Wednesday, August 21, 2013

HASAN AL BANNA : MENYINGKAP LEMBARAN IKHWAN AL MUSLIMIN


 

Jama'ah al-ʾIkḫwān al-Muslimūn adalah pergerakan Islam terbesar di Mesir dan di dunia Arab. Regim-regim Arab tetap memandangnya dengan penuh syak, kecemburuan dan kekhuatiran. Sejarah melakarkan Ikhwan sebagai pergerakan kontemporari yang paling lama wujud sejak 1928 dan ia masih bergerak sehingga ke hari ini. Pemikiran dan idea, buku-buku dan tulisan pengasasnya Hasan al Banna sangat laris dan popular di kalangan pemuda-pemudi belia Muslim.

Kehebatan Hasan al Banna bukan sahaja pada visinya, atau kepasrahannya kepada Tuhan atau cintanya kepada saudara se Mesir. Telah ada orang lain di dalam sejarah Mesir yang juga mempunyai kualiti-kualiti itu. Apa yang menjadikan Hasan al Banna unik dam unggul adalah bagaimana dia menterjemahkan visinya dan pegangannya kepada tindakan dan kepada sebuah struktur organisasi -amal jamai'iy.

Hasan Al Banna bukan seorang yang berdiam diri dan mengharapkan agar perubahan yang lebih baik berlaku. Dia bukan seorang yang hanya memerhatikan kefasadan, korupsi dan kemunduran Mesir secara pasif. Sebaliknya, dia seorang pemimpin berkarisma yang mengenali orang dan berkomunikasi serta terlibat dengan mereka. Dia telah turun kepada umat, menziarahi mereka, bercakap dengan mereka, hidup bersama mereka, bersusah payah dengan mereka dan menganalisa punca-punca kesengsaraan mereka.

Semasa dia bermusafir dan berkelana, dia tinggal sebagai tetamu kepada tuan-tuan rumah yang sudi menjemputnya, atau menumpang tidor di masjid-masjid menyandarkan beg kecilnya sebagai bantal. Dia membina rangkaian persahabatan yang lebar dengan ribuan individu, kerabat dan kaum keluarga. Rangkaian lebar persahabatan inilah dikatakan punca kejayaannya sebagai pemimpin yang popular. Dia mempelajari bahasa mereka, memahami serba dialek dan loghat dan dia tahu bagaimana untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan golongan fakir miskin, orang kaya, orang berpelajaran, golongan petani -fellaheen – golongan marhain dan para pekerja. Akhirnya, dia menjadi jurubicara, sahabat, saudara kerabat dan pemimpin mereka.

Hasan Al Banna merasa sukar untuk lena di waktu malam mengenangkan dan merenung  keadaan derita umat dan negara. Khilafah Islam telah tumbang dan dileburkan, Mesir dijajah di bawah perintah imperial British dan rakyat Mesir dilayan dengan hina dan dianggap sebagai insan kelas kedua, parti-parti politik Mesir tak henti bertelagah, Barat membawa keruntuhan dan kebejatan moral, sekularisme dan ideologi-ideologi mirip atheis berkembang; budaya Muslim Mesir dan identiti kebangsaannya terhakis, pendakyah Protestant yang agresif mengambil kesempatan ke atas umat Islam yang miskin, daif dan papa kedana serta mendapat naungan dan perlindungan autoriti kolonial British.

Analisa Hasan Al Banna adalah komprehensif serba lengkap dan tidak kolot. Dia meneliti segenap dimensi sosial, ekonomik, politik, sejarah dan keagamaan. Penyelesaian yang disarannya amat luas mencakupi kesemuanya menemukannya pada Islam sebagai ad din -cara hidup yaang lengkap. Dia menerangkan Islam sebagai negara, sebagai perasaan kekitaan, sebagai bangsa dan kerajaan. Islam adalah rakaman penciptaan dan kejadian, bukti kuasa Allah, rahmatNya dan keadilanNya.  Islam adalah budaya dan kanun keadilan. Islam memberi panduan kepada wang dan harta - bagaimana memilikinya dan bagaimana untuk tidak dimiliki olehnya. Islam adalah jihad, doktrin dan sistem ibadah.

Menurut Hasan al Banna, orang Islam tidak sepatutnya hanya berpuas hati dan rasa cukup dengan hidup ibadat dan solat. Mereka tidak boleh membiarkan urusan politik, pentadbiran dan kerajaan diserahkan kepada orang yang fasad dan korup. Islam itu din wa dunya – agama dan kehidupan.

