Saturday, April 27, 2013

Apa Pengajarannya? Pesanan Tok Guru – Anwar Ibrahim


Dahulu saya biasa ke jamuan makan di istana. Semua istana di Malaysia saya pergi ke jamuan makan. Saya bersantapan dengan raja. Saya juga pernah makan di lokap penjara paling hina.
Pakaian yang elok, pakaian lusuh semua saya merasai. Sehinggakan ditelanjang pun sudah saya rasai.

Apa pengajaran semua ini?


Tok Guru Nik Aziz Nik Mat berkata kepada saya, “Anwar, kamu boleh memaafkan orang yang menzalimi kamu dan orang yang memukul kamu. Tetapi kamu kena ingat ini jadi pengajaran.
Besok kalau Allah takdirkan kamu perintah, kamu kena ingat apa erti kezaliman.
Apa erti kezaliman? Apa erti sakit dipukul walaupun kamu tidak bersalah?
Apa erti kamu dizalimi dan dipenjara, padahal kamu difitnah.
Apa sengsara Azizah dan anak-anak? 
Apa erti rasa kamu derita dizalimi bertahun-tahun? 
Apa ertinya kezaliman ini?

Apa pengajarannya?
Kamu kena ingat. Ini bukan soal Anwar. “


Saya terkenang pesanan saya kepada anak-anak keluarga pada 1998. Saya berpesan kepada mereka, “Papa seorang pejuang. Menegak yang hak. Membela nasib rakyat miskin. Mempertahankan maruah bangsa. Mempertingkatkan syiar agama Islam. Jadi anak-anak harus tahu. Semua tuduhan yang dilemparkan kepada Papa adalah fitnah jahat, khianat dan kasih Papa pada anak-anak mendidik supaya menjadi orang-orang berilmu, beramal, bertaqwa. Papa berharap dengan bimbingan Mama, anak-anak tidak sedikit pun luntur, biar semangat kukuh, biar ilmu bertambah, biar daya juang ada. Kita tahu anak-anak berasal dari kampung Papa di Sungai Bakap dan Cerok Tok Kun. Dan asas kita jangan sedikit pun kita lupakan.”


Tok Guru berkata lagi, “Tidak banyak orang lalui macam kamu. Pemangku Perdana Menteri sudah. Bintang pun sudah penuh. Tetapi ada hikmahnya.”


Saya teringat yang kawan saya dulu sumbat saya ke dalam penjara dan yang lawan saya dulu tolong bela saya.

Saya tidak ada niat untuk dera mereka (yang menzalimi saya). Saya tidak ada niat untuk berdendam.  Mahathir tangkap saya, tetapi saya tidak akan tangkap dia. Rahim Noor memukul saya tetapi saya tidak akan memukul dia. Saya tidak ada niat.

Tetapi saya ingin bagitahu bahawa duit yang mereka curi dari rakyat berbilion ringgit, saya hendak pastikan dikembalikan kepada rakyat.

Jadi pemimpin kena berani. Berani untuk membetulkan. Orang tahu siapa curi, siapa rasuah, siapa ambil harta negara. Ini kena dihentikan.

Saya teringat ucapan saya di Perhimpunan Agong UMNO 1997 di PWTC, “Hentikanlah. Sudahlah. Sudah. Kita ada agenda kita banyak. Ekonomi kita kena tangani dengan baik. Kewangan negara kita perlu perkukuhkan. Politik kita mesti perkuatkan. Ini yang patut kita kerjakan. Sudah! Jangan lagi dah. Gunakan dan turun darjat kita. Kita dijadikan Allah swt dengan darjat yang baik. Jangan kita hina diri kita sehina-hina makhluk dan kejadian. Jangan. Laqad khalaqnal  insana fi ahsani taqweem. Thumma rodadna hu asfala safileen.”


Tok Guru berpesan lagi, “Kalau ditakdirkan pemimpin maka Anwar kena pastikan jangan ada seorang pun rakyat Malaysia, Melayu, Cina , India, Dayak, Kadazan yang hadapi dan rasa sakit derita seperti yang kamu rasa.

Kamu mesti pastikan bila kamu ada kuasa, kamu kenang nasib mereka, setiap rakyat ini kerana tidak ramai orang yang rasa macam kamu rasa. Rasa susah derita macam mereka rasa.

Jaga mereka seperti anak-anak kamu sendiri maka inshaa Allah, kamu akan menjadi pemimpin yang baik.”


Saya doakan kepada Allah swt. Mudah-mudahan bila kita dapat tawan Putrajaya, saya takkan lupa cerita derita saya. Dengan niat,  Ya Allah, janganlah bagi seorang pun rakyat aku derita macam aku lalui.


(ihsan dan suaipadan daripada QOCOCK Media    http://www.facebook.com/photo.php?v=4919059214461  )

No comments:

Post a Comment