Wednesday, April 24, 2013

Realiti Sejarah Keadilan Sosial dalam Islam


Keadilan Sosial dan Integriti dalam Konteks Kepimpinan yang Silam: Kupasan Sedutan Karya:  Keadilan Sosial dalam Islam oleh Sayyid Qutb

Menurut pengulas buku Anne Norton, karya ”Social Justice and Islam” menempelak banyak prasangka tentang Sayyid Qutb and Islam. Karya ini mengandungi kritik yang tajam terhadap gangguan seksual dan eksploitasi wanita. Buku ini meninjau implikasi politik terhadap zakat. Lazimnya, zakat dilihat sebagai semacam sedekah bagi fakir miskin. Qutb berhujah bahawa jika difahami dengan sebenarnya zakat menyediakan cara bagi memperbetulkan ketidakseimbangan dan ketidakstabilan sementara pasaran disamping melindungi harta persendirian dan perusahaan; ia membolehkan pemeliharaan dan pengagihan adil barangan keperluan, memberikan prinsip dan amalan kebajikan sosial yang sejahtera tanpa memupuk kebergantungan atau merendahkan maruah manusia. Aspek paling menyinar buku ini adalah betapa pentingnya maruah dan kehormatan manusia kepada pelaksanaan keadilan ekonomi dan tatacara politik.




Berikut cebisan daripada  karya Sayyid Qutb bertajuk Keadilan Sosial dalam Islam  - Al-‘adalah al-ijtima’iyah fil ‘I-Islam:-

Realiti Sejarah Keadilan Sosial dalam Islam

Islam adalah sistem syumul akhlak, keadilan dan pentadbiran, dengan undang-undang dan prinsip shariah  sebagai asas tunggal tadbir urus dan segala-galanya dalam kehidupan ini.

Keadilan sosial itu boleh dikatakan sebagai ruh Islam. Ruh ini sedia digarap oleh sesiapa yang mengkaji sifat dan sejarah Islam. Ia jelas termaktub pada hukum-hakam Islam dan risalah da’wahnya. Ia memberi kesan kepada semua orang, ia dapat dilihat pada tujuan, peristiwa dan pada adat resam.

Ruh inilah yang menetapkan standard amat tinggi bagi penganutnya berjihad bagi mencapai tujuannya. Ia tidak terhad kepada ibadah khusus dan am. Standard ini sukar dicapai dan payah dikekalkan. Ini disebabkan kecenderungan kehidupan manusia dan tirani penindasan hidup. Standard ini melibatkan tanggungjawab berat, tugas ke atas nyawa dan harta, keimanan dan sahsiah. Paling berat adalah ketaqwaan yang menjadikan seorang Muslim senantiasa berwaspada pada dirinya dan memberikan kesedaran akhlak yang tinggi. Ketaqwaan yang memperlihatkan kepadanya hak dan tanggungjawab kepada diri, masyarakat, kepada manusia keseluruhannya dan kepada Maha Pencipta.

Namun, kesusahan pencapaiannya dan kepayahan mengekalkannya tidak bermakna Islam hanyalah satu abstrak, satu falsafah khayalan atau idealisme yang menunjukkan kejatuhan atau kelemahan manusia. Ia bukan kewajipan semua manusia pada setiap masa. Ia adalah objektif bagi manusia untuk sasarkan samada hari ini, esok, sepertimana semalam, objektif yang kadangkala mereka capai dan adakalanya mereka terlepas. Inilah contoh keimanan dalam diri seseorang. Allah s.w.t. tidak membebankan seseorang melebihi keupayaannya tetapi jalan ke arah ketinggian itu luas terbentang. (2:286)

Ruh Islam ini telah meninggalkan kesan pada realiti sejarah, kepada sahsiah-sahsiah dan sentiasa mentransformasi dan memperbaharui sepanjang zaman. Contoh teladan uswah hasanah Rasulullah s.a.w. bersinar pada diri-diri sabahat dan peribadi-peribadi zaman-zaman seterusnya. Kemenangan Islam adalah kemenangan falsafah kerohanian yang berada pada jiwa manusia yang berpijak di bumi dan hakikat ini menakjubkan bagi mereka yang masih memberi tafsiran materialistik kepada fenomena ini.

