Friday, April 26, 2013

Sumpah Seranah Bencana Ummah


 
Apabila seorang pemuda melakukan sumpah laknat dengan menggunakan nama Allah serta memegang Al-Quran di dalam masjid di ibu negara bagi meyakinkan bahawa kejadian hina terhadap dirinya memang benar berlaku, sebahagian orang Melayu/Islam menjadi kebingungan dengan sumpah laknat yang dilakukan oleh si penuduh ini. Ini dikuti pula oleh rempuhan kumpulan trio Datuk T yang juga mengangkat sumpat laknat di sebuah lagi masjid mengulangi dakwaan perbuatan terkutuk padahal karakter keperibadian dan kredibiliti mereka jelas mencuriga dan meragukan.

Apa yang dikatakan dan diingatkan tentang permasalahan umat Islam berlegar di antara kedaifan umat dan kelesuan ulama telah nyata berlaku. Para ahli ulama juga menjadi mangsa keadaan berpolemik dalam memberikan pandangan samada sumpah tersebut sah atau tidak dan adakah ia mengikut tuntutan ajaran Islam. Sebaliknya, isu pokok dan tunjang kepada keseluruhan permasalahan iaitu pembudayaan kefasikan, pemerataan fasad, penularan korupsi, fitnah jahat dan qazaf tidak ditangani dengan jelas dan tegas.

Maka cabar mencabar pun berlakulah sehingga ke hari ini oleh pelbagai manusia berkepentingan mendesak supaya Anwar Ibrahim bersumpah laknat bagi menafikan bahawa beliau bersalah. Namun Anwar tidak melayani desakan-desakan tersebut dan dia mengambil pendirian yang konsisten berpandukan fatwa pengerusi ulama sedunia Dr Yusuf Al Qardawi, pandangan alim ulama'  serta para mufti tempatan bahawa tiada keperluan untuk Anwar bersumpah.

Melihat kepada komentar dada-dada akhbar mengenai isu ini, jelas menampakkan kejahilan media tempatan tentang hukum syara’ atau sengaja bersekongkol dalam menyembunyikan hakikat serta hukum sebenar. Nampaknya mereka tetap mengajak orang ramai mempercayai kejahilan atau ap yang digelar propaganda jahat. Lebih malang lagi, apabila ada ulama rasmi – kecuali yang dirahmati oleh Allah swt, yang sepatutnya memimpin dan memandu para pimpinan dalam perkara agama – berdiam diri atau hanya mengesahkan sahaja.

Kebangkitan gempar seorang penolong pegawai masjid, Ustaz Ramlang Porigi pada 2008 untuk membantah secara terbuka dan mendedahkan kebatilan aksi sumpah di Masjid Wilayah satu fenomena mengkagumkan masyarakat. Dia dilaporkan telah dihentikan perkhidmatannya di Masjid berkenaan.

Padahal kita diajar untuk merenung ayat al-Quran, dalam surah al-Mujadalah, ayat 14 hingga 16, di mana Allah swt menceritakan tentang sifat kaum munafiqin yang selalu bersumpah palsu.

“Tidakkah engkau melihat (bagaimana jahatnya) orang-orang yang bersahabat karib dengan kaum yang telah dimurkai Allah (dengan sebab kekufuran dan khianatnya)? Mereka itu bukanlah dari golongan kamu dan bukan pula dari golongan kaum yang tersebut itu (kerana mereka ialah golongan munafik); dan lagi mereka selalu bersumpah dengan dusta, sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta). Allah telah menyediakan bagi mereka azab seksa yang berat; sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan. Mereka menjadikan sumpahnya sebagai perisai (untuk menyelamatkan diri dan harta bendanya daripada dirampas atau dibunuh), maka dengan yang demikian dapatlah mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari jalan Allah; oleh itu mereka beroleh azab seksa yang menghina.”


Terjemahan Al Quran dalam Surah Al Qalam ayat 10 - 14 pula,

Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya),
Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai),
Yang sering menghalangi amalan-amalan kebajikan, yang melanggar hukum-hukum ugama, lagi yang amat berdosa, -
Yang jahat kejam, yang selain itu tidak tentu pula bapanya.
Adakah kerana ia seorang hartawan dan ramai anak-pinaknya (maka ia mendustakan ugama Kami)?

Menurut Ustazah Fatimah Az-Zahra, kerja bersumpah ini sebenarnya kerja orang munafik. Sebab mereka tahu mereka bohong, demi untuk meyakinkan orang ramai supaya pembohongan mereka diterima, maka mereka pun beriya-iya mahu bersumpah.

