Sunday, October 6, 2013

REVOLUSI YANG DIRAMPAS: MENYINGKAP LEMBARAN IKHWAN AL MUSLIMIN


Pada peristiwa ngeri mirip gelagat ganas regim Syria pimpinan Assad menzalimi rakyatnya, pasukan keselamatan Mesir telah menyerang dan melepaskan tembakan bertubi-tubi membunuh dan mencederakan ramai penyokong Ikhwan al Muslimin sewaktu mereka menunaikan solat Subh. Sekali lagi militer Mesir mengkhianati revolusi rakyat. Kejadian berdarah di Rabia al Adawiyah adalah tragedi kemanusiaan dan musibah yang menimpa ummah. R4BIA menjadi lambang solidariti umat manusia menolak kezaliman dan menegakkan kembali keadilan.

KU DETA – RAMPASAN KUASA

Tentera Mesir sekali lagi terus mengukuhkan kedudukan empuk penguasa "kerajaan halus" -  golongan  makhzen, saki baki, konco kerabat Mubarak - golongan  filul – kumpulan ahli politik, general-general dan hartawan-hartawan niaga yang bersekutu dengan regim Hosni Mubarak, dan mereka yang kekal berpengaruh menguasai rakyat yang miskin dan tolol. Kumpulan-kumpulan ini sarat dengan limpahan dana dan tajaan, berperanan penting menghasut penentangan terhadap President Morsi sepanjang tahun, dan merancang demonstrasi-demonstrasi anti-Morsi. Mereka kembali dengan penuh hasad dan dendam kesumat, selepas revolusi pertama dan setelah percubaan pentadbiran baru Islamis untuk meleraikan wewenang kuasa, kepentingan dan pengaruh mereka selam ini.

Tentera melalui rampasan kuasa ini telah meletakkan dirinya sebagai pelindung “kerajaan halus” Mesir, golongan elit politik dan ekonomi yang melingkarinya, mengurusnya, memanfaatkan dan berkhidmat kepadanya.

Panglima turus Mesir acapkali mendakwa bahawa pasukan tentera tidak ingin memainkan peranan politik atau berhasrat memerintah Mesir tetapi dulu pun mereka berkata begitu. Mereka terus memerintah dengan brutal selama lebih se tahun sebelum Presiden Morsi mengarahkan tentera kembali ke berek mereka setelah dia dilantik.

Apabila tentera berkuasa maka ini bermakna pengaruh Amerika Syarikat sangat besar kerana tentera Mesir bergantung sepenuhnya kepada US untuk pembiayaan ekonomi dan bantuan kewangan. Tentera Mesir menerima bantuan US $1.3bn  setiap tahun wang pembayar cukai warga US setiap tahun dan mendapat amaun sepenuhnya tepat pada masanya.

GOLONGAN TAMARRUD - PEMBERONTAK

Pemberontak yang menggelarkan pergerakan mereka sebagai Tamarrud mempercayai bahawa jika mereka dapat menggembleng orang ramai yang tidak berpuas hati, dan jika pasukan tentera menyokong tindakan mereka, mereka mampu menjatuhkan pemimpin yang dipilih rakyat secara sah. Mereka boleh memenjarakan pimpinan yang sah dan merombak proses politik secara total.

Revolusi 25 Januari telah menjatuhkan regim Mubarak, tetapi revolusi 20 Jun telah menyerahkan balik tampuk kuasa kepada gabungan anti-Ikhwan yang terdiri daripada saki baki konco  Mubarak dan elit-elit sekular serta disokong ramai pihak Qibti.

Adalah tidak adil dan tidak wajar digulingkan presiden dan kerajaan pilihan rakyat semata-mata di atas penilaian cetek prestasi dan kompetensi Morsi kerana penentang sekular, termasuk konco kerabat Mubarak dan minoriti Qibti nekad tidak rela berada di dalam Mesir yang diperintah Islamis. Sektor-sektor yang kekal terbenam lama Mubarak di dalam kerajaan termasuk kehakiman, polis dan kementerian dalam negeri melemparkan segala aneka halangan dan jerangkap bagi menggagalkan pelaksanaan dasar kerajaan Morsi.