Kenyataan ini dapat diungkapkan melalui kata-kata hujah kepada Raja Habsyah, Najashi  oleh Jaafar bin Abi Talib r.a. mewakili Muhajirin bagi membidas hujah Amr al ’As yang mewakili Quraish. ”dahulu kami jahil, penyembah berhala dan memakan bangkai, menindas golongan lemah, mengabai amanah.................sekarang Rasulullah mengajar kami menyembah tiada yang lain melainkan Allah, berkata yang benar, mengeratkan silaturrahim, memuliakan manusia, memakan yang halal, menjauhi maksiat...”

Ada sebahagian pengkaji tersalah kerana cuba mengukur dan merangka pemikiran dan akhlak di waktu gemilang itu dengan menggunakan neraca serta nilai moral dan materialistik semasa. Kesilapan ini mendedahkan salahfaham tentang fitrah manusia dan kemampuannya untuk membangun dengan kesantunan. Kita perlu kembalikan kepada manusia satu kepercayaan dan keyakinan kepada kemanusiaan yang telah tergambar pada zaman itu yang boleh difahami oleh semua yang inginkan pencapaian standard yang tertinggi itu.

’Umar al Khattab r.a. memikul balang airnya sendiri. Dia bergilir menaiki unta bersama pembantunya secara sederhana pada waktu pembukaan Kota Bayt al Maqdis. ’Ali r.a. menggigil kesejukan pada musim sejuk kerana enggan menggunakan wang perbendaharaan untuk baju panasnya. Abu ’Ubaida r.a. enggan meninggalkan tenteranya dan sanggup terkorban bersama mereka apabila dilanda wabak.

Abu Hanifa membatalkan perkongsian perniagaan dengan rakannya kerana rakannya menjual kain yang mempunyai kecacatan pada harga biasa. Abu Hanifa kemudian mensedekahkan pendapatannya itu  kerana tidak mahu hasil mahsulnya bercampur baur dengan yang syak. Yunus ibn ’Ubaid bertungkus lumus mencari seorang Badawi kerana anak saudaranya telah menjual baju kepada Badawi tersebut dengan harga yang berkali ganda. Dia membayar balik 200 dirham lebihan itu walaupun si Badawi itu telah berpuas hati dengan harga asal. Badawi itu mengatakan baju itu berharga lebih mahal daripada itu di daerah asalnya. Yunus menjawab, ”Keikhlasan dalam agama lebih bernilai dan berharga daripada dunia dan seluruh isinya.”
Itulah natijah Islam ke atas jiwa manusia apabila ruh Islam diterapkan dan kemuliaannya tersebar luas.

Islam telah membolehkan hamba abdi dan keturunan mereka mengangkat martabat hingga menjadi kepimpinan dalam masyarakat. ’Usama ibn Zaid dilantik ketua bala tentera Islam bagi ekspedisi ke Rum dan berlakulah perbualan yang masyhur menunjukkan betapa Khalifah Abu Bakar r.a. bersikap rendah diri. Begitu juga golongan bangsawan pula merendahkan diri ke taraf kesaksamaan. ’Umar menegur dan memberi amaran kepada para gabenornya supaya tidak menzalimi rakyat jelata.

Sufyan al Thauri pergi berhadapan dengan Khalifah Abu Ja’far al Mansur menegurnya kerana membelanjakan harta Allah s.w.t. dan umat Muhammad s.a.w. tanpa keizinan umat. Setiausaha Khalifah, ’Abu Ubaid membantah, ”Wajarkah Amirul Mu’minin mendengar ini semua?”. Sufyan menjawab, ”Kamu diam! Fir’aun dan Haman telah membinasakan satu sama lain.”

Abu Yusuf selaku Qadi apabila menghukum di antara Khalifah al Hadi dengan seorang awam tentang pertikian pemilikan sebuah ladang kebun, memutuskan bagi pihak individu tersebut walaupun Khalifah merasa terhina.

