Tuesday, April 23, 2013

Iktibar Kepimpinan Gerakan Islam: Dr Siddiq Fadil





Bagi memahami jelmaan kepimpinan transformatif dalam gerakan Islam, ia memerlukan tinjauan dari dalam. Terdapat orang luar (dari luar negara mahupun di luar gerakan) yang menulis dan mengolah tentang gerakan ini – merupakan analisis yang tidak menyelami hakikat dalaman gerakan Islam.

Dalam tradisi gerakan, kita bina al qiyadah wal jundiyyahleadership and followershipcompetent leaders and quality followers. Pemimpin layak, pengikut berkualiti. Ada kemungkinan juga keahlian baik untuk gagal melahirkan pimpinan baik. Maka kita latih pemimpin dan pengikutnya.

Kerana dengan kekuatan kepimpinan dan organisasi, ABIM mampu tampil – as a formidable and credible movement - gerakan yang utuh dan berwibawa. Sejarah telah terpahat. Tidak boleh ada percubaan untuk merubah sejarah ABIM kerana ianya dicipta dan dirakam dengan jujur.

Faktor lain adalah gerakan ini lahir pada waktu yang tepat – the right timing – mendahului yang lain dalam fenomena kebangkitan Islam ketika semarak kesedaran Islam bergejolak di seluruh dunia. Apabila sampai ke Malaysia, belum ada yang sedia menyambut. Parti Islam belum siap kerana ketebalan kepartaian dan kepolitikan. Parti nasionalis jauh sekali. Pertubuhan kebajikan Islam pula sudah berusia. Ketika itu, ABIM lahir tepat pada saatnya dan selepas itu datanglah organisasi pelbagai tetapi tidak dapat menempa sejarah kerana sudah terlepas waktunya.

Selain faktor itu, adalah strategi dan pendekatan berhikmah – da’wah dan tarbiyyah. ABIM muncul sebagai organisasi pembelajaran – a learning organization – setiap warga, setiap orang belajar samada pimpinan tertinggi sampai kepada ahli-ahli di ceruk ranting. Tradisi belajar ini dihayati betul sehingga sekarang gerakan mempunyai tradisi intelektual dan keilmuan tanpa tandingan.

ABIM berwajah qiyadah jama’iyyahcollective leadership. Presiden memang ditonjolkan tetapi dia bukan bersendirian tetapi didampingi pimpinan lain yang tidak kurang peranan mereka. Sejarah ABIM bukan pameran catatan bapak Presiden ke bapak Presiden. Bukan seperti mural sejarah tanah air – hanya mempamerkan PM ke PM, seolah-olah gambaran sejarah PM dan Presiden parti saja – peranan rakyat bagaimana?

Tradisi kita sebenarnya – kepimpinan bersama – tiada siapa yang sempurna – perfect – tiada siapa pemimpin ideal. Kepimpinan dalam ABIM alami proses saling lengkap melengkapi – tarbiyyah qiyadiyah – mengulamakan intelektual dan mengintelektualkan ulama. Sejauh mana pencapaian proses ini, perlulah dinilai tokoh-tokohnya.

Kita bukan hanya bina keilmuan dan keintelektualan tetapi juga dimensi kerohanian. Kemampuan organisasi adalah kekuatan ruh dan akal – quwwatul ruh wa aql (ungkapan Malek ben Nabi). Kombinasi dua kekuatan secara seimbang. Walaupun kita tidak mengambil mana-mana tariqah tertentu, namun kita ada tradisi amalan sendiri.

Berlaku proses pendidikan semula – reeducating – mereka yang berlatarbelakang akademik yang cukup kuat – graduan pelbagai bidang, tetapi mereka masih belajar semula - reeducate themselves. Barangkali sukar dilakukan pada suasana lain. Ciri istimewa ABIM adalah menangani pelbagai isu, tampil di pelbagai pentas – dengan kesarjanaan pelbagai. Tradisi belajar bersama hidup melalui usrah. Janganlah ditanya siapa gurunya kerana di situ kita belajar bersama-sama.

