Tuesday, April 30, 2013

Pengurusan Ekonomi dan Tawadu’ – Anwar Ibrahim



Di antara Keajaiban dan Tawadu’

Asas dasar ekonomi haruslah berupa pasaran bebas – pasaran yang beroperasi dengan adil dan saksama. Tertakluk kepada perundangan dan peraturan serta urustadbir baik.

Saya ingin membawa satu pengalaman semasa World Bank menerbitkan laporan “The Asian Economic Miracle,” – Keajaiban Ekonomi Asia,  pemimpin-pemimpin Asia mula berbangga dan bermegah-megah. Saya merasakan satu kesilapan bagi World Bank membuat kesimpulan bahawa ia suatu keajaiban. Saya seorang Menteri Kewangan rantau itu yang menyeru supaya lebih berhati-hati dan berwaspada. Saya katakan, “Kenapa kita anggap diri kita sebagai keajaiban? Kenapa pembangunan ekonomi itu suatu keajaiban? Ajaib ini satu keluarbiasaan dan kita bakal hanyut dalam keselesaan dan alpa kerana menganggap ini sesuatu yang menakjubkan.” Betul pertumbuhan tinggi 8% - 10%. Betul pasaran bebas. Banyak pekerjaan waktu itu. Tetapi tiada undang-undang mengawal, tiada pemberdayaan ekonomi.

Memang ada semacam ketegangan kefahaman tentang ini. Negara-negara lain terutama negara-negara Islam memuji kita. Memang kita perlu berpandangan sederhana tetapi indeks korupsi kita masih tinggi, indeks kebebasan media pula 151 hampir kepada Libya. Pada indeks persaingan pula kita jatuh. Kita pula sekarang berhadapan persaingan sengit China dan  India.

Bukan kita hendak merendah-rendahkan negara sendiri tetapi untuk mengingatkan bahawa kita perlu ada tawadu’. Seperti kata T.S. Elliot’s, “The only wisdom one could hope to acquire is humility; humility is endless.” Apabila International Islamic University menganugerahkan kepujian khas istimewa kepada Dr. Mahathir, dengan semua orang memuji-mujinya. Ya, dia diakui mewakili negara Islam bagi mengkritik Amerika dan Barat. Saya telah merujuk kata-kata tentang tawadu’ ini dan dia tidak berapa gemar dengannya.

Apa sepatutnya dilakukan, apa tindakan kita? Dengan pertumbuhan 9%, kita jalankan rancangan perumahan rakyat besar-besaran. Program besar-besaran pembasmian kemiskinan. Bukan seperti inisiatif kerajaan British yang merupakan pemberian terus tetapi dasar-dasar yang digubal supaya rakyat bekerja dan beroleh pendapatan kecualilah mereka warga tua, OKU atau misikin tegar. Kalau tidak, sentiasa mereka miskin dan memerlukan pemberian.

Waktu itu, keadaan ekonomi dunia nampak baik. Bermula dengan defisit kecil, kita capai belanjawan berimbang dalam tempoh 2 tahun. Tahun berikutnya, kita capai lebihan – surplus belanjawan. Saya terpaksa berurusan dengan pemimpin saya yang ingin berbelanja besar dengan pembinaan menara-menara tinggi,  projek-projek mega dan pembelian-pembelian mahal, maka saya harus bijak meletakkan sebahagian dana peruntukan dalam kontingensi bagi masa depan. Kita namakan akaun amanah untuk genersi masa depan.  

Apabila kita ada surplus - kita tambah peruntukan untuk kesihatan dan pendidikan. Jika ada lebihan, kita simpan untuk generasi masa depan.  Sekarang, setelah saya dipecat, semua dana ini telah lesap digunakan. Tiada apa pun dalam belanjawan. Sekarang kita hadapi defisit serious melebihi 4% (2005).

Ya, memang saya gusar, kerana kita telah bekerja keras untuk itu. Dengan pengurusan berhemah, kita boleh ada simpanan tanpa mengurangkan belanjawan pendidikan dan kesihatan.

Bagaimana kita hendak mengajak berwaspada mengurus pertumbuhan ekonomi yang pesat? Kita gunakan pengkisahan Sayyidina Yusuf, (as) tentang perencanaan 7 tahun menangani kedatangan kemelesetan tahun-tahun berikutnya. Kita masih ingat, ada rakan-rakan di Parlimen menyoal dan menyindir tentang apa relevannya ayat Qur’an kepada ekonomi modern dan pasaran bebas. Kita jawab bahawa tiada jaminan pertumbuhan pesat itu akan terus berlaku sampai bila-bila, tak kira betapa hebat, bijak atau bertanggungjawabnya kita ini. Kita perlu bersifat penuh tawadu’ untuk bersedia menerima peristiwa-peristiwa yang di luar dugaan atau kawalan.

Oleh itu, panduan terbaik adalah berdasarkan pengalaman Nabi Yusuf a.s. di dalam al Qur’an untuk merancang dan bersedia.  Kita pun menyalurkan sebahagian lebihan ke dana akaun amanah khas untuk masa depan.

Itulah sebab apabila kita hadapi ekonomi merudum pada 1997 dan 1998, oleh kerana kita mempunyai surplus, rizab besar  dan dana-dana khas kita mampu bertahan.

Oleh itu tuduhan bahawa kita , terutama saya, ingin memohon bantuan IMF dan World Bank tidak benar dan satu penipuan. Kita tidak pernah pohon atau merayu kepada World Bank atau  IMF , kerana kita mempunyai dana sendiri itu. Memang bukan mudah – keadaan kita parah – tetapi tidak malapetaka berbanding Indonesia atau South Korea, China, Mexico, atau Argentina sebelum itu, atau  Russia sesudahnya.

Pada waktu itu kebetulan saya Pengerusi Development Committee of the World Bank and IMF, dan atas alasan ini, saya dikaitkan. Ini kerana media di Malaysia dikawal oleh parti pemerintah menghalang saya daripada berpeluang memberi pencerahan dan penjelasan sebenar.

Apabila membincangkan pengurangan cukai, kita merujuk kepada thesis Abd ar-Rahman Ibn Khaldun. Ibn Khaldun berkata apabila cukai diturunkan orang akan bekerja lebih bersungguh dan pendidikan akan lebih maju, akhirnya kerajaan menjana pendapatan yang lebih. Apabila kita selaku Menteri Kewangan sekitar tahun 1993-1994 bercakap tentang Ibn Khaldun dari abad ke 14 kepada audien, ada loyar-loyar buruk di kalangan banker dan juruanalisa menyampuk, “ Menteri ini Wahabbi ke apa?” Dengan itu, kita bawa pula pandangan seorang pujangga Cina kurun lalu yang juga menganjurkan thesis penurunan cukai yang seumpama. Begitulah betapa sukar untuk lebih terbuka menampilkan model dan pengajaran di luar kerangka sistem sedia ada untuk digarap dan difahami.


(Anwar Ibrahim, 2005)


No comments:

Post a Comment