Thursday, October 3, 2013

Menghadam Amanat Pimpinan: Gerakan Islam dan Politik Perubahan: Optimis dalam Waspada

Menghadam Amanat Pimpinan -    Ringkasan  -



Muhasabah

Kita sebagai gerakan Islam memikul amanah memelihara dan melestarikan kebangkitan Islam bagi mengaktualisasikan misi Islam sebagai rahmatan li al 'alamin.

Nahdah Islamiyyah - kebangkitan Islam diperhatikan beralih dan berganjak daripada marhalat al da'wah kepada marhalat al dawlah. Memang dahsyat penentangan dan cabarannya terhahap politik perubahan ini. Profesor Tariq Ramadan pernah ungkapkan semasa ditanya pendapatnya berkenaan Arab Spring atau Thawrah Syab menyambutnya dengan optimisme berwaspada- cautious optimism.

Kita perlu bermuhasabah dan melakukan self criticism. Tarbiyah harakiyah perlu dilihat semula sebagai merubah diri - al taghyir al nafsiy - perubahan jiwa dan minda melebihi batas otak, meliputi watak dan akhlak agar menjadi ilmuwan yang berakhlak. Islam bangkit bukan emosi tetapi kekuatan ilmu yang memantapkan iman dan tawhid.

Fiqh

Kita prihatin kepada masa depan kerana kita umat yang berfikiran ke hadapan - al fikr al mustaqbal.

Kita perlu memahami fiqh al taghyir - fiqh perubahan kerana kita bekerja dan berjuang untuk perubahan. Kita perlu menguasai fiqh al taghyir and fiqh al waqi' -fiqh memahami realiti dengan tepat dan mendalam untuk bergerak secara realistik mengolah ilmu-ilmu kontemporari merentas disiplin. Kita perlu mampu mengartikulasi  fiqh al ta'adudiyyah - memahami pluraliti dan hakikat majmuk budaya. Kita harus pelajari lebih tentang  inklusiviti serta keterbukaan.

Cabaran zaman, kepelbagaian isu kontemporari  dan keperluan tahap kompetensi tinggi memerlukan ijtihad kolektif - al ijtihad al jama'iy.

Kita harus prihatin dengan permasalahan urutan keutamaan -  al awlawiyyat. Apa sepatutnya didahulukan dan dikemudiankan.

Kita perlu mengkaji semula kitab-kitab dan teks - turath. Pada tahun 60'an kita membaca karya Al Nadwi's ilal islam min jadid. Tetapi tidak cukup dengan hanya kekal dengan pustaka 60'an. Kita memerlukan karya- karya kontemporari dan kita harus merekayasa diri kita - membekalkan diri dengan ilmu-ilmu yang relevan semasa.

Warisan fiqh politik Islami harus difahami menyeluruh dan utuh dengan segala dimensi - siyasat al taghyir - politik perubahan yang didasarkan kepada fiqh al taghyir. Dimensi dengar dan patuh - sam'an wa ta'atan, dimensi oppositional/ revolutional - al janib althawriy al inqilabiy li al fiqh al Islamiy. Bangkangan dan perdebatan adalah tanggungjawab da'wah bagi paksi utama amar ma'ruf nahi mungkar. Menyatakan pandangan - menyokong atau membangkang adalah amalan musyawarah dan perlu ditanggapi dari perspektif fiqh kontemporari.

Kepimpinan

Kita amat khuatir dengan kualiti kepimpinan dunia Islam sekarang. Menerajui negara tidak sama seperti memimpin sebuah pergerakan. Kita mesti melakukan koreksi diri dan reformasi dalaman membina kualiti kepimpinan yang berdaya dan perkasa - pimpinan masa depan berlatar realiti baru yang kita hadapi. 
Kita bimbang dengan krisis harapan masyarakat - crisis of expectation - jika kita gagal memenuhi aspirasi mereka. Ekspektasi mereka pula ada yang tidak munasabah. Sekali rakyat kecewa, kita akan tanggung akibatnya buat masa yang lama.

