Thursday, May 2, 2013

Ekonomi Pasaran dan Akauntabiliti: Anwar Ibrahim




Dengan pengalaman terhad saya selaku Menetri Kewangan, kita mempunyai ramuan preskripsi ekonomi yang agak betul – keprihatinan terhadap pembangunan berimbang, sesuatu yang bukan setulennya saranan ekonomi pasaran waktu itu. Ia menjadi ekonomi pasaran kerana tanpa pertumbuhan, tidak akan berhasil kesaksamaan. Kami ada perdebatan hangat dengan rakan-rakan yang menekankan kesamarataan. Mereka berkata, “Anwar, jangan lupa bahawa kita perlu ada agihan pendapatan yang saksama. Keadilan pengagihan pendapatan mesti menjadi teras program ekonomi kita. “ Saya berhujah, “Tanpa pertumbuhan, kita tidak akan jana pendapatan. Natijahnya kita hanya mengagihkan kepapaan!”

Jadi, kita sedar kita perlu ada dan memperkenalkan preskripsi ekonomi dan dasar yang mejanakan kekayaan negara. Ini bermakna membawa polisi-polisi yang tidak semestinya kita selesa dengannya- apa lagi dengan banyak kemiskinan dan kesusahan, kita pula memajukan pertumbuhan, mempromosi bisnes dan pembangunan.  Oleh kerana kita ada perasaan, kita mempunyai masalah yang dirasai, bagaimana hendak menyelesaikan keruncingan perumahan dan miskin tegar di tengah-tengah kita?

Kita laksana dasar-dasar yang menggalakkan pertumbuhan. Tidak ada jalan lain. Untuk laksana polisi pertumbuhan, kita mesti ada kedaulatan undang-undang. Kedaulatan undang-undang perlu ditempatkan, berada di posisinya, peraturan-peraturan berjalan, semuanya telus dan semuanya dipertanggungjawabkan – ada akauntabiliti.

Ini mengingatkan saya tentang seorang Ketua Menteri selepas kegagalan dan kerugian teruk penswastaaan empangan mega yang telah diberi kepada kroni-kroninya. Apabila bencana kerugian ini diketahui orang ramai, dia membuat kenyataan umum, “Ya, saya bertanggungjawab tetapi saya tidak boleh dipertanggungjawabkan!” (“Yes, I am responsible but I am not accountable.”) Lihat saja bagaimana pasaran bebas tidak boleh wujud tanpa menghormati kedaulatan undang-undang dan prinsip akauntabiliti. Tanpa media bebas, bagaimana kita hendak dedahkan penyelewengan, rasuah dan salahguna?

Media bebas adalah prasyarat ekonomi pasaran dan dasar pertumbuhan yang sihat. Kita perlu ada institusi-institusi madani – civil society ditempatkan. Jika kita gagal lakukan ini maka preskripsi dasar-dasar yang dibawa akan jauh tersasar.

Bagaimana kita hendak menghalang anak-anak pemimpin yang korup daripada mengaut laba dan menjadi bilionair segera?  Mereka ini hanya berumur sekita 20’an. Apa boleh dilakukan untuk mencegahnya atau sekurang-kurangnya dikawal? Bolehkah kita terus tolak kelayakan dan nafikan penglibatan mereka? Kita lihat zaman  Khalifa Umar Ibn Abdul Aziz. Bagaimana dia menolak penggunaan harta awam untuk urusan keluarga termasuk meminta isterinya memulangkan barang kemas pemberian ayahnya yang menjadi khalifah sebelumnya. Mesej ini amat penting menunjukkan bagaimana menangani isu ini dan membuktikan bahawa untuk menjadi seorang pemimpin, akauntabiliti itu sangat mustahak.

Masalah kita adalah apabila kita bercakap tentang Islam, tentang kerajaan, tentang demokrasi, kita tidak mengamalkannya. Ini adalah  masalah kita selama ini. Saya telah menyatakan perihal ini dengan jelas kepada ahli keluarga saya bahawa tiada seorang pun boleh ada apa-apa kepentingan, kontrak, saham atau urusan dengan Perbendaharaan, kerana saya Menteri Kewangan. Rupa-rupanya sistem di Malaysia ini, semuanya melalui Kementerian Kewangan.

