Saturday, May 4, 2013

Amanat Kepimpinan di Ambang Pemilihan 1: Dr Siddiq Fadil



Demikianlah Nabi Daud dan Sulaiman a.s. mewariskan kepada kita model politik. Ada perbedaannya di antara model politik Yusuf, Musa, Daud dan Sulaiman a.s. Semuanya berasaskan kepada realiti dan landskap semasa. Kenapa ia berbeda?

Yusuf a.s. berpartisipasi dalam pemerintahan Non Muslim berkhidmat sebagai perdana menteri atau menteri utama di bawah kekuasaan raja yang Non Muslim. Musa a.s. mengambil sikap dan strategi menentang penguasa dan kekuasaan yang zalim. Nabi Daud dan Sulaiman a.s. pula memegang tampuk kekuasaan, meraih kekuasaan sebagai pemerintah. Semuanya berlainan mempunyai justifikasi-justifikasinya sendiri berasaskan realiti zaman.

Yusuf a.s. mithalnya membawa satu model partisipatif. Apabila dulu kita pernah ungkapkan sebagai corrective participation – libatserta mengkoreksi – isunya pemerintahan sekular tetapi kita perlu berperanan melakukan koreksi-koreksi sebagaimana termungkin. Sepertimana ilham Ilahi Nabi Yusuf a.s. yang menjadi menteri yang menguasai ekonomi dan pertanian. Rajanya bukan Muslim. Ini satu bentuk – satu model yang orang berdakwah harus tahu sebagai satu opsyen jika realiti semasa memerlukan opsyen ini.

Yusuf a.s. mungkin tidak macam Sulaiman dan Daud a.s. yang juga mempunyai kekuatan bala tentera dan massa. Bukan juga macam Musa a.s. yang ada pembantunya Harun, pendokong tegar ithna ashara naqiba – 12 orang naqib dan sokongan massa Bani Israil. Yusuf a.s. berada pada satu konteks zaman serba kafir tetapi suasana itu bukan alasan untuk dia tidak melakukan sesuatu.

Mendakwah umat  dan masyarakat kepada tawhid dan perubahan. Yusuf a.s. tampil dengan kewibawaan, kredential serta integriti dan mendapat dokongan dan sokongan semua pihak termasuk raja dan massa yang bukan Islam. Yang bersamanya dalam konteks aqidah tidak ramai – yang boleh disebut ayahnya Ya’qub a.s. manakala saudara-saudaranya telah mengkhianatinya.

Tetapi kerana ketulusan peribadinya dan keikhlasan kepada Allah swt, dan dengan sokongan ayahnya yang juga tulus sebagai mu’min pengabdi Ilahi. Yusuf a.s. mendapat restu dan pertolongan Allah swt.

Kerana itu faktor ketulusan niat, kemurnian peribadi, ikhlas mengabdi, sokongan, doa dari orang lain – bapa, sahabat, sesiapa sahaja – itu mempunyai erti dan kesan yang sangat besar dalam menentukan kejayaan. Itulah yang terbukti pada sejarah Yusuf a.s. “Dari penjara ke puncak kuasa”. Atau dalam artikata popular sekarang, “Dari penjara ke Putrajaya”.

Jalan penjara menuju ke puncak kuasa itu nyata tidak mudah. Yusuf a.s. diuji dengan segala bentuk derita dan sengsara. Dia sebagai pemimpin yang berbakat besar sudah tentu menjadi sasaran irihati pelbagai pihak termasuk saudara kandungnya sendiri. Kerana itu dia tahu apa itu kesusahan sepanjang hayatnya. Yusuf a.s. susah sejak kecil lagi pada umur 12 tahun, dia dilempar ke dalam telaga oleh saudara-saudara kandungnya sendiri.  Kemunculan Yusuf a.s. adalah dengan pelbagai ujian termasuk pengkhianatan. Begitulah pengalaman para anbiya’ wal mursalin – ada bahagian-bahagian berhadapan dengan pengkhianatan dalam perjalanan dakwah. Kalau demikian para nabi, orang lain pun boleh dikhianati.

Sepertimana dakwaan pengkhianat, yang mengaku sahabat, “saya pernah bersama, pernah berusrah bersama, bertamrin bersama.” Kalau begitu pengalaman Yusuf a.s. dan para anbiya dan mursalin apa sangat pengkhianatan golongan yang mendakwa sahabat kita. Kita mendapat kekuatan daripada kisah Yusuf a.s. ini untuk menghadapi pengkhianatan-pengkhianatan yang berlaku. Ini satu sunnah, satu pengalaman yang perlu ditempuhi.

Jangan tanya soal susah kepada Yusuf a.s. Dia telah dewasa menjadi seorang pemuda yang tampan. Sekali lagi dia digoda oleh majikannya. Di situlah terserlah kekuatan Yusuf a.s. Di saat apapun dia tak pernah terputus daripada hubungan dengan Allah swt. Dia hadirkan Allah swt dalam setiap saat, dalam setiap suasana dan keadaan apa pun. Dia hadapi dengan menghadirkan Allah swt.