Sultan Isma’il daripada dinasti Ayyubi telah mengadakan perjanjian dengan golongan Frank tentera Salib dan menyerahkan kota Sidon serta beberapa buah kubu lain. Dia inginkan pakatan bagi melawan saudaranya Najm al Din Ayyub. ’Izz al Din ’Abd al Salam mengutuknya dengan keras atas tindakan ini. Sultan Isma’il marah dan memenjarakan ’Izz al Din. Apabila utusan raja dihantar bagi menawarkan kebebasan bersyarat kepadanya, ’Izz al Din menolak dengan tegas.

Ruh keadilan sosial Islam ini terbukti apabila ’Umar menawan wilayah Fars yang amat luas itu, dia membiarkan tanah yang ditakluk berada di tangan pemilik-pemilik asal dengan mengenakan cukai kharaj sahaja. Ini menunjukkan Islam melayani wilayah taklukannya menurut prinsip kemanusiaan, memberikan kebebasan dan membawa manfaat. Islam juga mengizinkan penduduk wilayah yang ditakluki untuk mengamalkan ajaran agama mereka serta melindungi tempat ibadat mereka, rahib serta padri mereka.

Peri penting juga dicatatkan bahawa Islam mematuhi perjanjian dan pakatan yang dibuat. Ini sesuatu fenomena yang jarang serta tiada bandingannya samada pada empayar terdahulu atau pada zaman modern.

Pada awal Abu Bakar r.a. memeluk Islam dia mempunyai 40,000 dirham hasil perniagaan. Selepas hijrah dia hanya tinggal 5,000 dirham dan itupun dibelanjakan bagi membebaskan hamba sahaya serta sedekah kepada fakir miskin. Apabila ‘Umar r.a. memperolehi hartanah bernilai di Khaybar, dia menjadikannya harta waqf untuk yang memerlukan. Uthman r.a. mensedekahkan kesemua barangan kafilahnya yang dibawanya kepada penduduk daif di Madina sewaktu musim kemarau panjang. ‘Ali r.a. dan keluarga rumahnya memberi kesemua roti yang ada supaya yang daif terpelihara manakala mereka sendiri sekeluarga tidor dengan perut yang lapar.

Kabilah Toureg di Utara Afrika terkenal tentang persaudaraan, memuliakan jiran dan layanan ke atas tetamu. Kesetiakawanan mereka bukan kerana mereka penduduk terpencil padang pasir tetapi itulah ruh Islam yang masih segar di kalangan masyarakat desa dan perkampungan Islam merata dunia.

Perasaan saling bertanggungjawab yang dipupuk oleh Islam ini bukan terletak atas bahu individu atau masyarakat sahaja tetapi pemerintah mempunyai peranan yang besar. ‘Umar r.a. melaksana konsep takaful ijtima’iy. Dia sediakan perbelanjaan perbendaharaan bagi orang tua dan orang sakit yang tidak termasuk asnaf zakat. Hukum had ke atas pencuri ditawaquf - ditangguhkan sewaktu rakyat dalam kahat kelaparan. ‘Umar mengarahkan perbendaharaan membantu seorang Yahudi yang tua dan buta kerana kedaifan. Dia juga menyediakan tanah, peruntukan dan makanan kepada komuniti kusta Kristian di Syria. Demikian ’Umar mengangkat ruh Islam ke tahap universal lebih 1300 tahun yang lalu.

Dalam pelantikan kepimpinan, persetujuan am umat Islam perlu diperolehi. Inilah yang berlaku pada peristiwa pelantikan ’Abu Bakr di Saqifa. Apabila Abu Bakar melantik ’Umar sebagai pengganti maka masih persetujuan am umat diperolehi.