Dorongan mereka yang turun menunjuk perasaan menentang pemerintahan Ikhwan datang daripada pelbagai anasir dan ragam. Ada yang runsing dan gusar dengan keadaan ekonomi negara. Ada yang mendakwa Ikhwan tidak kompeten mentadbir. Ada yang bimbang dan takut tentang apa yang dituduh ikhwanat al-daula (Ikhwanisasi negara) akan menyebabkan dominasi Islamis. Ramai orang Kristian risau bahawa kewarganegaraan mereka terancam. Ada yang ingin melepaskan perasaan melaungkan kebebasan bersuara menentang Ikhwan. Sementara itu pasukan keselamatan berkempen dan menghasut secara separa senyap bagi memperkukuhkan dan melebarkan pergerakan Tamarrud ini. Strategi jahat tentera atau SCAF (nama junta mereka sebelum ini)  menatijahkan harga yang dahsyat dengan kehilangan nyawa yang banyak dan orang cedera parah sepanjang konflik yang berterusan ini.

Para pemimpin rampasan kuasa ini dengan sengaja tidak peduli bahawa Mesir telah dan sedang mengalami huru hara sejak kebangkitan menentang Hosni Mubarak tamat. Keadaan tidak aman dan tidak tenteram ini berlaku lama sebelum penggal Morsi bermula. Kerajaan Morsi tidak mempunyai kawalan ke atas pasukan keselamatan era Mubarak yang amat korup – ramai anggotanya menentang Morsi dan memprotes secara sembunyi dan secara terbuka.

Pihak Tamarrud yang bertanggungjawab ke atas kebanyakan peristiwa-peristiwa keganasan terancang yang disaksikan. Istana presiden telah berulang-kali diserang dengan bom api. Bangunan-bangunan kerajaan lain, 30 buah pejabat Ikhwan dan empat buah bas Ikhwan telah diserang dan dibakar. Di setiap insiden keganasan penyokong Ikhwan menjadi mangsanya.  Pasukan keselamatan tidak mengendahkan kejadian-kejadian ini dan tidak memberikan perlindungan.

Para pemimpin ku deta asyik kesal dan mengeluh tentang keadaan ekonomi Mesir, menyalahkan segala-galanya ke atas bahu Morsi.  Tetapi pentadbiran Morsi administration terpaksa menanggung ketidakstabilan yang berterusan, yang tidak menggalakkan pelaburan, perdagangan dan pelancongan. Seruan pertama melaungkan “revolusi” bagi menggulingkan  Morsi bermula beberapa minggu sahaja selepas dia dilantik, dan pihak Tamarrud sejak awal lagi telah mengisytiharkan hasrat mereka secara terus terang untuk menjatuhkan Morsi dengan apa cara sekali pun.

Para pimpinan rampasan kuasa nekad untuk membasmikan Ikhwan atau memaksa Ikhwan menyorok di bawah tanah. Mereka melakukan sewenang-wenangnya terhadap pimpinan Parti Keadilan dan Kebebasan (FJP) dengan alasan yang tipis, memaksa pemberontakan atau tunduk melutut menyerah kalah. Kepimpinan sementara ini bergerak ke arah polarisasi ekstrim dan penindasan politik sesiapa saja yang berhaluan Islamis. Tiada sesiapa pun di kalangan junta ini yang mahu mengakui sikap Morsi dalam menolak rampasan kuasa tentara, peranan Morsi menggesa penentangan secara aman tanpa keganasan dan tindakan-tindakan Morsi yang kesemuanya menurut lunas undang-undang.

Pemberontak Tamarrud memperjuangkan dan menyorakkan legasi totok Mubarak dan regimnya -  “asalkan bukan Ikhwan”,  yasqut yasqut hukm al-murshid – seruan jalanan untuk menjatuhkan murshid al am Ikhwan.  Mubarak  yang kini bebas tentu ceria dan bergembira dengan “anak-anaknya” yang telah mendedahkan diri mereka. Kalau dulu mereka nampak seolah-olah membenci meluap-luap Mubarak dan regimnya, pemberontak Tamarrud kini mempamerkan diri mereka sebagai pengikut tegar warisan totok Mubarak– “asalkan bukan Ikhwan”.

Pemberontak Tamarrud mengabaikan dua prinsip utama demokrasi – menghormati keputusan pilihanraya dan menolak campur tangan tentera di dalam politik. Jika pergerakan Tamarrud betul mempunyai 22 juta orang penyokong, sudah tentu ini boleh diterjemahkan kepada undi di dalam pilihanraya parlimen yang telah dijadualkan oleh Presiden President Morsi di hujung tahun, untuk menewaskan Morsi dan parti FJP. Senator US Lindsey Graham pernah bertanyakan kepada General al Sisi – You know if you were to hold elections now, Morsi would be defeated. Al Sisi menjawab, Yes. Graham kemudian berkata, Why don’t you hold elections then?  Al Sisi tidak menjawab.