Mengikut Imam Syafie, sumpah adalah makruh berdasarkan Surah Al-Baqarah ayat 224 :- Dan janganlah kamu jadikan (nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai penghalang untuk berbuat kebajikan, bertakwa dan mengadakan islah di antara manusia. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.


Satu kajian terperinci oleh USIM menyatakan perlaksanaan sumpah dianggap batal sekiranya tidak menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. Tidak semua kes-kes boleh dilaksanakan sumpah. Para ulama bersepakat, tidak boleh melaksanakan sumpah pada hak-hak Allah SWT semata-mata seperti zina, Qazaf dan lain-lain lagi. Para ulamak bersepakat mengenai pengharusan melaksanakan sumpah dalam kes-kes mal. ( rujukan baik tentang amalan sumpah di mahkamah syariah di laman:- http://zulkiflihasan.files.wordpress.com/2008/06/konsep-sumpah-dalam-islam2.pdf )

Ini telah ditegaskan pula oleh kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2008 bahawa sumpah hanya berlaku selepas proses perundangan dan ia hanya ditentukan oleh mahkamah syariah.

Menurut Fadhlina Sidek, hanya sumpah syarie sahaja yang diterima dalam sidang penghakiman. Sumpah di Masjid, di hadapan Kaabah atau memegang Al Quran hanyalah "talghiz" sumpah - acah-acah. Oleh itu, dinasihatkan supaya kita jangan bermain-main dengan sumpah apatah lagi di saat berakujanji dengan nama Al Azim, "Wallahi, Wabillahi Watallahi.." ia membawa implikasi bersama, andainya berbohong laknat Allah akan menimpa di dunia dan akhirat. Ada yang sering menganggap sumpah adalah penyelesaian dan apabila seorang itu bersumpah maka dia telah berlaku betul atau dia tidak bersalah. Andai kita mahu faham dan mahu ditunjuk ajar, kita akan faham mengapa kesaksian sangat vital dalam syarak.  Malangnya kita sudah hidup dalam sumpahan! Azab dilaknati sumpah ini sangat berat, di dunia sahaja batinnya sudah sakit, apatah lagi di akhirat kelak!

Tentang persoalan samada apabila sumpah telah dilafazkan dengan nama Allah swt, bisakah kita menolaknya. Menurut syarak, sumpah yang diterima hanyalah sumpah yang dilafazkan dalam sidang penghakiman kerana ada adab dan etika bersumpah bukan setakat menyebut nama Allah sahaja.

Tentang persoalan perbedaan orang bersumpah (di luar mahkamah) dengan seseorang yang hanya membaca pernyataan akhbar -"press statement" , Fadhlina Sidek berkata di sini ada dua isu iaitu sumpah dan iqrar. Sumpah di luar sidang penghakiman akan ditolak kerana di luar prosiding dakwaan. Untuk mengelak tohmahan kepada sumpah dan syarak, maka sumpah yang syarie dan diterima hanyalah sumpah dalam sidang kehakiman yang lengkap dengan dakwaan, adab dan etika sumpah. Pernyataan akhbar - press statement boleh jadi iqrar atau syahadah alas sima' dan jika iqrar maka ia antara pembuktian yang kuat selepas syahadah (kesaksian).

Masyarakat perlu dididik dan memahami tentang sumpah bahawa sumpah ini hanya ada dalam pembuktian dengan dakwaan yang sah, menurut kaedah "Al bayyinah alal muddaie wal yamin ala man ankara" bukan suka-suka bersumpah atas perkara yang didakwa. Dakwaan mesti lengkap bukan fasid atau tohmahan.

Pandangan dan nasihat mantan menteri hal ehwal Islam JPM dan penasihat agama kepada Perdana Menteri, al marhum Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman adalah bernas, jujur dan baik diteladani:-

"Perbuatan bermubahalah (sumpah laknat) adalah bercanggah dengan ajaran Islam terutama jika ia membabitkan unsur-unsur politik. Sumpah adalah suatu perkara yang tidak boleh dipermain-mainkan dan hanya perlu dilakukan ketika dalam mahkamah membabitkan peruntukan undang-undang atau kanun tertentu."

''Sumpah bukan boleh dibuat sewenang-wenangnya, jika yang bersumpah itu mahu menunjukkan bahawa kalau dia benar-benar bersalah maka akan turun azab daripada Tuhan. Tetapi bagaimana pula keadaannya jika orang yang bersumpah itu tidak dikenakan azab (di dunia), adakah itu menunjukkan dia benar-benar tidak bersalah?"

''Sedangkan ajaran Islam hanya mempercayai bahawa azab Allah kepada umat-Nya akan dikenakan di akhirat dan bukannya di dunia," katanya.

No comments:

Post a Comment