Apabila tiba zaman pemerintahan Umayyah, khilafah bertukar menjadi dinasti monarki beraja dan penguasa zalim turun temurun. Kezaliman ini bukan ciri Islam kerana ia datang daripada amalan jahiliah Bani Umayyah. Persetujuan umat tidak diperolehi tetapi ancaman pedang dihunus supaya rakyat taat setia kepada Khalifah yang mereka benci. Sehinggakan ada seorang khalifah yang menyayangi monyet-monyet peliharaan lebih daripada menjalankan pentadbiran dan urusan rakyat jelatanya. Islam tidak bertanggungjawab ke atas kemunculan mereka ini. Bani Umayyah sahajalah yang enggan merestui pakatan Hilf al Fudl. Kita mengecam khalifah berkenaan bukan sahaja kerana memperkenalkan sistem politik pemerintahan turun temurun bahkan kerana memaksa rakyat menerimanya.

Unsur moral dan akhlak diketepikan oleh puak-puak yang menentang kepimpinan ’Ali r.a. Inilah pertama kalinya akhlak ditindas dalam sejarah Islam. Pada hal politik dalam Islam adalah manifestasi akhlak dan budipekerti di dalam sanubari diri dan berakarkan kepada fitrah. Jenayah paling besar adalah apabila ruh Islam ini dimusnahkan dengan menumpaskan unsur moralnya secara total.

Pada zaman khalifah yang rashidin wal mahdiyin - terpimpin dan adil, fungsi khalifah adalah pelaksanaan pematuhan kepada keimanan dan hukum Allah s.w.t. ke atas umat Muslim. Tidak terlintas oleh mereka untuk menggunakan kedudukan istimewa ini bagi mengambil peluang dan melakukan penyelewengan. Sebagai contoh ’Ali r.a. tidak mengambil apa-apa langsung daripada khazanah negara tetapi bukan kerana kejahilannya. Dia bertindak demikian kerana sebaik saja seorang itu menjadi pemimpin dia menjadi objek syak wasangka dan contoh teladan. Dia tidak mahu dilihat oleh rakyat dan para gabenornya sebagai pengaut wang rakyat dan dia ingin menjadi contoh kejujuran dan zuhud. Pemerintahan Islam yang sedang berkembang mekar dan tatacara sosial baru itu memerlukan pengorbanan para pemimpinnya dan kerelaan bersusah payah. Khalifah yang rashidun hidup secara zuhud sehingga pada akhir hayat tidak meninggalkan harta.

Bagi mereka yang inginkan kedudukan dan yang telah biasa dengan keenakan tidak rela dengan peraturan kesaksamaan dan keadilan. Mereka menyertai puak yang bersaing dengan ’Ali kerana di sana mereka berpuashati dengan memijak-mijak kebenaran dan kesedaran. Mereka melihat kelicikan politik pada lawannya yang tiada pada ’Ali. Mereka tersalah apabila meletakan ini sebagi kelebihan yang mengalahkan ’Ali. Mereka gagal memahami ’Ali dan cabaran yang harus dia tangani. Tugas paling besar ‘Ali adalah untuk memugar semula tradisi Islam dan ruh sebenar keimanan serta meruntuhkan hijab yang menyelubungi kelemahan pemerintahan yang materialistik. Jika ‘Ali menyamai lawannya dengan mengenepikan akhlak dan moral maka dia akan gagal dari kacamata keimanan. ‘Ali berkata, “Dia bukanlah lebih pintar daripada aku tetapi dia rela khianat dan ingkar. Kalaulah aku tidak bencikan pengkhianatan, mungkin aku adalah manusia paling pintar.”

Ketempangan berlaku apabila dana kerajaan diberi secara bebas kepada suku sakat dan kaum kerabat. Keluarga terdekat diberi kedudukan dan pangkat. Pada satu hari seorang khalifah memberi wang perbendaharaan sebanyak 200,000 dirham kepada menantunya. Esok harinya, Bendaharinya datang dengan wajah sedih dan air mata yang berlinang. Dia memohon khalifah supaya menerima perletakan jawatannya. Apabila diberitahu bahawa ia adalah disebabkan hadiah menantu Khalifah, si Khalifah bertanya dengan perasaan hairan, ”Adakah kamu menangis kerana aku memberi hadiah kepada keluargaku?”. ”Bukan, Amirul Mu’minin. Aku menangis kerana sebelum ini dan sewaktu zaman Rasulullah s.a.w. wang ini dibelanjakan di atas jalan Allah. Jika kamu berikan 100 dirham sekalipun, demi Allah, itupun sudah melampau.” Khalifah memecatnya dan melantik Bendahari yang lain.

