Tuesday, August 20, 2013

MUTIARA KATA SAYYID QUTB : MENYINGKAP LEMBARAN IKHWAN AL MUSLIMIN



Banyak telah diperkatakan dan ditulis terutama oleh pengkaji Barat tentang Sayyid Qutb yang sering digambarkan sebagai seorang radikal, penaung ekstremisme dan penganjur keganasan serta tuduhan keterlaluan bahawa dia adalah pengasas gerakan teroris. Gambaran sebegini memberikan pandangan yang tidak adil dan tidak saksama ke atas seorang pujangga yang dianggap penjenayah dan dihardik sebagai pengancam kepada keselamatan negara semata-mata kerana pemikiran mendalamnya, keintelektualan, hujah-hujah keimanan, idea-idea besar dan kesusasteraannya yang tinggi. Sayyid Qutb berhadapan dengan pengorbanan paling tinggi kerana dia tidak berganjak daripada prinsipnya, dia mempertahankan keteguhan pendiriannya dan dia memelihara keimanannya sepanjang cabaran yang dihadapi. Dia harus dilihat dan dinilai sebagai seorang pejuang yang mengalami tibulasi dan ujian getir yang tiada bandingnya dengan kebiasaan orang lain.  

Tentang iltizam dan istiqamah serta dedikasi total kepada perjuangan tajdid, memugar memperbaharui agama dan menegakkan shahadah, dia berkata, “Barangsiapa berbaiah mengakujanji untuk menghayati hidupnya demi agamanya, maka dia akan menghadapi hidup yang tenat, tetapi dia merasai kehidupan yang gemilang.”

Apabila berhadapan dengan musibah malapetaka yang menimpa anggota-anggota Ikhwan al Muslimin dan penyeksaan kejam tanpa keperimanusiaan serta kehidupan yang sengsara dan dihina oleh regim, tentang kesabaran dia berkata “Adakalanya dalam kehidupan ini bahawa tidak ada manusia yang sanggup melaluinya, kecuali mereka yang bergantung sepenuhnya kepada Allah dan meyakini akan perlindunganNya, tak kira betapa sekali kekuatan, dayatahan dan kesabaran yang telah dikurniakan kepada mereka. Kerana dalam kehidupan ini ada ketikanya semua ini dilanda oleh ribut taufan, dan yang hanya tinggal teguh tegak berdiri adalah yang dijamin ketenteraman kerana mengingati Allah - " (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia."(Ar-Ra'd 13:28.)

Sayyid Qutb sentiasa positif dan bersangka baik terhadap orang, walaupun musuh-musuhnya ingin mencontengnya sebagai anti-sosial dan terpisah daripada memahami perasaan orang awam, ataupun dipalit sebagai suka menghukum orang, berprasangka atau memandang rendah orang lain. Dia berkata, “Apabila kita menemukan sosok kebaikan yang ada pada jiwa manusia, kita akan menjumpai amat banyak kebaikan yang ada pada mereka yang mata kita tidak akan nampak pada pandangan pertama."  

Tentang keyakinan, ketabahan dan sikap optimis walaupun di dalam situasi yang amat teruk, dia ujar, “Dan jika seluruh tentera kegelapan mengelilingi dan menyelubungi aku, namun aku tetap yakin bahawa fajar bakal menyingsing."

Apabila sabar dan tabah menghadapi mehnah di penjara dan mengalami penyeksaan kejam yang bertalu-talu, Sayyid Qutb menyebut kisah, pengalaman dan pengajaran Nabi Ayyub a.s. yang tidak berkata kecuali  menyatakan keadaannya: "dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika ia menyeru Rabbnya: “(Ya Rabbku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit " (Quran 21:83), dan menyebut nama Allah melalui sifatNya yang agong: " dan Engkau adalah Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang " Menurut Sayyid Qutb, Nabi Ayyub  a.s. tidak memohon supaya keadaannya berubah, lalu bersabar menghadapi kesusahannya, dan dia tidak mencadangkan apa-apa kepada Rabbnya, kerana mensucikan dan memuja Rabbnya. Oleh itu, Nabi Ayyub a.s. menjadi contoh teladan hamba yang tabah; hatinya tidak derita kerana penyakitnya, dan dia tidak keluh kesah apabila mengidap penderitaan yang semua orang akan mengalami pada setiap waktu dan setiap zaman. Sebaliknya, Nabi Ayyub a.s. malu untuk memohon Rabbnya untuk menghilangkan penderitaan itu, tetapi menyerahkan bulat kepadaNya, yakin dengan pengetahuanNya tentang keadaan itu dan tanpa perlu diminta-minta.

