adalah bangsa berjaya yang benar-benar berjaya,  bukan bangsa yang berlagak sebagai bangsa yang berjaya dengan berbelanja besar membeli barang-barang perhiasan  mewah bangsa yang telah berjaya, buying the ornaments of success.

Melayu harus dibangun dengan nilai-nilai murni keagamaan,  bukan dengan sentimen perkauman sempit.   Melayu ideal dalam wawasan buku ini  adalah Melayu yang Islamis,  bukan Melayu yang racist.   Melayu yang Islamis adalah Melayu yang berakhlak mulia,  kaya dengan rasa kasih kemanusiaan,   setia menjunjung nilai  ukhuwwah, persaudaraan  dalam erti luas yang merentasi batasan ras dan agama,  ukhuwwah yang meliputi ukhuwwah Islamiyyah (persaudaraan seagama), ukhuwwah wataniyyah  (persaudaraan setanahair) dan ukhuwwah insaniyyah  (persaudaraan kemanusiaan).

Untuk merealisasikan gagasan Melayu yang menepati ciri khayra ummah,  kita memerlukan pemimpin yang membina bangsa,  bukan "pemimpin" yang membesar diri dan memperkaya kroni.   Bangsa Melayu harus bijak memilih pemimpinnya yang mampu melaksanakan misi pemberdayaan bangsa,   pemimpin-pendidik-teladan yang menghayati nilai-nilai murni yang  diperjuangkannya.  Dengan kata lain, kita memerlukan mekanisme pengangkatan pemimpin yang dapat menjamin terangkatnya orang yang terbaik dalam pengertian pemimpin yang berkualiti integriti moral, kekuatan daya fikir, stamina kerja kuat,  menyintai ilmu dan menyayangi rakyat, menepati  konsep al-Imam al-`adil  (pemimpin adil) sebagaimana yang dihuraikan oleh al-Imam Hasan al-Basriy r.`a. dalam risalah jawapannya kepada permintaan  `Umar ibn `Abd al-`Aziz,  mujaddid abad pertama Hijriah yang diiktiraf sebagai Khamis al-Khulafa' al-Rashidin (al-Khalifat al-Rashid Kelima).   Sesungguhnya bangsa ini akan bangkit sebagai umat yang gagah dan bermaruah dengan pemimpin yang empowering dan inspiring. Sekarang adalah saatnya kita memikirkan dengan jujur tentang kualiti kepimpinan yang seperti itu.  Terima kasih.

 Siddiq Fadzil,
Hotel De Palma,
Ampang, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment