Saturday, May 4, 2013

Amanat Kepimpinan di Ambang Pemilihan 2: Dr Siddiq Fadil



Model politik lain adalah model Nabi Musa a.s. Pendekatannya bukan partisipatif tetapi berkonfrontasi. Dia berlawan dengan Fir’aun. Memang Musa a.s. diperintahkan untuk berdakwah kepada Fir’aun agar menerima tawhid.

Fira’aun telah keterlaluan dalam politik kekuasaannya – dia lupa diri. Dia tidak anggap dirinya sebagai pemegang amanah memerintah tetapi menggelar dirinya Tuhan. Dia menguasai ekonomi dan rakyat jelata. Bukankah perbendaraan dan seluruh jentera Mesir kepunyaanku? Bukankah Sungai Nil yang mnegalir di bawah kekuasaanku. Aku kuasai ekononi dan pertanian semuanya. 

Rakyat jelata Mesir pula diperbodohkan oleh Fir'aun. Rakyat yang tolol-tolol ini pula patuh kepadanya. Rakyat yang telah rosak  dan parah– kauman fasiqin sehingga tiada kebaikan pun tersisa. Kerana itu Musa dengan pertolongan Harun a.s. diperintah pergi berdakwah kepada Fir’aun. Musa a.s. mempunyai kelemahan mengungkap kata-kata, lalu inginkan Harun bersamanya kerana dia lebih petah, lebih artikulatif.

Jadi pemimpin harus diberi hak memilih siapa yang dikehendakinya menjadi pembantunya. Permohonan Musa a.s. kepada Allah swt diizinkan. Oleh itu, hormatilah pemimpin dalam kemahuannya untuk menentukan siapa yang didampinginya.

Memang Rasul a.s. mengajak kepada tawhid. Tetapi mengajak kepada tawhid saja tanpa gerakan pembebasan belum cukup. Fir’aun dituntut bertaubat, takut kepada Allah swt dan membebaskan Bani Isra’il. Itulah tuntutan Musa a.s. ke atas Fir’aun.

Fir’aun menyembelih anak-anak lelaki Bani Isra’il. Dia sembelih semua orang yang bersikap jantan. Sehingga tidak ada lagi anak jantan di kalangan Bani Isra’il.

Anak jantan mati di gelanggang
Tidurnya di puncak gelombang
Makannya di tebing panjang

Ertinya orang ini mati melawan, tidur pun tak menentu akibat gelora perjuangan dan makan pun tidak menentu apa dan bilanya.

Musa ditakdirkan berada pada waktu akta zalim Fir’aun berkuatkuasa iaitu pembunuhan semua anak lelaki Bani Isra’il. Tetapi dia melawan akta itu. Bukan senang untuk melahirkan Musa a.s. Pengkisahan ibunya menghanyutkannya sehinggalah Musa a.s. membesar di istana. Segagah-gagah Fir’aun masih mendengar cakap isterinya yang mengendung anak yang dipungut dari Sungai Nil itu. Kalau orang lain, semuanya hancur tanpa ampun tetapi isterinya dikecualikan daripada akta.

Apa hikmah Musa a.s. hidup di istana – untuk mengenali dan mengetahui selok belok, lembah dan lurah Fir’aun dan mereka sekelilingnya. Tetapi Musa tidak tenggelam dalam kemewahan Fir’aun. Dia tidak terpisah dengan Bani Isra’il. Apabila dilihatnya seorang Qibti membuli seorang Bani Isra’il, dia campur tangan. Biarpun dia di istana – tembok istana Fir’aun tidak memisahkannya daripada rakyat kecil yang tertindas. Dia tidak “out of touch” .  Musa a.s. tahu kekuatan dan kelemahan pemerintahan Fir’aun kerana sekian lama dia berada di istana yang nanti akan sangat bermakna.
Pengajarannya adalah gerakan Islam akan ambil manfaat jika ada orang yang pernah berada di situasi seperti itu, mengetahui gelagat, perangai dan kelemahan sehingga dia tidak takut menghadapi mereka kerana dia sekian lama berada dalam suasana itu.
Misi Musa a.s. adalah shahadah dan pembebasan Mesir daripada cengkaman Fir’aun dan budaya kefir’aunan. Untuk membebaskan diri, mereka perlu berpindah – berhijrah. Dakwah menyeru kepada tawhid sebagai dakwah rasul diganding dengan gerakan pembebasan rakyat daripada taghut – kepalsuan. Merdeka rakyat adalah sebahagian daripada perjuangan tawhid.
Fir’aun memecahbelah rakyat. Polisi dan dasar Fira’uan adalah pecah belah di bawah slogan – kaum ini jangan berbaik dengan kaum lain. Dia menindas satu kaum selumat-lumatnya – kaum ni tidak langsung ditoleransi, iaitu Bani Isra’il yang ramai bilangannya. Dengan sebab itu kaum ini ditindas begitu rupa. Inilah kaum yang paling berpotensi untuk mecabar Firaun. Yang kecil-kecil dimanja-manjakan – yang tak jadi cabaran diberi segala macam bantuan.
Model-model politik yang dibentangkan ini bukanlah suatu ijtihad. Ia hanya pembacaan buku-buku yang ada yang diungkap, dirumus dan diolah apa yang dibaca. Pembacaan terdiri daripada bahan-bahan fiqh klasik dan fiqh kontemporari.

1 comment:

  1. setiap baris penuh dgn makna,iktibar dan pedoman.. semakin hari semakin kerap saya mengikuti tulisan Dr Siddiq.. semoga Allah wst rahmati Dr..

    ReplyDelete