Justeru bagi Sayyid Qutb, dan pada ketika Nabi Ayyub a.s. mengadap Tuhannya dengan keteguhan iman dan penuh penghormatan, maka ketika itulah datang jawapan Allah dan rahmatNya, berakhirlah dugaan berat Nabi Ayyub a.s.

Untuk mendekati kitab hidayah, dalam ibadah, dalam mencari penawar hidup dan ketenangan, dalam memohon pertolongan, dalam kepasrahan dan apabila berhubung dengan Allah swt, Sayyid Qutb mengujar pada tafsir masyhurnya Fi Dhilal al-Quran ( Di Bawah Naungan al Qur'an) , “Al Qur'an memberikan kamu sebanyak mana kamu berikan kepadanya, dan ia membukakan kepada kamu pada setiap masa keinsafan, ilham dan makrifah sebanyak mana kamu membukakan diri kamu kepadanya, dan pada setiap masa ia kelihatan baru, seolah-olah kamu sedang menerimanya (daripada Allah) pada ketika itu."

Apabila berdiri berhadapan dengan pendakwa-pendakwa jahat di mahkamah dan setelah dipujuk rayu supaya memohon pengampunan daripada regim, dia menyatakan dengan tegas, “Aku tidak akan memohon maaf kerana bekerja untuk Allah.”

Untuk memperbetulkan tanggapan silap bahawa Sayyid Qutb menganjurkan penyebaran Islam melalui paksaan atau kekerasan, dia menasihatkan, “Agama tidak meruntun manusia kepada ketaatan melalui merantai dan mengikat mereka, tetapi ia membawa mereka melalui taqwa, dan jika manusia menjadi rosak dan fasad, pengislahan - merubah mereka bukan dengan cara keras dan memaksa, tetapi melalui tarbiyyah, pembaharuan pendidikan dan penyucian hati.”

Tentang legasinya dan testimoni nyata bagi idealisme dan prinsip-prinsipnya, dia berkata, ”Sesungguhnya, kata-kata kita akan kekal tidak bernyawa, tandus, tanpa keghairahan, sehinggalah kita mati akibat kata-kata ini, pada ketika itu kata-kata kita akan tiba-tiba hidup dan berada pada hati-hati dan jiwa-jiwa yang telah mati, menghidupkan mereka pula.” Ini dapat disaksikan melalui betapa laris idea-idea, buku-buku dan tulisan-tulisannya setelah dia kembali ke rahmatullah.

Tentang kenapa dia memilih untuk menentang regim yang zalim dan sistem yang tidak adil, dia memberikan amaran, “Fasad dan korupsi adalah natijah pasti daripada kezaliman, korupsi menjejaskan si penzalim dan menjejaskan rakyatnya. Merelakan dosa dan kejahatan adalah sama dengan merelakan jalan kepada penderitaan.”

Pada hari Sayyid Qutb menjalani hukuman gantung dan di dalam perjalanannya ke tali gantung, dikhabarkan seorang sheikh telah ditugaskan dan sheikh ini asyik menggesa Sayyid Qutb untuk mengucap shahadah. Sayyid Qutb menjawab, “Wahai orang tua,  shahadah itulah sebabnya aku akan ke tali gantung!”

Dengan demikian, dia berdiri teguh mengotai kata-katanya, “Mereka yang takut apabila berdiri di hadapan Allah adalah mereka yang tidak bergelumang dalam dosa. Iman adalah jalan pendakian melaluinya fitrah manusia menuju kepada kesempurnaan hakiki. Iman adalah ciri dengan mana manusia yang kerdil dan sementara mencapai muraqabah dengan Maha Pencipta dan Maha Penguasa seluruh alam dan segala apa di dalamnya. Manusia tanpa iman adalah makhluk hina yang hanya bercita-cita picis dan berperihal remeh temeh. Kaedah Islam membina peribadi menghubungkan ibadah dengan keimanan.”



Semoga Allah merahmatinya!  

No comments:

Post a Comment