Oleh itu, seluruh keluarga berhimpun pada cuti Eid al Fitr di kampung, bersama dengan ayah saya, sedangkan abang sulung saya menjadi jurucakap. Dia berkata. “Takkanlah hanya kerana Anwar Menteri Kewangan, kami semua tak boleh cari sara hidup?” Ini suatu pengalaman yang sungguh berat kerana saya terpaksa melawan. Azizah pun hadir masa itu. Saya terpaksa berkata, “Maaf banyak-banyak, tetapi keluarga semua perlu mencari alternatif-alternatif lain. Kalau pun telus, saya tidak bersedia berhadapan dengan orang ramai kerana mereka akan kata, ‘kamu pun sama korup macam yang lain’.” Saya tidak bersedia untuk itu dan arahan saya kepada Bank Negara, kepada Perbendaharaan adalah mereka tidak boleh mendapat apa-apa pun.

Itulah sebab apabila ada tuduhan-tuduhan liar berkenaannya, saya katakan,  “Wallahul-adhîm, jika saya dapat satu saham daripada kerajaan selama 8 tahun sebagai Menteri Kewangan, atau se bidang tanah yang saya ambil untuk diri atau keluarga, ia adalah haram, dan saya akan dikutuk jika sesiapa mempunyai bukti yang sahih.” Tetapi alhamdu-lillah, kita bersabar menanganinya.

Satu lagi adalah jangan kita mudah tertipu dan terpesona dengan gelagat pemimpin yang nampak lantang mengutuk Amerika tetapi melayani rakyat sendiri dengan kezaliman. Jangan  biarkan kita menjadi alat atau agen orang-orang korup ini. Kita perlu ada pendirian berprinsip. Kalau kita kutuk keadaan penjara Abu Ghraib di Iraq, kenapa kita diam dan menyepi tentang keadaan penjara di negara-negara kita sendiri?

 Saya di serang dan dipukul di dalam penjara. Saya dipukul di pusat tahanan Kuala Lumpur semasa  Mahathir Menteri Dalam Negeri. Pakar forensik kerajaan memberi keterangan bahawa pukulan itu bertujuan melumpuh atau menyebabkan kematian.  Adakah sebarang pendakwaan? Tidak, sehinggalah tekanan media antarabangsa dan kebangkitan rakyat memaksa ketua polis negara didakwa dan dihukum penjara 1 bulan. Saya pula dikenakan 6 tahun!

Bukanlah saya ingin berdendam...sudahlah.. kita tinggalkanlah ini. Bukanlah memuaskan hati saya untuk melihat bekas ketua polis ini menjalani 6 tahun penjara. Saya harap dia bertaubat dan memperbaiki dirinya. Itu saja. Saya mahu teruskan kehidupan saya tetapi kezaliman ini tidak boleh berulang. Jikalau saya selaku mantan Timbalan Perdana Menteri boleh diperlakukan sebegini, bagaimana pula orang miskin gelandangan? Bagaimana dengan orang kampung? Siapa yang ambil peduli tentang mereka? Inilah hakikat yang perlu ditegaskan, dititikberatkan.

Sahabat saya, al marhum Ustaz Fadzil Noor, rakan di sebelah parti pembangkang waktu itu, juga ketua Parti Islam, apabila saya membawa rang undang-undang anti rasuah ke sidang Parlimen, dia berbisik kepada saya, “Anwar, berjaga-jaga, anda melakukan sesuatu yang sangat berani, untuk bawa rang undang-undang ini.” Dia berkata, “Kamu tentu tahu mereka ini tidak bersedia untuk memperagakan harta kekayaan mereka kepada peraturan undang-undang.”

Kemudiannya, saya pula yang didakwa dan dihukum 6 tahun di bawah ordinan darurat atas tuduhan salahguna kuasa.

(Anwar Ibrahim, 2005)

No comments:

Post a Comment