Proses inilah yang  menghasilkan amal jama’iyy – gerakerja berjamaah. Adalah tragedi besar jika amal jama’iyy berubah menjadi bekerja bersendirian – one man show. Kekompakan pasukan – compact team – bukan bererti semua AJK berprestasi pada tahap yang sama. Kebijaksanaan pimpinan yang menyelesaikan isu seperti perbedaan prestasi.

Al qiyadah al taghyir – transformational leadership – babak dicipta ABIM pada akhir abad ke 20 – yang dipeloporinya  merubah landskap kehidupan. Sehinggakan umat begitu ghairah – berlaku perubahan budaya bukan sahaja segi pakaian luaran tetapi lebih lebar dan luas daripada itu.

Berlaku dua proses:-
·         Kepimpinan sebagai mentransformasi manusia

·         Kepimpinan sebagai pembina budaya – culture builder

Akhir abad ke 20 menyaksikan transformasi keislaman. Qiyadah jama’iyyah melakukan transformasi manusia – ada sebahagiannya berubah secara perlahan, ada secara normal tetapi ada juga bertukar secara radikal kerana ramai juga berubah ke arah penghayatan keislaman secara mengejut. Tidak sedikit pula datang daripada latarbelakang pendidikan sekular dan Barat. Begitulah keajaiban human transformation. Bagi kita sekarang adalah untuk memperkukuhkan transformasi merubah manusia.

Perubahan budaya berlaku pada pendaulatan bahasa, gaya dan pakaian, amalan dan penampilan. Sewaktu dahulu sebelum 70’an, ucapan salam jarang didengari dan dianggap kekampungan. Majlis-majlis dan aktiviti kesukanan turut menjamu minuman keras termasuklah upacara di ceruk desa seperti Selekoh pun dihidang dengan alkohol. Semua ini telah berubah dengan transformasi melalui da’wah dan pembina budaya. Perkataan-perkataan baru berunsur bahasa Arab memasuki perbendaharaan Bahasa Melayu  melalui gerakan Islam dan pimpinannya justeru mempopularkan istilah harakiy di tengah-tengah masyarakat.

Semua ini tercermin pada diri peribadi paksi – syakhsiyah mehwariyah – pemimpin transformatif yang menghayati idealisme perjuangan.


Anwar Ibrahim adalah sosok yang mempunyai idealisme perjuangan gerakan. Dia menghayatinya betul-betul. Dia menyebut ABIM sebagai agen perubahan – agent of change – dia committed – beriltizam betul dengan perubahan, menyeru kepada elemen yang sedar daripada masyarakat. Ekspresi komitmen peribadinya dan iltizam gerakan seluruhnya termasuk komitmen kepada prinsip dan nilai keadilan. Keadilan sosial – distributive justice – melawan ketidakadilan. Ungkapan 70’an “kaya bertambah kaya dan miskin papa kedana” menyiratkan azam untuk melawan ketidakadilan sosial.

Soalan pernah diajukan samada Anwar Ibrahim terkesan dengan ideologi sosialisme kerana pernah menuntut di universiti di bawah pensyarah Syed Husin Ali. Jawapan adalah “tidak ada unsur sosialisme” tetapi yang ada adalah komitmen kepada keadilan sosial. Keadilan sosial bukan semata-mata idea Marxist tetapi Islam itulah keadilan sejagat. Di antara buku yang ditelaah adalah al adalah al ijtima’iyyah  fil Islam - Social Justice in Islam karya Sayyid Qutb.

Sejak waktu itu pun, Anwar Ibrahim kritis terhadap pelaksanaan DEB bukan mempertikaikan niat atau tujuan tetapi perlaksanaannya apabila sebahagiannya hanya menguntungkan golongan elit politik. Hak istimewa Melayu dijadikan hak Melayu istimewa. Dia sangat concern – prihatin untuk membela golongan mustadhafin – memperjuangkan kaum yang tertindas.

Ungkapan al jilul quranil farid daripada karya Sayyid Qutb, ma’alim fil tariq, ada kesan kepadanya dan dia ulangi banyak kali idealisme untuk membina generasi al Qur’an yang unik ini.