Dia mempelopori gaya menarik bagi berda'wah dan mengajar, menganjurkan asas-asas Islam sebagai mutiara semasa penyelamat ummah. Dia membentuk halaqah-halaqah pengajian - usrah bagi mereka yang lebih komited. Dia berda'wah ke masjid-masjid, ke kedai-kedai warung kopi dan di segenap tempat-tempat orang ramai bersidang. Dia juga mendekati orang-orang penting dan berpengaruh. Dia membangunkan projek-projek dalam usaha membentuk suatu model di mana umat Islam dapat menghayati secebisan kesempurnaan kehidupan Islam di sudut yang tulen.

Walaupun Hasan al Banna bermula di wilayah desa Ismailiyya tetapi cita-citanya lebih besar iatu di Kahirah. Dari Kahirah, dia mengembangkan risalahnya kepada serata pelusuk Mesir. Visinya jelas, dilaksanakan dengan tindakan dan langkah-langkah yang praktik.
.
Penglibatan awalnya dalam ilmu tasauf membantunya mengekalkan nilai ketekunan ibadat, istiqamah dan disiplin. Dia menggubal program-program latihan, menubuhkan pasukan-pasukan teras, menyumbangkan kekuatan dan kepaduan organisasi. 

Instrumen paling berkesan dan sudut asas kepada latihan, pengkaderan, pembangunan dan pengglembengan ahli adalah usrah - secara literalnya bermakna keluarga - di mana ahli-ahli mengaji, belajar, bertafakur, beribadah, berkongsi, menyumbang dan bekerja bersama menuju satu misi yang disepakati.


Di antara kekuatan Hasan al Banna adalah visinya bahawa Islam adalah cara hidup yang syumul, mencakupi semua aspek kehidupan dan keperluan umat untuk kepimpinan yang kuat bagi merealisasikan kebangkitan Islam di Mesir dan di seluruh dunia. Gerakan Ikhwan  al Muslimin sendiri diolahkan oleh Hasan al Banna sebagai risalah Salafiyya, jalan  Sunni, hakikat Sufi, organisasi politik, pasukan olahragawan, kesatuan kebudayaan-pendidikan, syarikat ekonomi dan idea sosial. Landasan ini telah menjadikan pergerakan ini bersedia, dinamik, subur dan mampu membuat penyesuaian menurut perubahan waqi' dan dalam menelusuri transformasi masa depan.

Hasan Al Banna memilik kepasrahan mendalam kepada Tuhan dan keazaman jitu kepada tugas yang diamanahkan, berupaya mengekalkan kesatuan fikiran dan semangat perjuangan setelah cabaran demi cabaran bertambah berat dan membebankan.

Peristiwa-peristiwa yang menyusuli telah membawa Hasan al Banna dan gerakan Ikhwan berhadapan dengan saat-saat paling getir, bertarung di dalam kancah buas permainan politik Mesir.

Hasan al Banna yang ketika itu mempunyai kekuasaan terulung dan sedang menggalas tanggungjawab tugas yang sangat besar, masih berada pada usia muda. Dia berumur 43 tahun apabila mati dibunuh pada 1949.


Seorang penulis Amerika, Robert Jackson telah menemuramah Hasan Al Banna pada tahun 1930’s berkata: Minggu ini, saya bertemu se orang yang bakal menjadi di kalangan orang paling hebat dalam sejarah kini, atau dia akan lenyap begitu saja seperti bayangan, jika keadaan terlalu runcing untuk dia menanganinya. Walaupun dia tidak berbahasa Inggeris, dia seorang yang perkasa. Dia se orang yang baik hati, pendiam, teguh dan amat yakin dengan kebenaran pegangannya serta legitimasi aspirasinya.  Jika dia berjaya mengambil alih kepimpinan nanti, ia bukan saja di Mesir malah di seluruh Timur. Orang ini mempercayai bahawa Islam adalah kekuatan yang berada pada sosok, sanubari dan jiwa manusia Timur, justeru Islam akan menawarkan kepada dunia itu, kehidupan dan kedinamikan.




(sebahagian disuaipadan dan disunting daripada The Rumbling Volcano: Islamic Fundamentalism in Egypt, Nabbil Jabbur)

No comments:

Post a Comment