Ini bukanlah kemenangan untuk pembebasan tetapi kejayaan bagi regim lama, golongan filul, atau  makhzen, “deep-state” Mesir – birokrasi, tentera dan elit bisnes yang tidak pernah lenyap akibat revolusi 25 Januari. Golongan liberal sekularis Mesir telah memutuskan bahawa tawaran “filul” yang korup lebih utama daripada demokrasi sebenar, sekaligus menafikan ruang berpolitik bagi Ikhwan dan Islamis.

Liberal sekularis Mesir mengidamkan “demokrasi” untuk semua kecuali Islamis walaupun Mesir adalah negara umat Islam yang ramai penduduknya. Ini sesuatu penafian hak Ikhwan yang tidak masuk akal, percubaan dangkal untuk menolak kedudukan Ikhwan di dalam hati sanubari masyarakat dan mengenepikan naratif bahawa Ikhwan sangat popular dan adalah gerakan yang telah terpahat di jiwa rakyat. Presiden Morsi dan Ikhwan, setelah mengharungi penganiayaan kejam dan tekanan yang lama, dan setelah melalui perdebatan dalaman yang hangat, memilih menerima proses pilihanraya demokratik. Sudah tentunya, memilih untuk berpendirian sebagai demokrat Muslim bukanlah perbuatan yang naif – betul bendul.

Dunia mungkin ingin alpa tetapi tidak dapat melupakan pengkhianatan demokrasi di Algeria 1991-92 dan pasca pilihanraya bebas Palestin 2006. Persepsi perit adalah apabila golongan Islamis memenangi pilihanraya bebas dan adil, mereka akan digulingkan atau cuba dijatuhkan melalui rampasan kuasa.

Kali ini pula, penjawat presiden bukan seorang diktator tajaan US dan bukan seorang yang dikekalkan kuasa melalui biaya dan dokongan politik US. Kali ini, presiden Morsi yang digulingkan adalah presiden pertama Mesir yang popular dan dilantik melalui pilihanraya demokratik sepanjang beberapa generasi lamanya.

DALANG-DALANG RAMPASAN KUASA

Pimpinan peralihan ini secara simbolik dibayangi tokoh seperti Paus Qibti - Coptic Pope dan Sheikh al-Azhar yang sememangnya pendokong-pendokong  kuat regim lama. Presiden sementara, Adly Mansour merupakan hakim lantikan pertama oleh Mubarak ke Mahkamah Tinggi Perlembagaan. Setiap orang hakim telah dilantik oleh regim Mubarak. Adly Mansour kekal sebagi saki baki kediktatoran Mubarak dan tidak langsung boleh diterima sebagai mewakili revolusi.

Perdana menteri sementara ku deta Hazem el-Beblawi pernah bertegas dengan Senator US Lindsey Graham, You can’t negotiate with these people (Ikhwan). They don’t respect the rule of law. Graham menjawab: Mr. Prime Minister, it’s pretty hard for you to lecture anyone on the rule of law. How many votes did you get? Oh, yeah, you didn’t have an election.

Mengenai El Baradei, dan pimpinan kanan Tamarrud, mereka menunggangi “demokrasi” di belakang kereta-kereta kebal. El Baradei sendiri adalah calon yang gagal bersaing untuk pilihanraya presiden.  Amat ironis melihat Mohamed El Baradei menolak pilihanraya popular sebelum ini dengan mendakwa ia dijalankan di bawah pemerintahan tentara, sebaliknya menerima lantikan terus daripada tidak lain dan tidak bukan angkatan tentera Mesir sendiri. Perlantikan El Baradei dikatakan bertujuan untuk membujuk  US dan semua orang tahu El Baradei telah berkhidmat dengan setia untuk kepentingan US, and membiarkan saja penaklukan Iraq semasa dia mengetuai IAEA. El Baradei mempunyai sokongan yang sangat kecil sehinggakan dia memerlukan kuasa tentera unutk menjawat jawatan naib presiden. Akhirnya, dia sendiri berundur meletak jawatan dan melarikan diri ke Barat.