Itulah syarat kejayaan para pejuang- tidak boleh berlaku satu saat pun dalam apa keadaan pun, kita tidak boleh lupa kepada Allah swt. Ingat Allah swt dalam keadaan sepertimana pun.

Imra’atul aziz (isteri al aziz) menggodanya kerana ketampanannya. Yusuf a.s. dipuji kerana kecantikannya. Dia dipuji tetaiidia tidak lupa diri. Dia sedar bahawa dirinya adalah pemberian Allah swt - walladhi sawwara fil arhamDialah (Allah) yang memberi rupa aku di dalam rahim...

Apabila dipuji rambutnya indah sekali, dia berkata rambut ini nanti akan tercabut daripada ubunnya di dalam kubur. Kecantikan mata Yusuf a.s. –warnanya, rupanya memukau wanita-wanita – dia berkata dengan mata inilah nanti dia akan melihat wajah Allah swt di akhirat kelak. Ketika disuruh memandang kepada penggoda wanita – dia berkata dia tidak mahu bangkit dalam keadaan buta di akhirat akibat melihat wajah-wajah yang indah di  dunia ini.

Keadaan apa pun, kata-kata pujian apa pun dia terkait dengan Allah swt. Peribadi pejuang yang mendapat pertolongan Allah swt. Tidak sampai melupakan diri.

Dia disumbatkan ke dalam penjara. Dia dihukum penjara pun kerana Allah swt. Dia diberikan pilihan samada penjara atau mengikut hawa nafsu kemahuan isteri al aziz. “Aku rela masuk penjara daripada mengikut kemahuan mereka.” Masuk penjara untuk mendekatkan diri kepada Allah swt supaya tidak tunduk kepada manusia. Dia sabar dalam keadaan dia tahu dia bersih dan tidak bersalah dan dia tahu bahawa yang jatuhkan hukuman bukannya mahkamah. Yang draf hukuman itu adalah imra’atul aziz dan itulah sejahat-jahat kosnpirasi.

Yusuf a.s.tidak lupa diri dan tidak hilang keyakinan dirinya. Bertahun-tahun dia di dalam penjara, dia melakukan harakah taghyiriyyah – dakwah transformatif – perubahan yang dilaksana para anbiya dan mursalin. Penjara menjadi pusat dakwah dan dia telah merubahnya menjadi “the school of Yusuf a.s.”  Dia menjadi orang rujukan, orang kesayangan, menjadi kaunselor, melawat pesakit, menghibur yang sedih, mentadbir mimpi yang pelik-pelik. Orang sangat sayang kepadanya dan merinduinya. Orang yang bebas pun kembali menziarahinya. Itulah kekuatan peribadi Yusuf a.s.

Apabila namanya telah dibersihkan barulah dia bersetuju dibebaskan – itulah syaratnya supaya dipulihkan maruahnya baru pembebasan itu bererti. Lepas itu diterima pengakuan-pengakuan mereka yang terlibat dalam konspirasi, bagi menunjukkan dia tidak bersalah.

Semasa Mesir menghadapi krisis ekonomi, dia tampil dan meyakinkan bahawa dia mempunyai kemampuan dan mendapat kepercayaan raja dan rakyat jelata. Untuk menjayakan misi Yusuf a.s. dia memerlukan sokongan Non Muslim. Ketika itu bilangan orang Islam hanya beberapa kerat saja. Dia mememerlukan thiqah – trust warga Non Muslim.

Katanya, Inni hafizun alimaku mempunyai integriti dan kemampuan mengawal dengan ilmu sebagai penguasa khazanah bumi negara Mesir. Ini misi politik dalam bidang ekonomi. Menjayakan misi politik dalam islah iqtisadiy – reformasi ekonomi. Sejarah Yusuf a.s. menunjukkan hubungan ekonomi dan politik itu sangat dekat. Untuk melakukan perubahan politik harus ada seorang pemimpin yang trampil berpolitik dan harus ada program ekonomi. Tiada kestabilan politik tanpa kemakmuran ekonomi. Tiada kemakmuran ekonomi tanpa kestabilan politik.

Ini bererti bila Yusuf a.s. berkata inni hafizun alim – “ aku mampu kawal harta negara agar tak hilang, tak bankrap, tak muflis, tak tiris, tak diselewengkan. Aku tahu, ada ilmu, pengalaman dan kepakaran – (ekonomi mikro dan makro)”. Pemimpin harus seperti itu. Tak salah untuk sebut kekuatan-kekuatan peribadi apabila diperlukan.

Tidak salah menyebut kekuatan-kekuatan calon yang bertanding. Tetapi tak pula boleh dengan sengaja tanpa keperluan. Oleh itu, kempen pilihanraya perlu sebutkan kekuatan, kelulusan, pengalaman, kredential calon-calon kerana telah ada keperluan. Yusuf a.s. menyatakan ini dan meyakinkan raja dan rakyat jelata.

No comments:

Post a Comment