Pluralisme

Gerakan Islam perlu bina upaya menyikapi dan menangani pluraliti - kekuatan ideologi dan aliran pemikiran beragam. Kepelbagaian dan perbedaan -  juga disebut ayat (tanda kebesaran Allah swt)  bukan fenomena asing bagi umat Islam. Inilah tabiat sejati kemanusiaan - al taghayur wa la tadafu' - sifat saling berbeda dan saling tolak - penggerak kearah kehidupan lebih baik - tahrik al hayat nahw al ahsan.

Medan al tadafu' - silang sengketa - adalah kancah pertarungan yang menyaring manusia mujahid atau yang munafiq - yang tabah dan yang lemah. Tetapi pluraliti tidak hanya bernatijah dengan silang sengketa tetapi dengan yang lebih jauh positif  iatu al ta'aruf - hubungan manusia saling mengenal, bekerjasama, memanfaatkan.

Sejarah umat Islam menunjukkan wujudnya kesatuan dan kepelbagaian - al wihdah wa al tanawwu' serta kepelbagaian dalam satu bingkai kesatuan.

Pluralisme politik - al ta'addudiyyah al siyasiyyah - bukan asing dalam sejarah umat Islam. Pluralisme politik sekarang merujuk amalan demokrasi yang buka ruang peranserta parti-parti berbeda ideologi dan program. Semua tidak terhalang termasuk sekularis, nasionalis , sosialis atau sesiapa untuk menganut dan memperjuangkan ideologi mereka. Suara rakyat memutuskannya. Jika golongan Islamis kalah bererti mereka gagal meyakinkan rakyat untuk menerima program mereka. Ini memang tidak menjadi masalah bagi golongan Islamis tetapi yang tidak dapat diterima adalah penipuan pilihanraya atau rampasan kuasa.

Pluralisme politik juga bermakna menerima kemungkinan bekerjasama dalam pakatan politik - al tahaluf al siasiy - dengan parti sekular jika didasari motif kebaikan - based on a moral compact, menegakkan kebenaran dan keadilan, menentang kezaliman dan penyelewengan. Inilah bidang cakupan siyasah al shar'iyyah dengan asas pertimbangan maslahah vs. mafsadah.

Model Siasah Turki

Pada saat sepenting dan segenting ini kompetensi gerakan Islam dan kepimpinan menjadi fokus sorotan dan model Turki menjadi perhatian, pengajaran dan harapan. Turki setelah alami period lama ketidakstabilan, konflik politik dan siri rampasan kuasa tentera, memilih parti moderat AKP. AKP dipilih kerana faktor Erdogan bereputasi cemerlang, urustadbir baik, bersih dan kompeten. Prestasi AKP menunjukkan kebolehan Islamis menangani realiti politik, memimpin, melebarkan wawasan, menyesuaikan ragam pluraliti dan memerintah dengan efektif. Mereka mengadakan pakatan bagi mendapatkan konsensus politik untuk memerintah.

AKP tidak khutbahkan kaedah tetapi mempraktikkan amal. Erdogan menghindari polemik ideologikal dan mengelak retorika gerakan Islam. AKP mengaktualisasikan semangat syari'at - kemerdekaan, keadilan, demokrasi. Erdogan memahami waqi', memilih pendekatan al tadarruj - beransur dan kalkulatif. Mereka membina kesedaran Islam - al wa'y al Islamiy - di kalangan massa rakyat.

Perubahan berlaku bukan dengan pemaksaan kerajaan tetapi pemikiran rakyat siap menerima. Erdogan selalu menggunakan proses demokrasi undi dan pungutan suara. Erdogan mengaplikasikan al awlawiyat dengan mengutamakan pengisian daripada label. Mereka menumpu kepada pembangunan, pertumbuhan dan pemerataan ekonomi. Pemerataan bermakna program ekonomi rakyat miskin bagi memastikan tiada rakyat tertinggal. Kejayaan ekonomi melonjakkan keyakinan rakyat.

Merujuk kepada pengalaman Turki, Profesor Tariq Ramadan meletak harapannya bagi kemunculan perkumpulan negara-negara demokratik Islam baru yang akan mengembalikan umat Islam dengan keyakinan, autonomi, pluraliti dan kejayaan.