Pengganti-pengganti khalifah seterusnya mengikut amalan ini. Pentadbiran ekonomi ditentukan oleh ciri-ciri kepentingan diri masing-masing. Wang rakyat diguna untuk rasuah dan hadiah, untuk membeli pengikut dan penyokong dan kegiatan seumpamanya. Sebahagiannya pula diguna untuk peperangan dan penaklukan.

Apabila ’Umar Abd Aziz dilantik menjadi khalifah, dia menyeru dan menyerah kembali perlantikannya kepada pemilihan rakyat kerana dia sedari bahawa dia telah dilantik tanpa persetujuan rakyat. Rakyat merestu dan mengangkat kepimpinannya. ’Umar Abd Aziz bermula dengan muhasabah hartanya sendiri dan memulangkan kembali semua harta rakyat. Dia memberitahu isterinya, Fatimah anak kepada Abd Malik ibn Marwan yang telah mendapat barangan kemas hadiah bapanya yang bernilai tanpa taranya, supaya memilih samada mengembalikan semuanya kepada perbendaharaan atau diceraikan. Fatimah memilih untuk bersama suaminya. Apabila ’Umar Abd Aziz kembali ke rahmatullah, Khalifah baru yang menggantinya iaitu abang kepada Fatimah menawarkan untuk memulangkan barangan kemas itu. Fatimah menjawab bahawa dia tidak menginginkan harta itu. Khalifah berkenaan pun mengambil dan membahagi-bahagikan barangan kemas itu  kepada isteri-isteri dan anak-anaknya sendiri.

 Pada masa ’Umar Abd Aziz, dia mengarahkan anak-anak Marwan supaya mengembalikan harta milik rakyat yang ada pada mereka. ’Umar Abd Aziz telah mengawal perbelanjaan kerajaan supaya tidak membazir dan kehilangan. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila wang rakyat terpelihara dan hanya dibayar kepada mereka yang layak maka keseluruhan wilayah Islam tidak mempunyai penerima zakat yang layak. Yahya ibn Sa’ad menceritakan bahawa ’Umar mengutuskannya ke Afrika bagi mengutip zakat. Apabila selesai kutipan, dia mencari golongan fakir miskin bagi mengagihkannya. Dia bersama kumpulannya gagal menjumpai golongan miskin mahupun sesiapa pun yang ingin menerima zakat itu. Katanya, ”’Umar telah membereskan keperluan mereka sehinggakan aku terpaksa menggunakannya bagi menebus hamba sahaya sahaja.”

Kesimpulan

Kefahaman Islam tentang masyarakat hanya boleh dicapai melalui memahami bahawa hakikat kejadian alam, kehidupan dan manusia adalah ciptaan Allah s.w.t. untuk satu tujuan yang telah ditentukan. Kefahaman ini tidak akan lengkap melainkan ianya syumul dan komprehensif memahami tujuan hidup manusia sebagai individu dan kolektif sebagai jamaah masyarakat.

Dengan mendalami realiti bersejarah keadilan sosial dalam Islam, dengan menilai dasar dan prestasi kepimpinan awal, ia memberikan gambaran dan penghayatan pelaksanaan keadilan dan penilaian kritikal serta pengajaran yang bermakna kepada generasi seterusnya.

Sifat-sifat kemasyakatan dan ciri-ciri keadilan sosial melibatkan konsep hak, kesedaran, kebebasan, kesaksamaan, tanggungjawab dan akauntabiliti bukan kerana inilah persoalan atau isu-isu dibangkitkan oleh Barat tetapi semua konsep ini adalah elemen-elemen asasi kehidupan dan penghayatan Islam dalam masyarakat.

No comments:

Post a Comment