El-Baradei sepatutnya orang yang pertama menyeru dan menuntut pembebasan Morsi. Tetapi kedua-dua El-Baradei mahupun Sabbahi tidak akan atau boleh menjadi pemimpin ikutan atau ikon revolusi.  Oleh itu, mereka menyokong penindasan anti-Ikhwan kerana pimpinan Ikhwan yang ditahan dianggap tidak mempunyai hak asasi dan sememangnya tempat ahli-ahli politik Islamis hanya di dalam penjara.

Pakatan pemberontak hanyalah untuk menjatuhkan Morsi government dan tidak mempunyai kepimpinan yang jelas, tiada wadah politik yang terang atau dipersetujui. Keahliannya yang pelbagai ragam dan ideologi saling bercanggah menjadikannya aneh. Peserta junta rampasan kuasa terdiri konco kerabat Mubarak daripada tentera, kehakiman, polis, pasukan keselamatan, birokrasi, calon-calon presiden yang tewas seperti  Amr Musa; sekularis-sekularis “tak liberal”; belia gerakan April Spring yang kecewa; pemimpin-pemimpin agama, Sheikh al-Azhar – yang juga seorang anggota Parti Demokratik Kebangsaan  NDP pimpinan  Mubarak; termasuk juga pimpinan Parti Salafi Salafist Al Nour dan Gereja Qibti.

Sungguh ganjil apabila dilihat bagaikan katil yang dikongsi bersama Qibti, sekularis ekstrim dan ahli parti Salafi bersama.


Parti Salafi al Nour didalangi Saudi Arabia. Saudi Arabia dan Emiriah Arab Bersatu merupakan penyokong tegar dan terbuka rampasan kuasa Mesir. Bagi mereka igauan mimpi paling ngeri adalah kemunculan dan kejayaan demokrasi pimpinan Islamis yang ditakuti bakal mengancam kelangsungan kuasa regim beraja mereka.

IKHWAN AL MUSLIMIN

Ikhwan telah wujud berdekad-dekad lama di dalam buangan, di dalam tahanan, ditindas dan dizalimi dengan kejam. Ikhwan telah belajar untuk survive – hidup dalam perjuangan dan telah terbukti sebagai pembangkang paling efektif yang berhadapan dengan tahun-tahun di bawah regim Mubarak. Ikhwan telah mempertimbangkan, berbedat dan membahaskan dengan hangat, berbolak balik, teragak-agak dan berasa amat berat samada ingin menerajui dan mengambil peranan memimpin order pasca revolusi 25 Januari. Pada babak akhirnya, Ikhwan memutuskan untuk mengambil risiko politik yang tinggi dan terus menyertai pertandingan pilihanraya di semua peringkat. Ikhwan melalui parti  FJP dan calonnya Dr Morsi memenangi kesemua 14 pusingan pengundian yang kompleks di peringkat legislatif,  parlimen, pilihanraya presiden dan pungutan suara pengesahan perlembagaan – membuktikan bahawa FJP layak di peti undi.

Kerajaan Morsi berusaha dengan urustadbir baik – governan dan ikhtiar kerjasama politik bagi di dalam suasana iklim politik dan ekonomi yang kompleks dan meruncingkan pasca 25 Januari. Risiko dan pertaruhan besar dalam proses transisi di Mesir pasca revolusi sangat berat kerana terlau banyak institusi “filul” dan agensi-agensi masih bersarat warisan Mubarak.  Walaupun ada pencapaian-pencapaian, namun kerajaan Morsi dan Ikhwan tidak dapat bergerak dengan cukup pantas dan tidak bertindak berkesan bagi meraih sokongan popular yang cukup bagi menyaingi gabungan puak-puak ekstrim anti Ikhwan, yang telah bulat ingin menjatuhkannya, gabungan yang mengglembengkan pelbagai sektor masyarakat yang pepak dengan kecurigaan, sungutan dan prasangka.  

Ikhwan dalam keadaanya yang cukup tertekan dan sebahagian besar pimpinannya ditahan, terpaksa cekal, istiqamah dan teguh pendiriannya meneruskan perjuangan dengan cara aman walauapapun berhadapan himpitan, kekejaman dan provokasi kerana mereka berpegang kepada kenyataan dan menghormati hakikat bahawa Ikhwan al Muslimin adalah pilihan rakyat Mesir untuk memimpin mereka dan menebus semula revolusi yang dirampas.

 


No comments:

Post a Comment