Gerakan Islam dan Kuasa-Kuasa Besar Dunia

Kita berwaspada dalam optimisme politik perubahan kerana menyedari realiti kebangkitan Islam tidak disenangi dan memang nyata ada pakatan global anti Islamis. Sikap Amerika terutamanya kerana mereka gagal menyikapi dan membedakan di antara ekstremis dan umat Islam yang berprinsip serta bermaruah.

Model Partisipasi Politik Para Mursalin

Bagi pilihan model al siyasah al syar'iyyah, kita perlu kembali ke akar dan kita akan jumpa di dalam al Quran model-model kepimpinan.

Daud and Sulayman a.s. menerajui kerajaan berdasarkan prinsip dan nilai ketuhanan serta urustadbir terbaik. Kerajaan ini jelmaan pentadbiran berasaskan hikmah dan ilmu - hukman wa 'ilman. Kerajaan mereka kerajaan yang mendengar, komunikatif - memahami bahasa rakyat, mengambil peduli rintihan suara rakyat tak kira besar atau kecil. Daud a.s. membela kaum mustad'afin. Kerajaan yang komited kepada misi penyebaran da'wah.

Musa dan Harun a.s. bersifat berkonfrontasi dan berlawan dengan Fir'aun sehinggalah Musa  membebaskan umatnya dan menegakkan order baru yang berasaskan taqwa dan keimanan - perubahan yang mendasar. Perjuanagan Musa a.s. adalah penjelmaan harakah taghyiriyyah shamilah - gerakan reformasi total di atas keruntuhan kefir'aunan - membebaskan umat daripada pencabulan, perhambaan, belenggu pemikiran dan politik istibdad - penindasan.

Yusuf a.s. berpartisipasi dalam kerajaan non Muslim dengan membawa misi islahi menyelamatkan ekonomi Mesir. Yusuf a.s. melaksana fungsi sebagai menteri dengan integriti moral, pendirian tawhid dan prinsip agama. Yusuf a.s. berjaya mendapat dukungan dan kepercayaan raja dan rakyat kerana memiliki integriti moral dan keupayaan intelektual - inni hafizun 'alim.

Gerakan Islam dan Agenda Islah Siyasi

Misi da'wah yang kita warisi meliputi 'aqidah dan shari'ah, din dan dawlah - agama dan negara dan tidak boleh lari daripada tanggungjawab memperjuangkan negara adil, makmur dan dibimbing sinaran wahyu Ilahi. Al Islah al siyasi bermakna idealisme negara unggul al madinat al fadilah - negara yang membahagiakan, selamat, adil, makmur, rukun dan harmonis dengan nilai-nilai kemanusiaan beradab dan bertamadun.

Gerakan Islam perlu menentukan bentuk partisipasi sesuai dengan kemampuan dan realiti yang dihadapi berpandukan perjuangan para mursalin. Gerakan al islah al siyasiy sangat relevan bagi menangani kebobrokan - kadar jenayah, leluasa fitnah, korupsi, penyelewengan, kesengsaraan rakyat miskin terbeban, dekadensi moral dan ekonomi tak terkendali.

Perlu dikembalikan maruah bangsa, bangsa yang ditandai harga diri - dignity - oleh perasaan atau sifat tahu malu - a sense of shame.

It is undignified to have a dirty surrounding. It is undignified to live in a disorderly and haphazard manner. It is undignified to be subjected to petty corruption and rude treatment. It is undignified to be cheated of your rights. It is undignified to be governed by men with criminal minds, men who spend most of their time plotting to cheat and plunder the state. (Alatas, SH)



(Ringkasan Amanat Pimpinan -  Gerakan Islam dan Politik Perubahan: Optimis dalam Waspada oleh Dato' Dr Siddiq Fadil sempena Muktamar Nasional Ketujuh Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH dan Ijtima' Harakiy ke 3 di Shah Alam)

Teks penuh di bawah:-



No comments:

Post a Comment