Pimpinan berlatarbelakangkan pengajian lokal banyak mempelajari daripada Anwar. Kita diperkenalkan tentang dunia buku-buku luar – karya-karya intelektual dan Islam pun didengari daripada Anwar Ibrahim. Buku-buku bahasa Arab dikerahkan kami membacanya untuk diolah dan disyarah dengan berkesan olehnya.

Anwar Ibrahim berjaya menjadi jurubicara umat – menyahut aspirasi orang-orang kecil dan menggerakkan masyarakat desa. Dia mampu mengartikulasi kerelevanan Islam dalam masyarakat semasa dan kepada masyarakat majmuk – presenting Islam in a plural society. Kita peliharalah anugerah tuhan yang bersejarah ini.

Al marhum Ustaz Fadzil Noor adalah bintang politik tanah air berlatarkan ABIM walaupun sebelum itu dia sudah berkecimpung dengan PAS. Dia seorang yang sangat saling hargai menghargai dan hormat menghormati Anwar Ibrahim.

Apabila dicalon sebagai pengganti untuk Presiden ABIM pertama Ustaz Razali Nawawi, dia berkeras menolak, sebaliknya menganjurkan Anwar sebagai presiden. Mereka saling tolak menolak jawatan itu sehingga akhirnya Anwar menjadi presiden dan Ustaz Fadzil timbalannya. Namun akhirnya, apabila Anwar Ibrahim direhatkan di bawah ISA -  tahanan tanpa pembicaraan – di kem tahanan Kamunting, Ustaz Fadzil memangku jawatan presiden. Ustaz  Fadzil mengemudikan gerakan ketika dilanda fitnah dan mehnah – membela pemimpin gerakan yang teraniaya dan mempertahankan wadah harakah serta kelangsungan penyampaian risalah perjuangan.

ABIM telah dianggap sebagai anti-nasional pada waktu itu. Ustaz Fadzil memperlihatkan kompetensinya dan ketangkasannya pada saat yang getir waktu itu. Kemudian pada 1978, telah dipersetujui bahawa dia memasuki PAS secara aktif dan dia telah terbukti mempunyai landasan – strong base- dan dia berkebolehan berpolitik.

Pada ketika Anwar berada dalam UMNO, Ustaz Fadzil memperlihatkan ketegasan sikapnya untuk sisi umat dan prinsip politiknya. Tetapi dari segi hubungan peribadi persahabatan mereka terus mesra – saling concern – saling mengambil tahu.  Ustaz Fadzil mempunyai kebimbangan sangat tinggi terhadap nasib Anwar dalam UMNO dan dia bimbang Anwar dikhianati oleh Mahathir dan parti itu. Telahan ini ternyata tepat.

Apabila Anwar dipecat, apabila pemimpin-pemimpin politik belum mengambil sikap, Ustaz Fadzil telah mencari Anwar dan memberikan sokongan kepadanya. Pemerhati telah merakamkan dengan sebak tangisan bahawa Anwar Ibrahim berpelukan dengan Ustaz Fadzil Noor apabila mereka bertemu. Pada peristiwa ini terserlah kesetiaan persahabatan, ketajaman kepimpinan dan kebijaksanaan meraih peluang kesempatan politik pada ketika orang lain belum nampak lagi. Ustaz Fadzil mempertaruhkan kepimpinannya dan posisinya serta partinya tetapi ternyata tepat pembacaan realiti dan perkiraan politiknya.


Ketika dibawa ke pusat rawatan sebelum kembali ke rahmatullah, pemerhati melaporkan al marhum Ustaz Fadzil masih berpesan mementingkan menyelesaikan amanah-amanahnya. Seorang pejuang yang amat berkaliber telah meninggal tanpa tolok bandingnya, pemimpin PAS yang telah membawa impak tinggi kepada corak politik tanah air. Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atasnya dan meletakkannya bersama para salihin.


(Tamrin Qiyadi 3G 5/5/2012)


No comments:

Post a Comment